BILA BULAN TERBELAH DUA

Bab 22

“Tolong! Tolong!” sayup sekali kedengaran bunyi suara meminta tolong. Namun solat perlu dihabiskan hingga salam terakhir.

Sebaik salam akhir dilafaz, masing-masing menoleh ke arah sayupnya laungan meminta tolong. Semua para jemaah berpandangan sesama sendiri.

“Bunyinya seperti dari arah barat,” kata Tok Putih perlahan.

“Biar aku pergi siasat,” kata Raja Waris lalu terus mengembangkan sayapnya dan terbang ke udara.

“Jangan leka. Kita perlu mula bergerak ke arah paksi dua alam berselisih. Lihat bulan. Kita perlu terus berjalan, jangan sampai terlepas detiknya,” kata Pak Deris.

Masing-masing bangun dan mula bergerak. Raja Sirus, Pak Deris dan Pak Ibrahim bergerak di hadapan, diikuti Zahid, Jali, Azri, Saiful, Ahmad, Damia dan Huda. Manakala Tok Putih dan Abang Manan berjalan di bahagian belakang. Simpuh tak mengikut, dia hanya memerhati sahabar barunya pulang ke tempat asal.

Ketika mereka memasuki satu hutan tebal, Pak Deris mengangkat tangannya memberi isyarat supaya mereka semua berhenti. Kedengaran bunyi makhluk berkaki empat sedang berlari mendekati mereka. Dan diikuti dengan bunyi lolongan anjing yang panjang, seakan sedang ketakutan.

“Apa tu?” Jali bertanya perlahan. Raja Sirus memberi isyarat supaya diam dan jangan bergerak. Bunyi tapak kaki empat itu semakin hampir dan bunyi lolongan anjing itu juga seperti terlalu dekat dengan mereka. Masing-masing berjaga-jaga.

Dari satu celahan pokok besar, muncul seekor anjing yang besar. “Kejora?” Damia memanggil. Dan anjing besar itu memandang Damia.

“Tak sangka kita dapat bertemu lagi,” anjing itu berkata-kata sambil tunduk ke arah Damia.

“Anjing tu kenal kau?” Huda bertanya.

“Dialah yang bawa aku ke sini,” kata Damia.

“Kau tunggang anjing?” Jali bertanya. Damia anggukkan kepala.

“Dia bukan sebarangan anjing. Jangan pandang rendah padanya. Dia dah selamatkan aku,” kata Damia.

“Ada apa Kejora? Kenapa kau terburu-buru?” Raja Sirus bertanya.

“Raja Sagut mengamuk. Dia musnahkan semua pondok penghuni kerajaan hutan. Nenek Bidara menyuruh aku meminta bantuan dari Raja Suris. Banyak jiwa dah terkorban dek amukan Sagut,” kata Kejora.

“Dia takkan pernah serik, takkan pernah beralah dan takkan pernah menyesali perbuatannya. Makhluk yang tak layak diberi peluang,” kata Pak Deris, dengan wajah penuh dendam. Semua yang berada di situ diam.

“Kau bawa aku ke tempat amukannya sekarang,” kata Pak Deris lalu menunggang Kejora. Kejora memandang Raja Sirus. Raja Sirus anggukkan kepala kepadanya sebagai isyarat untuk mengikut arahan Pak Deris.

“Pak Deris pegang anjing bunian, kena samak tak?” Huda bertanya kepada kawannya. Semua yang ada di sana angkat bahu tak tahu jawapannya.

“Kita berjumpa di bulan kedua bahagian timur, dalam kiraan 60 minit masa di alam manusia. Jangan terlewat walau sedetik. Andai aku tak kunjung tiba, di kala paksinya berselisih dan laluan ke alam manusia terbuka, maka pergilah kalian dahulu. Jangan tunggu aku. Aku tahu keberadaanku di mana. Sahabatku Sirus, hantarkan mereka pulang ya. Pak Ibrahim, bawa mereka pergi, jangan tunggu aku. Ada rezeki diizinkan Allah, kita berjumpa di sana. In Shaa Allah,” kata Pak Deris.

“Kamu hati-hati,” kata Raja Sirus.

“Jangan bimbang, Raja Wasih masih bersamaku. Lagipun aku pun dah lama nak jumpa ‘kawan lama’ku, Sagut pemerintah kerajaan air.” Kata Pak Deris lalu terus menghilangkan diri seakan terbang dibawa angin oleh Kejora.

