MERTUA

Bab 8

“Nampak jelmaan mak Azhar. Dia nak ambil Izzuddin,” sahutku.

“Ya Allah, benda tu mengikut ke sini ke?” mak menyampuk dari luar pintu.

“Benda apa mak?” Aisyah bertanya.

“Takde apa, kau pergilah kerja. Nanti lambat pula,” sahut ayah sebelum mak aku menyahut.

Aisyah memandang mak aku. Mak aku buat isyarat suruh Aisyah pergi kerja. Aisyah kembali ke biliknya, menyambung kerjanya yang terhenti tadi.

“Ayah! Ayah!” tiba-tiba Amir memanggil dari ruang tamu. Ayah aku bergegas keluar.

“Awak tungu Mirza,” pesan ayah kat mak yang masih mendukung Izzudin di muka pintu bilik.

“Kenapa?” aku dengar ayah aku bertanya Izzuddin.

“Ada makcik tua kat depan rumah. Dia tunduk je sambil kuis-kuis tanah dengan kaki,” aku dengar Amir menyahut.

“Apa pulak kali ni?” mak merungut. Aku ambil Izzuddin sebab nampak macam dia dah mula merengek. Mak betulkan paku yang menyucuk sanggul kat kepala aku.

“Macammana benda tu boleh ikut sampai sini mak?” aku tanya mak aku.

“Kamu jangan fikir. Biar ayah kamu yang fikir. Kamu tu zikir jangan tinggal. Baca apa-apa surah yang kamu tahu. Jangan leka langsung. In Shaa Allah, takde apa. Allah tu Maha Kuat,” kata mak aku.

“Kau nak apa?” aku dengar suara ayah agak kuat di laman rumah. Mak membuka kecil tingkap di bilik aku yang menghala ke halaman rumah. Mak intai dari situ.

“Mak, ayah bercakap dengan siapa tu? Macam nak gaduh je,” tiba-tiba Aisyah muncul di bilik.

“Ish, mak pun tak tahulah. Kamu nak pergi kerja pukul berapa ni? Nanti lambat,” kata mak.

“Mak, dalam keadaan macam ni, tak tahulah macammana nak pergi kerja. Hati ni rasa gelisah tak menentu. Tambah ayah menjerit macam tu malam-malam ni,” kata Aisyah. Aku dan mak berpandangan sesama sendiri.

Aisyah menjenguk melalui tingkap yang terbuka kecil. “Siapa tu?” Aisyah bertanya.

“Ayah kamu la,” mak aku menjawab.

“Tak, yang tiga orang lagi tu?” Aisyah bertanya.

“Tiga orang?” aku dan mak bertanya serentak. Mak terus menjenguk keluar tingkap.

“Mana? Mak nampak ayah kamu je,” kata mak aku.

“Iyelah, Aisyah nampaklah ayah yang pakai baju melayu biru tu. Yang kat depan ayah tu, yang berselubung kain kelabu tu. Nampak seorang macam nenek kebayan je. Yang dua orang lain berkelubung hitam tu siapa?” Aisyah bertanya. Mak aku memandang ke halaman dengan dahi berkerut.

Aku letakkan Izzuddin di atas tilam. Lalu aku bangun dan menyelit di antara mak dan Aisyah, untuk melihat ke halaman. Aku nampak apa yang Aisyah nampak. Perempuan tua yang Aisyah kata macam nenek kebayan itulah jelmaan mak mertua aku. Tapi aku tak pernah nampak dua orang lagi yang berkelubung hitam tu.

“Kak Lang nampak tak apa yang Aisyah nampak?” Aisyah tanya aku. Belum sempat aku menjawab, mak menoleh kepada aku.

“Kamu jangan tengok. Berapa kali dah mak cakap, jangan tengok. Pergi sana jaga Izzuddin tu,” kata mak.

Aku akur, kembali ke katil dan duduk di situ sambil melihat wajah tenang Izzuddin yang lena. ‘Kenapa anak kecil ini yang direbutkan? Apa salah dia? Yang berjanji keturunan terdahulu tapi kenapa anak yang tak tahu apa-apa ini yang perlu dikorbankan?’ desis hati kecil aku.

