BILA BULAN TERBELAH DUA

Bab 17

“Aku rasa aku sudah berjumpa dengan apa yang aku cari di sini,” Raja Sagut mengangkat tongkatnya dan berkata dengan suara yang menggema alam.

Pakcik Sirus yang duduk di bawah pohon pinang kuning, berhenti membaca kitabnya, lalu memandang ke arah Saiful, Damia dan Huda yang sedang lena di bawah pohon keladi. Pakcik Sirus lalu meniup ke arah Saiful. Lalu Saiful bangun terpinga-pinga.

“Bawa kawan kamu masuk ke dalam lubang kecil itu. Di dalamnya ada sebatang kayu yang besar. Ketuk tiga kali, lepas tu tolak kulit kayu dengan kaki kiri. Akan ada pintu untuk masuk ke dalam batang kayu itu. Kamu bertiga duduk diam di sana. Jangan bersuara walau apapun yang terjadi,” kata Pakcik Sirus. Saiful tak tanya banyak sebab dia sendiri terdengar bunyi hentaman kaki dan siulan serta desiran ular yang menggema kawasan itu.

Huda dan Damia bangun sendiri bila kawasan itu bergegar. “Apa benda tu?” Huda bertanya.

“Jangan tanya banyak. Jom ikut aku. Cepat!” kata Saiful berbisik.

“Nak ke mana?” Damia pula bertanya. Saiful tak jawab dah, dia lalu menarik Damia dan Huda masuk ke dalam lubang kecil yang ditunjukkan oleh Pakcik Sirus tadi. Ternyata ruang yg dilihat kecil dari luar, adalah merupakan satu ruang yang besar dan cantik di dalamnya. Huda dan Damia mula memandang keliling dengan wajah teruja. Kawasan di situ lebih cantik dari yang kat luar tu.

“Kenapa Pakcik Sirus tak pernah pelawa kita masuk ke sini?” Damia bertanya.

“Weh korang. Cepat tolong aku cari batang kayu yang berdiri.” Saiful bersuara. Hatinya tak tertarik dengan keadaan dalam kawasan itu. Dia lebih berminat untuk mencari batang kayu yang disebut oleh Pakcik Sirus.

“Batang kayu berdiri? Nak buat apa?” Damia bertanya lagi.

“Jangan banyak tanya la. Pakcik Sirus yang suruh kita masuk ke dalam batang kayu tu,” kata Saiful.

“Macammana nak masuk ke dalam batang kayu? Nak kena potong dulu ke?” Damia tanya lagi.

“Kau jangan banyak tanya boleh tak? Cari je batang kayu tu cepat. Aku dapat rasakan ada benda yang  tak elok kat luar sana, sebab tu Pakcik Sirus suruh kita menyorok,” kat Saiful.

“Sini!” Huda menjerit sambil menunjukkan sebongkah batang kayu yang besar.

“Shhhhh…! Jangan bising. Jangan sampai ada yang mendengar,” kata Saiful. Huda tutup mulutnya sendiri dengan tangannya.

Saiful menepuk batang kayu itu tiga kali seperti yang Pakcik Sirus suruh. Setelah itu dia menolak batang kayu itu perlahan menggunakan kaki kirinya. Ya, seperti pintu lif yang terbuka, mereka terus masuk ke dalam batang kayu itu dan pintu tadi tertutup sendiri.

Mereka memandang keliling, tiada apa di dalam batang kayu itu, hanya satu ruangan kosong. Seperti satu bilik yang berpotongan bulat. Tiada tingkap atau lubang untuk melihat keluar.

“Nanti nak keluar macammana?” Huda tanya. Saiful pandang ke arah pintu mereka masuk tadi. Tiada apa-apa petunjuk bahawa ada pintu di sana. Semuanya dinding yang rata.

“Kau pun terus percaya kat Pakcik Sirus tu. Entah-entah dia nak mengena kita,” kata Damia.

“Kalau dia nak mengena kita, kenapa nak tunggu sekarang? Masa kita sampai tadi dah boleh terus dia kenakan kita,” kata Saiful.

