DENDAM

Bab 4

“Kita turun ke bawah bangunan ni dulu.” Kataku sambil memusingkan badan. Sebaik kami bertiga berpusing, rupanya di belakang kami dah takde tangga. Kami seperti berada di atas seketul batu besar yang sedang terapung. Dada aku makin kuat debarannya.

“Weh! Kita kat mana ni? Apa dah jadi? Mana semua orang?” aku makin panik.

Zarul dan Aiman dah tiada suara. Aku pandang keliling, Zarul dan Aiman dah terpisah dari aku. Mereka berada di atas batu apungan yang lain. Dah macam berada di dimensi lain pula. Tapi dengan perasaan yang sungguh menakutkan.

“Zarul! Aiman! Tolong aku ni,” aku jerit.

Tak kedengaran dah suara Zarul dan Aiman. Dan mereka semakin hilang di dalam kegelapan. Aku dah rasa nak menangis. Kenapa semua ni terjadi tiba-tiba? Apa salah aku? Aku dah buat sesiapa marahkan aku ke? Atau ada orang nak prank aku. Kalau betul la ada orang nak prank aku macam ni, dalam waktu begini, sumpah lillah, manusia itu takkan aku kawan sampai mati.

Aku pandang keliling, masih gelap gelita. Aku panggil nama-nama yang aku kenal, tiada sahutan. Hanya bunyi angin berlalu perlahan. Aku duduk memeluk lutut. Mukaku tekupkan dicelah dua lutut. Istighfar pun dah tunggang langgang rasanya. Suasana sunyi, hening sehening-heningnya.

“Mira?” tiba-tiba terdengar satu suara. Aku angkat muka. Suasana cerah macam siang. Aku pandang keliling, aku bukan lagi berada di atas batu besar yang terapung. Aku berada di satu padang hijau yang luas. Tapi hanya aku seorang di situ.

“Hellooo! Ada sesiapa di sini?” aku memanggil. Tiada sahutan.

Aku bangun dan berdiri sekejap. Lihat keliling. Tak jauh dari padang hijau itu, kelihatan sebuah hutan. Nak taknak, aku terpaksa ikhtiar untuk mencari penghuni lain di sini. Di dunia yang aku tak tahu kat mana. Harap-harap aku masih di dunia aku, bukan di dunia dimensi lain.

Semakin aku menghampiri hutan tersebut, hati aku makin berdebar, tak tahu kenapa. Sampailah aku masuk ke dalam hutan tersebut. Cantik hutan tu, tak seperti hutan yang selalu aku tengok, yang mana dah cacat ditarah manusia.

Aku beranikan diri untuk melangkah masuk ke dalam hutan tu. Makin aku masuk ke dalam hutan tu, hati aku makin tertarik dan terpesona dengan kecantikan luar biasa hutan tersebut. Ada bunga-bungaan berwarna warni, daunan hijau yang sejuk mata memandang.

Aku terdengar bunyi air terjun. Aku cuba mengikuti bunyi itu hinggalah aku berjumpa dengan air terjun yang amat cantik. Aku tunduk di kaki air terjun, menyentuh air yang sejuk dan nyaman. Aku seperti terlupa kepada ketakutan aku tadi. Suasana di situ amat menenangkan aku.

“Aku ni dekat mana? Macammana aku boleh sampai sini sedangkan aku tadi berada di hostel universiti. Mana kawan-kawan aku semua? Prof Mustafa, Ustaz Alias, Aiman, Zarul, kawan serumah aku. Mana mereka semua? Aku ni kat mana?” aku berbisik sendirian.

Lama aku duduk termenung di situ. Sampailah aku terdengar suara ketawa riang sekumpulan perempuan, aku rasa. Aku berpusing keliling mencari suara itu. Tiada sesiapa.

“Ada sesiapa di sini ke?” aku memanggil lagi. Tiada sahutan.

“Mira?” aku dengar suara orang memanggil nama aku tapi aku tak cam suara siapa tu.

“Siapa panggil saya?” aku bersuara lagi sambil pandang keliling, kiri kanan, atas dan bawah. Aku masih tak nampak sesiapa. Hanya air terjun yang memukau dan pemandangan hutan yang menghijau.

“Hihihihi…” aku dengar lagi suara seperti sekumpulan gadis ketawa perlahan.

