MERTUA

Bab 11 (AKHIR)

Mak suruh Azhar pergi solat maghrib. “Mak nampak kan apa yang Za nampak?” aku tanya mak.

“Ya Za, mak nampak,” mak sahut.

“Mak tak takut?” aku tanya.

“Kenapa pula mak nak takut? Dia yang sepatutnya takut kat kita. Dia datang ke rumah kita, bukan kita datang rumah dia. Lagipun, kita ada malaikat kiri kanan jaga kita, dia takkan berani kacau kita. Dia Cuma tunjukkan diri, sebab nak bagi kita takut. Bila kita takut, dia gembira. Sebab dia dah berjaya berada di atas kita. Sedangkan Allah dah kata, manusia adalah yang paling tinggi darjatnya di dunia,” kata mak aku sambil usap kepala aku.

Tak sempat aku menyahut, tiba-tiba tingkap bilik seperti dibaling batu. Aku angkat muka aku, mak pandang aku. “Kenapa Za?” mak tanya.

“Mak tak dengar ke bunyi orang baling batu ke tingkap?” aku tanya. Mak pandang ke tingkap.

“Entah, mak tak dengar pun,” kata mak.

Aku bangun, mak tarik tangan aku. “Biarkan je Za. Kan mak dah kata, jangan ikut. Benda tu sedang tarik perhatian Za,” kata mak.

“Tapi dia nak ambil Izzuddin,” kataku masih belum rasa selamat selagi aku tak bunuh benda tu. Kalau takde orang nak bunuh benda tu, biar aku je yang bunuh dia. Tak kisahlah siapa dia, walau apa benda tu.

Aku melangkah ke tingkap, baru nak buka tingkap, mak tahan tangan aku. “Biar mak buka ye,” kata mak. Aku berhenti dari membuka tingkap. Mak tarik aku ke belakang sedikit, lalu menolak daun tingkap. Mak jenguk keluar tingkap, gelap. Hanya bertemankan bulan yang separuh, dan lampu kalimantang di beranda rumah mak yang terpasang.

“Takde siapa, mak dah tengok,” kata mak. Aku tak sabar, aku jenguk.

“Tu ayah kan?” aku tanya sebab aku nampak ayah aku berdiri di halaman rumah.

“Haah, tu ayah. Kan ayah baru balik dari masjid. Takkan ayah yang baling batu. Mungkin batu dari jalan tercampak ke tingkap,” kata mak lalu menarik semula daun tingkap untuk menutupnya.

“Tu yang lagi dua orang tu? Yang berkelubung kain hitam tu? Siapa?” aku tanya. Aku masih nampak orang yang aku nampak semalam, berbicara dengan ayah.

“Mana ada sesiapa. Ayah je tu,” kata mak.

“Maknanya, mak tak nampak apa yang Za nampak?” aku mula sangsi dengan kepercayaan mak kepada aku.

“Bukan tak nampak. Mata mak dah tua. Sekejap mak tengok ye,” kata mak aku, menjenguk semula keluar tingkap.

“Iyelah ada orang lain bersama ayah, pakai kelubung hitam kan? Nanti mak tanya ayah, kawan ayah kot,” kata mak.

“Mak nampak?” aku tanya. “Ya Za, mak nampak,” kata mak lalu menutup daun tingkap. Sebelah lagi tangan mak masih pegang erat tangan aku, taknak lepas. Aku menoleh ke alang kayu siling. Jelmaan tu masih berada di atas siling, bertinggung dan memandang ke arah kamu dengan mata putihnya.

“Mak, Izzuddin mana? Dia belum menyusu lagi sejak Za balik dari hospital tadi,” kataku.

“Ada dengan Aisyah. Dia tidur tadi mak tengok. Kenyang lagi kot,” kata mak.

‘Kenyang?’ hati kecilku berkata. Selalunya setiap sejam Izzuddin merengek minta susu, tapi sekarang rasanya dah hampir empat jam kot dia tak menyusu. Susu aku pun dah mula rasa sakit dan mengeras.

