MERTUA

Bab 2

“Mak dari mana ni?” Aku tanya mak mertua aku.

“Dari bilik. Tengok kamu termenung kat situ, dah macam nampak hantu. Kenapa?” Mak mertua aku menghampiri aku. Aku memandang ke arah sinki. Tiada siapa di situ. Aku pandang keliling dapur, mencari sosok tubuh yang tadi. Mak mertua aku pun ikut aku pandang keliling dapur, dengan dahi berkerut sebab tak tahu apa yang aku cuba cari.

“Kenapa ni Za? Kamu nampak apa?” Mak mertua aku tanya. Aku pandang mak mertua aku semula sambil kerutkan dahi. Mak mertua aku pun sama kerutkan dahi seribu sambil pandang aku.

“Ni dah kenapa berpandangan sesama sendiri, lepas tu kerutkan dahi ni? Ada pertandingan ke apa?” Tiba-tiba Salmah masuk dari pintu dapur membuatkan aku terkejut, dan mak mertua aku pun ikut terkejut sama.

“Dah kenapa dua orang ni? Kena sampuk ke?” Salmah tanya lagi sambil membuka tudung saji melihat lauk yang dah dimasak.

“Takde apa lah mak. Saya macam nampak ada orang lalu kat belakang ni tadi. Tengah nak tengok siapa tu, tiba-tiba mak menegur. Terus tak nampak siapa tadi.” Kataku berdalih.

“Ooo… Ingatkan apa la yang kamu tenung kat luar tu,” kata mak mertua aku sambil melangkah kembali ke biliknya.

“Kenapa Kak? Akak nampak apa? Kenapa sejak akhir-akhir ni akak nampak pelik?” Salmah tanya aku. Dia pandang tepat ke mata aku.

“Entahlah. Nak kata penat, apa je akak buat kat rumah. Semua mak yang buat. Tapi akak selalu nampak orang lain kat dalam rumah ni,” kataku.

“Siapa?” Salmah tanya.

“Itulah yang jadi masalahnya. Siapa yang akak nampak tu,” aku menyahut sambil duduk di kerusi. Kaki aku bengkak sejak kandungan makin sarat ni. Tak lalu nak berdiri lama.

“Akak nampak memang susuk tubuh seseorang atau nampak samar-samar?” Salmah mula tanya aku macam dia tanya studen dia.

“Memang nampak jelas. Dan kenal orangnya,” sahutku.

“Siapa?” Salmah tanya dengan mata yang bulat memadang tepat ke mata aku yang sedang cuba melarikan anak mata dari bertembung dengan penglihatan Salmah. Rasa serba salah. Nak cakap salah, tak cakap pun salah.

“Akak nampak siapa? Cuba cakap dengan Sal. Kot Sal boleh tanyakan sesiapa,” kata Salmah, pandang aku dengan lembut, cuba memujuk.

“Akak nampak mak,” aku jawab terus.

“Oooo…. Mungkin sebab akak rindukan mak akak kot. Nanti ajaklah Abang Ha balik rumah mak akak,” sahut Salmah, masih lembut.

“Bukan mak akak,” sahutku pula.

“Habis tu? Mak Sal? Mak Abang Ha?” Salmah tanya aku, kembali besarkan matanya memandang aku. Aku anggukkan kepala.

“Tu yang akak cakap mak makan sesuatu kat lantai tu ke?” Salmah tanya. Aku anggukkan kepala.

“Akak ada cerita kat Abang Ha ke?” Salmah tanya aku. Aku gelengkan kepala. Memang aku tak ceritakan hal ni kat Azhar. Sebab sekarang dia sibuk dengan projek baru di pejabatnya. Balik kerja pun dah jauh malam, mesti dia penat. Aku taknak tambah beban di kepalanya.

“Nanti Sal tanyakan kat mak,” Salmah cakap. Tapi aku pegang tangannya. Aku gelengkan kepala.

“Kenapa pula taknak cakap kat mak?” Salmah tanya.

