BILA BULAN TERBELAH DUA

Bab 18

“Ayah dah pesan, jangan bawa mereka bermain terlalu jauh. Takut diganggu si Bunjut dengan si Munggah tu nanti. Mereka tu nakal tak kena tempat. Semua nak buat main,” kata Pakcik Sulaiman bersuara agak keras kepada Melur dan Melati. Melur dan Melati tunduk.

“Terakhir kamu nampak mereka di mana?” Makcik Teratai cuba menenangkan keadaan.

“Kami bermain di taman belakang, main sorok-sorok. Tapi mana tahu mereka terus tak keluar,” kata Melur, kakak sulung.

“Tak boleh biar ni. Takut mereka melarat ke kerajaan air. Susah kita nanti,” kata Pakcik Sulaiman sambil menyarungkan baju melayunya ke badan dan terus keluar dari rumah.

“Abang nak ke mana?” Makcik Teratai bertanya.

“Aku nak pergi jumpa Siwok. Aku terpaksa beritahu pasal berita ni. Nanti kalau mereka jumpa budak-budak manusia ni sebelum aku jumpa, habislah aku. Nanti dikata aku sorok anak manusia di sini. Apa aku nak jawab? Jadi, biar aku yang beritahu dulu,” kata Pakcik Sulaiman terus keluar dari rumah.

“Ayah dah pesan kan, jangan terlepas pandang kat anak manusia tu. Kenapa degil?” Makcik Teratai bertanya kepada dua anak gadisnya.

“Maaf ibu. Kami ingat bermain di dalam taman kawasan kita, takkan ada yang ganggu,” kata Melur.

“Tapi ibu yakin, mereka semua masih di taman tu. Mungkin disorok si Bunjut atau si Munggah.” Kata Makcik Teratai lagi.

“Masa kami bermain, tak nampak pun si Bunjut dengan si Munggah.” Kata Melati pula.

“Kamu tahu kan budak berdua tu macammana? Boleh masuk melalui angin, boleh hilang di dalam angin. Itu kelebihan mereka. Pulak tu, nakalnya tak boleh diagak,” kata Makcik Teratai.

“Macammana ni ibu? Kami pergi cari mereka sekali lagi la,” kata Melur lagi, rasa bersalah makin mendalam.

Selepas bangun dari tidur subuh tadi, seusai solat subuh, Melur membawa Sofea, Linda, Salma dan Suria ke taman belakang rumah mereka. Taman bunga yang cantik dengan bau-bauan semerbak harum. Dah tentulah empat sekawan tu teruja melihat kecantikan alam yang tak pernah dilihat di alam mereka.

Bunga-bungaan berwarna warni, dengan rumput yang menghijau. Pepohon rendang meredupkan kawasan. Air embun yang sejuk dan terasa dingin menyerap di kulit. Pada mulanya mereka berkejar-kejaran mengelilingi kolam air. Bila dah jemu, mereka mula mencipta mainan lain. Main sorok-sorok. Malangnya mereka tak jumpa empat sekawan manusia tu hinggalah dipanggil oleh Makcik Teratai untuk sarapan.

Masa tu baru Melur dan Melati memberitahu bahawa empat manusia itu telah hilang di taman. Merahlah wajah Pakcik Sulaiman. Dari semalam dia mengekori empat anak gadis itu hingga dibawanya balik ke rumah kerana bimbang diganggu si Munggah dan si Bunjut. Tapi pagi ini mereka tetap hilang.

Siwok, pemerintah kerajaan tanah, seorang raja yang baik. Tapi dia tak suka sebarang kekacauan melanda kerajaannya akibat dari masalah kerajaan luar. Tak kiralah samada kerajaan manusia atau kerajaan mana-mana alam bunian yang lain. Siwok mengamalkan sistem tertutup untuk kerajaannya. Dia tak ambil peduli tentang kerajaan lain, dan dia tak mahu kerajaan lain mengambil peduli tentang kerajaannya. Selain dari itu, Raja Siwok seorang pemerintah yang baik terhadap semua orang bawahannya.

