MERTUA

Bab 3

Selesai urusan di bilik bersalin, aku dan bayi aku dimasukkan ke dalam wad untuk pemantauan. Jururawat maklumkan, aku perlu tinggal di wad untuk pantauan sehingga bayi aku buang air besar. Lagipun, bayi aku ada masalah pernafasan sebab terlalu banyak kahak di tekaknya. Kesian anak aku, dah la lahir kat kaki lima hospital.

“Abang tak boleh tunggu. Pihak hospital tak benarkan.” Kata Azhar sambil menguis-nguis rambut anak kami. Aku pandang jam dinding. Dah pukul 3 pagi.

“Takpe bang. Za faham. Abang baliklah dulu dengan mak. Sian mak, lama dia kat sini. Mesti lenguh dah kaki dia. Abang bawa mak balik dulu. Esok pagi abang bawa barang yang Za pesan tu ye. Tadi tak sempat nak tarik dah,” kataku kepada Azhar.

Tadi aku dah tak ingat nak ambil barangan. Aku cuma sempat pesan kat Azhar suruh ambil beg baby yang aku dah sediakan barangan baby kat dalam tu. Tarikh bersalin aku sepatutnya minggu depan, tapi anak aku dah tak sabar, nak keluar awal melihat dunia. Jadi aku belum sediakan barangan untuk aku. Kain batik, tuala wanita semua. Aku ingat esok lusa baru nak masukkan. Mana tahu hari ni dah bersalin. Pelajaran untuk aku, jangan tunggu minit akhir.

Aku pandang Azhar yang masih merenung bayi lelakinya. Nampak jelas di wajahnya, seperti berat hati nak tinggalkan aku di hospital. Maklumlah, anak pertama.

Aku pandang mak mertua aku yang duduk di kerusi tepi dinding. Wajahnya penat tapi dia nampak gembira menimang cucu sulung. Dari tadi senyum tak lepas-lepas. Walaupun Azhar adalah anak keempatnya, tapi abang-abang Azhar belum dikurniakan zuriat. Belum rezeki kot. Yang aku tahu, biras-biras aku pernah mengandung dan keguguran.

Azhar ajak mak mertua aku balik. “Jaga diri elok-elok ye Za. Stokin tu jangan tanggal, nanti badan masuk angin. Pakai baju sejuk tu, jangan biar diri sejuk. Minum air suam,” mak mertua aku berpesan sebelum pergi.

“Iye mak, jangan risau,” sahutku senyum memandang mak mertua aku yang juga seperti berat hati nak tinggalkan aku dan bayiku.

Aku duduk di bilik kelas dua. Ada empat katil je dalam bilik tu. Tapi hanya ada aku dan seorang lagi ibu muda yang dimasukkan ke dalam wad tu lebih awal dari aku. Dia pun dah tidur dengan bayinya. Dua lagi katil kosong.

Aku pandang bayi aku yang sedang tidur. Jururawat baringkan dia secara mengiring sedikit, sebab risau dia tercekik kahak sendiri. Meleleh air liur dari mulutnya. Aku lapkan. Comel.

Aku pejamkan mata, badan aku penat, kepala aku berat. Aku mengantuk sangat. Baru je aku nak terlelap, aku dengar bunyi katil sebelah aku berkeriut. Aku buka mata perlahan. Hanya bertemankan lampu dari luar bilik. Aku pandang ke arah katil sebelahku yang kosong. Aku pandang ke katil yang berpenghuni. Katilnya bertentangan dengan katil aku, kiranya kaki bertemu kaki. Aku tengok dia masih baring di katilnya.

Aku pandang bayi aku, masih tidur juga. Mungkin perasaan aku je. Lalu aku pejamkan mata semula. Sekali lagi katil kosong kat sebelah aku berkeriut kuat seperti ada orang yang bergerak di atasnya. Aku buka mata perlahan-lahan tanpa gerakkan badan aku. Aku nampak sesuatu yang bergerak di atas katil kosong kat sebelah aku.

Tersentak jugak aku. Setahu aku, katil sebelah aku tu kosong. Kalau ada orang baru masuk sekalipun, aku mesti sedar. Lagipun aku belum tidur. Kalau ada orang baru masuk, mestilah jururawat pasang lampu, sekurang-kurangnya di bahagian katilnya. Tapi sekarang katil tu gelap je.

