DENDAM

Bab 7

“Kenapa kamu cakap macam tu? Apa lagi yang kamu nak mak buktikan bahawa kamu memang anak mak?” mak aku tanya.

“Saya sedang belajar di sebuah universiti di Kuala Lumpur. Mak tahu Kuala Lumpur di mana?” aku tanya mak aku.

“Kalau kamu sedang belajar di sana, kenapa sekarang kamu berada di sini?” mak aku tanya aku balik.

“Saya sesat,” aku menjawab pendek.

“Kenapa sesat di sini? Kenapa tak sesat di sana?” mak aku tanya lagi.

“Tapi rumah saya dulu bukan macam ni, saya tinggal di rumah taman. Ada ramai jiran tetangga di sana.” Sahutku tanpa menjawab soalan mak aku tadi. Sebab aku tiada jawapan tersebut.

“Siapa nama jiran kamu tu?” Mak aku tanya.

“Ada Makcik Senah, Pak Mail, Kak Zura, ramai lagi,” sahutku cuba mengingat nama-nama jiran kat rumah mak aku.

“Jadi, siapa Suraya tu?” mak aku tanya lagi.

“Itu kawan saya,” sahutku.

“Macammana kawan kamu ada kat sini?” Mak aku tanya.

Aku diam. Psiko pula mak aku ni. Tapi aku yakin ada perkara yang tak betul.

“Mak, saya nak berjalan-jalan kat luar sekejap, boleh?” aku tanya, cuba mengalih perbualan.

“Tak boleh. Kamu baru je hilang. Selagi kita tak jumpa Pak Maliki, kamu jangan keluar dari rumah ni sendirian,” kata mak aku.

“Mak, ayah kerja apa?” aku tanya.

“Ayah kamu kan kerja di ladang.” Sahut mak aku.

“Pak Maliki tu siapa?” aku tanya lagi, cuba mengorek cerita tersirat. Mana tahu aku dapat jawapannya.

“Pak Maliki tu ketua kat dalam hutan ni. Dia berkenan dengan kamu untuk dijadikan menantunya. Menantu sulung.” Kata mak aku.

“Tapi saya belum nak berkahwin,” sahutku.

“Kamu tahu tak, semua anak gadis di kampung ni nak sangat berkahwin dengan anak Pak Maliki tu. Tapi kamu yang dah dapat, taknak pulak. Kamu sangat bertuah, ramai yang cemburukan kamu.” Mak aku tersenyum memandang aku sambil mengusap-ngusapa rambut aku.

Mula-mula aku mengelak, aku taknak dia sentuh aku. Tapi aku macam terdengar dia berbisik di telinga aku, dengan satu ucapan yang aku tak faham. Lepas tu aku rasa macam betullah apa yang dia cakap. Dan aku biarkan mak aku mengelus rambut aku.

Lama juga aku terleka dengan sentuhan mak aku. Sambil dia menyanyi satu lagu yang aku tak faham butirannya. Aku tak faham tapi nadanya seakan sayu dan sedih, namun ada bauan dendam seperti ada yang nak dibalas.

Aku pun tak sedar berapa lama aku kat situ dengan mak aku. Sedar-sedar ayah aku berdiri kat depan aku, dan mak aku pegang tangan aku. Kami bertiga sedang berdiri di hadapan rumah buluh mak aku. Nampak warna jingga di kaki langit, menandakan itu adalah waktu senja.

“Jom kita gerak sekarang,” kata ayah.

“Nak ke mana?” aku tanya.

“Kan mak dah cakap banyak kali, kita nak ke rumah Pak Maliki,” kata mak aku.

“Tapi saya taknak,” sahutku.

“Kita pergi sekejap ye nak. Sekejap je, mak janji,” kata mak aku sambil matanya memandang kepada ayah aku, wajahnya agak risau.

Aku pandang ayah aku. Dia tak cakap apa-apa, matanya hanya memandang ke hadapan. Serius.

“Dah, jom.” Mak aku tarik tangan aku, tergesa-gesa.

Aku tarik tangan aku semula, aku berkeras taknak mengikut.

“Kau nak ikut ke tak?” ayah aku bersuara tanpa pandang aku. Dia masih berdiri seperti tadi.

“Mira, kita pergi ye nak, Sekejap je,” Mak berbisik perlahan di telinga aku.

“Kalau saya tak pergi, apa akan jadi?” aku tekad melawan.

Ayah aku menoleh ke arah aku, matanya merah dan membesar. Telinganya seakan memanjang. Kepala ayah aku seakan kepala serigala. Aku terpaku sekejap.

Tiba-tiba pandangan aku gelap. Mak aku tutup mata aku dengan tangannya. Dia menarik aku untuk melangkah. Aku tak berdaya melawan. Aku dengar bunyi mendengus di tepi aku.

“Dah, dia akan ikut kita. Awak jalan dulu,” aku dengar mak aku bersuara.

“Auuwwwwwuuuuuuuuu!” Kedengaran bunyi anjing menyalak panjang. Mak aku dah tak tutup mata aku. Ayah aku berjalan di hadapan. Tapi aku nampak, saiz ayah aku agak tinggi berbanding yang aku tengok tadi.

Aku pandang keliling. Hutan tebal sama seperti keadaan yang aku tengok masa aku sampai ke rumah mak aku siang tadi. Aku tak nampak sesiapa. Cuma kedengaran bunyi suara anjing menyalak panjang. Tapi aku dapat rasakan ada bunyi tapak kaki lain selain dari tapak kaki aku, mak dan ayah aku. Seakan mengiringi kami di depan, sisi kiri kanan dan belakang. Tapi bila aku menoleh, tiada sesiapa selain kami bertiga.