Entah kenapa hati aku sangsi kepada semua orang yang berada di dalam rumah tu. Seperti mereka cuba berbuat sesuatu di belakang aku. Seperti mengetahui sesuatu yang aku tak tahu. Seperti memandang aku berlainan.

Pintu bilik diketuk dari luar. Aku pandang pintu. Mak melangkah ke arah pintu. Aku tahan mak. “Kenapa Za? Biarlah mak buka pintu tu, Azhar kot,” kata mak.

Aku masih pegang tangan mak. Aku tak rasa yang mengetuk pintu itu ialah Azhar.

Mak bangun lalu mencuba untuk membuka pintu. Aku tarik tangan mak kasar, hingga mak terduduk. “Kenapa ni Za? Sakit mak. Sampai hati Za buat mak macam ni,” kata mak perlahan. Aku tak pedulikan mak. Aku tarik tangan mak ke tepi dinding.

“Mah, boleh aku masuk?” aku dengar suara ayah.

“Jangan masuk!” aku jerit. Kali ni aku tak peduli. Aku takkan percaya sesiapa lagi.

“Za, abang ni,” aku dengar suara Azhar.

“Jangan masuk!” sekali lagi aku jerit. Aku pegang tangan mak supaya mak tak buka pintu.

“Za, ni abang bawa Izzuddin. Dia lapar, nak menyusu,” kata Azhar.

Dan aku terdiam. Izzuddin lapar. Aku bangun lalu buka pintu. Azhar berdiri di muka pintu, tanpa Izzuddin. Di belakang Azhar, ayah berdiri bersama dua lelaki berkelubung kain hitam yang aku nampak di halaman tadi.

Aku lari masuk ke dalam bilik semula. Mak yang berdiri di belakang aku, aku tarik ke tingkap. Aku tolak daun tingkap.

“Za nak Izzuddin. Bagi Izzuddin kat Za. Baru Za lepaskan mak,” kataku. Aku dah tak percaya kat semua orang kat situ.

“Astaghfirullahal azim. Kamu kenapa ni Za? Itu kan mak kamu,” kata ayah.

“Za, lepaskan mak tu. Sakit tangan mak,” Azhar pujuk aku.

“Abang kata Izzuddin lapar tapi mana Izzuddin? Abang tak bawa dia pun. Mak pulak kata Izzuddin tidur. Kenapa semua orang nak tipu Za? Semua orang bersepakat dengan mak mertua Za?” aku menjerit. Aku betul-betul rasa semua orang di sekeliling aku, bukanlah orang yang aku kenali selama ini. Seakan mereka hanyalah jelmaan dari sesuatu yang mahu mengambil Izzuddin dari aku.

Ayah memberi laluan kepada dua orang lelaki berkelubung kain hitam itu untuk masuk ke bilik. Aku nampak salah seorang lelaki itu membisikkan sesuatu kepada Azhar. Dan Azhar anggukkan kepala lalu berlalu pergi.

“Kamu semua ni siapa? Kenapa ganggu aku? Aku tak kacau sesiapa. Kenapa ayah berpakat dengan mereka untuk tipu Za? Kenapa semua orang buat Za macam ni?” aku jerit. Perut aku kembali sakit, sakit sangat. Seperti ada sesuatu di dalamnya yang meronta ingin keluar.

Seorang lagi lelaki berkelubung hitam berdiri di depan aku, berpeluk tubuh sambil bibirnya berdesir mengeluarkan bunyi yang nyaring dan menyakitkan telinga. Aku tutup telinga dan menjerit. Mak ikut menjerit sebab aku masih pegang tangan mak.

“Za, ini Izzuddin. Dia lapar. Za susukan dia ye,” Azhar tiba-tiba muncul membawa Izzuddin.

Aku menangis. Aku lepaskan tangan mak. Aku melangkah ke arah Azhar dan mengambil Izzuddin dari dukungan Azhar. Aku peluk Azhar dan mengundur beberapa langkah. Kali ni aku tekad, aku takkan serahkan Izzuddin kepada sesiapa lagi. Aku akan pegang Izzuddin walau apa terjadi.