Bulu roma aku mula meremang. Aku terus pandang ‘benda’ yang bergerak di atas katil sebelah aku. Nampak macam seorang tua sebab dia membongkok, dengan rambut panjang yang dilepaskan mengurai, sedang bertinggung di atas katil tu, dan memandang ke arah aku.

Aku pejamkan mata, Aku istighfar beberapa kali. Kaki aku kejang. Aku tak boleh nak bernafas. Tiba-tiba kaki aku ditepuk orang. Aku terus bangun dengan berpeluh-peluh.

“Puan ok ke ni?” seorang jururawat berdiri di bahagian kaki aku. Aku pandang keliling. Jururawat tu pun ikut memandang keliling.

“Puan ok?” jururawat tu tanya lagi. Aku anggukkan kepala.

“Saya nak periksa nadi dan tekanan darah ye,” kata jururawat tu lagi sambil meletakkan alatan menyukat suhu di bawah lidah aku lalu mengikat tangan aku dengan alat memeriksa tekanan darah.

“Tinggi tekanan darah puan ni. Nadi pun laju sangat ni. Puan yakin puan ok?” jururawat tu tanya aku lagi. Aku anggukkan kepala.

“Nanti saya rujuk kepada doktor. Atau lagi lima belas minit saya datang periksa semula ye,” kata jururawat tadi. Aku anggukkan kepala.

Jururawat tadi pergi ke katil bayi aku pula. Dia memeriksa bayi aku yang masih lena tidur. Tapi tangannya dah keluar dari ikatan bedung. Bila masa dia bergerak, aku pun tak sedar.

“Lena betul dia tidur. Taknak menyusu ke,” jururawat tadi mengusik pipi bayi aku.

Lepas jururawat tadi memeriksa seorang lagi penghuni yang sama bilik dengan aku, dia terus keluar. Masa ni aku rasa nak buang air. Aku bergerak perlahan, turun dari katil. Pelapik tilam di katil aku, dah ada beberapa tompokan darah. Aku tarik lapik tu, dan ambil lapik baru yang tersusun rapi di atas rak di tepi pintu. Lapik yang berdarah, aku bawa ke tandas dan masukkan ke dalam satu tong besar khas untuk kain-kain yang telah digunakan.

Aku masuk ke dalam salah satu tandas. Buang air dan menukar apa yang perlu. Pergerakan aku perlahan, rasa takut-takut masih ada nak bergerak pantas. Maklumlah, kali pertama aku melahirkan. Mak aku setiap masa setiap kali aku telefon atau dia telefon, asyik berpesan supaya jaga pantang masa melahirkan anak. Jaga pergerakan walaupun badan rasa sihat. Sebab sakit tu di dalam badan, kita tak tahu apa yang elok dan apa yang tak elok.

Selesai urusan aku di bilik air, aku melangkah perlahan ke katil aku semula. Sebaik aku sampai di pintu bilik, aku nampak ada seseorang berdiri di katil bayi aku. Aku bergerak laju sikit, ingatkan bayi aku menangis kot, masa aku ke tandas tadi.

Langkah aku terhenti bila aku tengok penghuni katil yang satu lagi, masih berbaring di katilnya. Aku jenguk meja jururawat, ketiga-tiga jururawat yang bertugas pada malam tu, masih berada di sana. Jadi, siapa kat katil bayi aku.

Susuk tubuh itu hanya berdiri dan tunduk ke arah bayi aku. Aku melangkah perlahan menghampiri katil aku.

“Mak?” aku panggil. Dalam samar-samar, aku nampak orang itu, mak mertua aku.

Dia angkat wajahnya lalu memandang aku. “Macammana mak masuk sini? Mak datang dengan siapa?” aku tanya walau aku sendiri sangsi betul ke itu mak mertua aku.

Dia tak menjawab, tapi kembali tunduk memandang bayi aku. Aku ambil telefon aku, lalu menghubungi Azhar. Jam masa tu dah menghampiri pukul 5 pagi. Telefon berdering tiga kali sebelum Azhar mengangkat telefon.

“Ya sayang. Sayang ok ke?” Aku dengar suara Azhar di hujung talian.