Aku dongak ke langit. Nampak bulan penuh di celahan daun-daun pokok yang tinggi.

“Tak payah pandang sana sini. Pandang depan je,” kata mak. Aku diam tapi aku masih memandang keliling. Sesekali aku dengar bunyi merengus seperti haiwan sedang kemarahan, seperti menunggu masa untuk menerkam kami yang sedang kalut berjalan. Makin lama makin laju ayah aku berjalan di depan, membuatkan aku dan mak terpaksa berlari anak untuk supaya tak terpisah dari ayah.

Lama juga kami berjalan. Hampir setengah jam, kami meredah hutan tebal dengan ditemani pelbagai bunyi-bunyian yang pelik dikeliling kami. Dan setiap masa juga aku memandang ke langit, bagi memastikan bulan masih ada di sana, barulah aku rasa lega, itu meyakinkan aku bahawa aku masih berada di dunia nyata.

Akhirnya, kami sampai ke sebuah busut. Di atas busut itu terlihat seorang lelaki tua sedang duduk bersila, laksana sedang bertapa. Matanya terpejam rapat, nafasnya turun naik di dada, kedua telapak tangannya ditemukan sesama sendiri seperti sedang memohon daulat dari raja.

Ayah aku memberi isyarat supaya kami berhenti melangkah. Lalu kami bertiga berdiri tegak di hadapan lelaki tua tadi.

“Pak Maliki, kami mohon maaf di atas kejadian siang tadi. Maafkan anak kami yang merayau sendirian. Dia cuma mahu mencari ketenangan. Dan mujur tiada apa yang terjadi,” kata ayah sambil tunduk. Ayah dan mak langsung tak angkat kepala. Bila aku angkat kepala memandang lelaki tua itu, mak aku akan tolak kepala aku supaya aku ikut tunduk.

“Mujur aku hanya mendengar khabar dari rakyat hutan. Jadi, aku tak ambil berat. Andai aku bertembung dengannya dan melihatnya dengan mataku sendiri, mungkin dia sudah mejadi sesuatu yang tiada nilai,” kata lelaki tua tersebut, angkuh sungguh bicaranya.

“Kami mohon maaf. Dan kami bersedia untuk mengikut syarat yang Pak Maliki mahukan, jika itu bisa menebus silapnya anak kami,” kata ayah. Aku angkat kepala, rasa tak puas hati. Tapi mak tolak kepala aku.

Masa aku angkat kepala aku yang sedetik cuma tu, aku nampak, lelaki tua tu sebenarnya tak duduk di atas busut tu Ada sesuatu yang lain yang seakan menjalar dan menjadi alas tempat duduknya. Dan di atas kepala lelaki tua itu juga seperti ada sesuatu yang bergerak. Keadaan gelap dan masa yang terlalu pendek untuk aku melihat dengan jelas.

“Aku mahu mereka berkahwin secepat mungkin.” Sahut Pak Maliki.

“Boleh Pak Maliki,” ayah aku menjawab laju.

“Apa ni ayah? Kalau saya adalah orang yang nak berkahwin itu, saya tak mahu. Dan saya takkan berkahwin dengan sesiapa tanpa kemahuan saya sendiri.” Aku bangun dan menjerit. Mata aku terus memandang ke arah lelaki tua tersebut.

Lelaki tua itu memandang aku. Kali ni pandangan aku lebih jelas. Di bawah tempat duduk lelaki tua itu, ada ular besar yang menggulungkan dirinya. Besar sangat, aku rasa badannya memerlukan pelukan tiga orang lelaki. Dan di atas kepalanya juga ada ular-ular kecil yang bergumpal-gumpal, mungkin belasan ekor. Mata lelaki tua itu memandang aku dengan tajam. Seram sungguh wajahnya.

Mak aku cuba tarik tangan aku. Tapi aku menolak. Aku beranikan diri menghadap lelaki tua yang hodoh itu. Mak dan ayah aku masih tunduk dan menggeletar. Aku dapat dengar hembusan nafas yang berat oleh ayah dan mak aku.

“Kamu mahu melawan aku?” lelaki tua itu bersuara kuat. Seluruh pokok yang berdekatan bergoyang kuat seakan ditiup angin putting beliung.  Aku pun hampir bergerak kerana angin yang meniup terlalu kuat.

“Maafkan anak kami Pak Maliki. Mungkin kehilangannya siang tadi, membuatkan fikirannya agak bercelaru dan keliru,” kata ayah, suaranya menggigil.

“Sebab itu anak gadis tak boleh keluar dari rumahnya. Aku yakin, dia dah masuk ke dunia satu lagi. Dan dia dah terpengaruh di sana,” kata lelaki tua itu.

“Maafkan kami sekali lagi Pak Maliki. Kami akan perbaiki kelemahan ini. Dan kami akan ikut apa sahaja yang Pak Maliki mahukan asalkan kesalahan anak kami dimaafkan,” kata ayah lagi, masih menggigil.

“Baik, kerana anak aku sudah terlanjur menyukai anak kamu, aku sudi memberi peluang.” Kata Pak Maliki.

Mak dan pegang aku kuat dan menolak aku hingga akku tersungkur melutut di tanah. Mak tekan kepala aku supaya aku tunduk kepada Pak Maliki. Aku cuba meronta tapi pegangan mak di belakang leher aku, seakan kuku helang yang sedang mencengkam mangsa. Aku tak mampu bergerak.

“Terima kasih Pak Maliki kerana masih berbaik hati dan sudi memaafkan kami. Seperti yang Pak Maliki mahukan, saya setuju untuk mempercepatkan perkahwinan ini,” kata ayah. Aku tak berdaya meronta. Cengkaman kuku helang mak di belakang leher aku makin kuat jika aku bergerak walau seinci.

– Bersambung –

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s