“Teruskan perjalanan kita. Kita mesti sampai di sana sebelum Sagut. Harap-harap Deris dan Wasih berjaya lengahkan Sagut. Kalau kamu semua tak dapat balik mala mini, kamu mungkin perlu menunggu beberapa ketika lagi. Dan untuk tempoh itu, Sagut boleh berbuat apa saja demi membalas dendam,” kata Raja Sirus.

“Kamu semua, berkumpul dan bentuk bulatan. Bengkokkan sedikit lutut kalian, dan pandanglah ke atas langit yang indah. Lihat bulan ciptaan Allah, putih bersih tanpa noda.” Kata Tok Putih.

Masing-masing mengambil tempat, seperti yang diarahkan oleh Tok Putih. Dan setelah masing-masing melihat bulan, tiba-tiba terasa diri bagai diangkat ke udara. Dan seperti sedang berterbangan, bergerak di atas angin, menuju ke arah di timur.

Setelah beberapa ketika, angin yang memukul telinga tadi, berhenti. Kaki mula berpijak ke tanah semula.

“Alhamdulillah, kita dah sampai. Terima kasih Tok Putih,” kata Raja Sirus.

“Tadi kami terbang di atas angin?” Damia bertanya.

“Mana ada manusia boleh terbang di atas angin,” kata Pak Ibrahim perlahan.

“Macammana kita sampai di sini?” Damia tak puas hati, masih bertanya.

“Ingat, kita bukan di tempat kita. Semestinya takkan sama dengan dunia kita. Ada perkara yang kita tak dapat fikirkan dengan akal manusia, maka bersyukurlah bila diberi anugerah melalui pengalaman begini. Jangan kita persoalkan kerana tak semua soalan ada jawapan,” kata Abang Manan yang diam je dari tadi.

Zahid bagi isyarat diam kepada Damia. Huda cuit pinggang Damia, suruh diam juga. Maka Damia pun diam, walaupun terlalu banyak yang nak ditanyanya.

“Lihat bulan di bahagian barat, dah menjauh kan? Dan lihat bulan di bahagian timur, kita lebih dekat dengannya. Ini menandakan kita dah berada di sempadan alam jin dan alam manusia,” kata Raja Sirus.

Kesemua yang berada di situ memandang ke arah dua bulan yang ditunjukkan oleh Raja Sirus.

“Jadi, di mana pintunya?” Azri bertanya.

“Kamu lihat dengan pandangan mata hati, di bawah bulan timur itu kelihatan satu garisan. Itulah laluannya. Garisan itu akan terbuka ketika paksi di kedua-dua alam berselisih. Tak lama, sekejap sahaja. Sebab itu kamu semua perlu bersedia. Apabila laluan itu terbuka, cepat-cepat masuk ke dalamnya. Kamu akan kembali ke alammu disebalik garisan itu. In Shaa Allah,” kata Raja Sirus.

“Dapatkan kita berjumpa lagi?” Azri bertanya Tok Putih. Tok Putih senyum lalu menyapu kepala Azri. Azri memegang tangan Tok Putih lalu diciumnya beberapa kali.

“In Shaa Allah, ada rezeki kita berjumpa lagi. Tapi tak perlulah dicari alam ini. Kamu di alammu, kami di alam kami. Jagalah agamamu, ibubapamu dan dirimu. Kejarlah akhirat, In Shaa Allah dunia akan mengejarmu. Moga ada rezeki kita berjumpa di syurga.” Kata Tok Putih sambi mencium kepala Azri yang masih tunduk mencium tangannya. Tok Putih lalu menarik tangannya.

“Sirus, kau masih mahu kekal di sini?” Pak Ibrahim bertanya.

“Ya, aku akan kekal di sini selagi Allah mengizinkan,” kata Raja Sirus sambil menepuk bahu Pak Ibrahim dan Abang Manan.

“Terima kasih Pakcik Sirus kerana memberi perlindungan kepada kami selama kami di sini. Kalau tiada Pakcik, entahlah apa nasib kami,” kata Huda.

“Jika tiada aku, Allah tetap ada. Biar apa makhluk meninggalkan kita, tapi Allah tak pernah tinggalkan kita. Percayalah yang itu, pasti kamu akan berasa tenang,” kata Raja Sirus sambil bersalaman dengan para lelaki di kalangan manusia di situ.

