BILA BULAN TERBELAH DUA

Bab 19

Panglima Ruhus berdiri sambil berpeluk tubuh menghadap kain hitam yang direntangkan di bahagian atas kepala di dalam gunung itu. Dia yakin hasrat Raja Depang untuk mendapatkan kuasa kekebalan abadi daripada Ifrit akan terlaksana. Dia telah melakukan yang terbaik untuk upacara malam itu. Begitu setianya dia sebagai pembantu kanan Raja Depang.

Namun, jauh disudut hatinya, dia sebenarnya mahu duduk di takhta Raja Depang. Dia mahu jadi pemerintah kerajaan gunung. Raja Depang hanyalah seekor lipan yang cacat sedangkan dia adalah naga yang mampu menyemburkan api, membakar seluruh alam bunian dengan sekelip mata.

Panglima Ruhus dah terlalu lama bersabar dengan Raja Depang, menahan segala hinaan dan kutukan dari Raja Depang setiap hari setiap detik. Kalau tidak kerana Raja Depang menyimpan bebola sakti yang diambil dari mata kanannya, memang Panglima Ruhus takkan terus bersabar dengan Raja Depang. Kerana bebola sakti itulah punca kuasanya. Tanpa bebola sakti itu, dia bukan siapa-siapa, hanya pengemis di jalanan yang diangkut balik oleh Raja Depang. Lagipun, Raja Depang memiliki kuasa sumpahan yang kuat, yang tiada pada mana-mana makhluk di alam bunian.

Padanya, apabila Raja Depang berjaya memiliki kuasa seluruh alam bunian, Raja Depang akan menjadi pemerintah terbesar di seluruh alam bunian. Tampuk pemerintahan kerajaan gunung akan diserahkan kepadanya. Kerana dialah pembantu kanan. Dan Raja Depang telah berjanji, jika dia berjaya memiliki kuasa tersebut dari ifrit, dia akan mengembalikan semula bebola sakti kepada Panglima Ruhus. Kerana itulah dia beriya-iya mahu upacara korban suci ini berjaya dilaksanakan.

“Semua dah sedia?” Tiba-tiba Raja Depang muncul dari arah belakang Panglima Ruhus.

“Semua dah sedia. Tunggu detik dan ketikanya sahaja,” kata Penglima Ruhus sambil berundur beberapa langkah ke belakang, memberi laluan kepada Raja Depang untuk melihat segala persiapan.

“Korban macammana? Sudah dikunci semua ruang? Pasti takkan boleh keluar?” Raja Depang bertanya inginkan kepastikan.

“Dia dah selesa di bilik sana. Tidak tahu tentang upacara ini. Dia dah makan semua umpan bisa yang kita beri, sudah pasti dia terlalu lemah untuk melarikan diri di kala bulan di paksi yang kita mahu dan ifrit keluar dari celahan kain hitam ini.” Kata Panglima Ruhus lagi. Dia yakin segalanya telah dilengkapkan.

Raja Depang mendongak ke langit. Dia mengambil tempatnya. Di tepi dinding gunung, ada satu busut yang disarungkan kain kuning dan dililitkan bahagian bawah dan atas dengan kain hitam. Lalu terbentuklah seperti mayat manusia yang dikafankan. Raja Depang mengubah dirinya menjadi bentuk manusia. Dia duduk bersila di hadapan busut tersebut.

“Kau pergi jaga paksi bulan. Jangan terlewat atau tercepat walau sedetik. Aku mulakan mantera.” Kata Raja Depang. Panglima Ruhus akur, dia bergerak ke pintu masuk gunung dan mendongak ke langit. Menanti detik yang tepat.

Sementara itu, Raja Depang mengangkat tangan laksana menyembah busut di hadapannya. Beberapa bacaan yang tak difahami meniti di bibirnya. Sesekali kain hitam yang dijadikan siling di bahagian atas kepalanya, bergerak-gerak seakan ada yang menanti di situ. Bunyi rengusan makin kuat, sama kuat dengan bacaan mantera yang keluar dari mulut Raja Depang.

