MERTUA

Bab 6

Mak mertua aku terus gelengkan kepala. Dia nampak yakin.

“Cik Yah tahu tak apa yang kami nampak?” ayah tanya lagi.

Mak mertua aku gelengkan kepala sekali lagi.

“Kami nampak jelmaan makhluk seperti Cik Yah, tapi dalam rupa yang menakutkan.” Kata ayah lagi.

“Ada keluarga yang menyimpan saka keturunan ke?” Mak aku pula bersuara.

“Takde rasanya,” mak mertua aku menyahut.

“Kalau Cik Yah taknak beritahu kami, saya pun taknak ambil risiko ke atas anak perempuan dan cucu saya. Saya terpaksa bawa Mirza dan Izzuddin balik ke rumah kami. Mereka tak selamat di sini,” kata ayah, tegas.

“Dia tak tahu apa-apa,” tiba-tiba Pak Anjang bersuara.

“Apa maksud Anjang?” ayah tanya.

“Benda ni jagaan keturunan terdahulu. Tak sampai kepada dia.” Kata Pak Anjang.

“Habis tu, kenapa bersusuk tubuh dan rupa seakan dia?” ayah aku tanya.

“Kerana dia waris terakhir sebelum ‘benda’ tu disingkirkan tapi tak dihantar pulang ke tempatnya. Kerja tak selesai, janji anak keturunan tak diganggu. Tak peduli dengan akibat kepada orang lain,” rungut Pak Anjang.

“Maksud kau Anjang?” ayah masih tak faham.

“Cik Yah ada simpan tepak sirih berwarna kuning?” Pak Anjang bertanya. Mak mertua aku mengerutkan dahinya, mungkin berfikir.

“Ada,” Salmah menjawab.

“Ambil tepak sirih tu,” kata Pak Anjang. Salmah bangun lalu masuk ke bilik mak mertua aku dan keluar semula membawa satu tepak sirih berwarna kuning di tangannya.

“Mana dapat tepak sirih ni?” Pak Anjang bertanya.

“Ini turun temurun dari nenek moyang saya yang dulu. Mak saya kata dah banyak keturunan dah tepak ni,” sahut mak mertua aku.

“Pernah buka dan tengok apa isinya?” Pak Anjang tanya.

“Dulu pernah sekali. Kosong je kat dalam tu. Lepas tu, simpan je. Tak pernah guna pun,” kata mak mertua aku.

“Sekarang cuba buka,” kata Pak Anjang.

Mak mertua aku membuka penutup tepak sirih tersebut. Lalu menunjukkan ke arah kami semua. Memang kosong kat dalamnya. Hanya berlapis dengan kain sutera yang juga berwarna kuning.

“Bukan ke tepak sirih selalunya ada beberapa bekas besi kecil di dalamnya, untuk isi kapur dan beberapa bahan lain?” mak aku bertanya.

“Entah. Masa saya dapat, memang macam ni, Sebab tu tak pernah guna,” sahut mak mertua aku.

“Sebab kat dalam tu, ada ‘benda’ lain yang tinggal. Jadi tak boleh letak barangan lain,” kata Pak Anjang.

“Benda? Takde apapun,” kata mak mertua aku sambil membelek tepak sirih tersebut.

“Tarik pelapik kuning tu. Tengok apa ada kat bawahnya,” kata Pak Anjang.

Mak mertua aku terus menarik kain kuning yang melapik bahagian dalam tepak sirih tu. Sebaik kain kuning ditarik, wajah mak mertua aku bertukar. Dia mencampak tepak sirih tersebut dan mengundur sedikit dari tempat duduknya yang tadi.

Aku cuba menjenguk, tapi mak halang aku. Ayah pun larang aku tengok. Ayah ambil tepak sirih tu lalu melihat ke dalamnya. Wajah ayah pun berubah.

“Ada apa kat dalam tu?” Azhar bertanya lalu menghampiri ayah aku. Ayah memberikan tepak sirih tu kepada Azhar. Azhar melihatnya dan wajah dia pun berubah.

“Selama hari ni, benda ni ada kat dalam rumah kami?” Azhar bertanya.

“Ya, selama mana tepak sirih itu disimpan oleh mak kamu, selama itulah benda tu berada bersama kamu,” kata Pak Anjang.

“Tapi kami tak buat perkara syirik. Kami solat, puasa, mengaji. Tak pernah diganggu,” kata Azhar.

