DIA MILIK AKU

Bab 6

Seminggu selepas tu, Sabrina telefon aku. Katanya dia dah balik rumah. Dia dah sihat, doktor pun ada bekalkan ubat untuknya. Kebetulan hari tu hari Sabtu, aku ajak Kamal pergi melawatnya di rumah. Sebenarnya kalau dia tak telefon, memang aku dah bercadang nak pergi lawat dia di hospital. Dah alang-alang kami dah berniat nak pergi lawat dia, maka apa salahnya kami terus ke rumah mereka.

Aku sampai di rumah Sabrina lepas asar. Aku tak terus masuk ke rumah mereka. Aku tak tahulah kenapa perasaan aku rasa lain macam setiap kali datang ke rumah banglo Sabrina dan Amran. Mungkin sebab aku pernah nampak perempuan dan budak lelaki tu. Rumah tu cantik, tersusun, kemas dan bersih di mata, tapi tak tahulah di hati aku rasa macam ada sesuatu yang tak kena. Seperti ada sesuatu yang memerhati setiap pergerakan setiap orang di dalam rumah tu.

“Kenapa tak masuk?” tanya Kamal.

“Tak tahulah. Setiap kali datang sini, rasa tak sedap hati,” sahutku.

“Kita dah sampai, jom masuk. Jangan sampai Rina atau Amran kecil hati kalau dengar apa awak cakap ni,” kata Kamal, lembut dalam tegas.

Aku pun melangkah masuk ke dalam rumah Sabrina setelah salam Kamal disambut oleh Sabrina dengan girang. Dia suka sangat bila aku beritahu aku nak datang melawatnya. Mataku melilau melihat sekeliling rumahnya. Aku nampak Amran sedang bermain dengan Iqbal di ruang tamu. Kamal membawa Arif bersamanya pergi mendapatkan Kamal. Aku pula mengikut Sabrina ke dapur.

“Kau dah betul-betul sihat ke Rina?” tanyaku.

“Rasa loya tu masih ada dan kadang-kadang muntah juga. Tapi aku dah lalu makan.” Sahut Sabrina sambil mengambil biskut meletakkan di dalam piring.

“Kau jaga diri elok-elok. Kandungan belum kuat lagi tu. Moga kau terus sihat,” kataku sambil melihat setiap gelagat Sabrina. Takdelah pucat sangat macam hari aku jumpa di rumah mak mertuanya tempoh hari.

“Aku ok dah. Cuma rumah ni masih tak ok,” kata Sabrina seperti separuh berbisik.

“Kenapa? Ada lagi kelibat perempuan tu?” tanyaku balik, juga separuh berbisik.

“Ada. Kali ni makin kerap aku nampak. Dengan budak kecil tu,” kata Sabrina membuatkan bulu roma aku meremang.

“Kau bagitahu Amran tak?” tanya aku.

“Aku cakap kat dia, tapi macam selalulah. Dia tak percaya aku,” sahut Sabrina sambil mengangkat dulang tapi aku menahannya. Lalu aku mengangkat dulang tersebut membawanya ke ruang tamu di tempat Amran dan Kamal sedang berbual. Aku dan Sabrina pun duduk sekali.

“Kau ok dah ke Rina?” tanya Kamal kepada Sabrina.

“Alhamdulillah, rasa makin sihat,” sahut Sabrina sambil menuangkan air oren ke dalam gelas.

“Aku risau juga kalau dia masih muntah-muntah macam dulu. Ni minggu depan aku nak ke Johor balik ni. Aku suruh dia duduk kat rumah mak aku, dia taknak,” sahut Amran.

“Dah ok dah ni. Tapi memang tak boleh tinggal sendirian. Kau ajaklah mak kau teman kau sementara Amran di Johor,” aku pula bagi pendapat.

“Dia ok. Tapi tak tahulah, masalah hormon ke apa, dia asyik kata nampak perempuan lain dengan budak lelaki dalam rumah ni. Alahan mengandung ni macam-macam agaknya,” tiba-tiba Amran berkata. Aku dan Kamal berpandangan.