“Kerajaan gunung milikku, Alam jin milikku. Alam roh milikku. Segalanya kuserahkan kepadamu. Lalu bersatulah aku dan kamu. Janji diukir takkan dimungkir. Korban suci sedia menjadi pengganti. Untuk janji ditepati. Kau dan aku menjadi satu, kuasa satu menjadi berganda. Wujudlah kau di depanku, kita bersatu melalui korban suci. Bulan satu menjadi dua, alam yang dua menjadi satu. Marilah kita simpulkan kuasa, kau dan aku, alam ini, milik kita.” Raja Depang terus membaca ayat yang sama berulang-ulang. Dan benda yang berada di bahagian atas kain hitam itu terus bergerak-gerak kencang.

“Sekarang!” Panglima Ruhus menjerit. Raja Depang berdiri, memberi ruang kepada sesuatu yang sedang turun dari bahagian atas lelangit gunung, menembusi kain hitam yang direntang. Satu makhluk berbadan besar berwarna merah darah, mempunyai dua tanduk besar di atas kepalanya, berjanggut separas dada, dengan matanya yang merah menyala dan mempunyai ekor di belakangnya. Itulah dia makhluk ifrit.

“Berani kau panggil aku sekali lagi?” Ifrit menjerit.

“Aku dah sediakan darah dari korban suci. Tiga belas kayu meranti, tiga belas besi keluli, tiga belas kain perca mayat, tiga belas abu mayat dan malam ini malam tiga belas dengan satu korban suci. Kala ini, bulan berputar di paksi ketiga. Kita bersatu dalam satu janji, kau miliki korbanmu, aku miliki kuasamu,” kata Raja Depang.

“Kau begitu yakin?” Ifrit bertanya lalu matanya berlegar di keliling gunung.

“Aku persiapkan segalanya yang kau mahu. Aku tunaikan janjiku, dah kau tunaikan janji kau,” kata  Raja Depang.

“Serahkan kepadaku darah korban suci yang kau mahu persembahkan,” kata Ifrit.

“Ruhus, bawa darahnya ke sini,” kata Raja Depang. Panglima Ruhus masuk ke bilik di mana Ahmad sepatunya sedang ditidurkan dan bersedia untuk disembelih.

Namun, bilik itu kosong. Tiada sesiapa. Hanya katil yang dipenuhi dengan peralatan pemujaan. Panglima Ruhus menggigil. Lututnya lemah. Dia berpusing mencari Simpuh yang sepatutnya menjaga korban. Kali terakhir dia melihat Ahmad, Ahmad telah ditidurkan. Lehernya telah diikat, manakala mangkuk telah ditadah di bawahnya. Ahmad dibaringkan di atas tiga belas kayu meranti dan besi keluli. Badannya dibalut dengan perca mayat. Tubuhnya diselaputi dengan abu mayat. Segalanya telah siap sedia. Dia yakin dia telah memeriksa dengan teliti.

“Ruhus! Bawa ke sini darah korban itu,” terdengar jeritan Raja Depang menggema kawasan pergunungan.

Panglima Ruhus menggunakan akal ceteknya, kerana tubuh dah menggeletar ketakutan. Panik. Maka, dia menangkap seekor ular besar yang sedang berlingkar di situ, lalu di kerat dua dan diambil darahnya lalu dimasukkan ke dalam mangkuk yang telah dipersiapkan untuk mengisi darah Ahmad.

Telah penuh mangkuk itu dengan darah, lalu Panglima Ruhus membawa mangkuk itu kepada Raja Depang. Ada getar di tangannya membuatkan darah di dalam mangkuk itu berkocakkan.

Raja Depang mengambil mangkuk darah itu lalu tersenyum. Dia menghulurkan mangkuk tersebut kepada Ifrit yang sedang berdiri dihadapannnya.