“Takpe, kita tunggu kat sini dulu. Jangan terus buruk sangka pada orang yang dah bantu kita,” kata Huda memujuk Damia yang mula tak senang hati. Damia diam.

Sementara itu, Pakcik Sirus keluar dari tempat istirehatnya, lalu bertemu dengan tetamunya.

“Ooo… Pemerintah kerajaan air rupanya. Lama kita tak bersua muka. Apa khabar kawanku?” Pakcik Sirus menegur dengan senyuman manis dan tangan kanan diletakkan ke dada kirinya tanda hormat.

“Aku bukan datang untuk bertanya khabar. Dan aku bukan kawanmu. Ingat asal usulmu, ini bukan tempatmu,” kata Raja Sagut sambil ekornya melilit beberapa pokok besar di situ. Dan pokok-pokok yang dililit ekor Raja Sagut, semuanya patah dan tumbang menyembah bumi. Pakcik Sirus hanya memerhati amukan Raja Sagut.

“Apa yang kamu mahu wahai pemerintah kerajaan air? Apa yang membuatkan kamu datang menemuiku?” kata Pakcik Sirus, masih bertenang.

“Kau tahu apa yang aku mahukan. Dasar manusia tak mengenang budi,” Raja Sagut makin berang bila melihat Pakcik Sirus tetap tenang dalam senyuman, seakan menyindirnya.

“Kau yang datang ke tempat aku. Dan kau kata aku tahu apa yang kau mahu. Aku tiada kuasa membaca fikiranmu. Yang pasti, siapapun aku, ini tempat aku, ini kerajaan aku. Kau yang menemui aku, bukan aku yang cari kau.” kata Pakcik Sirus, tersenyum sinis. Dia meletakkan tangan kanannya di belakang pinggangnya, dan tangan itu membuat beberapa isyarat. Ibu jari dibengkokkan, manakala jari telunjuk menindih ibu jari yang dibengkokkan itu.

“Kamu menyimpan bangsa manusia.” Kata Raja Sagut tanpa selindung lagi.

“Apa buktinya?” Pakcik Sirus bertanya.

“Aku benci bau manusia dan bau itu ada di sini,” kata Raja Sagut penuh kebencian dan kemarahan.

“Kau tahu aku siapa kan? Atau kau sendiri yang lupa asal usulku? Lagi kau kata ada bau manusia di sini?” Pakcik Sirus bertanya tenang.

“Aku tak mahu bertingkah denganmu. Keluarkan anak bangsa manusia yang kau simpan,” kata Raja Sagut.

“Jika aku menyimpan bangsa manusia, apa masalahnya? Ini kerajaan aku, tak ganggu kerajaan kau,” kata Pakcik Sirus lagi, makin mencabar.

Raja Sagut melibas ekornya sekali lagi. Seluruh hutan menjadi rata. Dibelakang Raja Sagut, ada pembantu kanannya Argus dan Si Kala serta Selar, yang menjadi batu api kepada kemarahan Raja Sagut. Tapi Pakcik Sirus tetap tenang.

“Bangsa manusia itu telah menyakiti kawanku Kala dan Selar. Beberapa kemusnahan telah berlaku di kerajaan tanah. Bangsa manusia itu telah lalu di kawasan aku tanpa izin aku. Aku benci bangsa manusia,” kata Raja Sagut,

“Kemusnahan berlaku di kerajaan tanah, tapi kenapa kau dari kerajaan air melebih duka?” Pakcik Sirus bertanya lagi.

“Arggghhhhh! Aku tak suka berbicara dengan bangsa manusia yang tak sedar diri. Cepat! Pergi cari anak-anak bangsa manusia itu,” Raja Sagut hilang sabar, lalu mengarahkan pembantu kanan dan Kala serta Selar untuk mencari bangsa manusia yang disorok oleh Pakcik Sirus.

Pakcik Sirus tersenyum. Dia tetap berdiri di tempatnya. Manakala Argus, Kala dan Selar berlegar-legar di kawasan kediaman Pakcik Sirus. Semua pohon di situ tumbang. Setelah penat menggeledah, tiada satu tanda yang menunjukkan ada bangsa manusia yang berada di situ.

