MERTUA

Bab 4

Lebih kurang pukul 8 pagi, Azhar dan mak mertua aku tiba. Mak mertua aku bawa nasi panas dengan sup ikan haruan. Dia suruh aku makan sebab masih panas. Aku pun memang tengah lapar, maklumlah semalam masuk wad dah pukul 3 pagi, tak sempat nak jamah apa pun. Pagi ni hospital berikan air kopi panas dengan biskut kering, memang tak kenyang aku makan.

Sementara aku makan, mak mertua aku tengok baby. Azhar duduk kat tepi aku.

“Abang ada cakap kat mak ke, pasal saya nampak orang macam mak kat sini semalam?” aku bertanya perlahan kepada Azhar.

“Abang takde cakap kat mak lagi. Perasaan Za je kot,” kata Azhar, turut berbisik.

“Akak depan ni pun nampak subuh tadi. Dia berdiri kat tepi katil baby,” kataku kepada Azhar. Muka Azhar berubah.

“Ni baby dah buang air. Boleh balik dah ni,” tiba-tiba mak mertua aku bersuara. Aku terus diam, tak tanya dah. Terus habiskan nasi di dalam bekas. Azhar bangun dan merapati mak mertua aku yang sedang mencuci kotoran pada anak kami.

Lebih kurang pukul 9 pagi, doktor melawat pesakit. Alhamdulillah, aku dibenarkan balik. Azhar bagitahu aku, mak dan ayah aku pun dah bertolak dari kampung untuk datang ke rumah mak mertua aku, untuk ziarah cucu baru mereka.

Dari sebelah aku, mak dan ayah aku dah ada tiga orang cucu. Anak aku ni cucu ke empat mereka. Tapi masih lagi excited, sebab ini anak sulung buat aku. Aku adalah anak ketiga dari lima adik beradik. Kakak sulung aku dah ada dua anak. Abang aku dah ada seorang anak.

Salmah pun excited dapat anak saudara. Dok membelek baby je dia sejak aku balik dari hospital. “Nak letak nama apa ni kak?” Salmah bertanya.

“Mohd Izzudin bin Mohd Azhar, sedap tak?” Azhar mencelah.

“Wah, sedap nama anak kau bang,” Salmah memuji. Aku senyum je. Memang aku pakat dengan Azhar, kalau anak lelaki, dia yang beri nama. Kalau anak perempuan, aku yang beri nama.

Lebih kurang pukul 3 petang, mak dan ayah aku sampai. Mak mertua aku menyambut kedatangan besannya dengan macam-macam makanan. Kali terakhir mereka berjumpa ialah masa aku dan Azhar berkahwin dulu je la. Dah setahun dah.

“Tidur sini ke mak?” aku tanya mak aku.

“Ayah kamu nak balik. Ayam itik dia takde orang tengok,” kata mak.

“Kan Kak Long ada. Minta la Abang Long tengokkan. Sehari je pun,” sahutku.

“Segan la ayah kamu, takkan dia nak tidur sini. Mak mertua kamu tu takde suami. Dia takde geng nanti,” sahut mak.

“Alah, ramai lagi kat rumah ni. Azhar ada, Salmah ada,” kataku memujuk mak untuk tidur di rumah mak mertua aku.

“Mak dengan ayah tidur je kat sini. Guna bilik depan tu. Bukannya ada siapa tidur sana,” kata Azhar. Mak diam, serba salah. Tengok rupa, memang dia nak tidur situ. Kalau tak, takkan dia bawa baju lebih. Hahaha… Persediaan awal tu. Tapi dia pun kena hormat keputusan ayah.

“Nanti Za pujuk ayah,” kataku seakan faham apa yang bergolak di hati mak aku.

“Takpelah, kalau awak nak tidur sini. Abang boleh bermalam di rumah Anjang. Nanti Abang minta Azhar hantarkan ke sana.” Tiba-tiba ayah menjenguk. Mak senyum lebar.

Anjang tu bapa saudara aku, iaitu adik ayah aku. Dia tinggal tak jauh dari rumah mak mertua aku. Kalau naik kereta, dalam 20 minit perjalanan je, kalau tak sesak la. Selalu kalau mak aku nak kirim apa-apa untuk aku, Pak Anjang la yang akan bawa dan hantar kat aku. Tambahan lagi masa aku dah sarat mengandung haritu, apa je aku nak, mak aku kirim. Kadang tu, bukannya tak dapat dari mak mertua aku, tapi biasalah, kita ni anak-anak, macammanapun pasti rindukan air tangan mak.

