BILA BULAN TERBELAH DUA

Bab 23 (AKHIR)

“Kita kat mana ni weh? Mana Melur dan Melati? Kenapa diorang tak cari kita lagi?” Salma menyapa Linda yang juga masih menyorok di sebalik pokok bunga tasbih yang lebih tinggi dari mereka.

“Kan? Aku pun perasan, dah lama kita sembunyi kat sini, takkan tak boleh cari,” kata Linda.

“Sofea! Suria! Korang kat mana?” Linda memanggil. Dari sebalik pokok bunga matahari, Sofea dan Suria muncul.

“Rasanya Melur dan Melati dah tinggalkan kita kat sini,” kata Sofea.

“Takkanlah,” sahut Salma.

“Takpe, jom kita balik ke rumah Pakcik Sulaiman,” kata Linda. Mereka berjalan seiringan.

Mereka memandang keliling, sama je semua tempat.

“Melur! Melati! Kamu kat mana?” Suria memanggil. Tiada sahutan, hanya suaranya kembali bergema.

Keempat-empat gadis itu berjalan mencari punca. “Jangan cakap kita sesat lagi.” Kata Suria. Yang lain yang menyahut.

“Sekurang-kurangnya kita sesat kat sini, tempatnya cantik. Jangan sesat kat tempat haritu, macam-macam makhluk ada,” kata Salma.

“Jangan cakap macam tu. Selagi kita bukan di tempat asal kita, kita tetap terdedah dengan bahaya.” Kata Linda.

Sedang mereka tercari-cari jalan pulang, tiba-tiba hujan turun. Mereka berlari bertebuh di bawah pohon keladi merah. Lama juga mereka di situ, hujan pun agak lebat.

“Heeeeeeheeeeeeeheeeeeeee….,” kedengaran suara mengilai di atas kepala mereka. Beberapa pokok bergerak bagaikan digoncang sesuatu. Linda, Salma, Sofea dan Suria mendongak ke atas melihat ke arah pokok yang bergoncang.

“Apa benda tu?” Suria menunjukkan ke atas satu pohon. Semua memandang ke arah yang sama.

“Langsuir? Di siang hari?” kata Sofea.

“Ini bukan ke makhluk yang kita nampak haritu? Yang menghalang kereta kita haritu?” kata Sofea.

“Kan? Makhluk ni dengan pocong haritu kalau tak silap,” kata Suria pula.

“Kita kat mana ni? Kenapa semua benda tu ada kat sini?” kata Linda. Tiada jawapan.

“Linda! Sofea! Salma! Suria! Kamu di mana?” tiba-tiba terdengar suara beberapa orang memanggil nama mereka.

“Kami kat sini! Kami kat sini!” Sofea menyahut walaupun dia tak tahu siapa yang memanggil.

“Itu bukan suara Pakcik Sulaiman. Dan suara tu ramai.” Kata Linda.

Beberapa kali mereka terdengar nama mereka dipanggil. Tapi mereka tak nampak sesiapa. Bahkan mereka turut melaungkan sahutan supaya mereka yang memanggil boleh dengar suara mereka.

“Kat sini dah cari?” terdengar suara yang seakan-akan dikenali.

“Itu bukan suara Pakcik Rela pengawal pintu masuk kawasan perkelahan ke?” Suria bertanya.

“Aku pun macam pernah dengar suara tu,” akta Salma.

“Kat sini dah cari banyak kali dah. Tak jumpa diorang,” sahut satu suara lagi.

“Linda! Sofea! Suria! Salma! Kamu dengar tak? Kalau kamu dengar suara kami, buatlah apa-apa bunyi supaya kami boleh tahu di mana kamu berada,” terdengar suara lagi.

“Eh, itu suara ayah aku,” kata Linda.

“Mereka sedang cari kita kot. Tapi kenapa kita tak nampak mereka?” Sofea bertanya.

“Bukan kita je yang tak nampak mereka, mereka pun tak nampak kita,” kata Salma.

“Macam ada satu lapisan yang jadi penghalang antara kita dan mereka,” kata Suria.

Seketika kemudian, suara orang yang memanggil tu semakin hilang.

“Ayah! Helloooo!” Linda menjerit bila suara orang-orang yang memanggil mereka tadi semakin jauh.

“Kau jeritlah sampai pecah tekak, mereka takkan dengar suara kamu semua,” tiba-tiba dari satu sudut, muncul satu makhluk. Badannya seakan gorilla dan wajahnya seakan seorang manusia lelaki.

