BILA BULAN TERBELAH DUA

Bab 20

“Raja Sagut tu dah menyerah kalah ke?” Damia bertanya.

“Dia makhluk pendendam, dia tak pernah menyerah kalah. Dia pasti akan buat hal lagi,” kata Raja Sirus.

“Kenapa tak bunuh saja dia?” Huda bertanya pula.

“Di mahsyar nanti, akan ditanya kepada setiap sesuatu yang mati. Apakah punca kematiannya ketika di dunia. Maka menjawablah rohnya. Aku tak mahu menjadi asbab kematian Raja Sagut. Aku tak mahu bertemu lagi dengannya di mahsyar. Aku tak mahu.” Kata Raja Sirus.

“Tapi dia memudaratkan. Kalau tak dibunuh hari ini, mungkin esok atau lusa, dia membunuh makhluk lain pula,” kata Damia.

“Dia ada kelemahan. Kenapa kita tak gunakan kelemahannya? Dia ada kelebihan, mana tahu satu hari kelebihannya itu yang membantu makhluk lain? Setiap makhluk ciptaan Allah yang berakal, pasti diberi peluang untuk menjadi baik. Sedangkan Iblis yang dilaknat dan dah pasti takkan jadi baik pun, Allah tak terus matikan dia sejak dia ingkar dengan perintah Allah untuk tunduk kepada Adam. Bahkan Allah memperkenankan permintaan Iblis untuk terus hidup hingga kiamat,” Kata Raja Sirus lagi.

“Kenapa Allah tak bunuh Iblis?” Huda bertanya.

“Pernah terfikir tak kalau Iblis tak ingkar perintah Allah, akan berlakukah pengkhianatan Adam dan Hawa yang memakan buah khuldi? Jika Adam tak makan buah khuldi, akan wujudkan khalifah manusia di muka bumi? Kenapa Iblis tak dibunuh lalu ia lenyap dari muka bumi ini? Kerana Iblislah yang menjalan tugas menguji iman manusia di dunia. Bayangkan jika iblis dan syaitan tak wujud? Semua manusia masuk syurga rasanya. Kenapa neraka dicipta?” jawab Raja Sirus lagi.

Huda dan Damia diam berfikir. Saiful pula sejak kejadian Raja Sagut menyerang, dia banyak mendiamkan diri dan tak berbual dengan kawan-kawannya. Dia lebih suka duduk di atas tali berbuai di bawah pokok keladi sambil memerhati air sungai jernih mengalir. Siapa sangka air sungai yang tenang mendamaikan itu rupanya racun berbisa.

Raja Sirus melangkah ke arah Saiful. Dia berdiri di tepi sungai dan memandang ke arah sungai yang sama. “Apa di dalam fikiranmu wahai anakku?” Raja Sirus menegur Saiful.

“Bila waktunya kami boleh balik semula ke tempat kami?” Saiful bertanya.

“Kamu rindukan keluarga?” Raja Sirus bertanya tanpa memandang Saiful. Saiful tak menjawab.

“Hari ini akan datang ke sini, sahabatmu yang lain. Selepas itu, kami akan cari paksi laluan dari tempat kamu masuk, untuk kamu semua pulang semula ke duniamu. In Shaa Allah,” kata Raja Sirus.

“Sahabat kami yang lain?” Saiful bertanya.

“Ya. Kesemua kamu sebenarnya telah sesat di alam ini. Cuma berlainan kerajaan. Alhamdulillah, semuanya selamat.” Kata Raja Sirus lagi. Saiful tak bertanya, dia diam. Seperti ada sesuatu yang berlegar di dalam kepalanya.

“Assalamualaikum sahabat lama,” tiba-tiba terdengar suara seseorang memberi salam. Saiful dan Raja Sirus berpaling ke arah suara itu.

Kelihatan Tok Putih bersama Pak Ibrahim, Pak Deris, Abang Manan, Azri, Zahid, Jali, Ahmad yang masih tak sedarkan diri dikendong oleh Zahid dan satu makhluk seperti ular pendek bersisik dengan kepala kambing, sedang berdiri berhampiran pondok kecil milik Raja Sirus.