“Akak takut mak kecil hati. Nanti dia ingat apa pula,” kataku, serba salah.

“Apa pulak nak kecil hatinya. Mana tahu mak tahu apa puncanya,” kata Salmah. Aku diam.

Malam tu, lepas maghrib, aku duduk dalam bilik. Duduk kat atas katil sambil meluruskan kaki. Lenguh sangat kaki aku. Tiba-tiba pintu terkuak. Aku menoleh, nampak mak mertua aku senyum memandang aku dari muka pintu.

“Masuklah mak.” Aku pelawa.

“Kaki lenguh ke?” Mak mertua aku tanya. Aku anggukkan kepala. Mak mertua aku duduk di hujung kaki aku, pegang kaki aku dan urut perlahan-lahan. Aku tarik kaki aku, tak selesa pula bila mak mertua aku urut kaki aku. “Tak payah lah mak, sikit je ni. Nanti Za sapu minyak,” kataku menolak tangan mak mertua aku perlahan.

“Kalau pergi jumpa doktor atau bidan sekalipun, mereka akan urut perlahan-lahan macam ni kan. Kalau dengan mak Za sendiri pun, mak Za mesti urut kaki Za kan? Takkan mak tak boleh urutkan,” kata mak mertua aku kembali tangannya mengurut kaki aku perlahan.

Suasana sunyi seketika. Entah kenapa aku rasa janggal dengan mak mertua aku. Mungkin sebab aku dah meluah cerita kepada Salmah siang tadi.

“Salmah cerita kat mak, Za selalu terpandang jelmaan orang macam mak kat dalam rumah ni, sejak akhir-akhir ni. Betul ke?” Mak mertua aku bertanya, tanpa pandang aku, tapi dia terus mengurut kaki aku perlahan.

Aku diam. Terasa bersalah.

“Cakaplah, mak tak marah. Mak Cuma nak kepastian je.” Kata mak mertua aku, masih mengurut kaki aku.

“Za minta maaf kalau mak kecil hati. Za Cuma beritahu apa yang Za nampak. Tak tahulah kenapa Za selalu nampak mak kat tempat lain sedangkan mak kat tempat lain dalam masa yang sama,” kataku perlahan, sambil cuma nak sentuh tangan mak mertua aku yang masih mengurut kaki aku. Walau aku tahu, tangan aku takkan sampai nak pegang tangan mak mertua aku sebab perut aku yang besar.

Mak mertua aku berhenti urut kaki aku. Dia duduk bersila kat tepi aku sambil tundukkan wajahnya. Aduh, lagi la aku rasa bersalah.

Krikkkkk….. Pintu bilik ditolak orang. Aku menoleh. Salmah pandang aku.

“Kak, jom makan sekali. Mak dah tunggu kat dapur,” kata Salmah.

Mak???? Aku terus pandang semula ‘mak mertua’ yang duduk kat sebelah aku. Dia masih di situ. Duduk dan tunduk ke lantai. Meremang bulu roma aku. Aku tak mampu nak gerakkan tubuh aku, semua rasa berat.

“Sal dan mak tunggu di dapur ye kak. Mak pesan, jangan lambat, nanti perut masuk angin,” kata Salmah sambil melangkah nak tinggalkan aku. Aku nak panggil Salmah tapi suara aku tersekat di kerongkong. Tangan aku tak lalu nak bergerak pun untuk lambai kat dia.

Aku menoleh semula memandang ke arah jelmaan mak mertua aku. Dia masih duduk di situ dan masih dalam keadaan yang sama seperti tadi. Tiada suara, tiada pergerakan.

Aku istighfar dalam hati. Banyak kali. Kepala aku jadi sakit, mungkin sebab tekanan. Aku cuba gerakkan kaki aku, turun dari katil. Aku tak menoleh lagi, cuba untuk melangkah. Kaki aku lemah, aku hilang upaya dan aku jatuh ke lantai. Aku menjerit menahan sakit.

