MERTUA

Bab 1

“Mak makan apa tu?” aku tanya mak mertua aku bila aku nampak dia tunduk macam menjilat lantai. Lain macam rupa mak mertua aku.

Mak mertua aku tak jawab soalan aku, dia terus juga menjilat-jilat ke lantai. Aku melangkah perlahan ke arah depan mak mertua aku. Nak tengok apa yang dimakannya di atas lantai tu. Tak sempat lagi aku nak sampai ke depan mak mertua aku, pintu dapur dibuka dari arah luar. Aku mengangkat kepala aku melihat ke arah pintu.

Salmah, adik ipar aku yang bongsu masuk melalui pintu dapur yang terbuka. Dia pandang aku dengan muka berkerut.

“Kenapa kak?” Dia tanya aku.

Aku tak jawab, tapi aku tunduk semula memandang ke arah mak mertua aku. Dia tiada di situ. Aku pandang keliling.

“Akak cari apa?” Salmah tanya aku.

“Tadi mak duduk kat sini, macam sedang makan sesuatu kat lantai,” sahutku.

“Perasaan akak je kot. Akak penat tu. Pergilah rehat. Biar Salmah kemaskan dapur ni,” kata Salmah sambil memasang air di sinki, nak basuh pinggan.

Aku masih pandang keliling. Betul aku nampak mak mertua aku tadi.

“Kenapa ni Za?” Tiba-tiba mak mertua aku muncul dari arah ruang tamu.

Aku tak jawab. Aku pandang je mak mertua aku. “Kamu dah kenapa ni Za?” Mak mertua aku tanya sekali lagi.

“Tadi akak kata dia nampak mak tengah makan sesuatu kat atas lantai tu. Lepas tu la akak macam tu,” kata Salmah yang sedang basuh pinggan.

“Kamu tu kena banyak rehat. Dah sarat sangat dah tu. Jangan banyak fikir sangat,” kata mak mertua aku sambil pegang tangan aku dan suruh aku duduk. Aku masih pandang mak mertua aku.

“Tadi mak takde datang dapur ke?” aku tanya.

“Tadi lepas makan, mak terus masuk bilik. Terus tunggu masuk waktu. Ni baru mak keluar,” kata mak mertua aku.

“Habis tu, Za nampak siapa tadi?” aku tanya balik mak mertua aku. Mak mertua aku pandang keliling.

“Takde apa kot. Perasaan Za je ni. Dah, pergi solat, lepas tu tidur sekejap.” Kata mak mertua aku.

Aku tak cakap banyak, terus bangun dan melangkah ke bilik dengan diperhatikan oleh mak mertua aku dan Salmah.

Aku Mirza. Dulu aku bekerja kat semua pejabat pelancongan. Masa tu aku berkenalan dengan suami aku, Azhar. Lepas setahun bercinta, kami ambil keputusan untuk berkahwin. Lepas kahwin, aku masih bekerja. Aku dan Azhar tinggal di rumah mak mertua aku. Sebab mak mertua aku tinggal berdua je dengan anak bongsunya, Salmah.

Azhar kata, dia adalah anak lelaki terakhir dalam keluarga. Dia mempunya tiga lagi abang, semua dah berkeluarga dan tinggal di negeri berlainan. Jadi adalah menjadi tanggungjawab dia untuk menjaga mak dan adik perempuannya. Aku tak kisah, sebab mak mertua dan adik ipar aku baik, mereka layan aku macam keluarga sendiri.

Mak dan ayah aku sendiri, pada mulanya melarang aku tinggal dengan mertua. Mereka galakkan aku dan Azhar cari rumah sewa murah-murah je dulu. Kalau rasa susah nak jenguk mak mertua selalu, mak aku kata carilah rumah sewa yang berdekatan. “Takpe, pergilah rumah mak mertua tu setiap hari. Janji malam baliklah ke rumah sendiri,” kata mak aku. Ayah aku pun setuju dengan kata-kata mak aku.

Mak aku kata, biar hidup susah, janji bersama suami isteri, tiada campur tangan orang ketiga walau ibubapa sendiri. Mak aku kata, kalau yang jarang jumpa tu, selalunya bau wangi. Tapi kalau yang hari-hari jumpa ni, baunya tak sewangi yang jauh.

Aku pun serba salah. Azhar memang dah kata, dia kena jaga mak dan adik perempuannya. Aku aku pujuk mak dan ayah aku, aku cuba dulu tinggal dengan mak mertua aku. Tengok macammana. Kalau keadaannya tak begitu selesa, kami pindah ke rumah sendiri.

Mak dan ayah aku bukanlah jenis memaksa. Mereka cuma beri pendapat di atas pengalaman hidup. Mana ada mak ayah nak susahkan anak-anak. Mereka cuma nak anak-anak bahagia. Mereka sedih kalau anak-anak bersedih.

Azhar pun setuju dengan syarat aku. Aku cakap kat Azhar, kalau aku tak selesa tinggal di rumah mak dia, aku nak pindah keluar, tinggal di rumah sendiri.

Dan rezeki aku dan Azhar, aku bunting pelamin. Lepas sebulan menikah, aku hamil. Alahan hamil aku agak teruk. Sampai terpaksa bermalam di wad sebab aku muntah tanpa henti dan hilang selera makan. Dalam wad, doktor masukkan air ke dalam badan aku. Aku ni dah la kurus, maka makin sekeping lah badan aku.

Dan masa ni juga aku terpaksa berhenti kerja. Mujurlah bos aku memahami. Dia izinkan aku berhenti dan dia berpesan, kalau aku dah sedia nak bekerja semula, carilah dia. Tempat untuk aku di pejabat tu sentiasa ada katanya.