Sebaik sampai di pintu besar, mahligai Raja Siwok, kelihatan pengawalnya yang terdiri dari makhluk seakan monyet dan orang utan, menahan Pakcik Ibrahim di luar pintu. “Aku mahu berjumpa Raja Siwok sekejap,” kata Pakcik Sulaiman.

“Atas urusan apa?” Salah satu pengawal di situ bertanya.

“Ada urusan peribadi sikit,” kata Pakcik Sulaiman. Dia tak mahu berita tentang empat anak manusia yang dibawanya balik semalam, tersebar.

“Kamu tunggu di sini. Aku beritahu Raja Siwok dulu,” kata salah satu pengawal tu lagi. Pakcik Sulaiman akur, dia anggukkan kepala lalu berdiri kaku di situ.

Tak berapa lama kemudian, pintu besar terbuka. Kelihatan Raja Siwok dah berdiri di depan pintu menyambut kedatangan Pakcik Sulaiman.

“Wahai saudaraku, mari masuk ke dalam rumahku. Kita bicara di dalam,” kata Raja Siwok sambil memeluk bahu Pakcik Sulaiman. Mereka jalan beriringan sambil dijeling oleh pengawal di situ.

Raja Siwok menyerupai manusia biasa, sama seperti Pakcik Sulaiman. Di dalam kerajaan tanah, makhluk-makhluk di situ menyerupai pelbagai bentuk yang biasa dilihat di alam manusia. Haiwan darat, manusia dan pelbagai jenama hantu. Makhluk-makhluk inilah yang mendiami kerajaan tanah.

“Apa ceritanya?” Raja Siwok bertanya sambil menuangkan air ke dalam sebiji cawan lalu dihulurkan kepada Pakcik Sulaiman.

Pakcik Sulaiman memandang keliling. Ada beberapa pengawal yang berada di situ.

“Kalau boleh, saya mahu bicara dengan kamu sendirian. Tak mahu ada yang lain yang mendengar,” kata Pakcik Sulaiman.

“Wah, besar sungguh perkhabaranmu kali ini,” kata Raja Siwok sambil ketawa perlahan lalu mengarahkan pengawalnya yang berada di situ untuk meninggalkan mereka berdua.

“Apa rahsianya yang kamu nak beritahu aku?” Raja Siwok bertanya setelah mereka ditinggalkan berdua di bilik itu.

“Kamu jangan terkejut. Dan kamu jangan marah. Bukan aku nak rahsiakan, atau bukan aku cuba melawan perintahmu. Tapi segalanya terjadi sekelip mata. Dan apa yang aku lakukan adalah atas dasar perihatin sesama makhluk di bumi Allah,” kata Pakcik Sulaiman.

“Macam besar perkara yang kamu dah buat ni. Apa dia?” Raja Siwok bertanya, wajahnya mula serius.

“Semalam, empat orang anak manusia sesat di dalam kerajaanmu.” Kata Pakcik Sulaiman. Wajah Raja Siwok berubah serta merta. Dia berdiri tanpa kata.

“Aku minta maaf. Semalam dah terlalu lewat untuk aku maklumkan kepadamu. Kukira pagi ini sesudah solat dan sarapan, aku ingin bertemumu untuk memaklumkan berita ini. Tapi lain pula yang terjadi,” kata Pakcik Sulaiman lagi.

“Apa yang terjadi?” Raja Siwok bertanya tanpa memandang wajah Pakcik Sulaiman.

“Empat anak manusia itu telah hilang ketika bermain bersama anak gadisku di taman belakang rumahku,” kata Pakcik Sulaiman, tunduk memandang lantai. Dia tahu, Raja Siwok pasti murka.

“Huh!” Raja Siwok melepaskan keluhan berat. Dia mengusap wajahnya menggunakan tangannya.

“Aku sedia menerima hukumanmu. Tapi aku minta agar empat anak manusia itu ditemukan segera. Aku bimbang ada yang menyorokkannya,” kata Pakcik Sulaiman lagi.