“Ini makhluk yang kita nampak duduk kat pondok tempat kita berkelah tu kan?” Suria bertanya.

“Kamu semua sekarang dalam kawasan aku dan kawan-kawan aku. Tiada makanan, tiada minuman. Aku nak tengok macammana kamu hidup,” kata Gorila itu lagi.

“Siapa kamu? Kenapa tahan kami di sini? Kami tak kacau kamu, kenapa kamu nak kacau kami?” Linda bertanya, dia perlu beranikan diri kerana tiada lagi sesiapa yang boleh diharapkan di situ.

“Kamu tak kacau kami? Hahahahahahaha,” bergema suara ketawa. Seakan bukan dari seekor gorilla, bahkan mungkin berpuluh-puluh ekor. Dan bukannya gorilla semata-mata. Ada bunyi-bunyian lain, hilaian tawa yang menyeramkan, rengusan seakan anjing ganas dan macam-macam bunyi yang bercampur baur.

Sofea, Salma dan Suria berdiri di belakang Linda. Buat masa ini, hanya Linda yang berani.

“Kau kacau mainan anak aku. Kau pukul bangsa aku. Kau pukul anak aku. Kau kacau kawasan aku. Dan sekarang kau kata kau tak buat apa-apa? Dasar manusia yang tak pernah sedar diri,” kata gorilla tadi.

“Bila masa pula kami kacau kawasan kau, kacau anak kau, kacau bangsa kau?” Salma pula bertanya, timbul sedikit keberanian dalam dirinya, mungkin sebab marah.

“Manusia, biasalah. Jarang nak jumpa manusia yang mengakui silap sendiri. Selagi boleh dituding jari, selagi itulah orang lain perlu dilihat salah. Walaupun puncanya dari diri mereka sendiri,” kata gorilla itu lagi dan suara tawa bersahut-sahutan seakan mengejek.

“Kau rasa kau sempurna? Tak pernah buat salah?” Linda bertanya.

Dan sekali lagi disahut dengan tawa bergema di dalam kawasan itu, seakan mencabar sabar empat gadis itu dan mencuit kemarahan mereka.

“Anak-anak, di mana kalian?” tiba-tiba terdengar suara Pakcik Sulaiman. Empat sekawan tadi teruja nak menyahut tapi gorilla tadi mengangkat tangannya lalu menekan di lehernya sendiri. Tak semena-mena empat sekawan itu tak dapat bersuara.

“Linda, Sofea, Salma, Suria, hari hampir petang. Kamu belum menjamah apa-apa makanan. Ayuh kita pulang. Gerakkan pokok yang paling hampir dengan kamu,” kata Pakcik Sulaiman lagi.

Empat sekawan itu cuba menarik batang-batang pokok bunga di situ tapi gorilla tadi lebih cepat bertindak. Dia menghentakkan kakinya ke tanah menyebabkan empat sekawan tadi terduduk dan seluruh sendi jadi lemah, tak mampu bergerak waima mengangkat jari sekalipun.

“Anak-anak!” Pakcik Sulaiman terus memanggu.

Linda cuba bangun. Dibacanya Al-Fatihah. Dia mencuba sekuat tenaga. Walau dirasanya badannya seperti sekeping kertas.

Namun gorilla tadi tak berdiam diri. Dia mengangkat tangannya lalu seluruh kawasan senyap sunyi. Dia lalu meniup ke arah empat gadis tadi lalu keempat-empat mereka terasa mengantuk teramat sangat lalu terlena. Tak sedar apa jadi dah.

***************************************

“Kami dah cari serata tempat, memang tak jumpa,” kata Sukor, salah seorang ahli jiran tetangga di situ.

“Kami terpaksa hentikan carian. Dah hampir tiga minggu, kami diarahkan untuk hentikan operasi mencari. Mungkin tuan-tuan boleh usahakan secara individu,” kata salah seorang anggota bomba dan penyelamat yang mengetuai operasi mencari orang hilang di situ.

“Kami faham. Terima kasih kerana bantu kami mencari anak-anak kami.” kata Pak Saleh, bapa kepada Suria, dengan wajah murung. Tak tahulah apa yang nak diberitahu kepada isterinya yang tak sihat di rumah kerana bimbangkan anak gadisnya.

“Macammana ni? Nak panggil siapa untuk bantu? Pak Ibrahim dan kumpulannya pun tak balik-balik dari hutan. Entah hidup entah mati.” Kata Pak Mail.

