DENDAM

Bab 5

Aku berhenti melangkah. Aku pandang ke belakang, hanya tanah lapang dan hutan belukar.

“Kenapa Mira?” mak aku tanya.

“Macam ada orang panggil nama Mira,” aku bersuara.

“Suara angin je tu.” Kata mak aku sambil sama-sama melihat keluar, seperti sama-sama mencari suara yang aku katakan.

“Kak, jom makan. Nasi dah sejuk,” aku dengar suara Farid pula memanggil. Bulat mata aku melihat Farid, adik yang paling rapat dengan aku. Memang dia.

Kali ini aku dah berserah, aku letih berfikir. Aku ikut mak aku masuk ke dalam rumah. Mak aku terus bawa aku ke dapur. Ayah, Azimah, Firman dan Farid sedang duduk di atas tikar mengkuang yang dibentang di atas lantai. Sekali lagi aku kerutkan dahi. Langkah aku terhenti.

“Sekarang kenapa pula?” ayah aku tanya bila melihat aku hentikan langkah.

“Mana meja makan?” aku tanya.

“Meja makan apa kak? Selama hari ni, tak pernah pun akak tanya pasal meja makan. Semua orang kat kawasan ni, makan duduk di lantai. Tak pernah pula Firman tengok rumah kawan-kawan Firman, walau yang kaya dari kita pun, makan kat meja makan. Akak dah kenapa?” Adik aku Firman membebel. Memang dia yang paling selalu gaduh dengan aku.

“Baru hilang setengah hari, dah lupa rumah sendiri?” ayah aku tanya sambil mencelup tangannya ke dalam satu mangkuk tempurung yang diisi air untuk membasahkan tangannya. Setelah ayah aku berbuat demikian, ayah menyerahkan mangkuk tempurung itu kepada Farid, Farid pula mencelup tangannya ke dalam air di mangkuk tempurung tersebut. Begitulah seterusnya yang dilakukan oleh Firman dan Azimah.

Selepas Azimah basuh tangan, dia serahkan mangkuk tempurung tersebut kepada aku. Aku menyambutnya. Aku jenguk ke dalam mangkuk tempurung tu. Nampak air dan bayangan wajah aku. Sedangkan dalam tempurung tu gelap, macammana boleh nampak bayangan wajah aku sendiri?

Mak aku muncul dari arah satu pintu, aku rasa itu pintu ke dapur memasak kot, membawa satu mangkuk berisi sup lalu diletakkan di hadapan aku.

“Nah, mak dah buatkan sup ayam kampung kegemaran kamu. Jangan merajuk lagi,” mak aku pandang aku sambil senyum. Aku makin keliru. Sejak bila aku suka makan sup ayam kampung ni?

“Kenapa termenung lagi? Makanlah,” kata mak aku. Aku pandang ayah dan adik-adik aku, semua sedang makan dengan berselera. Aku pandang juadah hidangan. Semuanya masakan kampung. Gulai rebus pucuk paku, sambal cili ketuk, ikan sepat goreng dan sup yang mak aku kata sup ayam kampung tadi. Sedap. Aku pula lapar. Maka, aku buat pilihan untuk makan dulu. Apa-apa hal, aku fikir kemudian.

Makanannya sedap, sama macam masakan mak aku. Cuma cara masakan tu, juadahnya tak sama macam yang selalu mak aku buat. Tapi lantaklah kan, asal perut kenyang.

Lepas makan, aku angkat pinggan. Terpusing-pusing aku cari sinki kat mana.

“Dah lupa kat mana dapur basuh pinggan ke pulak?” Farid tanya aku. Entahlah tanya ke perli. Aku tak menyahut, hanya memandang dia.

“Farid, kenapa cakap macam tu kat kakak. Bawa kakak ke tempat basuh pinggan. Kamu ni, kan kakak tu baru balik, belum segar lagi ingatan dia. Kamulah yang kena cuba pulangkan semula ingatan dia,” ayah aku menegur.