Selepas kandungan aku memasuki usia enam bulan, barulah alahan aku makin berkurangan. Tapi ada sesuatu yang terjadi kepada diri aku. Aku selalu nampak benda yang pelik-pelik. Kadang-kadang aku rasa aku ni dah gila.

Contohnya macam hari ni, aku nampak mak mertua aku menjilat lantai. Sedangkan orang lain tak nampak. Kelmarin, aku nampak mak mertua aku kat atas pokok langsat depan rumah. Terkejut aku tengok mak mertua aku berdiri di atas satu dahan tinggi. Aku berlari masuk ke dalam rumah, panggil Salmah. Masa tu Azhar belum balik kerja lagi.

Terkocoh-kocohlah si Salmah berlari ikut aku, sebab aku kata mak dia ada kat atas dahan tinggi pokok langsat. Tapi bila kami sampai kat sana, takde pun mak mertua aku kat atas pokok tu. Elok je mak mertua aku tengah siram pokok kat halaman rumah.

Salmah kata aku penat sebab tu aku selalu nampak benda pelik. Yang aku pelik pulak, kenapa aku asyik nampak mak mertua aku? Kenapa aku tak nampak Azhar ke, atau nampak Salmah ke? Kenapa mesti mak mertua aku?

Hati mula berkata-kata, mak mertua aku ni ada bela hantu ke? Astaghfirullah!

Lupa nak cakap, Azhar bekerja sebagai pelukis pelan di sebuah firma arkitek. Kalau ada projek yang sedang dijalankan, dia akan selalu balik lewat malam. Paling lewat dia pernah sampai rumah pukul 1 pagi. Aku pun dah tidur. Awal pagi esoknya, dia keluar dah.

Tapi kalau projek dah selesai, dia bekerja waktu pejabat biasa je. Masuk pukul 9 pagi, balik pukul 6 petang. Banyaklah masa dia untuk aku. Tapi biasalah, kalau dah tinggal dengan mertua, kasih dan perhatian terpaksalah berbahagi juga.

Mujur sangat aku dapat mertua dan adik ipar yang baik. Aku bersyukur. Mak mertua aku tak pernah ganggu waktu aku bersama dengan Azhar. Aku pula tak pernah rasa terganggu dengan mak mertua aku. Mungkin sebab mak mertua aku masih kuat dan sihat, semuanya dia buat sendiri, tak perlu minta bantuan anak.

Aku pun, pantang sebut je makanan yang aku teringin, esoknya terhidang kat atas meja. Kadang-kadang Azhar perli mak dia, katanya dia minta tak pernah dapat, tapi sekali je menantu sebut, dah terhidang.

“Kamu tu bukannya mengandung. Kamu bukan tahu apa rasa tekak orang mengandung. Dia bukannya minta benda bukan-bukan. Lagipun untuk cucu mak juga,” kata mak mertua aku. Azhar pandang aku sambil kerutkan dahi. Aku sengih-sengih je. Aku tak minta pun, cuma sebut kata lauk tu sedap sebab tengok kat tv.

Mak dan ayah aku pun gembira bila aku cakap mak mertua aku baik. Tapi mak aku tetap juga suruh usahakan untuk tinggal rumah sendiri, rumah kecil pun jadilah. Sewa yang dekat dengan rumah mak mertua, kalau risau nak tinggalkan rumah mertua. Tapi aku diam je. Serba salah, diluah mati mak, ditelah mati bapa. Begitulah lebih kurang.

Sampailah pada masa kandungan aku dah masuk sembilan bulan. Masa tu Salmah keluar dengan kawan kolej dia. Lupa nak cakap, Salmah ni seorang pensyarah. Dia mengajar di sebuah kolej kat pekan yang tak jauh dari rumah mak mertua aku. Baru je tiga bulan dia bekerja. Tapi dia dah graduate hampir setahun.

Masa tu aku tinggal berdua dengan mak mertua aku je. Aku keluar dari bilik bila dengar suara garau dari ruang tamu. Waktu tu pukul 2.30 petang. Lepas solat, aku baring kat dalam bilik. Tak sempat lena, aku dengar suara garau. Aku keluar dari bilik. Aku cari mak mertua aku, sebab aku tinggal berdua je dengan dia kat rumah masa tu kan.

Aku tak nampak mak mertua aku. Aku cari sampai dapur. Kat dapur, aku nampak mak mertua aku mencangkung di atas lantai dapur mengadap kabinet sinki. Rambutnya dilepaskan mengerbang. Mak mertua aku hanya berkemban. Rupa itu amat menjengkelkan. Mak mertua aku tak pernah berkemban macam tu dalam rumah, dah jarang aku tengok mak mertua aku lepaskan rambutnya.

Aku diam berdiri di sebalik pintu ke dapur. Aku perhatikan gelagat mak mertua aku. Walaupun aku rasa lain macam, tapi aku nak tahu apa yang mak mertua aku sedang buat.

Mak mertua aku bangun dari mencangkung dia tadi. Dia letak kedua-dua tangannya kat atas sinki. Dia pasang air sinki, lepas tu dia tunduk dan minum terus dari air sinki tu. Macam yang budak sekolah selalu buat tu. Kenapa dia tak ambil cawan dan minum elok-elok? Lepas minum, mak mertua aku pandang ke luar tingkap. Lama mak mertua aku termenung di sana.

“Mirza? Kamu tengok apa tu?” Tiba-tiba aku terkejut bila terdengar suara seseorang panggil aku dari arah belakang. Aku menoleh, nampak mak mertua aku berdiri kat pintu biliknya sambil pandang aku.

“Za? Kenapa ni?” Mak mertua aku sekali lagi panggil aku bila aku pandang dia tanpa berkedip.

– Bersambung –

One thought on “MERTUA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s