“Sebaiknya kita tunggu dulu. Nanti yang hilang tu dah tentu hilang, yang pergi mencari pun hilang. Lagi susah,” kata Pak Yusof pula.

“Itu anak kami, dah pasti kami akan cari juga. Walaupun nyawa kami jadi ganti,” kata Pak Saleh perlahan, tak mahu berputus asa. Dia yakin anaknya masih hidup. Andai mati sekalipun, biarlah dia nampak jasadnya. Baru dia puas hati.

“Baiklah, kita kecilkan kumpulan. Siapa yang nak hentikan pencarian ini, boleh balik. Siapa yang masih nak mencari, kita usaha lagi. Malam ini, kita buat solat hajat sekali lagi.

Beberapa orang yang berada di situ, melangkah pulang ke rumah masing-masing. Hari dah mula nak senja. Akhirnya, tinggallah beberapa orang di situ. Mereka ialah ahli keluarga anak-anak yang hilang itu.

Sebaik azan maghrib berkumandang, Pak Saleh mengimamkan solat. Seperti malam-malam sebelumnya, mereka duduk berzikir di situ. Dan setelah masuknya waktu isya, mereka berjemaah sekali lagi dan terus menunaikan solat hajat.

Tapi malam tu, yang tinggal hanya sebelas orang. Namun suara makmum seperti ada lebih dari itu. Maka, sebaik selesai solat, semua para Jemaah menoleh ke belakang. Dan kelihatan Pak Ibrahim, Abang Manan, Pak Deris, Azri, Zahid, Jali dan Ahmad turut menjadi makmum.

“Alhamdulillah, kamu semua dah pulang,” kata Pakcik Suhaimi, ayah Ahmad. Dia terus menerpa ke arah anaknya dan memeluk Ahmad. “Ayah balik?” Ahmad bertanya. Dia pun rasa was-was melihat ayahnya di situ, sedangkan dia tahu ayahnya bertugas di dalam hutan.

“Ayah balik sebaik sahaja dimaklumkan kamu hilang,” kata Pakcik Suhaimi sambi mengusap rambut anaknya. Ahmad peluk ayahnya erat, memang dia teramat rindukan ayahnya. Mujurlah ingatannya tentang pertemuannya dengan ayahnya di dalam hutan telah diluputkan.

Ayah Azri, Zahid, Jali, Huda dan Damia pun ada sekali. Semuanya menangis gembira kerana dapat bertemu semula dengan anak mereka. Pak Ibrahim dan Abang Manan tersenyum terharu melihat keadaan itu. Ayah mana yang tak risaukan anak-anaknya. Tambahan dah tiga minggu mereka hilang, tak dapat dikesan langsung.

“Terima kasih Imam sebab bawa mereka balik. Saya dah hampir putus asa. Isteri saya dah dua kali masuk wad sebab darah tinggi, terlalu risaukan anaknya,” kata ayah Damia.

“Alhamdulillah, semuanya dengan izin Allah,” kata Pak Ibrahim.

“Jumpa mereka kat mana? Kita kan dah cari seluruh hutan?” Ayah Jali pula bertanya.

“Jumpa di mana dah tak perlu, asalkan mereka pulang dengan selamat,” kata Pak Deris. Lalu semua yang bertanya tadi, terdiam.

“Macammana dengan anak saya Imam?” Ayah Linda bertanya. Pak Ibrahim memandang keliling.

“Eh, ada yang belum jumpa ke?” Abang Manan bertanya sambil kerutkan dahi.

“Empat orang lagi tak jumpa. Semuanya anak gadis,” kata ayah Linda lagi, lalu diiyakan oleh ayah Damia, ayah Salma dan ayah Suria.

“Tapi diorang semua takde dah kat sebelah sana,” kata Abang Manan.

“Anak kami belum jumpa. Tolong kami Imam,” rayu ayah Suria.

Pak Ibrahim memandang Pak Deris. Pak Deris seakan sedang memasang telinga mendengar sesuatu.

“Tahu kat mana ke?” Pak Ibrahim berbisik kepada Pak Deris.

“Diorang tak lepas kerajaan air. Diorang masih kat sini,” kata Pak Deris juga berbisik.

“Kat mana pula?” Abang Manan tanya.

“Takpe, saya cuba tanya dulu. Sebab kalau yang sebelah sini, saya kenal rapat orangnya,” kata Pak Ibrahim.

