DENDAM

Bab 6

“Tak tidur?” mak aku tanya. Azimah tak menyahut, tapi mukanya agak berubah, seperti risaukan sesuatu. Tunduk memandang lantai.

“Mak, dah masuk waktu zohor ke? Mira tak dengar bunyi azan pun. Ada masjid ke dalam hutan ni?” aku tanya.

“Kamu rehatlah dulu. Penat kan berjalan bawa diri,” kata mak aku, tak menjawab soalan aku.

“Lepas solat, Mira tidurlah. Sekarang Mira nak solat dulu. Telekung dan sejadah kat mana ye?” aku tanya.

Azimah pandang aku dengan wajah cuak. Mak aku pula tenung aku macam aku dah buat salah, merah padam mukanya.

“Kenapa mak?” aku tanya.

“Dah, sekarang kamu tidur dulu. Nanti bangun dari tidur, kita berbual lagi. Zima, kamu pergi rehat dekat luar. Jangan ganggu Kak Mira,” kata mak aku kepada Azimah. Azimah terus bangun, jalan menunduk ke lantai.

“Mak, Mira nak solat. Dah masuk waktu Zohor ni,” aku bersuara lagi. Mak aku tak menyahut, terus tutup pintu bilik.

Aku bangun dari tempat duduk terus melangkah ke pintu. Cuba nak buka pintu tapi tak boleh. Aku tak boleh pegang pintu buluh tu. Lama juga aku mencuba, dekat setengah jam, aku mula resah. Aku yakin ada sesuatu yang tak kena.

“Mak! Azimah! Ayah! Farid! Firman!” aku panggil semua ahli keluarga aku. Tiada sahutan.

Aku cuba bertenang. Aku duduk semula di atas katil kayu tadi. Aku istighfar. Aku pejamkan mata, aku baca surah-surah yang aku tahu. Al-Fatihah 4 Qul, seribu dinar, Qursi, semua yang aku ingat. Aku yakin, aku berada di tempat yang salah.

“Mira?” sayup je aku dengar suara orang memanggil aku. Mula-mula suara seorang, lepas tu dengar suara lain, dan ramai suara yang memanggil aku, Cuma semuanya sayup je. Macam suara dibawa angin.

“Zulaikha?” aku panggil nama tu sebab dalam banyak-banyak suara tu, aku macam dapat mengecam suara Zulaikha.

“Mira?” aku dengar lagi suara tu. Aku bangun dan memandang kelilling.

“Zulaikha, kau kat mana?” aku bercakap sendirian. Aku yakin aku dengar suara Zulaikha.

Tiba-tiba pintu buluh terbuka. Ayah aku berdiri di muka pintu sambil tersenyum.

“Kenapa nampak resah ni?” ayah aku bertanya.

“Mira tak boleh bukak pintu ni tadi.” Aku menjawab. Mata aku melilau melihat keluar bilik. Keadaannya tak sama seperti masa aku masuk tadi. Ada beberapa pintu dan bilik lagi di luar sana sedangkan tadi sebelum aku masuk ke bilik ni, kalau tak salah aku, ada satu pintu je, cuma aku perlu masuk beberapa pintu untuk sampai ke bilik tu tapi tak nampak banyak pintu.

“Kamu salah buka kot, Jom keluar, Ada orang nak jumpa kamu,” kata ayah aku, masih senyum. Aku akur, terus melangkah keluar mengikut langkah ayah aku.

Seperti tadi, aku melalui beberapa pintu. Dari satu pintu, masuk ke satu pintu lain. Aku kira, lebih kurang tujuh pintu yang aku perlu lalui sebelum sampai ke pintu terakhir yang terus sampai ke tempat aku makan tadi.

“Suraya kat depan tu. Dia nak jumpa kamu, nak ajak sembang kot,” mak aku menegur, sambil senyum. “Suraya?” aku tekan kepala aku yang makin pening.

“Kawan rapat kamu tu la, tak ingat juga?” mak aku tanya.

