MERTUA

Bab 9

Masa aku sedar, azan subuh sedang berkumandang. Aku berbaring di atas katil. Aku pandang keliling, Izzuddin tiada bersama aku. Aku teringat kejadian semalam. Aku mula susah hati. Aku bangun perlahan-lahan, keluar dari bilik mencari mak aku. Aku dengar ada orang di dapur, aku terus melangkah ke dapur. Aku nampak mak aku sedang menjerang air.

“Mak, Izzuddin mana?” aku tanya.

“Ada kat bilik mak. Tengah tidur,” sahut mak aku.

“Kenapa Izzuddin kat bilik mak? Dia ok ke? Semalam Za jatuhkan dia dari tingkap bilik,” aku tanya.

“Dia ok. Za jangan risau. Sekarang mak nak solat subuh dulu. Za rehat dulu. Nanti air ni dah masak, mak buatkan air suam untuk Za mandi. Pukul 8 nanti, Mak Limah datang nak mengurut Za,” kata mak aku.

Aku diam lalu melangkah perlahan ke bilik mak aku. Aku tolak daun pintu. Aku nampak Izzuddin sedang tidur. Aku terasa susu aku bengkak. Baru je aku nak melangkah masuk bilik mak aku, aku dengar bunyi orang mengetuk pintu depan.

‘Ayah aku balik dari masjid kot’ desis hati kecil aku. Aku melangkah perlahan menuju ke pintu lalu menolak selak pintu. Sebaik pintu terbuka, ayah tiada. Aku jenguk keliling, “Ayah?” aku panggil, tiada sahutan.

Dan aku dengar bunyi mendengus kat tepi telinga aku, rapat. Aku menoleh. Aku nampak lagi perempuan tua jelmaan mak mertua aku. Tapi kali ni rupanya agak menyeramkan. Dia tunduk, rambutnya tak lagi bersisir rapi, tapi mengerbang hingga menutupi wajahnya. Tangannya dihulurkan ke depan, hitam seperti arang yang terbakar.

“Za? Kamu buat apa kat situ?” Mak aku melaung nama aku dari arah dapur. Aku dengar mak aku berlari menghampiri aku, lalu menarik aku masuk ke dalam rumah dan mengunci pintu.

“Mak, benda tu masih ada kat situ,” kataku.

“Biarkan dia. Kamu tu dalam pantang, kamu tahu tak bahayanya kamu tengok benda-benda macam ni masa dalam pantang.” Kata mak aku seperti kesal kerana membiarkan aku.

“Tapi dia nak ambil Izzuddin,” kataku dengan agak kuat.

“Amir! Ooo Amir! Dah bangun ke belum?” mak aku melaung kat dalam rumah, memanggil Amir.

Amir membuka pintu biliknya sambil mengesat mata.

“Dah, bangun bangun. Ayah kamu ke masjid. Tolong tengok Kak Lang kamu ni. Mak nak solat kejap. Lepas tu nanti kamu pulak solat,” kata mak sambil memegang tangan aku dan menyuruh aku duduk di sofa. Amir duduk kat tepi aku. Kenapa pula beriya diorang ni nak kawal aku?

Aku bangun. “Kak Lang nak ke mana pula?” Amir tanya aku.

“Akak nak buang air.” Sahutku sambil melangkah perlahan ke bilik air dapur sendirian.

Aku tolak pintu bilik air. Dan ternyata di situ juga ada jelmaan mak mertua aku. Aku terkejut dan rasa tubuh aku menggigil. Aku jatuh terduduk, sakitnya Tuhan je yang tahu.

“Ya Allah Kak Lang. Kenapa ni?” Amir muncul bila dia dengar aku jatuh. Dia cuba bantu aku untuk bangun, tapi kaki aku sakit, tak boleh bangun. Aku mengerang kesakitan. Amir dah buat muka panik. Risau agaknya tengok aku macam tu. Lagi risau nanti kena marah dengan mak aku.

Selesai solat subuh, mak aku terus berlari ke dapur. Menjerit mak aku tengok aku jatuh terduduk macam tu. Darah mengalir agak banyak. “Ya Allah Za. Amir kan mak dah cakap, jangan biar Kak Lang seorang,” mak aku membebel.