“Waalaikumussalam sahabat lama yang dirindui.” Sahut Raja Sirus dengan tersenyum lebar dan pipinya jadi kemerah-merahan menunjukkan betapa dia gembira dengan kehadiran tetamu itu. Dia lalu memeluk Tok Putih dengan penuh kerinduan.

Zahid membaringkan tubuh Ahmad di atas lantai pondok. Saiful berlari memeluk Azri dan Jali. Damia dan Huda juga nampaknya amat gembira dapat bertemu semula dengan kawan mereka.

“Kenapa dengan Ahmad?” Huda bertanya. Jelas kerisauan diwajahnya melihat wajah Ahmad yang pucat seperti mayat hidup. Urat-urat diseluruh tubuhnya kelihatan timbul dan merening, seperti belon yang bakal pecah.

“Maafkan jika anak-anakku mengganggu kerajaanmu sahabat,” kata Pak Ibrahim sambil menghulurkan salam kepada Raja Sirus. Begitu juga Pak Deris, wajahnya yang bengis tadi, kini begitu lembut dengan senyuman bahkan terlihat beberapa titisan air mata mengalir di pipinya.

“Telah lama ku menanti kehadiranmu. Rindu sungguh hati ini dengan bauan manusia. Aku bersyukur anak-anak ini hadir. Terlepaslah rindu aku kepada dunia asalku. Tak sangka sesuatu yang buruk itu ada juga kebaikan di dalamnya,” kata Raja Sirus turut mengalirkan air mata.

“Itu bukan ke Pak Deris ke? Pengawal Rela yang menjaga pintu masuk kawasan perkelahan tu?” Yang annoying sangat tu?” Damia bertanya sambil menunjukkan ke arah Pak Deris. Dia memang takkan lupakan wajah itu sebab Pak Deris mengusik mereka dengan kata-kata yang pelik masa mereka masuk ke dalam kawasan perkelahan. Sekarang mereka seakan tahu kenapa Pak Deris berkata begitu.

“Haah, itu Pak Deris, seorang lagi Pak Ibrahim, imam kampung, yang itu Abang Manan, dia tu bilal kampung tu juga.” Kata Zahid memperkenalkan orang-orang yang bersamanya.

“Yang dua orang tu pula siapa?” Zahid bertanya sambil menunjukkan kepada Raja Sirus dan Tok Putih yang sedang berbual rancak dengan Pak Ibrahim, Pak Deris dan Abang Manan.

“Yang tu Tok Putih. Aku sesat kat tempat dia. Dia yang jaga aku selama aku sesat kat sini. Dia jumpa aku masa aku tunggu kawan-kawan yang lain kat pondok tempat kita berkelah. Masa tu dah senja. Dia ajak aku balik ke tempatnya. Dia tinggal kat surau je. Tapi semua Jemaah kat situ wajahnya sama,” Kata Azri bercerita.

“Yang tu pula Pakcik Sirus. Dia suruh kami panggil dia pakcik. Tapi rupanya dia pemerintah kerajaan hutan di alam bunian ni. Aku, Huda dan Damia sesat kat sini. Damia sesat kat rumah orang lain, aku dan Huda sesat kat rumah orang lain. Tapi kami ditemukan di sini.” Kata Saiful. Huda dan Damia menganggukkan kepala menyetujui setiap kata-kata Saiful.

“Ahmad tu kenapa jadi macam tu?” Damia bertanya.

“Dia sesat di kerajaan gunung. Sepatutnya jadi korban kepada ifrit. Tapi Alhamdulillah, dia sempat diselamatkan.” Kata Azri.

“Yang tu pula siapa?” Huda bertanya sambil muncungkan mulutnya ke arah Simpuh yang masih setia duduk di samping Ahmad yang masih berbaring tak sedarkan diri.

“Yang tu kami pun tak tahu siapa dia. Dia ada bersama Ahmad lalu Pak Deris bawa dia keluar sekali,” kata Jali yang terdiam sejak tadi, kerana asyik melihat kecantikan kawasan itu.

“Kalau dapat duduk kat tempat macam ni, aku pun sanggup sesat kat sini,” kata Jali.

“Jangan cakap begitu sahabat. Kita patut bersyukur kerana lahir sebagai manusia dan hidup di dalam kalangan manusia,” kata Saiful.

“Terukkah keadaan anak tu?” Raja Sirus bertanya sambil memandang Ahmad.