“Tengok! Garisan tu mula terbelah. Laluan bakal dibuka. Bersedia untuk pergi ke sebelah sana,” kata Tok Putih.

“Mana Pak Deris?” Zahid bertanya. Semua mata menoleh keliling, mencari kelibat Pak Deris.

*********************************

“Wahai kawan lama. Masihkah kau ingat padaku?” Pak Deris menegur Raja Sagut, makhluk berbadan ular berkepala manusia tanpa telinga tapi bertaring panjang. Raja Sagut yang sedang meratah seekor kambing, melepaskan korbannya lalu menoleh ke arah suara yang menegurnya.

“Oh kau, kawan lama. Mana mungkin aku lupa padamu, bahkan aku rindu sangat untuk bertemu denganmu. Beraninya kau menegur aku? Jika dulu nyawaku di tanganmu, kali ini pasti nyawamu ditanganku,” kata Raja Sagut menyeringai sambil air liur yang yang bercampur darah tadi menitis melalui taringnya.

“Dulu mahupun sekarang, kau mahupun aku, nyawa kita milik Allah.” Kata Pak Deris.

“Laluan ke duniamu bakal terbuka. Tapi kau masih di sini mahu bertemuku. Oh, aku sangat terharu,” kata Raja Sahut sambil meletakkan tangan pendeknya di dada sedang badannya berdiri umpama ular tedung selar yang sedang menunggu mangsa.

“Aku tahu, kau lakukan ini kerana dua perkara. Satu, kerana kau tahu keberadaan aku di sini. Matlamat kau mahu membunuhku, mahu menebus kekalahan tiga belas tahun yang lalu. Dua, kamu mahu menyekat anak-anak bangsaku dari kembali ke dunia kami. Betul?” kata Pak Deris.

“Kau bijak dalam menafsir. Tapi kau bodoh dalam bertindak,” kata Raja Sagut.

“Aku mungkin bodoh, tapi tak sebodoh kau. Kau mungkin bijak, tapi tak sebijak aku,” kata Pak Deris menaikkan kemarahan Raja Sagut.

“Aku bodoh? Dan kau bijak? Kalau kau bijak, kau boleh terus balik ke duniamu. Kenapa nak datang jumpa aku?” Raja Sagut memancing kemarahan Pak Deris.

“Kerna aku tahu setiap perbuatanmu. Kaulah pengkhianat paling teruk. Kaulah batu api pemfitnah paling dahsyat. Aku takkan biarkan apa yang terjadi tiga belas tahun lepas, terjadi sekali lagi. Kau ingat aku tak tahu, setelah kau kalah, dan setelah aku pulang ke duniaku, kau mengamuk. Kau hancurkan segala makhluk kerajaan hutan, kerajaan gunung dan kerajaan kau sendiri. Dan kau kata apa? Kau kata aku, bangsa manusia yang melakukan semua itu. Dan hingga pemerintah kerajaan gunung berserta penghuninya, dan penghuni kerajaanmu sendiri, membenci bangsa manusia. Kamu bunuh Raja Taduh, pemerintah kerajaan hutan kerana tak mahu percaya dengan fitnahmu. Tapi Allah izinkan bangsaku menjadi pemerintah kerajaan hutan, pemerintah sebahagian bangsamu. Sebab itu kau berdendam denganku. Kau ingat aku tak tahu, kau yang mencacatkan Raja Depang, bukan aku. Tapi kau fitnah, kau kata aku yang merosakkan kerajaan gunung, kau kata aku yang menggagalkan majlis pertemuannya dengan ifrit tiga belas tahun lalu. Aku tahu semua tu. Dan aku tahu, sekarang kau nak buat perkara yang sama, dengan harapan, kerajaan hutan pun akan percayakan kau kali ni,” kata Pak Deris.

“Arrggghhhhhh! Matilah kau di alamku. Tanpa kubur untuk ditatapi oleh keluargamu di alam manusia,” tempik Raja Sahut sambil melibas ekornya ke arah Pak Deris. Masa itulah Raja Wasih muncul dari udara, mencengkam leher Raja Sagut lalu mengangkatnya ke udara.

“Jangan kata aku tak beri kau peluang,” kata Pak Deris lalu mengangkat keris logam yang berbalut dengan kain kuning yang sentiasa terselit di pinggangnya. Pak Deris membenamkan keris itu ke dalam tubuh Raja Sagut, di tengah-tengah badannya yang bersisik emas. Kerana disitulah jantung Raja Sagut.