“Kak Lang kata dia nak buang air. Takkanlah Amir nak ikut sekali,” sahut Amir rasa bersalah.

“Assalamualaikum,” ayah aku bagi salam dari luar. Amir berlari ke pintu, membuka pintu dengan wajah cemas.

“Kenapa ni?” ayah aku tanya Amir.

“Kak Lang jatuh kat bilik air. Darah banyak,” kata Amir mengadu.

“Ya Allah, macammana boleh jatuh?” Ayah aku berlari ke bilik air dapur.

“Angkat dia masuk kereta. Kita bawa ke hospital,” kata ayah aku. Menjerit aku menahan sakit ketika Amir dan ayah angkat aku. Perut aku terasa macam nak pecah, sakit. Berkali ganda sakit dari senggugut dan kontraksi nak bersalin. Dengan susu aku membengkak, sakit juga.

“Amir ikut ayah, awak jaga Izzuddin.” Kata ayah memberi arahan.

“Benda tu takkan datang kacau ke?” mak aku tanya.

“Saya tak pasti. Tapi keadaan Mirza ni, kita tak boleh bertangguh. Takut nanti lebih mudarat. Anjang akan datang pagi ni. Semalam dia dah cakap,” kata ayah.

Mak diam, terpaksa akur. Tiada pilihan lain.

Mujurlah jalan tak sesak. Dua puluh minit aku sampai di hospital. Doktor yang memeriksa aku geleng-gelengkan kepala.

“Puan baru bersalin tiga hari. Tak boleh lasak sangat. Sekarang ni jahitan terbuka semula. Luka berdarah balik ni. Kami terpaksa jahit semula ye,” kata doktor. Aku pun takde pilihan. Serahkan diri sekali lagi untuk dijahit hidup-hidup.

Doktor juga beri aku suntikan sebab nak hilangkan bengkak susu. Doktor kata, aku kena bagi anak aku minum susu, sekurang-kurangnya 2 jam sekali. Kalau anak tidur, kejutkan bagi minum susu. Kalau tak, susu akan bengkak. Aku anggukkan aje la. Takkan nak cerita ada hantu ganggu aku dan anak aku kat rumah kan.

“Kami terpaksa tahan kamu di wad sementara. Kena pantau sebab kamu kehilangan darah yang agak banyak. Nanti minta sesiapa bawakan anak kamu ke sini. Dia perlu minum susu,” kata doktor.

“Semalam anak saya jatuh. Nanti doktor periksa dia ye,” kataku.

“Jatuh kat mana? Macammana boleh jatuh?” doktor perempuan cina tu bertanya.

“Saya campak kat luar tingkap,” kataku. Doktor tu pandang aku tanpa berkelip. Jururawat yang bersama dengannya pun memandang aku tanpa berkelip.

“Puan datang sini tadi dengan siapa?”doktor tu tanya.

“Dengan ayah,” sahutku.

“Suami?” doktor tu tanya.

“Suami kat rumah mak dia. Ada masalah sikit,” sahutku.

“Nurse, hantar pesakit ke katil depan, untuk pantauan. Panggilkan ayahnya datang, saya nak cakap sikit,” kata doktor tu memberi arahan. Jururawat tadi anggukkan kepala lalu menolak katil aku masuk ke wad.

Seketika kemudian, aku nampak ayah aku masuk ke wad. Doktor cina tadi berbual dengan ayah. Aku nampak ayah aku kejap geleng kepala, kejap angguk kepala. Tak lama ayah berbual dengan doktor tu, ayah datang ke katil aku.

“Sejam dua lagi Azhar sampai. Ayah dah call dia tadi.” Kata ayah aku. Aku anggukkan kepala.

“Ayah, Za nak Izzuddin,” kataku.

“Nanti ayah bawa dia ke sini. Tapi sebelum tu, Za kena kuatkan semangat. Kalau Za sendiri lemah, macammana Za nak jaga Izzuddin?” kata ayah aku, memandang tepat ke wajah aku dengan sayu.

“Za tak lemah. Tapi benda tu kacau Za. Dia yang paksa Za campak Izzuddin kat luar tingkap,” kataku.