Azhar berdiri di tingkap. Aku suruh dia ke tepi, tapi Azhar masih di situ. Mak keluar dari bilik. Ayah berdiri di muka pintu. Tinggal aku, Azhar dan dua lelaki berkelubung hitam di dalam bilik tu. Salah seorang menghampiri aku dan letakkan tangannya di atas kepala aku. Aku rasa panas, macam nak pecah kepala aku.

Aku jerit sekuat hati. Izzuddin terlepas dari tangan aku. Aku hampir jatuh terduduk tapi Azhar yang berdiri di belakang aku, terus menyambut dan memeluk aku dari belakang. Azhar dudukkan aku. Tangan lelaki tadi masih di atas kepala aku dengan bunyi desir yang menyakitkan telinga, keluar dari mulutnya.

Seorang lagi lelaki berkelubung hitam tadi, menarik kaki aku hingga berlunjur lalu dia memicit ibu jari kaki kiri aku. Dan kali ini sakitnya berganda. Aku menjerit meronta. Memanggil mak dan ayah untuk tolong aku.

“Abang, sakit. Suruh mereka berhenti. Sakit,” rayuku kepada Azhar yang masih memeluk aku. Aku dengar suara mak menangis di luar bilik. Aku pandang ayah yang memandang sayu ke arah aku.

“Ayah, tolong ayah. Sakit. Mereka akan bunuh Za,” kataku. Ayah hanya memandang.

Ketika kesakitan berada di puncaknya, aku nampak lelaki yang memegang kepala aku tadi, menghentakkan kakinya di atas lantai. Dan masa ni aku nampak jelmaan yang berada di atas siling, merangkak ke bumbung dan hilang. Mata aku pun jadi kelam. Semua jadi gelap. Kesakitan tadi hilang. Aku tak sedarkan diri.

*********************************

Aku sedar bila terasa muka aku sejuk direnjis air. Aku buka mata. Aku sedang berbaring di atas katil. Azhar duduk di atas katil dekat bahagian kepala. Mak dan ayah berdiri di tepi dinding. Aku nampak Ustaz Deris yang aku kenali sejak aku kecil. Kawan baik ayah aku tu. Dan seorang lelaki muda, anak Ustaz Deris kot.

“Za ok?” Azhar tanya. Aku anggukkan kepala.

“Ustaz buat apa kat sini?” aku tanya Ustaz Deris. Ustaz Deris senyum pandang aku. Lepas tu dia bersilih pandang dengan mak dan ayah. Mata mak merah macam menangis.

“Ustaz Deris datang melawat Za. Dia tengokkan Izzuddin. Ayah panggil untuk buat belah mulut,” kata ayah lembut.

“Mak, Za lapar,” aku panggil mak aku. Mak aku mengelap matanya, laju dia berlari ke arah aku.

“Mak bawakan nasi panas dengan ikan bilis lada hitam ye. Za dalam pantang, tak boleh makan sebarangan,” kata mak, seakan sebak. Berkali-kali mak lap matanya.

“Boleh mak. Za makan apa je yang mak bagi.” Kataku. Entahlah kenapa rasa sebak tengok mak aku macam tu.

Mak aku berlalu keluar dari bilik. Aku mendongak ke atas kayu alang siling bilik. Ayah pun ikut mendongak. Tiada ada di situ.

“Za tengok apa kat atas tu?” Ayah tanya aku.

“Entah, Za rasa macam kat atas tu ada benda. Tapi Za tak ingat apa tu,” kataku. Betul, aku rasa macam ada yang memerhati tapi tiada apa di situ.

“Takde apa kat situ. Kalau Za tak selesa, kita tukar bilik lain ya,” kata Azhar memujuk.

“Eh takpe. Ini bilik Za sejak Za kecil.” Kataku. Ayah, Azhar, Ustaz Deris dan anak lelakinya saling berpandangan sambil senyum.

“Izzuddin mana?” aku tanya.

“Za makan dulu, nanti lepas makan abang bawa Izzuddin ke sini ye,” kata Azhar. Aku hanya anggukkan kepala.