Farid tak menyahut. Dia terus melangkah ke pintu di mana mak aku masuk sambil membawa sup ayam kampung tadi. Aku mengikut dari belakang.

Kami masuk ke satu ruang kecil, dan ada satu pintu di situ. Farid menolak daun pintu tu dan nampak lagi satu pintu. Begitulah seterusnya hingga kami berjumpa pintu ke lima, barulah aku nampak luar rumah. Hutan sama seperti masa aku nak masuk rumah tadi. Farid terus melangkah keluar, menghala ke satu arah. Aku masih mengikut, walau hati makin ragu-ragu.

Sampai di satu tempat, ada satu lubang kecil, Farid meletakkan pinggannya ke atas tanah. Lalu mengambil sesuatu yang kelihatan seperti tempurung kelapa yang agak besar. Aku pun tak pasti samada betul ke itu tempurung kelapa atau alat lain. Ada tali diikat pada tempurung besar tersebut. Lalu Farid mencampakkan tempurung besar itu ke dalam lubang kecil tadi. Aku menjenguk, telaga rupanya.

“Takde sinki ke?” aku tanya.

“Sinki? Apa tu?” Farid tanya aku, dia pula kerutkan dahi.

“Tempat orang basuh pinggan le,” aku jawab.

“Ni la tempat basuh pinggan. Akak tunggu kejap, Farid angkat air dulu,” kata Farid sambil menarik tempurung tadi naik ke atas. Sebaik sahaja tempurung tadi ditarik keluar dari telaga, Farid menghulurkannya kepada aku. Aku terpinga-pinga. Dia suruh aku buat apa?

“Basuhlah pinggan tu,” Farid menyuruh.

“Mana span dan sabun cuci pinggan?” aku tanya lagi.

“Kenapa akak tanya benda-benda pelik ni?” Farid tanya aku.

“Apa yang pelik? Nak basuh pinggan, kena la ada span dan sabun. Kalau tak, macammana nak cuci?” Aku tanya lagi.

“Tak, akak ni sesat ke mana? Macam semua dah lupa tentang rumah kita ni. Tanya benda yang Farid tak faham,” Farid tanya aku sambil mencampakkan sesuatu seperti sabut kelapa.

“Farid, kau dah lama tinggal kat sini? Kau kenal akak ke?” aku tanya Farid.

“Ha? Dari lahir memang tinggal kat sini. Akak kan kakak Farid, mestilah kenal. Ke akak yang tak kenal Farid?” Farid tanya lagi.

“Mak dan ayah tu, diorang memang tinggal sini ke? Tadi mak jumpa akak di air terjun sana. Mak kata akak merajuk. Tapi akak tak ingat pun pasal merajuk semua ni. Sebelum ni, kita tak tinggal sini. Kita tinggal di rumah taman. Bukan rumah dalam hutan macam ni,” aku bertanya. Mana tahu boleh dapat jalan keluar.

“Apa sembangnya tu? Cepat, panas kat luar ni.” Aku dengar suara mak aku memanggil.

Farid cepat-cepat membasuh pinggannya. Dia pun memberi isyarat menyuruh aku basuh pinggan aku cepat-cepat. Dia juga bagi isyarat kat aku, suruh aku diam, jangan cakap apa-apa kat mak.

Aku akur, tuang air dari tempurung tadi ke pinggan, dan menggosok pinggan makan aku menggunakan sabut kelapa yang Farid lemparkan kepada aku tadi. Lepas tu terus ikut langkah Farid masuk ke dalam rumah. Mak masih berdiri di muka pintu menunggu kami masuk ke dalam rumah, memandang kami dengan senyum di bibir tapi mata yang melirik seram.

“Pergilah rehat dulu kat bilik kamu. Kamu mesti penat kan?” Mak tersenyum memandang aku. Aku pandang keliling.

“Mana bilik Mira?” aku tanya.

“Azimah, pergi bawa Kak Mira masuk bilik dia,” kata mak memberi arahan kepada Azimah. Azimah bangun lalu memegang tangan aku. “Jom kak,” Dan aku mengikut sahaja.