Raja Sagut menjerit marah. Bergema kawasan itu seakan bumi nak runtuh. Bergegar tanah dan berdesing telinga sesiapa yang mendengarnya. Saiful, Huda dan Damia yang berada di dalam batang kayu pun menutup telinga. Beberapa titis darah meleleh dari hidung Damia.

“Ya Allah!” kata Huda sambil membantu mengelap darah dari hidung Damia.

“Apa benda tu?” Damia bertanya. Tiada jawapan.

Damia hilang sabar, dia mengetuk dinding beberapa kali. Saiful dan Huda cuba menahannya tapi Damia berdegil. Dia terus mengetuk dinding dan memanggil-manggil nama Pakcik Sirus.

Raja Sagut yang masih berdiri di depan Pakcik Sirus memejamkan matanya seakan mendapat isyarat. Dia terdengar sesuatu. Dia menjalar ke arah sepohon pokok yang telah tinggal separuh kerana dilibas oleh Kala sebentar tadi.

Raja Sagut menghidu batang pokok itu. Bau itu makin jelas. Lalu Raja Sagut tersenyum memandang Pakcik Sirus.

“Adakala, aku kagum dengan kebijakanmu. Dan aku kesal dengan kebodohan bangsa aku. Depan mata, tapi tak berjumpa. Tapi kau perlu tahu, kuasaku mengecam lebih kuat berbanding sesiapa sahaja di alam ini. Kau lupa, sehebat mana pun kau, kuasa kau tetap yang paling rendah, kerna asalmu bukan di sini,” kata Raja Sagut sambil ekornya melingkari tubuh Pakcik Sirus yang tetap berdiri tegak seperti tadi.

“Apapun kuasamu mahupun kuasaku atau sesiapa sahaja di mukabumi ini, ia takkan berdaya menandingi kuasa Penciptamu.” Kata Pakcik Sirus lagi.

“Pecahkan batang kayu ini.” Raja Sagut menjerit kuat. Argus terus menghentakkan tangannya di tepi batang kayu itu, maka pecahlah batang kayu itu dan kelihatan tiga anak manusia di dalamnya. Raja Sagut ketawa kuat.

“Sekarang kau masih nak nafikan kuasa aku?” kata Raja Sagut dengan mata yang merah dan hujung ekornya berdesir kuat, menahan marah yang tak terperi. Kala dan Selar bergerak menjauhi kerana keadaan Raja Sagut itu mampu mematikan apa sahaja yang berada di depannya. Namun Pakcik Sirus masih tenang.

“Bunuh anak bangsa manusia ini. Potong tubuh mereka menjadi cebisan kecil. Jangan hancurkan, aku mahu nanti bangsa manusia yang mencari mereka, berjumpa dengan cebisan daging ini. Mereka bangsa bodoh, menceroboh tempat aku, lagi mahu sombong,” kata Raja Sagut sambil memandang ke arah Pakcik Sirus. Seakan memerli. Seakan marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

Manakala Damia, Huda dan Saiful sudah gelisah dan menggigil, masih berdiri di tempat tadi dengan habuk pokok kayu menaburi kepala dan tubuh mereka.

“Pakcik, tolong kami!” Jerit Damia dan Huda ketakutan. Saiful hanya memandang makhluk yang selalunya mereka lihat di dalam buku fantasi, dalam animasi, dalam cerita kartun, ular dan kala jengking berkepala manusia. Seakan tak terfikir dek akal normal.

Pakcik Sirus masih berdiam diri.

Argus mengangkat kapak besar di tangannya lalu dihayunkan ke arah Saiful, Damia dan Huda. Tiga anak bangsa manusia itu menjerit.

Tak semena-mena tempat itu menjadi redup seakan matahari dah ditutup. Dan terdengar bunyi ciapan burung besar. Kuat sekali, bergema alam. Saiful, Huda dan Damia yang sedang menunggu ajal, membuka mata.

Memandang ke arah makhluk yang bernama Argus, Kala dan Selar, sedang diangkat ke udara oleh beberapa ekor burung besar. Menggeletek ketiga-tiga makhluk itu dicengkam oleh kuku tajam sang burung besar. Burung-burung tersebut mengangkat tinggi tiga makhluk pembantu Raja Sagut lalu melemparkannya ke dalam air yang mengalir di tepi pohon keladi di tempat Pakcik Sirus selalu duduk berehat.