“Ha, eloklah tu. Sebab yang sebelah sini, sombong sikit. Taknak bercampur dengan kerajaan mana-manapun, walaupun sebangsa dengan mereka,” kata Pak Deris.

Pak Ibrahim senyum. “Bukan sombong, dia pemalu,” kata Pak Ibrahim.

“Macam ni la, semua orang balik ke rumah dulu. Yang mana dah jumpa anak-anak, bawa mereka balik, bagi makanan, bagi mereka rehat yang cukup. Sebab dah terlalu lama mereka hidup di hutan,” kata Pak Deris.

“Anak kami macammana Imam?” Ayah Linda bertanya.

“Kamu pun pulang dulu berehat. Pagi esok, datanglah ke sini semula.” Kata Pak Ibrahim.

“Kalau Imam nak cari mereka, saya nak ikut,” kata ayah Suria.

“Kalau semua nak ikut, pergilah. Kami tak payah pergi, kami boleh balik rumah,” kata Pak Deris,  yang memang tegas tu.

“Kami minta maaf, kami terlalu risaukan anak kami,” kata ayah Suria lagi.

“Ya, kami faham. Kadang-kadang terlalu ramai pun susah nak cari. In Shaa Allah, doakan anak-anak kalian ditemui sebelum subuh esok,” kata Abang Manan cuba memujuk.

Semua yang berada di situ akur. Mereka meninggalkan kawasan perkelahan tu. Tinggallah Pak Ibrahim, Pak Deris dan Abang Manan.

“Pak Ibrahim, saya nak ikut,” kata Zahid.

“Tak perlulah. Kamu ikutlah ayah kamu balik dulu. Esok kamu datang lagi ye,” kata Pak Ibrahim memujuk. Zahid akur. Dia pulang bersama ayahnya.

“Tujuh langkah ke belakang, tiga langkah ke sisi kiri. Di situ penyimpannya,” kata Pak Ibrahim. Tiada banyak soalan, Pak Deris dan Abang Manan mengikut langkah Pak Ibrahim.

Di hujung langkah, Pak Ibrahim menarik sehelai daun dari kawasan hutan berhampiran. Dia meramas daun itu, membacakan sesuatu lalu membalingnya semula ke arah hutan. Keluar satu makhluk berbulu lebat.

“Hah! Kamu rupanya Gasot. Bangsa Munggah, bangsa pelarian. Mana anak-anak bangsa aku? Pulangkan mereka sebelum aku beritahu Siwok,” kata Pak Ibrahim.

“Mereka kacau keluarga aku.” Kata Gasot.

“Mereka kacau macammana?” Pak Ibrahim bertanya.

“Mereka usik mainannya. Dia minta makanan, mereka halau dia sampai dia balik rumah menangis,” kata Gasot.

“Kau tahu kan, anak-anak bangsa aku tak nampak kau. Kau jangan angkuh bilamana bangsa kau dianugerahkan kelebihan boleh melihat bangsa manusia. Kerana kelebihan itulah, kau lebih terseksa, betul kan?” kata Pak Ibrahim.

“Mereka datang tempat aku, bukan aku panggil mereka ke sini,” kata Gasot.

“Aku bagi tempoh sepuluh detik, kembalikan anak-anak aku, atau aku maklumkan hal ini kepada Siwok, rajamu,” kata Pak Ibrahim. Pak Deris dan Abang Manan kekal di belakang, menanti segala kemungkinan.

“Panggillah sahabatmu itu. Kau tidak punya apa-apa bukti untuk menuduh aku sembunyikan anak-anak bangsamu,” kat Gasot.

“Baik. Kalau kau rasa kau bijak, percayalah semua orang pun bijak,” kata Pak Ibrahim lalu pejamkan mata lalu membaca sesuatu. Dan seketika kemudian muncullah seorang lelaki yang bertubuh lebih besar berbanding mereka yang berada di situ.

“Assalamualaikum,” salam diberi.

“Waalaikumussalam,” salam disambut.

“Lama kita berjumpa,” kata Pak Ibrahim.

“Ya, sangat lama. Tapi masih ku ingat rupa dan baumu sahabat,” sahut Raja Siwok lalu bersalaman dengan Pak Ibrahim, hanya diperhatikan oleh Pak Deris dan Abang Manan.

“Maafkan aku terpaksa menyerumu sahabat. Kerana ada anak buahnya buat hal,” kata Pak Ibrahim.