“Kami tuntut janji. Kami tak ambil anak cucu kamu. Kami cuma nak berdamai. Hubungan yang putus dulu, ingin kami satukan semula. Tiada apa yang berubah, kita hanya bersatu semula,” aku dengar satu suara lelaki yang agak jelas.

“Kami tak pernah berjanji dengan mana-mana makhluk di alam kamu. Kenapa tuntut pada kami? Pergilah kepada orang yang memberi janji,” sahut ayah.

“Kring! Kring!” tersentak kami bertiga di dalam bilik tu bila telefon aku tiba-tiba berbunyi. Aku ambil telefon aku. Nama Pak Anjang tertera di skrin telefon. Aku memberi salam.

“Ayah dengan mak kamu mana? Dua-dua pun tak jawab telefon. Berapa kali dah Pak Anjang call,” bebel Pak Anjang dalam talian.

“Ayah kat laman rumah. Ada orang datang,” sahutku, tak tahu nak cakap apa.

“Jelmaan mak mertua kamu, dengan dua orang lelaki berjubah hitam?” Pak Anjang bertanya.

“Iya.” Sahutku pendek.

“Patutlah,” aku dengar suara Pak Anjang. Aku diam je.

“Bagi Pak Anjang cakap dengan mak kamu. Kamu tu zikir, jaga anak. Jangan leka sikitpun. Tutup tingkap pintu semua. Ambil Al-Quran letak kat tepi anak.” Kata Pak Anjang.

“Baik,” sahutku sambil menghulurkan telefon kepada mak. Mak menjawab dan terus keluar dari bilik.

“Kak Chik, tutup tingkap tu. Jangan tengok lagi,” kataku. Aisyah tutup tingkap lalu duduk disebelah aku. Rapat.

“Kau tak pergi kerja ke? Dah lambat ni,” kataku sambil melihat jam dinding dah pukul 9.30 malam. Setahu aku, syif Aisyah bermula pukul 10 malam.

Aisyah tak menjawab. Aku pandang Aisyah. Terkejut aku, Aisyah sedang pandang aku, tepat. Lain macam pandangannya. Mata hitamnya mengecil sedikit dari biasa. Mungkin sebab dia pakai contact lense.

“Kau dah kenapa ni Kak Chik?” aku tanya sambil menjarakkan sedikit badan aku dari Aisyah.

“Aku cuma nak berkawan, salah ke?” Aisyah bersuara, tapi suara orang tua.

Masa ni aku dah rasa lain macam. Aku terus angkat Izzuddin. Aku cuba melangkah keluar bilik. Tapi tak sempat aku sampai ke pintu, Aisyah dah berada di depan pintu bilik. Pintu bilik tertutup rapat.

Badan Aisyah terapung, lebih kurang dua jengkal jarak kakinya dengan lantai. Dia masih menatap tepat ke muka aku. Ah sudah! Apa aku nak buat? Aku memang rasa badan aku lemah. Tadi aku rasa aku akan cuba kuatkan diri kalau bertembung dengan jelmaan mak mertua aku semula. Tapi sekarang yang berada di depan aku adalah adik aku sendiri.

“Kak Chik! Istighfar. Kau dah kena rasuk ni,” aku beranikan diri bersuara.

“Setujulah untuk berdamai denganku. Aku pulangkan adikmu, dan kamu semua akan mendapat kebaikan dari hubungan ini,” Aisyah bersuara garau.

“Tak, aku tak mahu berhubungan dengan kamu. Lepaskan aku, lepaskan anak aku, lepaskan adik aku,” aku masih menyahut walaupun suara aku terketar-ketar.

Aisyah merapati aku. Aku cuba mengundur tapi kaki aku melekat di lantai. Aisyah sentuh belakang leher aku, dan memicit leher aku. Tak sakit tapi aku rasa sejuk, macam badan aku dilumur dengan ais batu.

Daun tingkap di belakang aku terbuka sendiri. “Sana, letakkan anak kamu di sana. Semua akan selesai,” kata Aisyah. Bagai dipukau, aku berjalan ke arah tingkap yang terbuka. Aisyah mengikut.

“Letakkan anak kamu di sini,” kata Aisyah sambil tangannya menunjukkan ke arah luar tingkap. Aku tahu itu salah, tapi seperti ada yang menggerakkan tangan aku, lalu menghalakan tubuh Izzuddin keluar tingkap.

“Lepaskan,” kata Aisyah. Dan aku lepaskan Izzudin!