“Za tak campak Izzuddin pun. Izzuddin elok je tidur. Perasaan Za je. Za jangan biarkan benda tu menakut-nakutkan Za. Bahaya untuk Za yang baru lahirkan anak macam ni,” kata ayah aku.

“Ayah, Za masih ingat jelas, Za campak Izzuddin ke luar tingkap. Masa tu ayah sedang bercakap dengan jelmaan mak mertua Za dan ada dua orang lelaki berkelubung hitam kat laman rumah. Lepas tu, Kak Chik pula kena rasuk.” Kataku.

“Za, semua tu perasaan Za je. Takde siapa kena rasuk. Takde siapa datang ke rumah jumpa ayah semalam. Takde apa-apa yang terjadi semalam,” kata ayah. Aku pandang ke lain. Kenapa ayah seperti tak percaya apa yang aku cakap sedangkan aku yakin ayah berada bersama aku dan melihat semua yang terjadi semalam.

“Za nak jumpa Izzuddin,” kataku sebak. Air mata mengalir perlahan di pipi aku.

“Za, ayah dah cakap, Za tak boleh sedih dan banyak fikir masa ni. Za kena waraskan fikiran Za. Macammana nak jaga Izzudin kalau Za sendiri macam ni. Tambahan Za pula beritahu kat doktor, bahawa Za dah campak Izzuddin. Doktor akan rekod semua tu. Za sihat sebenarnya, tapi fikiran Za bercelaru. Jiwa Za sedang kacau. Za kena tenangkan diri, banyakkan rehat, jangan banyak fikir. Zikir selalu. Supaya syaitan menjauh,” kata ayah.

Aku taknak berbalas cakap dengan ayah lagi. Aku baring dan terlena.

Bila aku sedar, mak berdiri di tepi aku sambil dukung Izzuddin. Mak Limah, bidan kampung yang sepatutnya mengurut aku haritu, pun ada sama.

Aku terus bangun. Mak letak Izzuddin di riba aku. Izzuddin merengek-rengek sambil mengangakan mulutnya, tercari susu. Lapar sungguh rupanya. Tenang rasanya bila lihat Izzuddin sihat, takde kesan cedera langsung lepas aku campak dia semalam.

“Mak, semalam Za campak Izzuddin kat tingkap kan?” aku tanya mak. “Mana ada,” mak jawab.

“Semalam ada orang datang jumpa ayah kat halaman kan? Satu jelmaan mak Azhar, dua lagi lelaki berkelubung hitam,” aku tanya.

“Takde Za. Dari semalam kamu dok meracau cakap pasal ni. Takde semua tu. Jangan fikir sangat,” kata mak sambil pandang Mak Limah.

“Mak Limah rasa perut sikit boleh?” Mak Limah tanya. Aku anggukkan kepala. Mak Limah berdiri di belakang aku, menghulurkan tangannya dari belakang dan menekan-nekan perut aku. Aku rasa seperti ada suatu benjolan di dalam perut aku yang bergerak-gerak bila perut aku ditekan oleh Mak Limah.

Dari perut, tangan Mak Limah terus ke bahagian belakang. Jari Mak Limah menggosok di bahagian tulang belakang, dari bawah membawa ke atas, sehingga belakang leher aku dan terus ke dahi. Mak Limah mengurut dahi aku seketika. Lepas tu melepaskan.

Dari belakang aku, aku dengar mak tanya Mak Limah. “Macammana?”

“Ada ni. Kena urut, kena bagi mandi. Tak boleh biar, nanti takut mudarat. Anak sulung ni lagi bahaya,” kata Mak Limah.

“Apa yang ada Mak Limah?” aku tanya.

“Takde apa. Kamu sihat. Alhamdulillah. Tapi badan dah penuh angin. Sebab tu kamu rasa lemah. Kena berurut. Nanti balik rumah, Mak Limah urutkan ye,” kata Mak Limah.

Aku anggukkan kepala. Tapi aku masih rasa seperti mereka menyimpan satu rahsia mengenai aku, yang mereka taknak aku tahu.

– Bersambung –

One thought on “MERTUA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s