Sebentar kemudian mak datang bawa nasi yang masih berasap, dengan ikan bilis yang ditumbuk dengan lada hitam. Aku memang suka makan macam tu. Dulu masa mak aku lahirkan Amir, mak aku selalu buat macam tu, aku pula yang makan lebih.

Mak duduk kat tepi aku. Mak kepalkan nasi dengan lada hitam, mak suap aku. Mak nangis lagi.

“Takpe mak, Za boleh suap sendiri,” kataku cuba ambil pinggan nasi dari tangan mak.

“Mak nak suapkan Za. Dah lama mak tak suap Za makan dengan tangan mak,” kata mak dengan air mata berderai laju.

“Kenapa mak menangis?” aku tanya sambil kunyah nasi panas.

“Mak gembira tengok Za sihat. Mak gembira terima cucu,” kata mak sambil lap air matanya.

“Nanti bagi dia minum air ni sampai habis. Selawat nabi tujuh kali. Yang satu botol lagi ni, tambahkan secawan ke dalam air mandiannya. Bagi dia mandi dua kali sehari, sekali sebelum fajar menjelang dan sekali lagi sebelum fajar menyinsing. Buat sampai habis,” kata Ustaz Deris memberikan tiga botol air mineral kepada ayah.

“Ustaz buat air apa tu?” aku tanya.

“Air penawar. Bagi kamu makin kuat, makin sihat. Boleh jaga Izzuddin baik-baik lepas ni,” kata Ustaz Deris memandang aku sambil senyum manis. Aku diam. Sayangnya mereka semua kat aku. Cuma aku masih rasa ada sesuatu yang mengganggu fikiran aku. Macam aku dah melalui  satu keadaan yang menyukarkan.

Malam itu aku tidur dengan Izzuddin. Terasa macam dah lama aku terpisah dari Izzuddin. Tak tahulah kenapa.

*************************************

Keesokan harinya, Mak Limah datang tepat jam 9 pagi. Mak Limah ni bidan kampung. Terkenal sejak aku kecil lagi. Dia dah berusia 80 tahun tapi kudratnya aku rasa lebih kuat dari aku.

Dia mengurut dan menjaga aku selama tiga hari. Hari pertama dia mengurut perut aku, sakit sangat. Mak Limah kata, orang perempuan, masa bersalin perlu pantang elok-elok. Fikiran tak boleh runsing. Kena positif. Kalau tak, akibatnya nanti masa dah tua.

“Tengok Mak Limah, umur dah 80-an tapi masih boleh panjat bukit kutip pucuk paku lagi.” Kata Mak Limah. Aku senyum je.

“Masa kita dalam pantang, kita lemah rohani dan fizikal. Kita tak boleh solat, tapi kita masih boleh berzikir. Kita tak boleh bergerak banyak tapi kita masih boleh berfikiran positif. Ada suami yang baik, mak ayah dan adik beradik yang sangat menyayangi, mak mertua dan ipar yang seperti keluarga sendiri. Semua yang baik. Bila semua yang baik dalam fikiran kita, dah tentu kita nampak perkara baik je.” Kata Mak Limah.

Lepas 3 hari dia mengurut dan menjaga pantang aku, Mak Limah masih berpesan perkara yang sama. Lepas tu setiap minggu Mak Limah datang jenguk aku. Setiap kali datang, dia akan rasa perut aku.

“Nurse kampung yang datang periksa, dia bagitahu, peranakan saya dah ok.” Kataku. Mak Limah senyum.

“Alhamdulillah. Bukan peranakan je yang Mak Limah nak periksa, nak periksa benda lain juga. Nak pastikan tiada dah aura yang  tak baik kat dalam diri kamu,” kata Mak Limah. Aku anggukkan saja, nanti lagi aku tanya, lagi aku tak faham. Nak kata mak, takpelah tak faham pun, asalkan aku sihat.

Habis pantang, mak buat kenduri kesyukuran. Mak mertua dan Salmah pun datang. Menangis mereka memeluk aku. Rindu katanya.