“Ya, aku baru dimaklumkan, ada anak bangsa manusia yang sesat di dalam kerajaanku. Kami masih mencari. Tapi mana tahu, kau lebih cekap mencari penjenayahnya walau penjenayah tersebut berada di alamku,” kata Raja Siwok sambil memandang tajam ke arah Gasot.

“Apa bukti aku penjenayahnya?” tiba-tiba Gasot mencelah, termakan cili dengan apa yang Raja Siwok katakana.

“Kamu buat apa ni Gasot? Dah la bangsa Munggah kau pusingkan paksi dua alam ni, lepas tu kau nak tunjuk kau jadi mangsa? Pergi ajar anak-anak bangsa kau dulu. Kau jangan buat malu kerajaan tanah. Dah lama aku tak bercampur dengan kerajaan lain, tapi kau tiba-tiba buat malu aku,” kata Raja Siwok kepada Gasot.

“Bangsa manusia yang ganggu bangsa aku. Kau sebagai pemerintah kerajaan tanah, bukankah kau sepatutnya melindungi kami sebagai bangsamu, bukan menyebelahi bangsa manusia,” kata Gasot masih melawan.

“Kau pun kena ingat Gasot. Bangsa kau bukan berasal dari kerajaan tanah. Ingat tu. Aku dan bangsaku dari kerajaan tanah, mengizinkan kau dan bangsa kau menumpang di sini kerana kau dibuang oleh kerajaan hutan, bahkan kerajaan air dan kerajaan gunung pun taknak terima bangsa kau. Kau lupa?” Raja Siwok bertanya. Gasot diam.

“Kau pun kena ingat, kerana mahu melindungi bangsa kau lah, aku menutup kerajaanku dari bercampur dengan kerajaan luar.” Kata Raja Siwok. Gasot diam.

“Sudah, jangan sampai aku halau kau keluar dari kerajaanku. Nasib baik bangsa manusia yang jumpa kau. Kalaulah pemerintah kerajaan lain yang menjumpai kau, kau dan bangsa kau, mungkin dah tak wujud di dunia lagi,” kata Raja Siwok.

Gasot berundur lalu menghilangkan diri di dalam hutan.

“Aku minta maaf bagi pihak bangsa Munggah. Kau tahu kan, betapa nakalnya mereka. Sebab itu aku kena tutup kerajaan aku.” Kata Raja Siwok.

“Jangan bimbang, aku tahu kau seorang pemerintah yang baik,” kata Pak Ibrahim.

“Aku pulang dulu. Bimbang anak saudaramu mula mencari aku,” kata Raka Siwok.

“Iya, silakan. Sampaikan salamku kepadanya,” kata Pak Ibrahim. Lalu mereka bersalaman dan Raja Siwok menghilangkan diri sebalik hutan belukar.

“Anak saudara?” Abang Manan bertanya, ingin tahu.

“Isterinya adalah anak saudaraku,” kata Pak Ibrahim tanpa selindung.

“Yang hilang di lombong tujuh tahun lepas?” Pak Deris bertanya. Pak Ibrahim anggukkan kepala dan tersenyum. Pak Deris dan Abang Manan berpandangan sesama sendiri.

“Lupakan hal itu. Jangan diceritakan kepada sesiapa, walau kepada adik beradikku,” kata Pak Ibrahim. Pak Deris dan Abang Manan anggukkan kepala.

“Esok. Sebaik fajar menyinsing, cari empat anak itu di sini. Mereka berada di sini,” kata Pak Ibrahim sambil meletakkan satu batu di bawah satu pohon besar di tepi jalan. Lalu mereka beredar pulang ke rumah masing-masing.

*******************************************

“Ya Allah, anak. Kenapa kamu tidur di sini? Lama dah ayah cari kamu,” Damia sedar dari tidur bila terdengar suara ramai orang. Dia buka mata dan pandang keliling, begitu juga dengan Sofea, Suria dan Salma. Mereka terkejut bila nampak ayah masing-masing di depan mata. Menangis kegembiraan lalu memeluk ayah masing-masing.

“Bawalah mereka balik berehat dulu. Jangan ditanya yang bukan-bukan andai mereka enggan bercerita apa-apa,” kata Pak Deris. Setelah terima kasih yang bertalu-talu diucapkan, kesemua mereka pulang mengikut keluarga masing-masing. Dengan pengalaman yang tak mungkin akan dilupakan selagi nyawa dikandung badan.

