BILA BULAN TERBELAH DUA

Bab 21

Sebaik beberapa titis air penawar tersebut dimasukkan ke dalam mulut Ahmad, warna di tubuh Ahmad berubah perlahan-lahan. Urat yang menggelembong tadi kembali surut seperti asal. Kulit Ahmad yang tadinya kering seakan bersisik, mula berubah lembab seperti kulit manusia biasa. Sedikit demi sedikit warna kulit Ahmad kembali kemerahan. Tapi Ahmad masih tak sedar, tak bergerak langsung dari tadi.

Zahid menghampiri Ahmad lalu dipegangnya tangan Ahmad. Wajahnya risau kerana Ahmad tak bergerak. Begitu juga Jali dan Azri mereka mengelilingi tubuh Ahmad yang terbujur kaku.

“Mat, bangun Mat.” Azri memanggil. Suaranya sebak.

Saiful memandang wajah Raja Sirus, Raja Sirus berwajah serius. Lalu dia pula memandang Raja Wasih. Rasa Wasih tunduk sambil gelengkan kepala.

“Kenapa?” Pak Ibrahim bertanya. Tiada sahutan.

“Mat! Bangun Mat! Kau nak ke mana? Jom balik sama-sama dengan kami. Mat!” Jali hilang sabar, dia mula memanggil dan menggoncang badan Ahmad yang masih kaku. Huda dan Damia dah menangis kat tepi pangkin. Zahid, Saiful dan Azri hanya memandang Ahmad dengan lidah kelu.

“Kita cuma boleh berusaha, tapi selebihnya adalah kehendak Allah.” Kata Raja Sirus.

“Mat! Takkan kau nak mati kat sini. Mat, bangunlah Mat. Tolonglah bangun. Seumur hidup aku akan menyesal kalau pergi macam ni. Mat!” Azri pula memanggil.

“Tak boleh buat apa-apa ke?” Pak Deris bertanya Raja Sirus.

“Bisa racun telah masuk ke dalam tubuhnya melebihi kadar kemampuan seorang manusia. Mungkin badannya tak mampu bertahan,” kata Raja Sirus.

“Ya Allah! Mattttttt!” Huda tak dapat menahan sebaknya, dia menjerit. Diikuti tangisan mendayu-dayu Damia.

“Sabar anak-anak, segalanya dengan izin Allah. Jangan meratap begini, seakan tak redho dengan ketentuan Allah. Sekurang-kurangnya dia berjaya dibawa pulang, daripada jasadnya hilang tak berkubur,” kata Pak Ibrahim. Tok Putih dan Abang Manan yang berada di situ, mengundur beberapa langkah dan mengelap air mata melihat keadaan Ahmad dan kawan-kawannya di situ.

Raja Sirus meninggalkan Saiful dan kawan-kawannya yang masih tak dapat menerima kenyataan bahawa Ahmad pergi dengan cara begitu, di alam lain, dan bersama makhluk dari alam bunian. Tiada siapa yang mengetahui apa yang telah dilalui oleh Ahmad sejak dia hilang di kawasan perkelahan tu. Raja Sirus membiarkan anak-anak itu. Dia lalu membawa cangkir air melangkah perlahan ke arah Simpuh yang dari dari menjauhkan diri dari kumpulan yang mengerumuni Ahmad. Dia berdiam diri di bawah pohon keladi.

“Mari nak, aku hilangkan bisa sumpahan Raja Depang terhadapmu,” kata Raja Sirus perlahan. Dia menuangkan beberapa titis air dari cangkir penawar di atas telapak tangan kanannya. Berselawat ke atas Nabi Muhammad saw lalu direjiskan ke tubuh Simpuh yang masih menggigil.

Sebaik direnjis dengan air penawar, muncul asap putih dari setiap sisik di tubuhnya. Asap putih itu semakin menebal hingga menutupi keseluruhan tubuh Simpuh. Keadaan itu menyebabkan semua mata memandang ke arah gumpalan asap putih tersebut.

Dan beberapa ketika kemudian, asap putih tadi mula menipis dan terus hilang. Lalu kelihatan seorang gadis yang amat cantik, berbaju sutera putih dengan selendang putih menutupi kepalanya. Kulitnya yang mulus, matanya yang bulat, bibirnya yang merah bak delima merkah. Tak berkelip mata mereka yang melihatnya. Lupa terus tentang Ahmad yang terbujur kaku.

