MERTUA

Bab 5

“Ayah masih nak pergi ke rumah Pak Anjang ke?” aku tanya ayah yang sedang duduk di kerusi sebelah aku. Ayah macam banyak berfikir, termenung je sejak tadi. Lepas kejadian tadi, keadaan kembali tenang. Tapi ayah nampak serabut. Mak aku pun sama, risau je mukanya.

“Mak mertua kamu ada bela saka ke?” Mak berbisik tanya aku.

“Hish awak ni. Kawal sikit mulut tu. Kita kat rumah orang ni,” kata ayah perlahan sambil menjeling kat mak. Aku pula panjangkan leher menjenguk keliling, risau kalau mak mertua aku terdengar. Tapi setahu aku, mak mertua aku dan Salmah berada di dapur. Azhar solat isya’ di bilik.

“Ayah tidur sini je la malam ni ye. Za nak minta izin dari Azhar, nak ikut mak balik kampung. Nak berpantang di kampung,” aku bersuara, perlahan.

“Pulak. Haritu kata nak berpantang kat sini. Kecik hati mak mertua kamu nanti,” kata mak.

“Banyak benda Za nak cerita, tapi macam tak elok pulak nak cerita kat sini. Nanti mak mertua Za dengar, dia kecil hati pula,” kataku perlahan.

“Kenapa?” mak tanya.

“Dah dah. Ayah dah minta Pak Anjang datang sini. Ayah dan Pak Anjang berjaga kat luar rumah.” Ayah menahan aku dan mak dari terus bercerita. Risau ada yang terdengar dan berkecil hati nanti.

Lega hati aku mendengarnya. “Eloklah tu. Biar saya tidur dengan Za kat ruang tamu ni ha. Beranak anak pertama ni bukannya senang, tak biasa lagi,” kata mak aku.

“Haah, Zaimah dah biasa bercucu. Macam akak ni, tak pernah merasa lagi. Kata orang, kasih kat anak tak sama macam kasih kat cucu. Iye ke?” Tiba-tiba mak mertua aku muncul dari arah dapur menatang dulang berisi teko dan cawan.

“Memang tak sama, kalau dengan anak ni, senang je kita nak naik angin. Tapi bila dengan cucu, rasanya tu tak sama. Nak marah tak sampai hati. Sebab rasa dia kecil lagi. Kena pula dia gelak, Ya Allah, hilang seribu duka,” kata mak menyahut.

“Cik Borhan, minum le air teh kosong ni. Buat panaskan badan malam-malam ni,” pelawa mak mertua aku sambil meletakkan dulang yang dibawanya tadi di atas meja berhampiran tempat ayah duduk.

“Susah-susah je Cik Yah. Dah bagi makan sedap-sedap, hidang air panas pula,” sahut ayah.

“Apa yang susahnya. Bukan selalu,” sahut mak mertua aku.

“Saya jemput adik lelaki saya datang bermalam di sini malam ni, takpe ke? Kami tidur kat beranda luar tu je,” kata ayah.

“Eh, kenapa pula nak tidur kat luar. Kat dalam ni banyak ruang lagi. Tidur je kat dalam ni ha. Toto bantal semua ada,” kata mak mertua aku.

“Macam ni la. Saya terus terang. Sebelum tu saya minta maaf sangat. Saya terpaksa cakap. Saya rasa ada ‘benda’ mengganggu kat rumah ni.” Kata ayah perlahan. Muka mak mertua aku berubah, semacam cuak.

“Benda apa tu?” mak mertua aku bertanya.

“Saya tak pasti apa ‘benda’ tu. Tapi ada sesuatu. Saya nampak. Mirza nampak. Isteri saya nampak. Tapi Cik Yah dan anak-anak Cik Yah tak nampak. Itu yang meragukan. Sedangkan ini rumah Cik Yah. Saya minta maaf, saya tak pandai berkias kata. Saya sendiri tak pasti apa ‘benda’ tu tapi ia ada kat rumah ni,” kata ayah, lembut dan teratur seakan risau mak mertua aku tersinggung.

“Sebenarnya Cik Borhan dengan Zaimah nampak apa. Mirza?” mak mertua aku pandang aku seperti memohon penjelasan.