Aku pandang keliling, masih tiada sesiapa. Aku tundukkan badan aku. Aku tengok jam tangan, jam aku masih pukul 3 seperti yang aku lihat sebelum aku keluar dari rumah tadi. Aku ketuk-ketuk jam tangan aku. Tak bergerak dah jarum saatnya. Masa ni la nak habis bateri pun. Dah la aku keluar rumah sehelai sepinggang je tadi. Kalut punya pasal.

Tapi tadi aku malam, gelap. Kenapa sekarang aku berada di tempat cerah, siang. Takkanlah masa berputar begitu cepat, hingga siang dan malam berganti sekelip mata.

“Mira?” aku dengar suara seseorang, menyebut nama aku. Suara tu amat aku kenali. Aku menoleh laju. Seorang wanita berdiri di atas batu besar di belakang aku, sambil memegang sekeping daun keladi menutup kepalanya.

Aku sapu mataku berulang kali.

“Mak?” aku panggil perlahan. Mak aku senyum je memandang aku.

“Kamu buat apa kat sini? Jom balik makan nasi. Ayah kamu dah tunggu lama tu.” Mak aku menggamit aku, tapi dengan senyum manis. Selalunya mak aku kalau memanggil aku, suaranya takdelah selunak itu. Macam terpukau pula aku tengok mak aku. Wajahnya pun bersih, sejuk je mata melihatnya.

“Mira, kamu termenung apa lagi? Jom balik ye nak. Kita makan sama-sama.” Mak aku masih menggamit aku. Lembutnya suara mak aku, tak macam selalu.

Aku bangun dari tempat dudukku tadi. Aku sapu mata aku berkali-kali, untuk pastikan itu mak aku. Entahlah kenapa, mulut aku macam terkunci, tak boleh nak cakap apa-apa. Hanya terpaku.

Aku melangkah perlahan menuju ke arah mak aku. Aku cubit pipi, sakit. Maknanya aku tak bermimpi. Sampai je kat mak aku, sekali lagi aku sapu mata aku, aku buka mata aku luas seluasnya.

“Dah kenapa kamu pandang mak macam tu? Dari pagi mak cari kamu, panggil kamu. Tapi mak tak jumpa kamu. Dah, jom balik. Mak dah siap masak dah. Adik-adik dah lapar. Sekejap lagi ayah kamu balik, boleh kita makan sama-sama.” Kata mak aku sambil pegang tangan aku.

“Mak?” aku panggil sekali lagi. Mak aku menoleh ke arah aku.

“Iya, Mira. Kenapa?” Mak aku tanya aku, pandang aku dengan wajah yang lembut dan tenang sekali. Tapi entah kenapa hati aku yang tak tenang.

“Kita kat mana ni? Macammana mak ada kat sini?” aku tanya.

“Laaaa, sini kan tempat tinggal kita. Rumah kita tak jauh dari sini. Kamu selalu bermain air terjun dengan adik-adik kamu kat sini,” mak aku menjawab sambil senyum.

“Mak, kita kan tinggal kat Kedah. Sekarang ni, Mira sesat dari hostel. Hostel Mira kat Kuala Lumpur. Macammana mak kata kita tinggal kat sini. Dan rumah kita bukan dalam hutan macam ni. Rumah kita kat dalam taman,” sahutku.

“Aduhai la Mira. Kamu ni sihat ke tak ni? Dah macam orang lain pulak. Kamu kan anak mak. Dah dah, jangan pening. Takpe, jom kita balik dulu. Nanti kat rumah kita sembang.” Kata mak aku lagi, sambil melangkah. Tangan aku terus dipautnya dan dibawa bersamanya. Aku menurut. Nak cakap banyak pun, aku tak nampak orang lain kat situ selain mak aku. Kalau aku tak ikut mak aku ni, nanti kalau aku tak jumpa sesiapa lagi, susah juga aku. Baik aku ikut je ‘mak’ aku ni. Walaupun hati aku tak begitu mengizinkan aku mengikutnya.

Kami berjalan meredah hutan. Hutan agak tebal. Tapi setiap kali kami melalui Kawasan tersebut, semak samun seakan bergerak ke tepi memberi laluan kepada kami. Dan bila aku toleh ke belakang, semak samun tu tak seperti telah dilalui orang, ia kekal segar dan tegak seperti kami tidak melanggarnya langsung. Berkerut dahi aku cuba memikirkan keadaan tu. Aku pandang mak aku, dia masih berjalan di hadapan aku sambil memegang erat tangan aku.