Sebaik ditikam, Raja Wasih melepaskan leher Raja Sagut. Raja Sagut menggelupur dan jatuh ke tanah. Tubuhnya seakan melilit dirinya sendiri. “Kenapa kau ada keris tu?” Raja Sagut bertanya dalam kesakitan. Dia terkejut melihat keris tersebut di tangan Pak Deris.

“Tak semua penghuni di dalam kerajaanmu, bersetuju denganmu. Salah satu darinya yang membantuku. Dia yang memberikan keris itu kepadaku dan memberitahu rahsia untuk kematianmu,” kata Pak Deris.

“Siapa?” Raja Sagut bertanya, dia makin kesakitan. Tubuhnya semakin mengecil dan hingga akhirnya dia menjadi seekor ular yang tidak punya apa-apa kuasa. Dan ular hitam kecil itu kemudiannya menjalar melarikan diri, masuk ke dalam hutan berdekatan. Sebelum masuk ke dalam hutan, ular itu sempat menoleh ke arah Pak Deris dan seseorang di belakang Pak Deris. Dia adalah Rimbun, si katak hijau.

“Kau tak perlu takut lagi, kuasanya telah hilang. Tiada lagi Raja Sagut yang menakutkan. Dia dah jadi ular biasa. Bahkan kau lebih berkuasa.” Kata Pak Deris kepada Rimbun.

“Terima kasih,” sahut Rimbun, si katak hijau yang kini menyerupai manusia lelaki tampan.

“Kau jagalah kerajaan air. Berlaku adillah dengan kesemua penghuninya. Ajarilah dengan ajaran Allah yang Satu. Walau siapa kita, apa rupa kita, di mana kita, kita tetap hamba Allah,” kata Pak Deris.

“Akan ku rapatkan saf di kalangan penghuni-penghuni kerajaan air. Dan kerajaan air takkan bermusuhan dengan mana-mana kerajaan lagi termasuk kerajaan manusia yang banyak membantu kami di sini. Terima kasih sekali lagi,” kata Rimbun sambil tundukkan kepala dan meletakkan tangan kanannya di atas dada kiri sebagai tanda hormat.

“Cepat, laluan ke duniamu hampir terbuka. Lambat sedetik, kau tak dapat balik ke duniamu.” Kata Raja Wasih.

“Peganglah sayapku, aku bawakan kau ke sana,” kata Raja Wasih. Pak Deris akur, memegang sayap Raja Wasih lalu terbanglah mereka ke laluan paksi bulan yang sedang menanti.

“Itu Pak Deris! Cepat! Laluan dah hampir tutup,” Zahid menjerit bila terdengar ciapan Raja Wasih bergema di udara ketika mereka sedang memasuki laluan paksi bulan.

“Aku pulang dulu sahabat. Terima kasih di atas segalanya. Moga kita ketemu lagi di cuaca yang lebih baik,” kata Pak Deris sambil menepuk bahu Raja Sirus lalu terus masuk ke dalam laluan paksi.

Sebaik kaki Pak Deris melepasi laluan, cahaya bergaris di bawah bulan, hilang bagai ditiup angin. Tiada kesan. Mereka semua bangun. Cuaca terang benderang. Hari siang!

“Tadi bukankah kita berada di waktu malam?” Huda bertanya.

“Waktu alam kita dan waktu alam jin berlawanan arah. Kita siang, mereka malam. Kita malam, mereka siang.” Kata Abang Manan.

“Ooooo,” panjang muncung Huda dan Damia. Masing-masing comot. Mereka memandang keliling. Mereka masih berada di dalam kawasan perkelahan, tempat mereka bergembira sebelum tersesat ke alam bunian.

“Dah, jom kita balik. Ibu ayah kamu pasti sedang menunggu,” kata Pak Ibrahim.

“Saiful mana?” tiba-tiba Zahid bertanya. Semua yang berada di situ memandang keliling. Saiful tiada di situ, tiada bersama mereka.

“Mana dia?” Pak Ibrahim bertanya lagi.

“Dia ikut tak tadi?” Abang Manan pula bertanya.

“Semua ada tadi.” Sahut Azri.

“Memang semua ada, tapi tak semua ikut,” kata Pak Deris. Semua mata memandangnya.

– Bersambung –

One thought on “BILA BULAN TERBELAH DUA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s