“Apa yang berada difikiranmu?” Raja Siwok bertanya perlahan. Dia tahu Pakcik Sulaiman adalah salah satu penghulu kerajaan tanah yang terbaik selama ini. Tak pernah lakukan sesuatu yang boleh membuatkan Raja Siwok murka. Pakcik Sulaiman adalah rakyatnya yang paling taat dan setia. Belum ada rakyat lain yang sesetia Pakcik Sulaiman, walau apa keadaan sekalipun.

“Aku bimbang si Munggah menyorokkannya,” kata Pakcik Sulaiman.

“Kenapa Munggah? Mana dia tahu ada anak manusia di rumahmu?” Raja Siwok terus bertanya.

“Anak-anak itu sesat di dalam kerajaan tanah, kerana si Munggah dan si Bunjut memusing paksi dimensi alam kita dan alam manusia, membuatkan anak manusia itu masuk ke alam kita dan tak jumpa jalan keluar. Tujuannya untuk bermain. Kamu tahu Munggah tu macammana kan? Monyet yang suka mengusik hingga merosakkan.” Kata Pakcik Sulaiman.

“Mana kamu tahu si Munggah yang pusing paksi tu?” Raja Siwok terus bertanya.

“Kebetulan, anak-anak manusia itu menggunakan kawasan yang dilarang dalam perjanjian antara alam kita dan alam manusia. Mereka menggunakan pondok hujung di kaki gunung. Aku ternampak Munggah mengintai mereka. Lalu aku ikut dia hinggalah anak-anak ini sesat dan diganggu oleh Munggah dan kawan-kawannya. Bunjut, Ponti, semua pun mengusik. Mungkin mereka tak tahu apa yang mereka buat adalah satu kesilapan yang sangat besar,” kata Pakcik Sulaiman lagi.

“Berapa orang semuanya?” Raja Siwok bertanya.

“Semuanya tiga belas orang. Tapi yang aku bawa balik, cuma empat orang. Yang lain aku tak pasti, mungkin ke kerajaan air, atau angin, atau gunung, atau hutan. Aku tak nampak mereka. Aku Cuma nampak yang empat orang ni saja. Mungkin sebab aku fokus kepada Munggah sahaja. Dan Munggah hanya mengekori anak empat orang ni saja,” kata Pakcik Sulaiman.

Sekali lagi, satu keluhan berat terkeluar dari mulut Raja Siwok. Dia duduk kembali di hadapan Pakcik Sulaiman. Matanya dipejam kuat. Nak marah pun tak berguna, perkara dah jadi. Lagipun, Raja Siwok sendiri tahu betapa nakalnya makhluk bernama Munggah. Tapi tak sangka kali ini, kenakalannya keterlaluan.

“Pengawal! Panggilkan Munggah berjumpa aku,” Raja Siwok memerintahkan pengawalnya memanggil makhluk monyet itu. Pengawalnya akur, walaupun mereka memandang sinis ke arah Pakcik Sulaiman. Mereka memang selalu irikan Pakcik Sulaiman kerana Raja Siwok sayangkannya. Rupa mereka pun sama.

Hampir setengah jam, Munggah masuk ke dalam kediaman Raja Siwok. Melompat-lompat macam tiada apa yang dirisaukan sedangkan yang memanggilnya adalah pemerintah kerajaan tanah.

“Munggah, apa kamu buat kali ni? Kamu pusing paksi alam manusia dan alam bunian?” Raja Siwok terus bertanya sebaik ternampak kelibat monyet kecil itu.

Munggah berhenti melompat. Dia memandang ke arah Raja Siwok, Pakcik Sulaiman dan dua orang pengawal yang memandang ke arahnya, menantikan jawapan darinya.

“Bunjut yang suruh,” Munggah menjawab, seperti biasa, sering menyalahkan orang lain demi nak selamatkan dirinya. Itulah makhluk monyet bernama si Munggah.

“Bunjut itu lurus. Dia hanya mengikutmu. Kamu itu bijak, tapi bijak kamu salah,” kata Raja Siwok. Munggah diam, tunduk ke bumi.