“Sebab keturunan kamu yang terdahulu, mungkin nenek kamu, dah menghentikan ‘benda’ ni dari terus mewarisi keturunan kamu. Mungkin mak kamu adalah waris yang sepatutnya menerima ‘belaan’ ini. Sebab itu wajahnya dah menyerupai mak kamu. Tapi nenek kamu dah hentikannya. Hentikan dari mewarisi keturunan kamu, menghijabkan ‘benda’ ini dari pandangan keturunan kamu. Sebab itu kamu semua tak nampak ‘benda’ ni. Dan ‘benda’ ni pun tak boleh ke mana-mana sebab dah dikurung. Apa yang nenek kamu lupa ialah, hanya keturunan kamu yang tak nampak, dia lupa bahawa akan ada satu ketika, orang luar akan masuk ke dalam keluarga kamu. Lepas tu ‘benda’ ni dikurung. Kurungan itu tak menghantar ‘benda’ ini balik ke tempatnya. Pada pemahaman kita mungkin kurungan, tapi pada ‘mereka’ ianya adalah simpanan. Akan sampai satu ketika, ‘benda’ ni akan berjumpa dengan tuannya.” Kata Pak Anjang panjang lebar.

“Buanglah sekarang,” kata mak mertua aku, wajahnya masih cuak. Teringin sangat aku nak tengok apa benda yang berada di dalam tepak sirih tu.

Izzuddin merengek, lapar susu. Aku angkat Izzuddin, lalu menyusukannya. Jam dah pukul 3 pagi. Semua orang kat situ masih mencari jawapan.

“Tak semudah itu. ‘Benda’ ni dah terlalu lama bersama keturunan kamu. Mungkin 7 atau 8 keturunan ke atas. Kita tak tahu ‘benda’ tu berada di mana. Mungkin sedang memerhati kita,” kata Pak Anjang, buatkan bulu roma aku meremang.

“Dah, jangan cakap lagi. Ada semangat yang lemah di sini. Mudah untuk ‘benda’ tu masuk,” kata Pak Anjang.

“Siapa tuan barunya?” mak mertua aku terus bertanya. Pak Anjang tak menjawab, tapi dia menunjukkan ke arah Izzuddin yang berada di pangkuan aku.

“Kerana dia adalah keturunan kamu,” kata Pak Anjang.

“Tapi menantu saya yang lain tak pernah pun bercakap pasal hal ni,” kata mak mertua aku.

“Mereka dah ada anak ke?” Pak Anjang bertanya.

“Tak, beberapa kali keguguran,” kata mak mertua aku perlahan seperti baru perasan akan perkara itu.

“Dulu masa Kak Mira tinggal dengan kita, dia pernah cakap ada makcik tua selalu perhatikan rumah ni dari arah dusun belakang sana. Kak Mira pernah tegur, tapi makcik tua tu tak pernah jawab. Kak Mira nak menghampiri makcik tua tu, tapi walau Kak Mira jalan, seakan Kak Mira tak bergerak. Seperti Kak Mira berjalan setempat.” Kata Salmah.

Kak Mira adalah biras aku. Menantu perempuan mak aku yang ketiga sebelum munculnya aku sebagai menantu perempuan keempat dan terakhir kat dalam rumah ni. Aku diberitahu oleh mak mertua aku bahawa semua menantunya tak tinggal sekali dengannya kerana adab aurat dengan Azhar. Azhar bukan mahram dengan mereka. Manakala aku pula, semua dah jadi mahram aku. Dah takde lelaki lain kat dalam rumah tu selain Azhar. Itulah yang aku faham.

Kak Mira dan Kak Nurul iaitu menantu kedua dalam rumah ni, pernah pesan kat aku, kalau boleh, keluarlah tinggal berasingan. Tak perlu tinggal sekali. Mereka kata supaya tak menyesal kemudian hari. Katanya ada banyak rahsia dalam rumah ni yang mana tuan rumah sendiri tak sedar. Tapi bila aku tanya apa rahsianya, takde siapa nak beritahu aku. Mereka hanya kata, lambat laun aku akan tahu. Aku pula berbelah bahagi dengan kehendak Azhar yang perlu menjaga mak dan adik perempuannya. Betullah tu, dah semua anak lelaki keluar, siapa yang jaga yang perempuan kat rumah. Sebab itu aku akur untuk tinggal dengan mak mertua aku. Lagipun mak mertua aku baik sangat, setaraf baiknya dengan mak aku sendiri.

“Takde siapa pernah cerita perkara ni kat mak pun,” kata mak mertua aku sambil pandang Salmah.