“Alhamdulillah, kamu telah kembali anakku. Adakah kamu mengenaliku?” Raja Sirus bertanya.

“Pakcik Sirus?” Simpuh yang dah bertukar rupa tadi bersuara. Merdu sungguh suaranya. Sebaik menuturkan bahasa, burung kecil berciap seakan mengiringi tuturbicaranya. Bunga-bungaan membuka kelopaknya seakan kagum dengan kemerduan suaranya.

“Aaku ayahandamu, Ayahanda Sirus. bolehkah kau memanggilku begitu?” Raja Sirus bertanya. Simpuh anggukkan kepala dan tersenyum.

“Kau ingatkah kepada semua mereka di sini?” Raja Sirus bertanya. Lalu Simpuh melihat kesemua mereka.

“Raja Wasih, pemerintah kerajaan angin yang penuh kasih sayang. Tok Putih, guruku yang ilmunya sampai ke langit ke tujuh. Pak Deris dari kerajaan manusia yang pernah menebus nyawanya untuk menyelamatkanku dan ibu ayahku, dan…. Hmmmmm.” Simpuh memberhentikan kata-kata apabila melihat Pak Ibrahim dan Abang Manan yang tak pernah dilihatnya. Lalu matanya memandang kepada Zahid, Jali, Azri, Saiful, Damia dan Huda yang masih terlopong mulut memandang ke arahnya. Kecantikan yang luar biasa, putihnya bagai sutera lembut, jernihnya seperti cermin, cahayanya laksana boleh menembusi kulit.

“Tapi aku mengenali yang terbaring kaku di sana,” kata Simpuh sambil melangkah penuh kelembutan ke arah tubuh Ahmad yang kaku.

“Alhamdulillah, ingatannya telah pulih. Semuanya dengan izin Allah.” Kata Raja Wasih. Raja Sirus menganggukkan kepala, masih ada air jernih bertakung di dalam kelopak mata tuanya. Syukurnya tak terhingga. Tiga belas tahun dia mencari dan mencari, menyesali kegagalan diri, kini yang dicari telah berada di depan mata. Moga yang disesali dapat ditebus.

Ketika semua mata masih memandangnya, Simpuh memandang tubuh Ahmad yang kaku. Dia memandang dari atas kepala ke kaki dan dari kaki ke atas kepala. Seketika kemudian, Simpuh menggenggam tangan kirinya lalu meletakkan di atas perut Ahmad, dia menekan perut Ahmad dengan kuat, hingga mengalir darah dari mulut dan telinga Ahmad. Masing-masing yang berada di situ terkejut dengan tindakannya.

“Apa kamu buat kepada kawan kami?” Damia bersuara seakan nak marah. Dia bangun dan cuba nak menepis tangan Simpuh tapi ditahan oleh Saiful.

“Sabar anak-anak. Jasad manusia yang dah tak bernyawa, takkan mengeluarkan darah sebegini.” Kata Pak Ibrahim yang berwajah seakan menaruh harapan bahawa Ahmad masih hidup.

Hampir tiga minit Simpuh masih menekan perut Ahmad. Darah yang mula-mula tadi berwarna merah, bertukar menjadi hitam sehitam-hitamnya seperti minyak hitam pada kenderaan. Simpuh menarik tangannya apabila darah kembali menjadi merah. Kedengaran suara Ahmad terbatuk-batuk seperti baru sedar dari lemas. Bersembur darah dari mulutnya, keluarlah lipan, semut hitam, kala jengking ulat halus dan beberapa serangga kecil berbisa dari muntahnya. Huda dan Damia ikut muntah sekali melihat semua haiwan berbisa yang keluar dari mulut Ahmad tu.

“Ambil ambil penawar tadi, bagi dia minum,” kata Raja Wasih. Cepat-cepat Raja Sirus mengambil cangkir air penawar tadi lalu menuangkan ke dalam mulut Ahmad yang masih lemah.

“Mat, kau ok?” Jali terus menegur sebaik sahaja Ahmad berhenti batuk dan boleh menelan air. Ahmad anggukkan kepala masih lemah.