“Boleh ayah, nanti Ha hantar ayah ke rumah Pak Anjang.” Sahut Azhar.

“Makan malam kat sini dulu ye. Saya dah masak,” mak mertua aku menyampuk. Mungkin dari tadi dia dah dengar perbualan kami. Tapi dia tak masuk campur. Itulah mak mertua aku, dia sangat hormat privasi aku sebagai menantunya. Walau aku sedang bercakap dengan Azhar iaitu anak dia, dia tak pernah masuk campur. Dia akan bersuara bila dia rasa dia perlu bersuara.

Masuk waktu maghrib, ayah aku dan Azhar pergi ke surau berdekatan. Mak aku dan mak mertua aku solat di dalam bilik mereka. Manakala Salmah aku dengar kelentung kelentang menghidang makan malam kat dapur. Aku pula sedang bertungku. Penuh bau daun mengkudu bercampur sirih terbakar kat dalam rumah. Wangi, aku suka walau ada orang kata busuk.

Izzuddin merengek. Aku berhenti bertungku dan angkat Izzuddin untuk menyusukan dia. Tiba-tiba matanya terbeliak memandang ke atas sedangkan mata bayi yang baru berusia dua hari bukannya boleh terbuka luas sangat pun.

Izzuddin menangis. Kuat. Sambil menggeliatkan badannya. Mak mertua dan mak aku keluar serentak dari dalam bilik, masih bertelekung.

“Kenapa tu?” Mak mertua aku bertanya.

“Tak tahu, tadi dia merengek. Za angkat nak bagi menyusu. Tiba-tiba mata hitam dia naik atas, lepas tu menangis macam ni. Nak buat apa ni mak?” aku dah mula panik. Muka Izzuddin dah naik kebiruan. Aku dah mula rasa nak nangis tengok Izzuddin macam tu.

“Sakit perut kot ni,” kata mak aku sambil dukung Izzuddin dan memicit-micit kaki Izzuddin. Tapi Izzuddin terus menangis sambil mengeraskan badannya.

“Ya Allah, kena sawan ke budak ni,” mak mertua aku pula panik. Salmah berlari dari dapur.

“Kenapa mak?” Dia bertanya. Masing-masing diam.

Seketika kemudian, tingkap rumah mak mertua aku terbuka dan tertutup sendiri. Rumah mak mertua aku tu rumah papan. Tapi rumah papan elok la. Rumah kampung. Tingkap pun tingkap papan, bukan tingkap kaca.

“Kamu tak kunci tingkap ke Salmah? Kan mak dah pesan, ada orang dalam pantang, ada baby, kena kunci pintu semua,” mak mertua aku bangun lalu menutup tingkap yang terbuka berhampiran dengan tempat aku dan Izzuddin berbaring.

Lepas tingkap ditutup, tiba-tiba pintu pula terbuka sendiri. Masa ni, aku dah mula rasa cuak.

“Sal dah kunci semua pintu dan tingkap tadi.” Sahut Salmah sambil bangun untuk menutup semula pintu. Izzuddin masih menangis. Mak aku masih berusaha mencari punca Izzuddin menangis. Mak aku usap muka Izzuddin, menutupkan matanya supaya tak melihat ke arah atas.

“Tok tok tok!” pintu diketuk orang. Semua yang berada di dalam rumah berpandangan sesama sendiri.

“Ada orang nak datang ke?” Mak mertua aku bertanya sambil pandang Salmah. Salmah angkat bahu tanda tak tahu. Aku dan mak aku masih sibuk dengan Izzuddin yang terus menangis.

Tingkap kat tepi aku terbuka sendiri sekali lagi. Kami semua memandang ke arah tingkap yang terbuka luas. “Mak dah kunci tadi,” mak mertua aku merungut perlahan.

“Apa tu?” Mak aku bersuara agak kuat sambil menunjuk ke arah tingkap yang terbuka. Kami semua memandang ke arah yang mak aku tunjuk.

