DENDAM

Bab 1

“Weh, kau ada dengar cerita budak kena histeria kat Blok Khadijah tak?” Zaimah tanya aku.

“Haah, aku ada la dengar khabar angin. Tapi takdelah ambil pusing sangat. Kat sana kan blok senior. Malaslah aku nak masuk campur,” sahut aku sambil terus menulis nota yang aku tak sempat salin dari bilik kuliah tadi. Nasib baik Huda sempat tulis, dan bagi aku pinjam buku dia. Dah la dapat pensyarah muka ketat macam En Helmi tu.

“Teruk juga aku dengar. Bersambung-sambung sampai bilik sebelah.” Zaimah masih bercerita.

“Siapa cerita kat kau?” aku tanya lagi walaupun masih sibuk dengan nota aku.

“Lokman. Sebab Ustaz Alias panggil beberapa orang budak lelaki untuk bantu. Lokman kata, empat orang budak lelaki saiz dia, pegang seorang budak perempuan yang kena serangan tu, masih tak kuat. Terpelanting budak-budak lelaki yang pegang mereka,” kata Zaimah lagi.

Aku mula tergoda. Tulisan Huda yang begitu punya kemas dan cantik, sekarang aku nampak macam tulisan cina dah. Tak tahu dia tulis apa. Sebab fokus aku dah lari. Sikit la.

“Berapa orang yang kena? Sekarang diorang semua kat mana?” aku tanya, kepala mula berpaling sikit memandang ke arah Zaimah.

“Entah, ramai katanya. Diorang semua ada kat bilik sakit sebelah Dewan Tun Razak. Dewan tu pun dengar cerita dah dikosongkan untuk menempatkan pelajar yang kena histeria. Sebab bilik sakit tu kecil, dah tak muat,” kata Zaimah.

“Ramai la yang kena ye?” aku tanya lagi.

“Tu la. Ramai sangat kot. Sampai kena buka dewan,” sahut Zaimah.

“Apa puncanya?” aku tanya lagi. Tangan dah berhenti menulis. Tak siap juga nota aku ni. Tadi dah janji dengan Huda, nak kembalikan buku dia awal pagi esok.

“Entah, ada yang kata salah seorang tu yang mula-mula meracau. Menjerit-jerit macam nampak hantu. Masalahnya, siang buta, mana ada hantu. Lepas tu berjangkit. Mula-mula satu bilik, lepas tu sambung bilik sebelah sebab orang sebelah tu datang nak menengok apa jadi bila dengar orang menjerit. Datang pula orang lain dari bilik lain, jangkit lagi. Itu yang jadi ramai tu,” kata Zaimah.

“Patutlah En Zaidi tak bagi kita ikut laluan Blok Khadijah tadi ye.” Aku tanya.

“Iyelah kot. Eh, aku nak pergi café sekejap, nak beli makanan sikit. Lapar pula. Kau nak ikut ke?” Zaimah tanya aku.

“Belikan aku sandwich je, boleh? Aku ada banyak lagi nota tak salin ni,” sahutku kembali menghadap nota Huda.

Zaimah keluar dari bilik. Aku pandang jam. Dah pukul 8.30 malam. Sejak maghrib tadi aku menulis, tak siap-siap lagi.

Seketika kemudian, pintu  bilik aku diketuk. “Masuklah,” aku jerit je dari meja tulis aku.

Pintu bilik terbuka. Rosnah menjenguk.

“Kau nak makan nasi tak? Ada baki lagi sikit ni. Lauk pun ada sikit ni. Kalau nak, aku tak masuk peti sejuk,” kata Rosnah.

“Banyak ke? Aku dah kirim sandwich kat Zaimah tadi,” kataku.

“Alah, sandwich tu boleh makan pagi esok. Tapi terserahlah. Kalau taknak, aku masuk dalam peti sejuk,” kata Rosnah. Aku pegang perut, rasa lapar. Sebab aku makan mee goreng je tengahari tadi. Lepas tu tak makan apa dah.

“Lauk apa?” aku tanya.

“Ayam kicap je. Atikah beli banyak siang tadi kat café. Malam ni panaskan je sekali masa masak nasi tadi,” kata Rosnah tak jemu menjawab soalan aku.

“Ayam kicap? Eh, nak la. Jangan masuk peti sejuk. Nanti aku makan,” sahutku sambil berpusing semula ke meja tulis aku. Ayam kicap makcik café kat Blok Aisyah tu memang sedap. Teringat masakan mak kat kampung.