Pangggg! Mangkuk kaca itu dilemparkan ke tepi dan darah bertaburan di lantai dan dinding gunung. Raja Depang tercengang. Dia memandang Ifrit. Panglima Ruhus mula ketakutan, dia tahu Ifrit dah sedar tentang penipuan darah korban. Perlahan-lahan Panglima Ruhus mengundur dan keluar dari pintu gunung. Cuba berlari sejauh yang mungkin.

Ketika dia terbang menghampiri bulan, dia terdengar suara jeritan Raja Depang di dalam singgahsananya. Jeritan yang amat kuat, yang amat seram, yang membuatkan penghuni alam bunian menangis ketakutan, menggigil seluruh sendi. Tika itu, seluruh pohon bergoncang bagai nak tercabut, semua air yang mengalir berwarna merah. Tiada yang berani bergerak walau seinci, semuanya diam.

Ifrit mengamuk! Raja Depang telah dilumatkan hingga ke lapisan tanah ketujuh. Tiada yang mampu membantu. Lalu tamatlah riwayat pemerintah kerajaan gunung. Dia bawa bersama batu sakti milik Panglima Ruhus. Hiduplah Panglima Ruhus, tanpa kuasa. Kerajaan gunung sepi. Seluruh alam bunian gelap, tanpa bulan, tanpa cahaya. Paksi bulan dah patah. Kembali kepada Pencipta Alam yang asal.

Lima minit sebelum kejadian.

Azri mengikut Tok Putih masuk ke dalam satu lubang di kaki gunung. “Inilah pintu masuk ke istana pemerintah kerajaan gunung. Di mata kita, ia adalah gunung. Tapi di mata mereka yang telah dikaburi, ia adalah satu istana yang amat indah. Kerana itu kita jangan mudah terpedaya,” kata Tok Putih kepada Azri. Azri angguk tanda faham. Mulutnya tak henti berzikir, kerana itulah pesanan Tok Putih kepada mereka semua sebelum masuk ke dalam gunung itu.

“Kita akan mengaburi penglihatan Raja Depang dan pembantu kanannya. Supaya Pak Deris dan sahabat dari sebelah belakang, boleh mencari Ahmad. Dari firasatku, dia dijaga oleh satu penjaga yang lemah pegangannya. Bermakna kesetiaannya diragui. Maka mudahlah tugas kita untuk memperdayakannya,” kata Tok Putih lagi. Azri hanya mengangguk walau dia tak begitu faham. Dia lebih suka mengambil langkah untuk tak banyak tanya kerana dadanya berdebar di setiap masa.

“Jangan takut kepada sesama makhluk. Ingat, Allah itu ada di mana-mana sahaja. Iman kita kepada Allah, akan buatkan kita yakin bahawa pertolongan Allah sentiasa ada. Jangan biarkan ketakutan kepada makhluk Allah yang lain, buatkan kita lemah. Bila kita lemah, ia dapat dihidu oleh jin dan syaitan yang memang menunggu masa untuk kita lemah dan gentar lalu jatuh dengan tipu daya mereka.” Kata Tok Putih yang menyedari ketakutan Azri.

Azri anggukkan kepala tanda faham. Mereka terus berjalan masuk ke dalam gunung tersebut. Pelbagai jenis ular dan haiwan berbisa yang besar saiznya berada di dinding-dinding gunung.

“Itu pembantu kanan Depang. Dia menjaga seluruh kerajaan gunung. Dia menunggu masa untuk menjatuhkan Depang supaya dia dapat menjadi pemerintah kerajaan gunung.” Kata Tok Putih sambil menunjukkan ke arah seekor naga besar yang berlingkar di hadapan satu busut.

“Naga?” Azri bertanya. “Ya, dia seekor naga yang kuasanya terletak pada batu sakti. Tapi malangnya, Depang telah mencungkil matanya dan mengambil batu sakti tersebut. Tanpa batu sakti itu, Ruhus tak berkuasa. Kerana itulah dia masih berdendam dengan Depang sampai sekarang.” Kata Tok Putih. Azri diam. Inilah pengkhianatan alam jin yang adakala bangsa manusia juga melakukannya. Bermanis muka di depan tapi berhati hitam di dalam, menanti kejatuhan orang yang didendami. Allahu Akbar!