“Perempuan? Nampak kat mana?” tanya Kamal seperti tak tahu apa-apa. Pandai suami aku berlakon.

“Ada kat merata-rata katanya. Dengan budak lelaki. Haritu dia kat hospital, aku duduk kat rumah ni seorang, tak nampak apa-apa pun,” sahut Amran.

“Biasalah orang perempuan ni. Mereka fikir lagi banyak dari kita. Sampai tak tahu yang mana betul dengan imaginasi dah,” kata Amran sambil meneguk air oren. Tapi matanya menjeling ke arah aku sebab aku buat isyarat marah kat dia.

“Hahaha.. Betul tu. Dayah pun mesti ada buat gitu kan?” kata Amran sambil ketawa.

“Ada juga. Tapi kita ni sebagai suami, kena pandai berlakon depan mereka. Jangan tunjuk kita tak percaya. Nanti dia kecil hati. Tak masak mereka nanti. Hahaha..” kata Kamal pula buat aku panas hati. Bila masa pula aku kata aku nampak macam apa yang Dayah nampak?

“Macammana kau buat dia tak mengadu lagi?” tanya Amran sebaik gelaknya reda. Sabrina tersenyum-senyum memandang aku.

“Kalau dia kata nampak gambar makanan, aku belikan makanan tu. Kalau dia kata dia nampak baju cantik, aku suruh dia pergi beli baju. Mereka ni pun pandai psikologi juga. Nak minta tapi berkias-kias. Kita kenalah selangkah di depan mereka,” kata Amran. Aku masih diam sambil buat muka. Kamal seperti memerli aku.

“Betul jugak tu kan. Habis tu kalau dia kata dia nampak hantu?” tanya Amran.

“Kalau dia kata nampak hantu, aku bawakan ustaz. Biar ustaz tu tengokkan hantu yang dia cakap tu. Kalau ustaz tu kata takde, baru mereka percaya. Kalau kita yang kata takde, mereka tak percaya. Macam budak kecil, mak ayah cakap taknak ikut tapi bila cikgu cakap, mereka ikut pula,” sahut Kamal membuatkan aku cerah mata kejap. Baru aku faham, Kamal sedang menjerat Amran.

Amran memandang Sabrina. “Nanti kita bawa ustaz datang rumah ni ye?” kata Amran. Dan dengan laju Sabrina menganggukkan kepala. Aku pandang Kamal. Kamal kenyit mata kat aku. Tiba-tiba rasa kagum pulak kat suami sendiri. Hahaha….

“Kau boleh carikan ustaz ke? Aku sibuk sikit,” tanya Amran.

“Boleh je. Kau bagitahu je nak ustaz muda ke ustaz tua, hensem ke tak hensem,” sahut Kamal mengusik Amran. Sambil disahut dengan ketawa berderai kami berempat di situ.

Keesokan harinya, aku dan Kamal sekali lagi datang ke rumah Sabrina membawa Ustaz Alias dari tempat kami. Nasib baik ustaz tu free haritu. Kami pun tak boleh tunggu beberapa hari lagi sebab isnin aku dan Kamal kerja. Hari Rabu Amran dah kena pergi Johor. Maka, nak taknak kami kena segerakan.

Sampai di rumah Sabrina, Ustaz Alias berhenti di pintu masuk rumah tu. Wajahnya berkerut seribu.

“Kenapa ustaz?” tanya Kamal.

“Mana tuan rumah ni?” tanya Ustaz Alias.

“Suami saya sedang mandi ustaz. Sekejap lagi dia turun,” sahut Sabrina.

Ustaz Alias menganggukkan kepala dan melangkah masuk. Matanya melilau memandang sekitar rumah.

“Saya duduk dulu. Tunggu suami puan datang,” kata Ustaz Alias. Dan kami mengangguk kepala. Mungkin dia tak selesa nak meninjau rumah orang tanpa tuan rumah lelaki.

Tak lama lepas tu, Amran turun dari tingkat atas. Dia bersalaman dengan Ustaz Alias.