“Za pun tak pasti mak. Cuma macam yang Za pernah cakap kat mak, Za selalu nampak ‘mak’ kat tempat lain, sedangkan masa tu mak ada kat tempat lain. Semacam ada jelmaan mak kat rumah ni,” sahutku perlahan. Mak dan ayah aku pandang aku.

“Maknanya kamu pernah nampak ‘benda’ tu sebelum ni?” ayah aku tanya.

“Haah, Kak Za selalu kata dia nampak mak. Tapi dalam masa yang sama, mak kat tempat lain. Terutama masa kandungan Kak Za dah sarat ni,” tiba-tiba Salmah menyampuk dari arah dapur. Mak mertua aku pandang aku dan Salmah silih berganti.

“Kenapa tak cakap kat mak pun?” Mak mertua aku bertanya.

“Sal kata kat Kak Za, itu mungkin perasaan dia je,” sahut Salmah pendek. Aku terus diam.

Azhar keluar dari bilik. Suasana sunyi seketika, masing-masing melayan fikiran.

“Pak Anjang sampai pukul berapa ayah?” Azhar tanya ayah aku.

“Sekejap lagi sampailah tu,” sahut ayah perlahan.

Dan tekaan ayah betul, tak sampai lima minit lepas ayah cakap macam tu, kedengaran bunyi kereta memasuki halaman rumah. Azhar terus membuka pintu dan mempelawa Pak Anjang masuk ke rumah.

“Mai minum teh dulu. Nanti kita cerita kat luar,” kata ayah. Pak Anjang hanya melihat aku dari pintu. Dia tak datang melihat Izzuddin pun.

“Orang dulu-dulu, memang takkan tengok bayi baru lahir pada waktu malam. Tambahan kalau dia baru habis perjalanan. Tak tahu apa yang mengikut dari luar,” kata mak. Mak mertua aku anggukkan kepala tanda setuju dengan apa yang mak aku cakap.

Pak Anjang tak duduk. Dia berdiri dan memandang ke arah bumbung rumah.

“Jangan letak Mirza dan baby kat situ. Letakkan kat penjuru sana, baring menghadap arah kiblat.” Kata Pak Anjang sambil menunjukkan satu penjuru di tepi bilik mak mertua aku. Tanpa banyak cakap, mak dan mak mertua aku mengalihkan tempat baring aku dan Izzuddin ke tempat yang Pak Anjang suruh.

“Dia pandai mengubat ke?” Mak mertua aku bertanya perlahan.

“Boleh la sikit-sikit,” sahut mak aku perlahan.

Mak mertua aku tak tanya banyak walaupun aku tahu banyak persoalan di dalam kepalanya. Mak aku pun tak cakap banyak sebab ayah aku dah bagi amaran supaya tak banyak tanya dan jangan banyak cerita tentang apa yang kami nampak pada waktu maghrib tadi.

Setelah minum dua tiga teguk air teh, lebih kurang jam 10 malam, Pak Anjang dan ayah keluar. Azhar nak mengikut tapi ayah suruh Azhar tidur dekat dengan aku dan Izzuddin. Ayah suruh tengokkan kami di dalam rumah.

Aku pun dah mengantuk. Terus berbaring di sebelah Izzuddin yang merengek laparkan susu.

“Kalau nak apa-apa, panggil je ye. Jangan segan-segan.” Kata mak mertua aku sambil meletakkan bantal dan selimut untuk mak aku. Azhar pula baring di sebelah kiri aku, berhampiran dengan Izzudin. Lampu ruang tamu ditutup tapi lampu dapur dibiarkan terpasang.

Mak aku bangun nak ke tandas.

“Kenapa Za tak pernah beritahu abang pun yang Za selalu nampak jelmaan mak?” Azhar tak sabar terus bertanya.

“Haritu kan Za cakap nampak mak kat hospital,” sahutku.

“Iyelah, tadi abang dengar Salmah cakap, Za memang dah selalu nampak jelmaan mak kat dalam rumah ni sebelum bersalin lagi,” kata Azhar.

“Iye. Entahlah, Za ingat itu perasaan orang yang sarat mengandung je,” sahutku.