Aku mendongak ke langit, masih nampak matahari dan awan. Aku hentak kaki ke tanah, masih terdengar bunyi hentakan kaki aku. Aku pandang keliling, hutan. Tiada rumah atau hidupan lain, apatah lagi kenderaan.

Lebih kurang lima minit berjalan, kami sampai di satu Kawasan lapang. Seakan padang bola sepak. Tapi lebih besar dari itu. Lebih kurang 4 ekar tanah luasnya.

“Dah sampai rumah kita.” Mak aku bersuara setelah berdiam diri sejak berjumpa dengan aku di air terjun tadi. Aku pandang keliling hanya tanah rata. Mana rumahnya? Tapi aku ambil keputusan untuk mengikut dan memerhati. Mak aku terus menarik tangan aku, berjalan merentasi Kawasan lapang tersebut. Hingga sampai di penghujung Kawasan lapang itu, ada sebuah rumah, berdinding buluh dan berbumbung daunan kering. Manakala kepingan pintu dan tingkap kelihatan dibuat dari buluh dan daun nipah yang dianyam cantik.

Mak aku menolak daun pintu, lalu pintu rumah tersebut terbuka luas. Keadaan dalam rumah tu luas, tak seperti yang aku fikirkan ketika melihatnya dari luar. Aku berhenti di muka pintu. Mak aku ikut terhenti langkahnya sedangkan dia telah masuk selangkah ke dalam rumah.

“Kenapa Mira?” Mak aku menoleh dan pandang aku.

“Mak, ini bukan rumah kita,” aku menyahut.

“Inilah rumah kita. Mana ada rumah lain,” mak aku menyahut.

“Tak tak tak… ini silap ni. Bukan, ini bukan rumah kita.” Kataku mengundur setapak ke belakang. Mak aku melepaskan tangan aku.

“Ha, jumpa kat mana? Kenapa tak masuk tu?” aku dengar suara yang amat aku kenali.

“Jumpa kat air terjun sana, terpinga-pinga macam orang kebingungan. Nampak saya pun macam nampak hantu. Jenuh memujuk nak ajak balik,” mak aku berkata kepada lelaki tersebut. Aku menjenguk, mencari empunya suara tadi.

Ayah aku!

“Mira, kenapa tak masuk?” ayah aku bertanya.

“Ayah?” aku panggil dengan dahi berkerut.

“Ha, ayah kamu la ni. Kenapa? Kamu ada ayah lain?” ayah aku tanya sambil senyum.

“Kak Mira, jom la cepat. Orang dah lapar ni. Mak tu asyik suruh kami tunggu Kak Mira juga.” Aku dengar suara Azimah, adik aku yang bongsu. Dan aku terus jenguk kepala mencari suara itu. Betul, Azimah adik aku. Aku tampar pipi aku berkali-kali, sakit. Mak aku pegang tangan aku.

“Kenapa dipukul pipi sendiri? Sakit kan? Jangan macam ni. Mak sedih tengok Mira macam ni. Dah, kita lupakan apa yang jadi semalam. Mak minta maaf, mak mengaku mak salah sebab terlalu memaksa Mira untuk memilih. Mak janji, lepas ni, mak akan ikut apa yang Mira nak. Dengan syarat, jangan hilangkan diri macam ni lagi, ye nak?” Mak aku pegang pipi aku sambil wajahnya berubah sedih.

“Semalam?” aku tanya.

“Iye, kamu merajuk dengan mak pasal semalam kan?” mak aku tanya lagi. Aku kerutkan dahi untuk entah ke berapa kali.

“Dah dah tu. Tak payah kerut dahi lagi. Kan mak dah minta maaf tu. Masuk. Pergi makan, adik-adik dah lapar,” kata ayah aku.

Aku diam, mak aku pegang tangan aku semula lalu menarik aku untuk masuk ke dalam rumah tersebut. Aku tiada pilihan, hanya mengikut langkah mak aku.

“Mira,” masa nak langkah pintu masuk ke dalam rumah tersebut, aku dengar satu suara memanggil aku. Macam suara Ustazah Asma. Tapi tak begitu jelas.

– Bersambung –

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s