“Apa kat atas tu?” Azri bertanya sambil menunjukkan kain hitam yang direntang di bahagian atas kepala mereka.

“Dari situlah Ifrit akan muncul setelah namanya dipuja dan diseru,” kata Tok Putih.

“Ifrit?” Azri bertanya, tubuhnya menggigil. Selalunya nama itu dibaca dalam buku, tapi kali ini dia akan melihatnya.

“Jangan takut, dia juga makhluk Allah. Kalau dia sangat berkuasa, kenapa masih minta pertolongan makhluk lain untuk mendapat korban? Carilah sendiri. Dari situ kita tahu, hanya Allah yang mampu berdiri sendiri tanpa bersandar kepada yang lain. Itulah Allah yang Satu. Dia hanya Satu, tak dilahirkan dan tak melahirkan. Tak bersandar dengan sesiapapun kerana Dialah yang Satu,” kata Tok Putih.

“Kita tunggu di sini. Sudah ku rentangkan sempadan untuk mereka tak nampak laluan sahabat kita dari belakang. Moga mereka dapat berjumpa dengan kawan kamu sebelum Ifrit muncul, sebab sebaik Ifrit muncul, kawan kamu akan disembelih dan darahnya perlu dipersembahkan ketika titis darah dari tubuh manusia korban itu masih menitis. Bermakna, darah itu perlu segar,” kata Tok Putih.

Meremang bulu roma Azri bila mengenangkan Ahmad akan disembelih dan darahnya akan diminum oleh Ifrit. Moga Allah melindungi Ahmad. Moga Pak Ibrahim sempat mengeluarkan Ahmad sebelum dikorbankan.

Sementara itu, Pak Ibrahim, Pak Deris, Zahid dan Jali masuk dari lubang kecil di belakang gunung. Abang Manan tak masuk, dia menunggu dan mengawasi di pintu masuk.

Sebaik masuk, puluhan ribu ular berbisa pelbagai warna berlingkar di dalam gunung itu. Jali hampir menjerit tapi Pak Deris sempat menutup mulutnya. “Jangan bersuara, takut nanti ada yang menyedari kehadiran kita. Jangan lepaskan nafas sekaligus, tarik nafas dan lepas nafas perlahan, dengan kiraan tujuh. Kerana nafas kita boleh dihidu oleh penghuni di dalam ini. Jika mereka terhidu bau nafas makhluk lain selain dari penghuni kerajaan gunung, kita bakal mati tak berkubur. Kawanmu akan terus menjadi korban. Bahgialah si Ifrit, satu korban yang diminta, tapi tujuh korban yang dia dapat,” bisik Pak Deris tegas.

Zahid pandang Jali. “Kita cuba sebaik mungkin. Demi Ahmad. Kita semua perlu balik dengan selamat,” kata Zahid, berbisik perlahan kepada Jali. Jali anggukkan kepala, tapi matanya berair, tangannya menggigil. Dia takut. Tapi bak kata Zahid, demi sahabat, dia akan lakukannya.

“Lihat kelibat semua ular ni. Ada pelbagai warna. Tapi kalau kamu lihat betul-betul, ular-ular yang berwarna keemasan seperti berbaris di satu garisan. Nampak tak?” Pak Ibrahim bertanya. Zahid dan Jali anggukkan kepala.

“Ikut Pak Deris, dia akan berjalan di depan. Saya berjalan di belakang. Pijak ular yang berwarna keemasan. Kalau tak yakin, ikut di mana Pak Deris memijak. Jangan takut pada ular-ular tu, mereka hanya untuk mengaburi mata kita. Itu semua hanya tanah dan tangga,” kata Pak Ibrahim lagi. Zahid dan Jali mengangguk. Lalu mereka mengikut langkah Pak Deris.