“Amat teruk. Bisa racun dah masuk ke setiap salur darahnya,” kata Pak Ibrahim.

“Berapa lama lagi masa yang dia ada?” Raja Sirus bertanya lagi.

“Sebelum bulan menutupi satu pertiga matahari di alammu,” sahut Pak Deris lagi.

Raja Sirus memandang ke langit. “Sebentar. Sahabatku akan bawakan penawar. In Shaa Allah, setiap penyakit ada ubatnya,” kata Raja Sirus.

“Semalam aku dengar jeritan Raja Depang. Tak sangka dia mati begitu sahaja di tangan ifrit,” kata Raja Sirus.

“Begitulah bila berkawan dengan syaitan. Syirik kepada Allah.” Kata Pak Ibrahim perlahan.

“Tapi bagaimana begitu mudah kamu semua dapat masuk dan melepaskan diri dari kerajaan gunung? Jarang orang yang masuk ke situ dapat keluar. Setahu aku, manusia yang berjaya masuk dan keluar dari kerajaan gunung cuma seorang, iaitu Deris, itupun tiga belas tahun yang lepas.” Kata Raja Sirus.

“Kerana dah ada kepincangan dan pengkhianatan di dalam kerajaan itu sendiri. Panglima Ruhus memang dah lama berdendam dengan Raja Depang. Dah tentu dia pun memang mahu Raja Depang keluar dari hidupnya,” kata Pak Deris.

“Oh ya, apa cerita Panglima Ruhus?” Raja Sirus bertanya.

“Hilang terus. Entah ke mana. Tapi Manan cakap, dia nampak kelibat naga tu melalui bayangan bulan. Dia mungkin masuk ke paksi bulan, tak tahulah masuk ke kerajaan mana dan berubah jadi apa pula. Harap-harap dia masuk ke kerajaan yang baik dan rohnya menjadi roh yang baik,” kata Pak Deris.

“Dan lagi satu faktor yang memudahkan kami ialah penjaga Ahmad itu sendiri. Kamu tak kenal dia?” Pak Deris berkata sambil menunjukkan ke arah Simpuh.

“Oh ya. Aku nyaris terlupakan dia. Siapa dia?” Raja Sirus bertanya.

“Dia berasal dari kerajaanmu Sirus. Sebelum kau bertukar alam dan menjadi raja di sini,” kata Pak Deris. Raja Sirus memandang Simpuh dengan wajah serius.

“Anak Raja Taduh?” Raja Sirus bertanya. Pak Deris anggukkan kepala sambil tersenyum kerana Raja Sirus masih mengenali Simpuh walaupun rupa Simpuh dah begitu.

Raja Sirus bangun dari duduknya. Dia merapati Simpuh. Simpuh seperti takut-takut, bergerak menjauhi Raja Sirus. Raja Sirus menitiskan air mata.

“Ya Allah anakku. Begini sekali sumpahan mereka kepadamu. Tentu hidupmu susah di sana. Kenapa aku tak menjumpai kamu? Dah lama ku mencari tapi Allah tak izinkan aku bertemu denganmu wahai anakku,” kata Raja Sirus, sekali lagi menangis, hingga menitis air mata melalui janggutnya.

“Ingatannya dah diambil oleh Raja Depang. Aku cuma berjaya kembalikan ingatan tentang kematian ayah dan ibunya sahaja.” Kata Pak Deris.

Saiful, Azri, Jali, Huda dan Damia memerhati dan mendengar dengan penuh minat. Macam sedang tengok drama. Semuanya diam.

“Dia perlu dikembalikan kepada bentuk asalnya. Dan ingatannya perlu dikembalikan,” kata Pak Deris lagi.

“In Shaa Allah, sahabatku akan tiba sebentar lagi. Dia pemegang semua penawar.” Kata Raja Sirus, terus memandang Simpuh yang kelihatan tak selesa dan takut.

Seketika kemudian, reduplah kawasan itu. Ciapan burung besar, si Raja Wasih menggema seluruh kawasan. Walaupun kuat dan bergegar, ciapan dan kehadirannya mendamaikan.

“Ini sahabatku, Raja Wasih. Pemerintah kerajaan angin.” Kata Raja Sirus memperkenalkan Raja Wasih.

“Begitu indah ciptaanmu wahai Raja Wasih,” puji Pak Ibrahim.