“Terima kasih ustaz sebab sudi datang. Isteri saya mengadu dia selalu nampak perempuan dan budak lelaki dalam rumah ni. Saya tak pasti rumah ni atau dia yang bermasalah. Saya tak pernah nampak apa-apapun. Jadi, jika tiada apa-apa, ustaz beritahulah isteri. Biar dia puas hati,” kata Amran.

Ustaz tu memandang Amran.

“Kamu ada simpan apa-apa milik orang lain tak dalam rumah ni?” tanya Ustaz Alias.

“Maksud ustaz?” tanya Amran balik.

“Apa-apa barang yang kamu ambil milik orang lain tapi kamu tak ingat untuk pulangkan,” jawab ustaz masih memandang tepat ke arah Amran.

“Seingat saya, takdelah pula,” sahut Amran sambil memandang Sabrina minta kepastian.

“Takde rasanya ustaz.” Sahut Sabrina.

“Takpelah kalau kamu kata takde. Beginilah, saya pagarkan rumah ni. Kalau kamu takde ambil apa-apa milik orang lain dan menyimpannya, takde apalah tu. Tapi kalau ada apa-apa, pulangkan saja. Ini rumah baru ye?” tanya Ustaz Alias.

“Iye ustaz,” Sahut Sabrina bila Amran tidak menjawab soalan Ustaz Alias.

“Dalam alam kita ni, ada juga alam jin. Mungkin masa pembinaan rumah ni, kamu dah kacau kawasan jin. Barangkali dia tersesat dan tak tahu jalan keluar. Saya boleh minta ‘dia’ pergi. Moga dia dapat keluar dari jalannya dan kembali ke masyarakatnya semula, In Shaa Allah,” kata Ustaz Alias.

Kami semua di situ menganggukkan kepala. Aku pandang Sabrina, dia tersenyum. Puas hati agaknya bila dah tahu punca dia nampak kelibat perempuan dan budak lelaki tu.

Kami tak lama di sana. Setelah Ustaz Alias menyudahkan urusannya, jam sudah menghampiri pukul 6.30 petang. Kami minta izin untuk pulang.

“Terima kasih ustaz. Moga lepas ni semua ok,” kata Sabrina.

“In Shaa Allah. Seperti yang saya katakan tadi, selagi kamu tak menyimpan barang orang lain, takkan ada apa-apa. Melainkan kamu ada menyembunyikan apa-apa. Selebihnya serahkan kepada Allah, Dia Maha Mengetahui segalanya.” Sahut Ustaz Alias sambil memandang Amran. Dan Amran hanya tunduk sambil mengangguk, seperti mengelak dari bertentang mata dengan Ustaz Alias. Segan agaknya.

Aku, Kamal dan Ustaz Alias meminta diri. Kami pulang dan sampai di rumah setelah azan maghrib berkumandang di surau berhampiran.

Selepas makan malam, macam biasa aku mengemas barang Arif untuk dibawa  ke rumah Makcik Rubiah esok hari. Setelah selesai mengemas, aku duduk sebelah Kamal yang sedang menonton tv sambil meriba Arif yang hampir lena.

“Abang rasa tak, apa yang saya rasa masa di rumah Rina tadi?” tanyaku.

“Manalah abang tahu awak rasa apa?” sahut Kamal acuh tak acuh tanpa memandang aku.

“Amran nampak lain macam. Dia tak seceria selalu. Terutama bila Ustaz Alias memandangnya, dia mesti akan pandang ke lain. Dan dia macam ada sembunyikan sesuatu,” kataku terus terang. Memang aku perasan perubahan Amran bila Ustaz Alias asyik bertanya samada mereka ada meyimpan apa-apa barangan milik orang lain di rumah tu.

“Hish awak ni. Makin hari makin pandai baca gerak geri orang ye. Kita tak tahu masalah orang.  Mungkin dia banyak fikir pasal projeknya di Johor. Itu yang dia tak dapat berikan perhatian masa Ustaz Alias datang tadi” sahut Kamal.

“Takdelah, mungkin perasaan saya je. Saja je tanya abang. Itupun nak marah,” kataku dan terus diam.

Kamal memang paling tak suka bila aku mula nak cakap pasal keburukan orang lain. Sebab tu susah aku nak bergosip dengan dia.

-Bersambung-