“Iyelah, sebab kami rasa perkara tu tak memudaratkan. Lagipun Kak Mira nampak makcik tua tu kat luar rumah. Cuma Kak Za ni yang nampak jelmaan mak kat dalam rumah, makin dekat pula,” kata Salmah.

“Fikirkan, mesti ada benda pelik yang terjadi atau yang kamu tahu, nenek kamu dulu lakukan. Atau nenek kamu pernah ceritakan apa-apa tentang keturunan terdahulu.” Kata Pak Anjang.

“Saya tak ingat sangat. Cuma dulu nenek saya, maknanya moyang mereka ni, selalu letak Al-Quran di bawah tilam tempat dia tidur di bahagian kaki. Mak saya kata perkara itu salah. Tapi nenek saya kata itu pendinding. Lagi satu, nenek saya simpan banyak lukisan-lukisan yang dibentuk dari ayat Al-Quran, dilukis menjadi bentuk ular, bentuk orang sedang duduk bertafakur, bentuk kuda berkepala manusia, macam-macam bentuk lagi. Kebanyakannya bentuk haiwan. Tapi ianya dari ayat Al-Quran. Ianya lukisan tangan,” kata mak mertua aku.

“Itulah namanya tangkal. Tangkal pemberian jin. Kononnya untuk menjaga keselamatan, menjadi pelindung. Macam tak percayakan Allah yang Satu untuk beri perlindungan,” kata Pak Anjang.

“Ilmu orang dulu-dulu, nampak elok melalui alasannya kenapa dia berbuat demikian. Tanpa kita sedar, sebenarnya mereka sedang dimanipulasi oleh jin kafir ni untuk mensyirikkan Allah. Kelihatannya seperti ia membawa kebaikan tapi sebenarnya ia menjurus ke arah kemusnahan. Saya pasti, masih banyak tangkal tu kat dalam rumah ni,” kata Pak Anjang.

Mak mertua aku diam.

“Ada penuntut ilmu ni, menanam tangkal di bawah tiang rumah. Rumah pula dah diduduki oleh lima enam keturunan. Apa hukumnya?” Pak Anjang berkata kesal.

“Tangkal tu tak semestinya sekadar lukisan, ada pengamal yang menuliskan beberapa surah Al Quran, lalu dilumurkan dengan najisnya sendiri dan menanamnya di bawah rumah. Semestinya keturunan yang terkemudian tak sedar perkara tu. Ada juga yang menanam ayat Al-Quran di bawah mangkuk tandas. Nauzubillahi min zaalik. Syirik!” kata Pak Anjang, nadanya masih kesal dan marah.

Semua yang berada di situ terdiam seribu bahasa. Tak tahu nak kata apa.

“Jadi, sekarang kita nak buat macammana?” Mak mertua aku bertanya.

“Takkan nak runtuhkan rumah ni pulak,” sahut Salmah.

“Kena carilah kat mana puncanya. Kat mana tempat kurungannya.” Kata Pak Anjang.

“Kami tak tahu langsung,” kata mak mertua aku.

“Tanyalah pada menantu kamu yang lain, mesti ada  di antara mereka yang tahu kerana mereka boleh nampak.” Kata Pak Anjang.

Mak kembali terdiam.

“Buat masa ni, biarlah Mirza dan anaknya ikut maknya balik ke kampung. Tak sesuai keadaan di sini untuk mereka berada di dalam rumah ini. Sebab ‘benda’ tu dah mula menunjukkan rupa,” kata Pak Anjang.

“Macammana dengan kami?” Salmah bertanya.

“Seperti yang saya dah kata tadi, benda tu dah dikunci oleh nenek kamu agar tidak mengganggu kamu sekeluarga. Mungkin niatnya baik tapi apa yang dibuatnya itu sebenarnya membuatkan ‘benda’ tu semakin berkuasa di dalam keluarga ini. Kerana kamu tak nampak, jadi dia berleluasa,” kata Pak Anjang.

“Tapi saya minta tolong untuk buang atau buatlah apa saja supaya benda tu dah betul-betul tiada dalam keluarga kami,” kata mak mertua aku. Pak Anjang diam.

“Kita panggil Pak Long Ayub untuk tolong, boleh ke?” ayah aku bertanya. Pak Long Ayub tu datuk saudara aku, abang kepada arwah datuk aku.

“Kita kena jumpa dia la,” kata Pak Anjang.

“Saya minta tolong sangat. Saya pun taknak benda ni ada dalam keluarga kami. Mujur perkara ni terjadi, kalau tak, kami tak tahu pun kewujudan benda ni,” kata mak mertua aku lagi.

– Bersambung –

One thought on “MERTUA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s