“Segala yang indah itu milik Allah, Pencipta sekalian alam,” kata Raja Wasih sambil merendahkan kepalanya hingga paruhnya terkena tanah.

“Bertemu saudara lama nampaknya,” kata Raja Wasih memandang Pak Deris.

“Iya, Hikmah disebalik kehilangan anak-anak ini, aku bisa bertemu saudaraku sekali lagi. Dulu ingat takkan bertemu lagi. Tapi kita tak pernah bertemu dulu, kan?” Kata Pak Deris bertanya Raja Wasih.

“Aku hanya pemerhati di atas angin. Tapi aku mengenalimu, seorang panglima manusia yang hebat. Pemerintah kerajaan gunung yang amat zalim dan ganas pun kau mampu kalahkan. Dan kali ini kedatanganmu sekali lagi telah melenyapkan raja zalim itu,” kata Raja Wasih.

“Aku tak berbuat apapun. Dia sendiri menjunamkan dirinya ke lembah syirik. Dia sendiri membunuh dirinya,” kata Pak Deris.

“Aku tertanya-tanya, siapa Raja Sirus ni? Kenapa dia seperti amat dikenali oleh Pak Deris. Sepertinya mereka pernah hidup bersama satu ketika dulu,” bisik Damia kepada Huda. Huda meletakkan dari telunjuknya ke bibir memberi isyarat supaya Damia diam. Lalu mereka kembali memerhati gelagat makhluk ciptaaan Allah di hadapan mereka.

“Ini Simpuh?” Raja Wasih terus menegur si kambing berbadan ular.

“Kau masih dapat mengenalinya Wasih?” Raja Sirus bertanya.

“Aku pasti dapat mengenalinya, dia dari bangsaku,” kata Raja Wasih.

“Kau bawa penawarnya?” Raja Sirus bertanya.

Raja Wasih menarik sesuatu seakan cangkir air dari celahan bulu pelepahnya menggunakan paruhnya. Lalu menyerahkan cangkir air itu kepada Raja Sirus. Raja Sirus terus mengambilnya dan kembali memandang ke langit.

“Ada waktu yang perlu ke?” Raja Sirus bertanya kepada Raja Wasih.

“Tiada waktu yang perlu kerana aku dah ambil penawar ini mengikut waktu yang tepat. Tapi kau perlukan Tok Putih untuk jampinya. Setelah itu, barulah kau boleh beri kepada manusia itu dan Simpuh pada waktu sebelum bulan menjadi penuh,” kata Raja Wasih.

Raja Sirus memandang keliling, terlupa pada sahabat yang seorang lagi. Tok Putih, memang seorang yang tak banyak bicara, hanya suka memerhati dan zikir tak pernah lekang dari bibirnya. Sepertinya tiada perasaan, hanya bersuara bila diminta. Itulah Tok Putih, bangsa gelandangan bunian yang paling tinggi imannya.

“Sahabatku Tok Putih, maafkan aku terlupakanmu. Aku teruja berjumpa saudaraku dari alam sebelah, hingga aku lupa aku juga ada saudara di alam sini. Maafkan aku.” Ucap Raja Sirus.

“Jangan risau sahabatku Raja Sirus. Yang mana dahulu, didahulukan. Yang mana kemudian, dikemudiankan.” Ringkas kata-kata Tok Putih tapi penuh bermakna. Begitulah ungkapan seorang yang kuat imannya kepada Allah. Tak pernah meminta perhatian makhluk lain.

Raja Sirus merapati Tok Putih. Tok Putih mengambil cangkir air dari tangan Raja Sirus. Lalu diletakkan mulutnya di muncung cangkir air itu. Disapunya bahagian luar cangkir tersebut dan jelas kelihatan cahaya putih atau sesuatu seperti kabus, mengelilingi cangkir itu.

Seketika kemudian, kabus itu hilang. Tok Putih mengembalikan cangkir air itu kepada Raja Sirus. Dan memberi isyarat supaya merenjiskannya kepada kedua-duanya, Ahmad dan Simpuh. Dan memasukkan sedikit air tersebut ke dalam mulut Ahmad untuk mematikan segala bisa racun yang mengalir di dalam darahnya.

– Bersambung –

One thought on “BILA BULAN TERBELAH DUA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s