Aku pelajar tahun 1 di universiti tempatan ni. Bersama dengan Zaimah, kebetulan kami dapat tawaran dari universiti sama, pengajian yang sama. Sarjana Muda Pentadbiran.

Kami tinggal di hostel yang disediakan oleh pihak universiti. Setiap blok ada 5 tingkat, di setiap tingkat ada 10 rumah dan di setiap rumah ada 3 bilik. Setiap bilik dihuni oleh 2 orang siswa. Bermakna satu rumah ada 6 siswi. Aku sebilik dengan Zaimah. Kami serumah dengan Rosnah, Zalikha, Liza dan Noni. Aku dengan Zaimah je ambil kursus Pentadbiran. Tapia da beberapa subjek aku tak sama dengan Zaimah sebab dia ambil kursus pentadbiran dan kesetiausahaan tapi aku pentadbiran dan perniagaan. Rosnah dan Liza ambil kursus perakaunan. Zalikha dan Noni ambil kursus kejuruteraan.

Sedang asyik aku menyalin nota, pintu bilik terbuka. Zaimah masuk ke dalam bilik dengan muka pucat. Dia memandang keliling bilik, matanya terbeliak.

“Kau dah kenapa Zaimah?” aku tanya, mula rasa pelik. Zaimah berpeluh-peluh.

Zaimah tak jawab. Dia letak sandwich yang aku kirim tadi kat atas mejanya. Dia lalu berbaring di atas katilnya, menarik selimut dan membungkus seluruh tubuhnya.

Aku makin pelik. Aku berhenti menulis, letak pen di atas meja dan melangkah perlahan ke arah Zaimah yang masih berkelubung di bawah selimut. Aku duduk di tepi katil Zaimah. Zaimah menggeletar.

“Zai, kenapa ni?” aku tanya lagi tapi masih tak berani menyentuh Zaimah yang masih menggigil di bawah selimut.

“Zai, kau jangan takutkan aku. Yang kau berkelubung ni dah kenapa? Sejuk ke? Aku rasa panas je malam ni. Kipas pun bukannya laju sangat,” aku bebel kat tepi Zaimah dengan harapan dia akan menyahut soalan aku.

Tapi Zaimah masih tak menyahut. Keadaannya masih sama seperti tadi. Aku pegang bahagian bahunya. Zaimah menarik bahunya seperti tak mengizinkan aku menyentuhnya.

“Eh, Zai, kau ni dah kenapa?” aku hilang sabar lalu menarik kain selimutnya.

Zaimah dalam keadaan terlentang, matanya merah terbeliak memandang ke atas siling. Kakinya menerajang angin. Aku terus bangun dari katilnya dan berundur sedikit. Aku agak terkejut melihat keadaan Zaimah tu.

Perlahan-lahan aku melangkah ke pintu bilik sambil mata aku tak terlepas dari memandang Zaimah yang masih menerajang angin di atas katilnya.

Aku pulas tombol pintu perlahan-lahan. Masa ni Zaimah menoleh memandang aku. Dia sengih lain macam. Lalu dia bergerak menuruni katilnya dengan merangkak. Ah sudah. Dah kenapa pula budak Zaimah ni? Lutut aku dah mula menggigil ni. Tombol pintu yang aku pulas tu, macam berat sangat pula nak terbuka.

Zaimah terus merangkak ke arah aku. Sampai kat kaki aku, Zaimah pegang lutut aku yang sedang bergoyang.

“Kau nak ke mana?” Zaimah tanya aku, tapi suaranya garau sikit. Aku taklah pandai sangat bab-bab benda tahyul ni, tapi aku dapat rasakan yang kat depan aku tu bukan Zaimah, tapi ada benda lain.

“Zai, kau kenapa ni?” aku tanya lagi. Aku cuba bertenang.

Kat kampung, ayah aku adalah tempat orang kampung minta bantuan kalau ada hal-hal berkenaan alam ghaib ni. Dengar cerita, ayah aku dapat ilmu ni masa dia pergi tebang buluh untuk mak aku bakar lemang, masa aku kecil dulu. Panjang juga cerita yang aku dengar, tapi aku ni jenis malas fikir selagi tak kacau hidup aku.

Ayah dan mak aku tak pernah bercerita tentang ilmu ayah aku ni. Kalau orang datang berubat pun, ayah memang sediakan satu bilik khas untuk mereka. Tak kacau hidup aku dan tiga orang lagi adik aku. Jadi, aku pun tak pernah nak ambil pusing hal berubat ayah tu. Cuma adik bawah aku ni, Namanya Farid. Dia suka sangat nak ambil tahu hal perubatan ayah aku.