Aku tak jawab. Memanglah aku ingat kat Suraya, tapi Suraya kat rumah mak aku. Aku kan dekat kampus. Eh! Aku sekarang dekat rumah mak aku la. Tapi …. Arggghhhhhhh!

“Menung apa lagi? Pergilah jumpa dia kat depan tu,” kata ayah aku sambil menunjukkan ke arah satu ruang masuk tanpa pintu. Aku melangkah perlahan ke arah ruang tersebut. Aku nampak seorang gadis sedang duduk di atas pangkin buluh sambil menghayun-hayunkan kakinya.

“Su?” aku panggil gadis yang sememangnya aku kenal rapat sejak dari kecil tu.

Suraya kawan kampung aku. Aku dengan dia memang macam belangkas. Kami rapat sangat. Kedua-dua keluarga kami pun tahu. Kadang-kadang aku tidur kat rumah keluarga Suraya, kadang-kadang Suraya tidur kat rumah keluarga aku.

“Ha, Mira. Kau dah ok. Mak aku kata, kau hilang sejak semalam. Merajuk dengan mak kau kata mereka. Kecoh orang di hutan cari kau. Tadi masa aku balik dari sungai, mak aku kata, mak kau dah jumpa kau kat air terjun sana. Tu yang aku datang sini nak jumpa kau,” kata Suraya.

“Kau kenal aku?” aku tanya.

“Kau ni dah kenapa Mira? Takkanlah aku tak kenal kau. Ke kau yang dah lupa aku? Baru hilang sehari, kau dah lupa aku? Kau pergi ke mana sebenarnya? Semalaman hilang,” Suraya tanya aku.

“Tempat apa ni?” aku tanya Suraya.

“Ini kan rumah kau?” Suraya menjawab.

“Tak, rumah aku kat taman. Bukan dalam hutan,” entah berapa kali aku ucapkan ayat ni.

“Kau merepek apa ni Mira? Inilah rumah kau. Taman mana pula ni?” Suraya tanya aku.

“Aku rasa ada sesuatu yang tak kena di sini. Aku bukan di tempat aku. Ini tempat lain,” kataku kepada Suraya.

“Apa yang tak kena? Kalau ini bukan rumah kau, kat mana pula rumah kau?” Suraya tanya aku.

“Rumah aku bukan macam ni. Kalau kau betul-betul kenal aku, mesti kau tahu aku sedang belajar kat universiti di KL kan?” aku tanya Suraya.

“KL? Kat mana tu?” Suraya tanya aku.

“Bandar besar. Bukan dalam hutan macam ni,” sahutku.

“Ooo…. Itu tempatnya di mana malamnya cerah, siangnya gelap. Betul?” Suraya tanya aku.

“Ha???” aku tercengang mendengar ayat Suraya.

“Betul kan? Kamu dari sana,” Suraya tanya aku.

“Dari mana?” aku pula yang bertanya.

“Macam yang aku kata tadi, di sana yang malamnya cerah, siangnya gelap,” Suraya mengulangi ayatnya tadi. Aku tunduk memikirkan apa yang dikatakan oleh Suraya.

“Rancak berbual. Mari minum air, makcik dah buatkan kopi dengan nira kelapa,” tiba-tiba mak aku muncul dari entah mana. Aku pun terkejut. Tak dengar bunyi apapun, tiba-tiba muncul. Tapi Suraya senyum je. Cuma, pada aku, senyum tu tak betul. Ada sesuatu yang lain.

Mak aku letakkan dua cawan besi di depan kami. Aku kerutkan dahi, ada pulak cawan besi dalam rumah tu. Tadi aku minum guna tempurung kelapa je. Suraya memandang cawan tersebut dengan wajah seakan resah.

“Minumlah, jangan tengok je,” mak aku menegur Suraya. Suraya senyum kelat.