“Alhamdulillah. Mat, kami ingat kami dah kehilangan kau. Ya Allah, aku tak pernah berasa segembira begini,” kat Azri sambil memeluk tubuh Ahmad yang masih kelihatan terpinga-pinga. Berkumpullah anak-anak tujuh sekawan di situ.

“Apa yang telah berlaku wahai anakku?” Raja Sirus bertanya ingin tahu.

“Racunnya diikat di pangkal hempedu. Sengaja aku kuncikan di situ ketika memberinya makanan. Sebab aku mahu kurangkan kesakitannya ketika dia disembelih ifrit. Dia tersesat ke kerajaan gunung kerana rindu pada ayahnya. Aku tahu perasaan itu.” Simpuh tak dapat meneruskan kata-kata. Dia tunduk ke tanah. Beberapa titis air yang bercahaya turun dari matanya. Dia menangis.

“Setelah kematian ayahmu, penghuni kerajaan hutan sepakat melantik Raja Sirus untuk menjadi pemerintah kerajaan mereka menggantikan ayahmu Taduh. Kerana pada masa itu, kerajaan hutan hancur lebur dek perbuatan Raja Depang dan sekutunya, Raja Sagut. Semuanya hancur musnah. Dan kerana perasaan bertanggungjawab di atas kematian ayahmu Raja Taduh, Raja Sirus akur untuk memerintah kerajaan hutan. Dia sanggup melupakan keluarganya di alam sana. Dia sanggup bertukar alam. Dialah ayahmu sekarang,” kata Raja Wasih.

Simpuh memandang Raja Sirus. “Tidakkah ayahanda akan kembali ke kerajaan manusia?” Simpuh bertanya lembut.

“Tidak anakku, aku akan kekal di sini, memerintah kerajaan ini, hingga nyawa pinjaman ini diambil oleh Sang Pencipta yang mutlak,” kata Raja Sirus.

“Terima kasih ayahanda,” lalu Simpuh menyalami dan mencium tangan Raja Sirus dengan titian air mata bercahaya yang semakin laju hingga tempat Simpuh berdiri itu diterangi cahaya.

“Malam ini, akan ada satu ketika, perhatikan bulan di langit. Tatkala bulan kelihatan dua, kita perlu menuju ke arah bulan yang berada di timur kerana di situlah alam manusia. Dan itulah petanda paksi laluan antara dua alam sedang dibuka untuk kamu kembali ke alam manusia.” Kata Raja Wasih.

“Sekarang kita berehat dulu. Nanti boleh solat Jemaah sekali. Tok Putih boleh imamkan solat kita. Bacaannya bisa buat kalian menangis, terasa betapa rendahnya diri kita di alam ciptaan Allah. Dan sekali lagi makhluk dari dua alam berjemaah bersama dengan kerelaan dan kesedaran masing-masing, Sesungguhnya kuasa Allah itu tak terbatas,” kata Raja Sirus.

Selepas beberapa kali diberi makanan dan minuman, Ahmad makin bertenaga. Tapi beberapa ingatannya tak dikembalikan. Dia hanya ingat ketika dia bermain bersama kawan-kawannya di kaki gunung tempohari. Dia tak ingat yang lain, bagaimana dia sampai ke kerajaan gunung, bagaimana dia hampir menjadi korban, dan bagaimana dia diselamatkan. Dia hanya ingat setelah dia sedar petang tadi.

“Ada beberapa perkara yang tak perlu kita ingat. Biarlah ia menjadi sejarah,” kata Pak Deris.

“Kamu sangat cantik. Di tempat kami, kami tak pernah lihat gadis secantik kamu,” kata Huda menegur Simpuh.

“Ini semua kejadian Allah. Jangan terlebih taksub dengan manusia hingga lupa kejadian Allah. Kamu lihat rupaku sebelum ini? Hodoh bukan? Tentu kamu juga takut melihat aku dengan rupa itu, kan? Fitrah manusia, suka melihat yang cantik. Allah itu Maha Berkuasa, Dia boleh menukarkan kita menjadi apa saja yang diingininya apabila Dia berkehendak. Kun Fayakun,” kata Simpuh. Dia mengeluarkan sesuatu dari celahan jemarinya lalu menyerahkan kepada Huda dan Damia.