“Lain kali, cerita kat abang,” kata Azhar.

“Masa Za turun darah nak bersalin haritu tu, ‘benda’ tu ada dengan Za. Za nak lari dari dialah, tahu-tahu nak turun darah nak bersalin,” kata-kata aku buatkan Azhar bangun duduk dan pandang aku dengan mata terbeliak.

“Prangggg” ada bunyi kaca pecah di dapur. “Mak!” aku jerit. Azhar terus bangun dan berlari ke dapur. Mak mertua aku dan Salmah keluar dari bilik.

“Siapa tu?” Mak mertua aku tanya. “Tak tahulah mak. Azhar pergi tengok. Tapi tadi mak Za pergi ke tandas,” sahutku, risau. Tapi Azhar tak bagi aku bangun. Semua orang ke dapur untuk melihat apa yang pecah. Aku risau mak aku je.

“Dia milik aku,” aku dengar suara bisikan. Aku menoleh ke arah suara bisikan itu.

Jelmaan mak mertua aku bertinggung di tepi Izzuddin. Rupanya sama seperti yang aku nampak berdiri di luar tingkap masa maghrib tadi. Dada aku sesak, aku tak boleh bernafas ataupun bersuara. Badan aku rasa kaku.

Jelmaan mak mertua aku meletakkan jarinya di pipi Izzuddin seakan seorang nenek yang melihat cucunya. Sesekali aku nampak lidahnya yang panjang, seperti menjilat tubuh Izzuddin yang berbalut dengan kain batik.

Aku menggeletar. Tak boleh menoleh apatah lagi menjerit. Jiwa aku rasa kosong, seperti direntap. Perut aku terasa ada sesuatu yang berpusing-pusing di dalamnya. Sakit.

Jelmaan itu menghampiri aku. Tangannya yang berkuku panjang, menghala ke perut aku yang berbengkung. Dia meletakkan tangannya di atas perut aku. Aku rasa panas sangat, macam terbakar. Aku rasa badan aku seperti terangkat di udara. Aku cuba istighfar, tak boleh. Kerongkong tersekat.

Dan masa ni aku dengan bunyi ketawa bayi kecil. Mengekek-ngekek. Aku tak rasa itu suara Izzuddin. Seram bunyinya. Dengan keadaan yang suram, ada jelmaan mak mertua aku yang hodoh kat depan aku, dan suara mengekek bayi kecil, semuanya membuatkan aku rasa nak muntah dan pitam.

“Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!” aku dengar suara ayah melaungkan kalimah tersebut. Dan masa ni aku rasa seperti terhentak jatuh ke lantai. Dan tiba-tiba je Izzuddin menangis kuat seperti senja tadi.

Aku buka mata, dah cerah. Mak aku, mak mertua aku, Salmah dan Azhar berada di keliling aku. Mereka pandang aku dengan wajah kerisauan.

“Ya Allah, kamu ok ke tak ni Za? Tu angkat Izzuddin tu, jangan biar matanya terbeliak pandang ke atas,” kata mak aku risau. Dia mengusap-usap kepala aku. Mak mertua aku nak angkat Izzuddin tapi dihalang oleh ayah aku. Ayah suruh Azhar angkat Izzuddin, baca Al Fatihah dan usap dari atas kepala terus turun ke dagu.

Mak mertua aku terus duduk kat tepi. Muram. Salmah memujuk mak mertua aku.

“Kan tadi ayah dah cakap, jangan tinggalkan Mirza dan bayi tu. Ada yang berkehendak,” kata ayah aku agak tegas kepada Azhar.

“Tadi dengar bunyi kaca pecah. Ingatkan mak jatuh,” kata Azhar.

“Awak pecahkan kaca ke?” ayah aku tanya mak aku. Mak aku gelengkan kepala.

“Benda tu nak alihkan perhatian kamu semua. Dia nak Mirza dan Izzuddin ditinggalkan sendirian,” kata ayah. Pak Anjang diam je, dia tak masuk rumah. Hanya berdiri kat muka pintu sambil memandang keliling.

“Betul Cik Yah tak tahu apa-apa pasal benda ni?” Ayah aku terus tanya mak mertua aku.

– Bersambung –

One thought on “MERTUA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s