“Saya sekejap je ni makcik. Nak tengok Mira je, sebab risau dia hilang semalam. Lagipun orang di hutan semua tahu, saya dan Mira rapat. Mereka memang pelik kalau saya tak tahu ke mana Mira hilang,” kata Suraya, tunduk. Tak pandang aku atau mak aku.

“Takpe. Dah jumpa dah ni. Ok dah,” mak aku menjawab sambil tersenyum memandang Suraya yang tunduk memandang lantai tanah.

“Saya balik dulu ye makcik,” tiba-tiba Suraya minta diri nak balik.

“Eh, tak minum lagi ni. Minum la dulu,” kata mak aku.

“Takpelah makcik. Lain kali saya datang lagi,” kata Suraya dan terus berlalu pergi.

Mak aku memandang setiap langkah Suraya hingga susuk tubuh Suraya hilang di sebalik pintu rumah. Aku bangun dan cuba menggapai pintu tu sebelum tertutup. Tapi aku masih seperti tadi, aku tak boleh memegang pintu tersebut. Seperti pintu itu adalah satu bayangan.

“Mari kita minum Mira,” kata mak aku sambil memberi aku cawan besi yang berisi air kopi. Sedap bau kopi tu, asap nipis masih kelihatan.

Aku duduk. Cuba bertenang. Aku minum kopi yang mak aku hulurkan. Dan beberapa keping biskut yang juga mak aku hulurkan kepada aku.

“Mak, boleh saya tanya sikit?” aku beranikan diri bertanya.

“Apa dia Mira?” Mak aku memandang tepat ke wajah aku. Jauh ke dalam mata tenungannya. Buatkan aku rasa tak selesa. Sedangkan aku tak pernah rasa begitu dengan mak aku walaupun mak aku memang garang macam singa.

“Mira kat mana sekarang ni? Mira tak rasa yang Mira berada di tempat yang betul,” kataku perlahan.

“Kenapa pula Mira rasa macam tu? Ini kan rumah Mira,” kata mak aku.

“Tak, macam ada sesuatu yang lain kat sini,” sahutku.

“Perasaan Mira je tu. Mungkin ada sesuatu yang dah ganggu Mira masa Mira hilang.” Mak aku menjawab.

“Mira belum solat lagi ni mak. Mak dah solat? Zohor, Asar, rasanya dah nak maghrib pun. Ayah tak pergi ke masjid ke?” sahutku sebab aku rasa macam dah lama aku berada di dalam rumah ni.

“Mak tak tahu apa dah jadi dengan kamu. Tapi ada sesuatu yang dah mengganggu kamu.” Sahut mak aku.

Ayah aku muncul dari arah belakang mak aku. “Minum apa tu?” ayah aku bertanya.

“Jadi ke kita ke rumah Pak Maliki malam ni?” mak aku tanya ayah aku.

“Jadi, Pak Maliki pun dah tanya saya tadi. Lepas matahari terbenam, kita terus ke rumahnya,” ayah aku menyahut. Mak aku anggukkan kepala.

“Malam nanti kita ke rumah Pak Maliki ye. Kita perlu minta maaf darinya sebab kamu keluar dari rumah sendirian. Tarikh perkahwinan kamu dengan Rafi tak lama lagi. Sebab satu kampung dah tahu kamu hilang, jadi kita lah yang kena pergi minta maaf darinya.” Kata mak aku.

“Saya rasa betul-betul saya dah salah rumah ni. Mak dan ayah pun salah anak ni. Kita bukan anak beranak. Betul-betul ada kesilapan kat sini,” sahutku. Kali ni aku betul-betul yakin, aku bukan anak mereka, aku bukan dari keluarga ni.

Mak dan ayah aku saling berpandangan. Ayah aku buat isyarat mata kepada mak aku. Mak aku angguk seakan faham dengan isyarat tu. Aku pula makin keliru. Mereka memang saling tak beza dengan mak dan ayah aku. Sama sangat sama. Kalau tak sebab keadaan rumah tu, memang aku tak syak apa-apa kepada mereka berdua.

– Bersambung –

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s