Aku nampak satu susuk tubuh, berdiri di luar tingkap. Wajahnya seakan wajah mak mertua aku tapi hidungnya panjang dan lidahnya terjelir keluar hingga ke dada. Rambutnya panjang berterbangan. Susuk tubuhnya dibaluti dengan beberapa lapisan kain putih yang nampak lusuh.

“Allah!” Aku menjerit.

“Apa? Ada apa kat situ?” Mak mertua aku menjenguk ke tingkap tapi dia seperti tak dapat melihat apa-apa di sana. Mak aku letak Izzuddin di atas ribaan aku. “Kamu jangan tengok benda tu, semangat kamu sedang lemah.” Kata mak aku.

“Kak tutup tingkap tu. Ada benda kat luar tu,” kata mak aku kepada mak mertua aku. Mak mertua aku bangun dan menjenguk ke luar. ‘Benda’ yang berdiri di luar, memandang tepat ke arah mak mertua aku yang berdiri dekat dengannya. Lidahnya seakan mahu menjilat wajah mak mertua aku.

“Mak, tutup cepat!” Aku jerit. Mak mertua aku terus tutup tingkap tu.

Aku mula rasa tak selesa. Mak aku keluar dari bilik dan membawa bersamanya senaskah Al-Quran lalu diletakkan di tepi bantal Izzuddin. Lepas tu mak aku baca surah Al-Fatihah, lalu diusapkan ke ubun-ubun Izzudddin. Lepas tu mak buat benda yang sama kat aku. Memang aku dah menggeletar, macam terpandang-pandang je ‘benda’ tu kat dalam rumah tu. Macam nak terkam aku dan anak aku.

“Za, istighfar. Baca Surah Qursi. Jangan lepas dengan zikir. Kamu sedang lemah,” kata mak.

“Rumah akak ada pokok limau purut atau pokok bidara ke?” Mak aku tanya kat mak mertua aku.

“Pokok limau purut ada la kat luar,” sahut mak mertua aku yang masih seperti tak tahu apa yang terjadi. Salmah pun hanya memandang kami dengan penuh tandatanya.

“Nanti ambil beberapa ranting yang bercabang tiga.” Kata mak aku. Sambil masih menggosok ubun-ubun Izzuddin. Tak lama, Izzuddin terlena.

“Pang!” tiba-tiba terdengar bunyi sesuatu dibaling ke tingkap dekat tempat aku baring. Tersentak kami yang berada kat dalam rumah.

“Pergi!” Aku dengar suara ayah aku kat luar rumah.

“Assalamualaikum,” Dan dengar suara Azhar bagi salam.

Salmah buka pintu, Azhar berdiri kat depan pintu. “Ha, pergi ambil ranting limau purut yang bercabang tiga. Cepat sikit,” kata mak mertua aku kepada Azhar. Azhar anggukkan kepala dan kembali ke halaman.

Ayah aku muncul kat muka pintu. Wajahnya kerisauan.

“Jaga Mirza dengan Izzuddin. Ada benda menunggu kat luar tu,” ayah aku berbisik kat mak aku, tapi aku dengar.

“Iye, tadi dah nampak rupa. Tu yang suruh Azhar ambil ranting limau purut,” kata mak, juga berbisik.

“Tapi orang rumah ni tak nampak. Saya dengan Mirza je nampak,” mak aku bisik sekali lagi kat ayah aku. Ayah aku letak jari dibibir, sebagai isyarat suruh mak aku diam.

Azhar muncul membawa beberapa ranting pokok limau purut. Mak aku ambil salah satu ranting dan letakkan di bawah bantal aku. Satu lagi mak aku letakkan kat bawah tilam Izzuddin.

“Ayah macam nampak sesuatu kat luar tadi. Dia baling batu ke arah tingkap ni tadi. Lepas tu jerit suruh pergi,” Azhar pula berbisik kat aku.

“Abang tak nampak ke apa yang ayah baling?” aku tanya.

“Takde apa pun. Abang tanya ayah, tapi ayah suruh abang cepat masuk rumah,” kata Azhar. Aku diam. Dalam kepala aku berfikir, kenapa semua orang dalam rumah ni, tak nampak apa yang aku nampak? Bahkan mak ayah aku yang baru datang pun dah nampak ‘benda’ tu.

– Bersambung –

One thought on “MERTUA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s