DENDAM

Bab 2

“Makan sampai tak nampak orang lalu ye,” Zalikha menegur.

“Mak aku pesan, masa makan, kita makan. Masa borak kita borak. Masa belajar kita belajar. Jangan campur aduk,” kataku sambil bangun menuju ke sinki lalu membasuh bekas nasi tadi.

“Ha, iyelah tu. Kot iye pun sedap, pandang la kiri kanan sikit,” kata Zalikha lagi sambil terus masuk ke bilik air.

Aku buka peti sejuk, lalu mengambil air sejuk. Tuang ke dalam cawan dan teguk sampai habis.

Masa aku nak tutup peti sejuk semula, aku nampak sesuatu yang bergerak di belakang hostel. Rumah aku di tingkat 3, jadi aku boleh nampak bahagian belakang hostel tu. Bahagian depan memang tak nampak, nampak pintu-pintu je. Macam rumah flat.

Aku buka sikit tingkap dapur tu. Aku nampak macam seseorang dengan rambut mengerbang, baju atau jubah warna putih kusam. Entahlah, tak berapa jelas sebab dia seperti berlegar-legar di bawah pokok besar di tepi blok bangunan aku.

“Weh, kau tengok apa khusyu’ sangat tu?” melompat aku bila bahu aku ditepuk macam tu. Aku toleh, Zalikha kat belakang aku. Tak sudah-sudah budak ni mengejutkan aku. Aku terus letak jari telunjuk di bibir sendiri, bagi isyarat kepada Zalikha suruh jangan bising.

“Tu, kau nampak tak macam ada orang kat bawah pokok tu. Siapa ek? Tak nampak macam studen pun,” kataku. Zalikha melangkah ke arah tingkap dan sama-sama dengan aku menjenguk keluar. Memandang ke arah yang aku nyatakan.

“Makcik kebun kot,” Zalikha meneka. Bermakna dia pun nampak apa yang aku nampak.

“Makcik kebun apa berkeliaran malam-malam macam ni? Bukan tukang kebun sini semua lelaki asing ke?” aku tanya balik.

“Haah kan. Habis tu, siapa? Ke ada famili sesiapa sesat kat sini?” Zalikha tanya lagi.

“Famili benda kau ni? Orang luar mana la boleh masuk kawasan ni. Kau tu yang pakcik guard tu kenal sekalipun, kalau takde kad matriks, kau tak boleh keluar masuk kan. Inikan pulak sedaa mara nak masuk,” sahut aku lagi sambil mata kami masih memandang kepada orang kat luar tu.

“Weh! Korang buat apa?” tiba-tiba Liza menyergah aku dan Zalikha dari arah belakang. Melompat juga kami berdua sambil urut dada.

“Hish kau ni Liza. Terkejut la. Bagi salam elok-elok tak boleh ke?” Zalikha merungut sambil memandang Liza yang masih ketawa memandang kami yang masih mengurut dada.

“Shhhhh…” Sekali lagi aku bagi isyarat suruh mereka jangan bising.

“Korang tengok apa?” Liza tanya sambil memandang ke luar tingkap, tempat aku dan Zalikha memandang tadi.

“Siapa tu?” Liza bertanya. Aku dan Zalikha kembali memandang ke tingkap.

“Eh, dia ke mana?” aku tanya bila tengok susuk tubuh tadi dah tiada.

“Tadi dia tengok ke sini, mungkin dengar kamu berdua menjerit tadi kot?” Liza kata.

“Kau nampak makcik tadi?” aku tanya Liza.

“Nampaklah. Aku belum rabun lagi kot,” Liza bertanya.

“Makcik tu ke mana?” Zalikha tanya.

“Masa aku tengok tadi, dia pandang aku kat sini. Lepas tu, dia bergerak menuju ke bawah hostel ni.” Kata Liza.

“Maksud kau, dia nampak kau? Lepas tu dia bergerak ke arah blok bangunan ni?” aku tanya.

Liza anggukkan kepala. Aku pandang Zalikha. “Dia nak naik ke sini ke?” aku tanya. Zalikha angkat bahu.

“Siapa tu? Kenapa korang macam gelabah je ni?” Liza tanya.

“Kami tak tahu siapa. Tapi kau tak rasa makcik tu nampak pelik ke?” Zalikha tanya.

“Apa yang peliknya? Nampak macam orang biasa je. Cuma pakaian dan rambut dia macam tak terurus. Siapa tu?” Liza tanya lagi.

“Kami tak tahu. Itu yang kami sedang perhatikan dari tadi. Nak pastikan siapa dia. Kalau orang luar, macammana dia boleh masuk ke dalam kawasan hostel ni. Kami taknak dia nampak kami sedang pandang dia. Mana tahu kau pula terkejutkan kami sampai kami menjerit dan buat dia nampak kami sedang memandang dia,” kataku menjelaskan kepada Liza, masih berbisik-bisik.