Aku tak tahu susunan rumah tu. Dalam pintu ada pintu. Aku tak tahu, aku macam dah masuk ke dalam sebuah gua, masuk ke bahagian paling dalam. Walaupun aku nampak pokok di luar sana.

Azimah menolak satu pintu. Lalu masuk ke dalamnya. Aku pun ikut sekali. Ada dua katil di dalam bilik tu. Katil tu dibuat dari dahan-dahan kayu yang dipotong sama panjang, lalu disusun menjadi katil. Di atas katil, tersusun daun-daun yang mungkin digunakan sebagai pelapik tidur kot.

Aku makin rasa nak gila. Aku pandang Azimah.

“Ini katil?” aku tanya.

“Haah, itu katil akak, ini katil Zima,’ Azimah menjawab lalu berbaring di atas katil yang dikatakan miliknya.

“Rehatlah kak. Akak mesti penat kan. Merajuk berjalan dalam hutan tebal. Nasib baik tak jumpa Pak Maliki. Kalau jumpa dia, habislah kak.” Kata Azimah.

“Pak Maliki tu siapa?” aku tanya.

“Dia ketua kat kampung kita ni. Kan dia nak kahwinkan akak dengan anak dia. Pantang kan, pengantin berjalan sendirian di dalam hutan waktu siang hari. Kalau dia jumpa akak, teruklah akak kena denda duduk dalam gua yang penuh ular,” kata-kata Azimah membuatkan aku makin yakin bahawa itu bukan tempat aku. Bila masa pula aku nak kahwin ni?

“Tapi akak kan masih belajar lagi. Bila masa pula akak nak kahwin. Dan lagi satu, kenapa akak rasa lain macam ha? Rumah kita dulu bukan macam ni kan? Kamu tak pergi sekolah ke?” aku tanya Azimah. Sebab Azimah masih berada di tingkatan 1. Firman di tingkatan 4 dan Farid sedang tunggu keputusan SPM.

“Sekolah? Apa tu?” Azimah tanya aku.

“Sekolah pun kau tak tahu? Ni aku yang lupa ingatan ke, korang kat sini yang dah kena sampuk?” aku tanya lagi.

“Tak, Zima tak faham akak cakap apa. Sekolah tu apa?” Azimah tanya aku lagi. Aku garu kepala yang tak berapa nak gatal.

“Sekolah. Tempat kita belajar macam-macam, cari ilmu. Ada cikgu yang bagi tunjuk ajar semua tu,” jawabku walau rasa makin tak selesa.

“Oooo…. Maksud akak, belajar memanah dan naik kuda ye? Itu kan untuk lelaki sahaja. Perempuan duduk rumah tolong mak, belajar memasak dengan mak je. Takde Cikgu, Tapi kan kak, Zima teringin nak belajar memanah, macam best je,” sahut Azimah, menambahkan pening kepala aku.

“Kau dah lama tinggal sini?” aku tanya.

“Dari lahir la. Akak pun sama. Kenapa akak tanya?” Azimah tanya aku semula.

“Kau ingat tak, dulu kita main badminton kat dewan tepi masjid. Tiap petang ahad kita main kat sana. Ada sekali tu, ayah datang bawa rotan sebab dah maghrib kita belum balik,” aku mengimbau kenangan. Nak pastikan Azimah di depan aku tu, betul-betul adik aku atau tak. Sebab aku tahu, dia takkan lupa kejadian tu. Ayah kena langgar kereta sebab kejar kami. Azimah menangis macam orang gila. Minta ampun minta maaf. Kemalangan tak teruk pun. Cuma melecet sikit je, kereta tu pun tak laju, maklumlah kawasan kampung.

Azimah mengerutkan dahinya sambil pandang aku. “Badminton? Apa tu?” Azimah tanya aku.

Belum sempat aku jawab, daun pintu buluh terbuka. Mak aku menjenguk.

– Bersambung –

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s