“Abang kat mana?” aku tanya sambil mata tak lepas memandang ke arah ‘mak mertua’ aku yang masih merenung bayi aku.

“Kat rumah la. Ada apa-apa ke? Abang datang sekarang,” sahut Azhar.

“Eh, tak. Semua ok. Cuma nak tanya, abang ada hantar mak ke sini ke?” aku tanya.

“Mak? Mak mana? Mak abang ke mak awak?” Azhar tanya.

“Mak abang la,” sahutku.

“Mana ada. Mak ada je tidur kat ruang tamu tu. Dah siap dengan beg untuk awak. Dia dah pesan, lepas solat subuh nak pergi tengok awak. Dia dah siap buat sup haruan untuk awak,” kata Azhar.

“Maknanya mak ada kat rumah?” aku tanya.

“Iyelah. Kenapa ni?” Azhar tanya aku.

“Mak awak ada kat sini. Tengah tengok baby kita,” sahutku. Tak lalu nak berselindung dah.

“Apa?” kata Azhar.

Tak sempat aku jawab, bayi aku merengek. Susuk tubuh ‘mak mertua’ aku tadi bergerak pergi meninggalkan bayi aku. “Abang, anak menangis. Nanti Za call balik,” kataku lalu putuskan talian tanpa menunggu Azhar membalas semula.

Aku berjalan perlahan ke arah katil bayi aku. Aku angkat bayi aku. Kedua-dua tangannya dah keluar dari ikatan bedung. Lasak budaknya. Dia menangis kuat. Sampai bergerak penghuni katil yang sebilik dengan kami. Dia pun lalu bangun dan pandang ke arah aku.

“Awak masuk semalam ke? Saya tak sedar pun,” katanya, seorang wanita yang nampaknya seperti lebih berusia dari aku.

“Haah, pukul 3 semalam.” Sahutku lalu mengangkat anak aku dan cuba menyusukannya. Susah juga untuk pertama kali, tanpa ada yang membantu.

Wanita tadi berjalan perlahan ke arah aku. “Anak pertama?” dia tanya. Aku anggukkan kepala. Lalu dia letakkan bayi aku di posisi yang betul dan beri aku tunjuk ajar untuk menyusukan anak.

“Kena hati-hati, takut  anak lemas masa menyusu. Tambahan baru-baru ni, susu banyak.” Kata wanita tu.

“Terima kasih. Saya Mirza,” sahutku.

“Saya Kak Ina. Ini anak ketiga akak dah.” Kata wanita itu lagi. Baik orangnya dan manis rupanya.

“Oooo… Patut la nampak macam biasa dengan bayi,” sahutku.

“Masa akak lahirkan anak pertama dulu, tak pandai juga. Terkial-kial nak menyusukan anak. Sampai bengkak susu. Sakit.” Kata Kak Ina. Aku anggukkan kepala sambil tengok bayi aku yang menyedut susu sampai lesut pipinya. Lapar sangat tu. Perit juga rasanya sebab kali pertama menyusukan anak.

“Mula-mula memang sakit. Nanti ok lah tu,” kata Kak Ina bila lihat muka aku berkerut menahan sakit. Aku diam je.

“Ada orang tunggu ke?” Kak Ina tanya.

“Takde. Nurse tak bagi suami tunggu,” sahutku.

“Sebab tadi nampak macam ada perempuan tua tunggu dengan katil baby,” kata Kak Ina. Aku tersentak.

“Bila?” aku tanya.

“Tadi, masa Mirza pergi tandas. Sebab anak ni merengek. Akak tengok Mirza takde di katil. Baru je akak nak pergi tengok baby, nampak ada perempuan tua berdiri kat tepi katil baby. Akak pun baring semula sebab ingat ada orang tengokkan baby,” kata Kak Ina.

“Akak pun nampak ye,” aku tanya.

“Nampak apa?” Kak Ina tanya.

“Perempuan tua tu,” aku tanya.

“Nampak. Itu bukan mak Mirza ke?” Kak Ina tanya aku semua. Aku gelengkan kepala.

“Habis tu siapa?” Kak Ina tanya. Aku masih gelengkan kepala.

Kak Ina pegang menggosok lengannya. Muka masing-masing dah berubah.

– Bersambung –

One thought on “MERTUA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s