“Sekarang, di mana kamu sorokkan mereka?” Raja Siwok bertanya.

“Sorok siapa?” Munggah bertanya kembali.

“Kau jangan buat tak tahu. Jawab soalanku segera. Di mana empat anak manusia itu kau sorok? Ini bukan perkara kecil. Jika kerajaan manusia tahu aku menyimpan anak mereka, kita pasti diserang. Kita pasti dipandang serong. Aku tak suka bermusuhan dengan mana-mana kerajaan. Sebab itu aku tutup kerajaanku dari pandangan kerajaan lain, walaupun yang sealam denganku,” kata Raja Siwok.

“Aku tak sorok mereka. Semalam aku nampak Pakcik Sulaiman bawa mereka balik ke rumahnya. Itupun aku tak mengadu kepadamu wahai Raja Siwok yang tampan. Tapi hari ini, Pakcik Sulaiman pula yang menuduh aku. Siapa yang lebih berburuk sangka? Aku atau Pakcik Sulaiman?” Munggah bertanya.

Munggah dan makhluk sejenisnya, memang bijak dalam berkata-kata. Bijak dalam menuding jari menyalahkan makhluk lain demia menyelamatkan dirinya. Itulah kebijaksanaan Munggah. Sebab itu pengawal-pengawal Raja Siwok terdiri dari makhluk sejenis dengan Munggah, Cuma beza pada saiznya. Kerana mereka ini bijak. Cuma Munggah selalu menconteng arang di muka makhluk sejenisnya. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

“Kalau bukan kau yang sorok, siapa lagi? Hanya kau yang tahu bahawa anak manusia itu bersamaku,” kata Pakcik Sulaiman.

“Ponti pun tahu, Bunjut pun tahu, bahkan kau pun tahu, ahli keluarga kau pun tahu. Bukan hanya aku yang tahu,” kata Munggah tanpa wajah bersalah. Sikapnya adakala buat orang mudah naik darah.

“Sekarang, kau pergi cari di mana empat anak manusia tu. Aku taknak sampai ada kerajaan lain tahu anak manusia itu hilang di dalam kerajaanku. Kerana segala kejadian ini berpunca dari kau yang memusing paksi alam, maka kau harus bertanggungjawab di atas kehilangan empat anak manusia itu,” kata Raja Siwok memandang tepat ke wajah Munggah.

“Aku pula yang disalahkan. Kenapa kau bawa anak manusia tu balik ke rumah kau? Biar saja mereka keluh kesah di tepi sungai. Baru seronok aku dan Bunjut mengusik. Bukan selalu dapat mainan begini,” rungut si Munggah.

“Aku bagi kau tempoh hingga matahari turun di ufuk barat. Sebaik cahaya jingga mengeluarkan warnanya, jika empat anak manusia itu tak ditemui, kau akan kuhukum untuk mencari mereka di kerajaan lain. Kau mahu?” Raja Siwok membulatkan matanya ke arah Munggah. Munggah gelengkan kepala tanda tak mahu.

“Pergi sekarang. Ajaklah kawan-kawanmu, janji bertemu dengan anak manusia itu. Ingat, sebelum jingga mewarnai kerajaanku,” kata Raja Siwok. Munggah terus berlari keluar dari kediaman Raja Siwok sambil menjeling ke arah Pakcik Sulaiman.

“Kau balik dulu. Cuba cari disekitar. Mungkin terkabur matamu seketika, lalu mereka ada di rumahmu, sedang istirehat. Andai ada berita, cepat kirimkan kepada aku.” Kata Raja Siwok, perlahan tapi tegas. Pakcik Sulaiman sedar akan nada itu.

“Aku pun akan cuba mencari mereka. Dan jika tetap tak jumpa, aku akan turut bertanggungjawab kerana ini kecuaian anak gadisku jua,” kata Pakcik Sulaiman lagi lalu meninggalkan kediaman Raja Siwok.

– Bersambung –

One thought on “BILA BULAN TERBELAH DUA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s