“Korang, entah-entah makcik ni ada kena mengena dengan kes histeria siang tadi kat Blok Khadijah tu. Kot dia nak datang mengubat ke. Tengah mencari pejabat warden kot,” Zalikha meneka.

“Kalau dia yang nak mengubat, takpe. Tapi kalau dialah dalang yang menyebabkan semua kena rasuk histeria tu, macammana?” Liza tanya pula sambil memegang belakang lehernya, begitu juga aku dan Zalikha. Leher kami sejuk seperti ditiup angin.

“Tok tok tok!” tiba-tiba pintu rumah kami diketuk dari arah luar.

Aku, Zalikha dan Liza berpandangan sesama sendiri, masing-masing dah buat muka cuak. Belum sempat kami nak bergerak dari arah dapur tu, kami dengar bunyi tapak kaki berlari ke pintu dengan suara Zaimah menjerit “Sekejap!”

Kami bertiga buka mata luas-luas. Kelam kabut kami berlari ke pintu, nak larang Zaimah dari buka pintu. Tapi nampaknya tak sempat. Masa kami jerit “Jangan buka!” adalah masa yang sama dengan masa Zaimah memulas tombol pintu lalu membukanya.

Pintu terbuka luas. Zaimah memandang ke arah kami. “Tutup! Tutup balik pintu tu” kata Zalikha. “Korang dah kenapa?” Zaimah tanya pula lalu menjenguk ke luar  pintu. Dia memandang ke kiri dan kanan luar rumah kami sambil aku, Liza dan Zalikha memerhati dengan cemas.

“Takde orang pun?” kat Zaimah.

“Dah, tutup pintu tu cepat,” aku suruh Zaimah tutup pintu.

“Korang ni dah kenapa? Macam nampak hantu,” Zaimah tanya kami.

“Kau agak-agaklah. Tengok jam dah pukul berapa, takkanlah ada orang lagi nak datang sini,” kata Zalikha.

“Manalah tahu, kot budak sebelah nak pinjam apa-apa ke. Nak tumpang bilik air ke. Tak, masalahnya sekarang, selalu kot budak sebelah menyebelah ketuk pintu rumah ni tengah-tengah malam. Takde pun korang kecoh macam ni. Hari ni dah kenapa?” Zaimah tanya lagi. Pelik sungguh dia melihat muka kami masing-masing yang kelihatan cuak.

“Siang tadi kan ramai kena histeria. Malam ni kena la berjaga-jaga sikit.” Kata Zalikha.

“Tadi kami nampak ada seorang makcik berdiri kat pokok besar belakang hostel kita ni. Makcik tu nampak pelik. Dia mundar mandir kat bawah pokok tu sambil memerhati keliling. Tengah aku dan Zalikha perhati dia, si Liza datang kejutkan kami. Aku dan Zalikha menjerit. Makcik tu pandang ke tingkat rumah kita ni, lepas tu terus bergerak ke bawah blok kita. Takut dia yang datang ketuk pintu tadi,” aku beritahu Zaimah, biar dia faham kenapa kami berkelakuan begitu.

“Ha? Kenapa tak cakap awal-awal?” Zaimah pulak buat muka cuak.

“Tak sempat. Kau laju sangat,” sahut Liza.

“So, kau nampak siapa kat luar tadi?” aku tanya.

“Takde siapa.” Zaimah menyahut.

“Orang ketuk pintu kat rumah sebelah kot,” kata Zalikha, cuba menenangkan hati masing-masing.

“Mungkinlah kot.” Sahut aku dan Liza. Walaupun hati masing-masing masih bercelaru. Macam masih ada yang terpendam.

“Dahlah, dah dekat pukul 1 dah ni. Jom tidur. Esok nak kejar bas ke kampus pulak,” kata Zalikha sambil melangkah masuk ke biliknya. Aku dan Zaimah pun masuk ke bilik kami.

Kat dalam bilik, aku terus baring kat katil aku. Zaimah tutup lampu. Dia pun terus baring kat katil. Walaupun aku nampak meja tulisnya masih berselerak, seperti dia masih belum selesai dengan kerjanya.

“Kau agak-agak, siapa yang ketuk pintu tadi ek?” Zaimah bertanya dalam kegelapan. Hanya diterangi dengan lampu dari kaki lima rumah kami.

“Takde siapa la tu. Mungkin betul orang ketuk rumah sebelah. Dah la, tidur. Jangan fikir lagi,” sahutku. Tak nak memanjangkan cerita yang baru berlaku sebentar tadi. Walau hati aku tetap tak puas hati.

– Bersambung –

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s