“Mak minta maaf, sebab keluarga mak, Za dan Izzuddin jadi mangsa,” kata mak mertua aku. Mula-mula aku macam tak berapa faham kenapa mak cakap macam tu. Tapi aku macam baru teringatkan kisah kat rumah mak mertua aku. Entahlah kenapa rasa macam kejadian tu dah lama sangat padahal aku baru habis pantang 44 hari je. Tak sampai dua bulan.

“Lepas ni, takde apa yang akan kacau Za dah. Terima kasih pada Pak Anjang Za yang bantu mak dan anak-anak mak untuk buang penjaga keturunan keluarga mak yang dulu-dulu.” Kata mak mertua aku.

“Alhamdulillah,” sahutku lambat. Aku dah cuba untuk melupakan keadaan tu. Aku nak buang kenangan tu jauh-jauh. Walau aku tahu, aku tetap akan terbayang setiap kali aku nampak mak mertua aku, setiap kali aku memijakkan kaki ke rumah mak mertua aku.

Ayah cakap, saka keturunan mak mertua aku, dah dihantar semula masuk ke dalam hutan. Ditanam disana, moga tiada yang mengganggu hutan tersebut. Jika diganggu, bimbang segala makhluk di dalamnya bertebaran lari di alam kita.

Aku dah cakap dengan Azhar, lepas ni, kami akan tinggal di rumah lain. Azhar pun dah setuju. Dia sedang dalam proses beli rumah yang letaknya tak jauh dari rumah mak mertua aku. Mak pun akur. Salmah pun tak lama lagi akan berkahwin. Bakal suami dia setuju untuk tinggal bersama mak mertua aku.

Setelah semua selesai, aku tanya Aisyah. Sebenarnya apa yang terjadi. Aisyah cakap aku terkena Pospartum Psychosis. Dia kan nurse, memang bahasa sains la yang keluar.

“Apa benda tu Kak Chik?” aku tanya.

“Meroyan Kak Lang. Orang kita sebut meroyan,” kata Aisyah.

“Bukan ke meroyan tu kalau kita susah hati je,” kataku.

“Meroyan ni ada macam-macam Kak Lang. Sayang anak berlebihan pun boleh jadi meroyan. Sakit hati kat orang pun boleh jadi faktor. Kurang rehat pun boleh jadi juga. Banyak masalah pun boleh jadi. Untuk kes Kak Lang, pemikiran Kak Lang dah dipengaruhi dek benda yang mengganggu Kak Lang semasa di rumah mertua. Kak Lang terlalu fikirkannya sampai terbawa-bawa ke dalam halusinasi Kak Lang sendiri. Sampai Kak Lang tak percayakan orang lain. Sampai Kak Lang nampak benda yang tiada. Dalam keadaan macam ni, bimbingan orang keliling amat penting. Ada kes sampai bercerai berai. Tapi Kak Lang bertuah, dapat suami yang sangat baik.” Kata Aisyah.

“Tapi benda tu memang ada kat rumah mak mertua akak. Atau yang kat rumah mak mertua tu pun adalah halusinasi?” aku tanya.

“Itu betul. Tapi bila Kak Lang dah balik sini, semua dah jadi halusinasi. Sebab tu Kak Lang tak tahu yang mana betul dan yang mana salah. Yang tak terjadi pun Kak Lang rasa terjadi,” sahut Aisyah.

“Jaga diri. Sebab bila sekali kita terkena, tak mustahil kita akan kena lagi kalau tak kuat mental dan fizikal. Itu bahaya. Kalau tak bahaya, takkan Kak Lang sampai nak campak Izzuddin keluar tingkap,” kata Aisyah.

Aku diam. Selama ini, aku cuma dengar tentang meroyan. Tapi aku tak tahu dan tak pernah ambil tahu pasal penyakit ni. Setelah segalanya Aisyah ceritakan kepada aku, ada kejadian yang aku ingat dan ada yang aku samar-samar, aku rasa aku faham dah apa yang bergelojak di minda aku selama aku terkena meroyan ni. Ustaz pun aku nampak macam hantu dah. Adoi.

Lepas ni, aku cuba untuk positif dalam segala hal. Nampak hantu pun kena positif. Ingat Allah selalu.

– T A M A T –

3 thoughts on “MERTUA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s