Sebaik aku lepaskan Izzuddin dari tangan aku, aku terduduk. Mak dan Amir masuk ke dalam bilik, merenjis sesuatu ke arah Aisyah. Aisyah menjerit dan menggelupur lalu jatuh ke lantai dan terus tak sedarkan diri.

Mak pegang aku. “Mak, Za dah lepaskan Izzuddin ke bawah. Mak, tolong mak. Izzuddin dah jatuh ke bawah,” aku menangis bagai diserang histeria. Aku menjerit sekuat hati. Aku dah tak boleh kawal diri aku.

“Za, istighfar. Istighfar Za,” mak aku memujuk.

“Mak, Izzuddin jatuh ke bawah mak. Za sendiri campak anak Za ke bawah,” aku terus meraung. Mak aku peluk aku.

Amir menghulurkan mangkuk yang dibawanya tadi kepada mak. Mak ambil mangkuk tu, mencelup jarinya ke dalam air di dalam mangkuk tersebut, lalu menyapu ke muka aku. Aku dengar mak aku berselawat. Aku dengar semua. Tapi aku masih tak dapat lupakan bahawa aku sendiri campak anak aku keluar tingkap.

“Kak Lang, Izzuddin ada kat situ. Kak Lang jangan risau,” kata Amir sambil menunjukkan Izzuddin yang berada di atas katil.

Aku tersentak. Eh, rasanya aku dah campak Izzuddin keluar tingkap tadi. Aku nak pergi kepada Izzuddin tapi mak aku tahan. Mak ajak aku keluar dari bilik.

“Mak, Za nak tengok Izzuddin. Dia lapar,” kataku.

“Dia tengah tidur, biarkan dia tidur. Kita keluar sekejap,” kata mak memapah aku keluar dari bilik. Aku pandang Aisyah yang masih tak sedarkan diri di tepi dinding.

“Nanti Kak Chik sedar, dia campak Izzuddin keluar,” kataku masih enggan menurut mak aku keluar bilik.

“Jangan risau, Amir akan bawa Aisyah keluar. Sekarang, Za ikut mak keluar bilik. Kita ambil angin. Bilik ni sempit, panas pun sama,” kata mak aku masih memujuk.

Aku rasa geram kerana mereka memaksa aku. Aku tolak mak aku dan cuba berlari ke arah Izzuddin tapi Amir lebih cepat bertindak. Dia terus memegang aku dan memaksa aku keluar dari bilik.

Aku nampak mak menangis. Dan tiba2 aku rasa lemah bila lihat mak bersedih macam tu. Maka, walaupun dengan berat hati, aku menurut. Mak suruh aku duduk di atas sofa.

Ayah masuk melalui pintu beranda lalu terus masuk ke dalam bilik aku.

“Kenapa ayah masuk bilik Za? Nanti ayah campak Izzuddin kat tingkap,” kataku cuba bangun untuk masuk ke bilik. Amir menahan aku, mak pegang tangan aku. Tangan mak menggigil.

“Tak Za, ayah sayang Izzuddin tu. Ayah takkan campak cucu dia. Za tenang. Istighfar. Ingat Allah,” mak aku pegang tangan aku erat seperti taknak bagi aku bergerak dari situ.

Seketika kemudian ayah keluar dari bilik aku. “Ayah buat apa kat Izzuddin?” aku tanya dengan nada keras. Hati aku rasa ada sesuatu yang tak kena. Entah kenapa aku rasa mereka semua berpakat nak bunuh Izzuddin. Atau nak serahkan Izzuddin kepada jelmaan mak mertua aku yang menunggu di luar rumah.

“Ayah tak buat apa-apa. Jangan risau.” Kata ayah sambil menghampiri aku. Ayah pandang mak aku, semacam memberi suatu isyarat. Mak aku anggukkan kepala.

Ayah pegang belakang leher aku. Dan masa ni aku rasa panas. Aku menoleh cuba nak tepis tangan ayah tapi mak aku terlebih dahulu dah pegang dan kunci tangan aku. Dari belakang leher, tangan ayah terus mengusap muka aku dan berhenti di dahi. Masa ni pandangan aku berpinar. Semuanya nampak samar-samar. Dan makin kelam, lalu aku terus tak sedar.

– Bersambung –

One thought on “MERTUA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s