Bila ayah aku berubat, dia akan perlahan-lahan jenguk bilik tu. Selalu dah kena marah dengan mak aku. Tapi dia minat, entahlah kenapa.

Yang pasti, ayah pun ada beberapa kali minta bantuan Farid masa mengubat orang. Mungkin sebab dah tak larat nak marah adik aku tu. Akhirnya ayah aku biar je. Tapi aku masih tak peduli.

Ada la sesekali aku tegur adik aku supaya tak payah sibuk dengan hal ayah aku berubat tu. Tapi itulah adik aku, dia kalau orang marah atau tegur dia, dia akan diam je. Buat muka seposen sampai orang tak lalu hati nak marah sangat. Tapi dia tetap buat apa yang dia suka. Kiranya dia nampak lembut, tapi hatinya degil.

Aku rasa sejuk kat leher aku. Aku pandang keliling. Zaimah tiada.

“Zai?” aku panggil Zaimah.

Tap! Ada air jatuh setitik di lantai. Aku pandang air yang menitik tu. Dan pandang dari arah mana air tu menitik. Aku mendongak ke siling. Zaimah sedang dalam keadaan terbalik di atas siling. Dia seperti seekor kelawar yang melekat kakinya di siling. Sambil sengih kat aku. Rambutnya yang kerinting dan panjang tu, meleret menutupi mukanya.

“Astaghfirullahal azim,” aku beristighar. Kali ni aku yakin, sesuatu dah merasuk Zaimah.

Aku berpaling nak buka pintu. Tapi entah macammana Zaimah dah berada di pintu. Aku menoleh ke arah siling tempat Zaimah bergayut tadi, dia tiada di sana. Aku toleh semula ke arah pintu, masa ni Zaimah melompat ke arah aku.

Badan aku rasa bergoncang. Pinggang aku rasa sakit.

“Bangunlah Mira. Kau ni tidur duduk macam ni pun boleh mengigau macam apa,” aku dengar suara Zaimah. Aku buka mata, Zaimah masih goncang bahu aku. Aku angkat kepala pandang keliling.

“Ha, bangun pun kau. Kalau dah letih sangat, pergilah tidur dulu kejap. Karang sambung la salin nota tu.” Aku dengar suara Zaimah membebel.

“Dah lama ke aku tidur?” aku tanya Zaimah.

“Manalah aku tahu. Aku pun baru masuk, dengar kau jerit-jerit macam kena kejar hantu. Dalam keadaan duduk atas kerusi pun kau boleh lena sampai mimpi ngigau bagai kan. Haish la Mira oiiiii. Dah, tu aku dah beli sandwich kau. Kat atas meja tu ha. Bangunlah, pergi cuci muka, solat isya. Makan dulu.” Zaimah duduk di kerusi meja tulisnya lalu membuka buku.

Aku pandang keliling. Lantai, siling, pintu, katil dan selimut Zaimah. Macam nyata je mimpi aku tadi.

“Eh, kau balik dari café tadi takde yang mengikut kau balik ke?” aku tanya.

“Siapa?” Zaimah tanya aku.

“Manalah tahu, ada bayangan ke, hantu ke yang ikut kau,” aku tanya lagi.

“Hish kau ni, mulut tu cabul sungguh. Dah la kes kat hostel ni belum reda. Dah, takyah merepek dah.” Kata Zaimah.

Aku bangun dan keluar dari bilik. Tiada siapa di ruang rehat rumah tersebut. Semua sedang mengulangkaji di bilik masing-masing kot. Aku pandang jam dinding. Pukul 10 malam dah. Aku terus ke ruang belakang, bersebelahan dengan bilik air. Nak kata dapur, bukan dapur sebab takde dapur gas pun. Tapi di situ adalah satu ruang kosong, selalunya kami letak barang kat situ kalau taknak letak di bilik. Ada meja kecil dan peti sejuk satu pintu kat situ.

Aku duduk kat meja kecil tu. Takde kerusi pun. Duduk kat lantai. Kiranya macam meja jepun tu je. Tapi kecil.

Aku bukak bekas taufufa yang ada kat atas meja tu. Teringat tadi Rosnah pelawa aku makan nasi dengan ayam kicap. Sebaik buka bekas tu, semerbak bau ayam kicap. Sebiji sama baunya dengan masakan mak aku kat kampung. Maka tanpa memikirkan soal dunia, aku terus makan sampai licin.

“Ehem!” suara berdehem kat belakang aku sebaik nasi dah licin. Aku menoleh.

– Bersambung –

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s