Mutiara putih yang nampak di dalamnya seakan gambaran bulan. “Cantiknya. Mutiara ke ni?” Huda bertanya.

“Ia mungkin mutiara di tempat kamu. Tapi itu adalah ‘bulan’ di tempat aku. Ambillah, dan jangan tunjuk kepada sesiapa. Anggaplah itu hadiah dariku dengan pesanan, jangan lupakan aku di sini.” Kata Simpuh tersenyum dengan pipi kemerahan. Rupa itu, bukan lelaki sahaja tergoda, bahkan perempuan pun boleh menitik air mata melihatnya.

“Rupanya Pakcik Sirus tu adalah kawan Pak Deris. Ini bermakna, Pakcik Sirus tu adalah manusia dari alam kita?” Zahid bertanya kepada teman-temannya ketika berehat menunggu masuknya waktu maghrib di alam bunian.

“Macam tu la yang aku faham,” sahut Azri.

“Macammana dia boleh masuk ke alam ini? Dah tu jadi pemerintah kerajaan hutan pulak tu. Bukan calang-calang orang tu. Berkawan pula dengan pemerintah angin. Korang tak rasa macam kita ni bermimpi ke? Macam tak percaya kita lalui semua ni,” kata Jali.

“Ku fayakun,” Saiful bersuara perlahan sambil memandang ke arah bulan.

“Tapi aku tengok kau lain macam Saiful. Kau banyak berdiam, termenung, seakan ada perkara dalam kepala kau yang tak boleh diteka. Kenapa Saiful? Kau rindukan nenek kau ke?” Zahid bertanya. Saiful diam.

“Saiful, tak lama lagi kita balik. Kita semua rindukan keluarga kita,” kata Jali.

“Aku pun sedih nak tinggalkan Tok Putih. Dia terlalu baik, sangat baik. Kalaulah aku boleh datang berjumpanya pada bila-bila masa, memang aku akan datang belajar agama darinya,” kata Azri, dia akui terasa sebak di dada bila mengenangkan bahawa mereka akan terpisah. Dia tak pernah rasa ketenangan yang diperolehinya ketika berada di dalam surau Tok Putih.

“Dah, jangan fikir lagi. Semakin kita fikir, semakin gila jadinya nanti. Jangan melawan fitrah. Tahan godaan hati kita. Kita perlu balik ke alam kita kerana kita dicipta sebagai manusia, bukan jin. Jangan ubah fitrah itu,” kata Zahid. Semua diam.

Di kala bulan kelihatan terbelah dua, Raja Wasih mengalunkan azan. Mendayu-dayu bunyinya. Sedih dan sayu tapi mendamaikan. Sahutan azan kedengaran di seluruh pelusuk alam bunian, menandakan semua makhluk dah bersedia menunaikan kewajipan kepada Allah yang Satu. Berlainan alam tapi masih berpijak di bumi yang sama, masih mentauhidkan Islam, masih sujud di kaki Pencipta yang sama. Kita semua hamba.

Berbeza dengan alam manusia, di kala azan berkumandang, masing-masing masih sibuk mengejar keperluan duniawi. Ibu ayah masih di atas jalanan, anak-anak masih di dalam pelukan orang yang bukan ibu ayahnya. Usahkan menjawab azan, diam ketika azan berkumandang pun belum tentu. Azan dah dilaungkan atau belum pun tak ramai yang sedar. Apatah lagi nak solat di awal waktu. Ya Allah, betapa berdosanya umat manusia.

Bersusunlah saf di tepian sungai, berlantaikan rumput, bersilingkan langit. Pak Ibrahim membacakan iqamah. Iqomah saja dah menitiskan air mata. Sebak rasanya. Walaupun tiada penghawa dingin, tiada dinding berbatu marmar, tiada mimbar yang berkilauan, tiada permaidani terhampar, tiada pangkat melabelkan setiap saf, namun terasa hati lebih dekat dengan Sang Pencipta. Satu ketika dalam puluhan juta detik yang Allah hadiahkan kepada semua makhluk, takkan sama dengar kekhusyukan solat waktu itu. Air mata mengalir laju, teresak-esak menahan sebak, baru tahu apakah rasa sebenarnya menghadap Allah.

– Bersambung –

One thought on “BILA BULAN TERBELAH DUA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s