“Ya Allah Za! Kenapa ni? Macammana boleh jatuh? Kamu tak tolong kakak kamu ke Sal? Call Abang Ha kamu cepat. Ke mana dia tak balik lagi dah malam ni, bini sarat kat rumah,” mak mertua aku membebel sambil menahan belakang aku. Mukanya nampak cemas. Aku menahan sakit.

“Tadi dia ok je. Ingatkan takde apa,” kata Salmah cuba nak papah aku untuk bangun. Aku bangun perlahan dan masa ni terasa ada air panas mengalir di celah kaki aku. Aku tunduk. Darah mengalir deras.

“Ya Allah Ya Allah Ya Allah! Cepat call ambulan. Astaghfirullahal azim,” ucap mak mertua aku berkali-kali. Dia menggunakan tenaga tuanya memapah aku duduk di kerusi. Mengambil kain untuk lapik tempat duduk aku. Diambilnya kain basahan lalu dilap darah yang mengalir di kaki aku. Salmah pula dah macam histeria menjerit kat orang yang jawab telefon di 911 tu. Semua jadi kelam kabut.

“Assalamualaikum,” terdengar suara Azhar memberi salam dari luar rumah.

“Waalaikumussalam. Masuk cepat Ha. Tengok Za ni dah nak bersalin ni. Darah dah tumpah, air ketuban dan pecah,” jerit mak mertua aku.

“Ya Allah. Dah call ambulan ke?” Azhar tanya mak aku. Dia yang tadi bersuara tenang, dah tiba-tiba jadi kalut juga.

“Dah,” sahut Salmah yang berjalan mundar mandir kat belakang mak mertua aku. Dia tu penakut tengok darah. Aku risau nanti dia yang jatuh pengsan.

“Lambat ni, jom kita pergi naik kereta je la,” kata Azhar. Wajahnya risau.

“Jom jom. Mak ikut je,” Mak aku sandarkan aku di kerusi. Dia bangun dan ambil tudungnya. Azhar angkat aku lalu terus masuk ke dalam kereta yang parking kat depan pintu je. Aku dah mula rasa nak meneran.

“Tahan sikit Za. Bagi abang 10 minit. Kita sampai hospital,” kata Azhar sambil menghidupkan enjin kereta dan terus memecut laju. Mak aku mengurut-ngurut perut aku perlahan. Wajahnya penuh kerisauan. Bertambahlah kedutan di wajahnya tuanya yang sedia berkedut.

Azhar pandu kereta dah macam apa. Laju betul. Aku pula bila rasa sakit tu datang, aku genggam kuat tangan mak mertua aku, rasa macam nak patah jari tua mak mertua aku. Tapi mak mertua aku biarkan saja.

Sampai kat lampu isyarat di simpang nak ke jalan besar, ada polis tahan kereta kami. Azhar berhentikan kereta.

“Laju sangat ni,” tegur polis trafik tu.

“Isteri saya nak bersalin tuan,” sahut Azhar sambil menunjukkan ke arah aku yang sedang menahan sakit.

“Allah. Takpe, saya bawa ikut laluan. Ikut belakang saya, kita terus ke hospital.” Kata polis tersebut. Alhamdulillah, Allah hadirkan polis tu untuk bantu kami.

Sebaik sampai di hospital, tak sempat masuk bilik bersalin, anak sulung aku lahir dah. Dekat kaki lima hospital je. Mak mertua aku sampai pening, risaukan aku. Azhar nak ikut aku masuk bilik, tapi aku suruh Azhar tunggu mak mertua aku. Dia akur.

Masa dalam bilik bersalin, ketika jururawat sedang memeriksa bayi aku yang baru lahir, aku nampak seseorang, berdiri di luar tingkap, sambil memerhati semua pergerakan di dalam bilik itu. Tapi matanya lebih tertumpu kepada bayi aku. Aku cuba perhatikan orang itu, dari bentuk tubuh dan gerak badannya, itu adalah mak mertua aku.

– Bersambung –

One thought on “MERTUA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s