Sampailah ke satu ruangan yang kosong, tiada apa-apa. “Cari kawan kamu. Jangan melangkah, tapi bergerak dengan cara menggesek kaki ke lantai. Sebab di dalam kerajaan gunung, tiada penghuni yang melangkah. Mereka hanya menjalar. Yang melangkah hanya pemerintah mereka, tapi langkahnya cacat kerana aku patahkan semua kakinya.” Kata Pak Deris.

“Pak Deris pernah berlawan dengan pemerintah kerajaan gunung?” terpacul soalan dari mulut Jali.

“Ni kerja dia la ni. Suka-suka calarkan muka aku. Dapatlah padahnya,” kata Pak Deris sambil menunjukkan parut di dahinya. Jali memandang Zahid. Tiba-tiba rasa kagum itu datang dalam diri masing-masing. Betullah sangkaan Zahid dari mula, Pak Deris bukan calang-calang orang.

“Dah, jangan lengahkan masa. Bulan makin sampai ke paksinya untuk mereka membaca mantera memanggil Ifrit. Sedetik kita lambat, kawan kamu jadi korban. Cepat cari kain kuning yang menutup satu lubang. Di dalam lubang itulah kawan kamu disimpan. Dia dah berada di atas tempat pemujaan korban. Dia tak sedar. Tapi dijaga oleh sesuatu yang lumpuh kesetiaannya.” Kata Pak Deris lagi.

“Maksudnya? Lumpuh?” Jali bertanya.

“Bukan, yang menjaganya juga masih ada belas dihati. Kita hanya perlu menjumpai kawan kamu, dan bawa keluar sekali yang menjaganya. Kerana dia juga perlu diselamatkan,” kata Pak Deris lagi. Zahid dan Jali berpandangan sesama sendiri dan angkat bahu tanda tak faham.

“Pak Deris, itu ke kain kuning tu?” Zahid bertanya sebaik ternampak kain kuning yang dibentang di dinding.

“Syabas, hati kamu kuat sebab boleh nampak kain tu. Itulah dia. Jom, di bawah kain itu ada satu lubang. Di dalam lubang itu ada kawan kamu. Kita bawa dia keluar,” kata Pak Deris. Pak Ibrahim terus mengekori di belakang mereka tanpa berkata apa-apa.

Sebaik masuk ke dalam lubang kecil di bawah kain kuning tu, mereka nampak Ahmad terbaring kaku di atas belahan kayu meranti. Dalam tak sedar, Jali memanggil Ahmad. Ahmad tak bergerak tapi ada satu makhluk di tepinya kelihatan ketakutan. Kepalanya seperti kambing tapi badannya seakan terikat di dalam satu karung bersisik. Senang cakap, nampak seperti ular pendek tapi berkepala kambing.

“Kamu Simpuh? Anak Taduh dari kerajaan hutan?” Pak Deris bertanya dan makhluk bernama Simpuh itu keluar dari persembunyiannya setelah nama dan asalnya disebut. Dia yakin bangsa manusia itu mengenali dirinya dan ibu ayahnya.

“Pak Deris?” Simpuh bertanya.

“Ya, aku datang semula, nak selamatkan anak-anak aku.” Kata Pak Deris. Ada air keluar dari mata Simpuh, mata si kambing. Dan bunyi rengetan seperti anak kambing yang ditarik oleh tuannya.

“Jom ikut aku keluar sekali dengan anak aku ini,” kata Pak Deris sambil mengusap wajah Ahmad.

“Saya tak boleh keluar. Nanti Raja Depang bunuh saya,” kata Simpuh.

“Jangan bimbang, dia takkan nampak kamu bersama kami,” kata Pak Ibrahim.

Zahid dan Jali membuka ikatan Ahmad dengan bantuan Simpuh kerana ikatannya bukanlah ikatan biasa. Simpulan ikatan yang sepatutnya tiada siapa yang mengetahuinya, hanya Simpuh yang naif yang tahu. Simpuh yang tanpa sedar dia punya kuasa mengikat. Kerana itulah dia masih dibiarkan hidup. Kerna dia ada sesuatu yang makhluk lain tiada.

– Bersambung –

One thought on “BILA BULAN TERBELAH DUA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s