Sebaik tubuh tiga makhluk itu dilemparkan ke dalam air tersebut, tubuh mereka menggeletek kepanasan dan asap keluar dari air yang tadinya nampak tenang. Sekelip mata, tubuh tiga makhluk tadi hancur lebur dimamah air yang mengalir, seakan asid yang bersuhu paling tinggi telah meleburkan tubuh mereka hingga ke tulang, hingga tiada kesan lagi. Dan air itu kembali mengalir tenang.

Sementara itu, Raja Wasih yang tadi berlegar di udara, meredupi kawasan pertelingkahan, terbang turun perlahan lalu berdiri di belakang Raja Sagut. Raja Sagut menahan marah tapi ada getar di ekornya, seakan berasa terancam. Dia pun seakan terkejut dengan apa yang terjadi kepada tiga pembantunya.

“Kuasamu, kuasaku, milik Allah. Kau jangan sombong,” kata Raja Wasih.

“Kau pengkhianat. Kau tahu siapa kawanmu, dan siapa lawanmu. Sanggup kau membunuh bangsamu sendiri demi bangsa laknat ini?” Kata Raja Sagut.

“Aku hamba Allah, sama seperti kamu dan yang lainnya. Di mahsyar, kita sama-sama dibicara. Bukan hanya aku, atau bukan hanya kamu. Kita semua,” kata Raja Wasih lagi.

“Kau kena ingat, dia dan kita tak sama,” kata Raja Sagut.

“Tapi aku dan kau juga tak sama. Aku tak suka pergaduhan, tapi kau suka. Aku tak suka permusuhan, tapi kau suka. Aku suka bersaudara, tapi kau tak suka.” Kata Raja Wasih.

“Baliklah ke tempatmu. Anggap sahaja hari ini kau datang bertanya khabarku. Dan ingin ku jawab, aku khabar baik,” kata Pakcik Sirus.

Raja Sagut merengus kasar. “Aku pasti akan datang lagi. Kau jangan rasa selamat. Ingat, kuasaku tidak pernah kau terduga,” rengus Raja Sagut sambil menjalar pergi. Setiap laluannya, terbakar hangus menjadi hitam, akibat kemarahannya.

“Terima kasih Raja Wasih,” Saiful memberanikan diri keluar dari tempat mereka.

“Sama-sama. Aku cuma membantu, tapi  sahabatku ini yang sebenarnya menyelamatkanmu,” kata Raja Wasih.

“Terima kasih Pakcik Sirus,” kata Saiful kepada Pakcik Sirus.

“Kamu masih memanggilnya Pakcik Sirus?” Raja Wasih memandang Pakcik Sirus dengan wajah keliru.

“Ya, sepatutnya nak panggil apa?” Saiful bertanya sambil memandang Pakcik Sirus yang memberi isyarat kepada Waja Wasih supaya tak mengatakan apa-apa kepada Saiful.

“Anak-anak ini perlu tahu. Dan pasti mereka akan tahu juga,” kata Raja Wasih.

“Kenapa? Siapa Pakcik Sirus ni?” Huda bertanya.

“Dialah pemerintah kerajaan hutan. Dia Raja Sirus yang amat dihormati dan kerajaannya paling besar di alam bunian,” kata Raja Wasih.

Waktu ni baru Saiful teringat semula akan nama itu. Memang dia pernah dengar nama itu pada kali pertama dia bertemu Pakcik Sirus, cuma dia tak ingat siapa.

“Inilah Raja Sirus yang Mak Sutra cakapkan dengan Zirut hari tu kan? Pemerintah kerajaan hutan,” Damia berbisik kepada Saiful. Dan Saiful anggukkan kepala. Rupanya yang mereka panggil pakcik itu, adalah pemerintah kerajaan hutan. Betapa merendah dirinya seorang pemerintah terbesar alam bunian.

– Bersambung –

One thought on “BILA BULAN TERBELAH DUA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s