*********************************************

“Saiful taknak balik?” terbeliak mata Sofea bila tahu Saiful terus tinggal di alam bunian bersama Raja Sirus.

“Pak Deris bagitahu aku, Saiful dah tahu tentang kematian neneknya semasa kita semua masih tersesat di alam bunian. Macammana dia tahu, itu aku tak pasti. Tapi aku yakin ada seseorang yang maklumkan dia. Aku rasa Raja Wasih tapi aku tak sure. Sebab tu dia taknak balik ke sini dah. Katanya dia dah tiada sesiapa di sini. Dia taknak membebankan mak saudaranya lagi. Dia kata sejak ibu ayahnya meninggal dunia, dia tak pernah rasa ketenangan seperti tenangnya semasa dia berada di alam bunian walaupun ramai musuh di sana.” Kata Zahid lagi.

“Patutlah dia nampak murung je masa kat sana. Diam je. Bila aku tanya, pun dia diam juga. Aku ingatkan dia rindukan neneknya. Rupanya nenek dia dah meninggal dunia. Mesti sebab terlalu rindukan dia,” kata Jali.

“Ya Allah, kesiannya dia,” kata Suria.

“Takpelah, itu kehendak dia.” Kata Huda lagi.

“Abang Manan ada cakap kat aku, kadangkala yg patut dibimbangkan bukan kejahatan orang kepada kita, tapi kebaikan orang. Sebab kejahatan dah tentu kita menolaknya. Tapi kebaikan adakala membuatkan kita percaya dan meletakkan kebergantungan kepada kebaikan itu hingga lupa perkara lain, kerana ia adalah kebaikan.” Kata Azri termenung panjang.

“Malam esok kenduri tahlil nenek Saiful. Jom kita pergi. Lepas ni kita akan sambung belajar. Habis belajar, kita akan bekerja, berkeluarga. Tak tahulah bila kita akan berjumpa lagi.” Kata Azri.

“Ok, lepas maghrib kan? Kita jumpa kat rumah nenek Saiful,” sahut dua belas sekawan itu.

Dan mereka telah sepakat untuk merahsiakan segala kejadian yang mereka lalui sepanjang tempoh tiga minggu mereka ‘hilang’ di alam manusia. “Biar pecah di perut, jamgan pecah di mulut. Teruskan berkata bahawa kita sesat.” Begitulah janji mereka.

**********************************************

Ketika tahlil dibacakan, tiba-tiba suasana sunyi sesunyinya, tiada bunyi kenderaan lalu lalang, tiada suara, hanya bacaan Surah Yaasin kedengaran.

Dan tiba-tiba bau wangian yang amat kuat menusuk ke hidung setiap orang yang menghadiri majlis tahlil malam itu.

“Teruskan bacaan, jangan berhenti,” kata Pak Ibrahim. Lalu mereka di situ akur.

“Psstt.” Huda mencuit Damia. Damia pandang Huda. “Tu,” kata Huda sepatah sambil memuncungkan bibirnya ke arah seseorang.

“Saiful?” Damia berbisik.

“Saiful kan?” Huda bertanya.

“Ya, itu Saiful. Dan dibelakangnya Pakcik Sirus dan Simpuh,” kata Damia.

“Tundukkan kepalamu. Fokuskan pada bacaanmu,” kata Abang Manan yang duduk di hadapan mereka menegur. Damia dan Huda terdiam. Mereka habiskan bacaan. Dan sebaik selesai bacaan, kelibat Saiful dah tiada.

*********************************

“Begitulah cerita yang aku dengar tentang Ustaz Saiful ni Ayu. Dia memang akan muncul apabila ada orang yang memerlukan bantuan dari alamnya. Dia dah berkahwin dengan Simpuh dan dikurniakan anak. Tak lama selepas mereka berkahwin, Raja Sirus meninggal dunia. Lalu Ustaz Saiful dilantik menjadi pemerintah kerajaan hutan. Tapi Ustaz Saiful tak benarkan bangsa di sana memanggilnya Raja. Dia mahu semua orang mengenalinya sebagai Ustaz Saiful, samada di kerajaan hutan mahupun di kerajaan manusia. Kerana dia tak mahu melupakan bangsa manusianya,,” kata Zara mengakhiri ceritanya kepada aku.

Dan sekarang tahulah aku siapa Ustaz Saiful.

–  T A M A T –

One thought on “BILA BULAN TERBELAH DUA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s