BILA BULAN TERBELAH DUA

Bab 16

“Aku membawakan salam pemerintah kerajaan hutan. Dia terlalu ingin bertemu denganmu,” kata Raja Wasih kepada Tok Putih ketika mereka bertemu di Surau Tok Putih.

“Waalaikumussalam. Lama aku tak berjumpa sahabat ku itu. Apa khabar dia? Bagaimana kerajaannya?” Tok Putih bertanya.

“Alhamdulillah. Dia sihat. Masih seperti dulu.” Jawab Raja Wasih memandang seorang bangsa manusia yang rajin menyusun sejadah dari Al Quran di dalam surau.

“Dia tak nak balik ke tempat asalnya?” Tok Putih tanya lagi.

“Saya pernah bertanya, tapi katanya dia dah sayang kerajaannya di sini. Hidupnya lebih tenang. Lagipun buat masa ini, belum ada yang betul-betul layak untuk mentadbir kerajaan hutan selain dia,” kata Raja Wasih, masih memerhati setiap tindak tanduk bangsa manusia itu.

“Dia rajin kan?” Tok Putih bertanya membuatkan Raja Wasih mengalih pandangannya ke arah lain.

“Sebenarnya salam sahabatku tak hadir begitu saja kan? Ada maksud tersirat di dalam salamnya, betulkan sahabatku Wasih?” Tok Putih bertanya.

“Tok Putih, kamu takkan pernah salah dalam firasatmu. Kamu tahu tujuan kedatanganku dan tujuan salam sahabat dari kerajaan hutan.” Kata Raja Wasih.

“Aku dah bertemu sahabat lama dari kerajaan manusia. Mereka dah mula bertindak. Mungkin tak lama lagi peritiwa tiga belas tahun lalu akan terjadi sekali lagi. Kali ni kita tak tahu apa yang jadi. Siapa terkorban, siapa berpindah alam,” Kata Tok Putih sambil memandang Azri. Raja Wasih diam sambil menguis-nguis tanah dengan kuku kakinya yang tajam.

“Berapa orang yang sesat di kerajaan hutan?” Tok Putih bertanya.

“Tiga orang.” Jawab Raja Wasih pendek. Tok Putih anggukkan kepala perlahan.

“Nak kumpulkan sekali di sini ke?” Raja Wasih bertanya.

“Kamu tahu kan, aku di sini tiada kerajaan. Hanya menumpang teduh sementara diambil semula oleh Sang Pencipta. Kami hanya gelandangan di alam ini. Bergentayang tak tahu arah alam. Ke sana tak sampai, ke sini tak lepas. Sebaiknya, biarlah mereka di bawah kerajaan hutan dahulu. Dah tentu ada yang mentadbirnya. Tambahan dia sebahagian mereka.” Kata Tok Putih.

“Kami mengikut saja. Yang bersama kamu ni, biarkan di sini?” Raja Wasih bertanya.

“Aku suka anak ini,” sahut Tok Putih.

“Jangan begitu sahabat. Ingat dia bukan milik kita. Cukup sudah bangsa manusia yang menjadi sebahagian kita. Biarlah yang fitrah itu kekal, jangan kita ubah,” kata Raja Wasih sambil sama-sama memandang ke arah Azri. Tok Putih diam.

“Aku akan bertemu Hj Ibrahim tepat detik sembilan malam ini di sempadan kerajaan gunung. Anak bangsa manusia yang di tangan mereka perlu dikeluarkan dengan kadar segera, sebelum bulan sampai kepada paksi yang tepat untuk ifrit menyembelih korban.” Kata Tok Putih.

“Mahu kami turut serta?” Raja Wasih bertanya.

“Kamu dan sahabat lain perlu menjaga anak-anak bangsa manusia yang sesat itu daripada serangan Raja Sagut. Dia amat marah, aku dengar. Aku yakin dengan kekuatan bangsa manusia. Cukuplah aku dengan mereka untuk berdepan dengan kerajaan gunung. Aku tak pernah nafikan kekuatan bangsa manusia, jarang sekali mereka kalah dengan jin. Melainkan hati jika hati mereka berbelah bagi. Cinta boleh buat mereka kuat, tapi cinta juga boleh buat lemah. Kali ini, cinta mereka pada anak-anak mereka, pasti akan memberi kemenangan buat mereka,” kata Tok Putih.

“Kami menurut apa yang terbaik untuk semuanya,” sahut Raja Wasih lalu terbang meninggalkan Tok Putih.

“Azri, kamu ikut saya malam ni,” kata Tok Putih.

“Saya dah boleh balik ke tempat saya ke?” Azri bertanya.

“In Shaa Allah, tak lama lagi,” kata Tok Putih. Azri hanya anggukkan kepala.

**********************************************

“Semua dah sedia?” Raja Depang bertanya kepada Argus.

“Semua dah sedia. Korban pun sudah berada di tempatnya. Hanya menunggu masa untuk tuan besar keluar dan mengambil korbannya.” Sahut Argus.

“Kain hitam di ufuk barat dah di pasang?” Raja Depang bertanya lagi.

“Sudah,” sahut Argus. Ini kali kedua dia menyediakan segala peralatan pemujaan dan korban itu. Yang pertama kali dulu adalah tiga belas tahun yang lalu. Ifrit dah keluar masa tu tapi ada seorang bangsa manusia menarik kain hitam tempat ifrit sepatutnya keluar. Lalu dibakar.

Akibat kegagalan itu, Raja Depang disumpah oleh ifrit menjadi seperti sekarang, seekor lipan besar berwarna hitam, tapi kakinya hanya ada tiga dan kepalanya berupa kepala ular. Berjalannya senget kerana kakinya yang kurang. Depang sebelum ini adalah makhluk lipan merah, panjangnya mencecah hujung batuan gunung di timur dan barat. Namun ifrit memberinya rupa manusia sangat tampan, sempurna dan mampu mencairkan hati sesiapa sahaja yang melihatnya, dengan balasan korban di kiraan malam yang sama, bulan dipaksi yang sama, pada tiga belas tahun lepas. Kerana kegagalannya, dia disumpah dengan keadaan dia sekarang.

Raja Depang tak putus asa. Kini dia mencuba sekali lagi, dan kali ini dia betul-betul yakin, dia akan beroleh jasad dan kuasa seperti yang diinginkannya. Bahkan dia memperoleh kekebalan dari kematian dan kuasanya boleh merangkumi seluruh alam bunian. Dan paling penting, dia dapat membalas dendamnya kepada bangsa manusia yang menggagalkan upacaranya tiga belas tahun yang lepas. Itu janji ifrit.

**********************************

“Nak masuk ke alam satu lagi ni, hati kena kental. Tak semua benda yang kamu nampak, adalah sama seperti apa yang kamu nampak. Kamu nampak katak, tapi ianya mungkin haiwan kesayangan mereka. Kamu nampak rama-rama yang cantik, tapi ianya mungkin tentera mereka yang paling bahaya. Sebab itu orang tua-tua kata, kalau masuk hutan, jaga mulut, jaga adab. Setiap ceruk di bumi Allah ini, ada penghuninya,” kata Pak Deris tanpa memandang Zahid mahupun Jali. Tapi Zahid dan Jali tahu, kata-kata itu memang ditujukan kepada mereka berdua. Takkan dia nak cakap macam tu kat Pak Ibrahim dan Abang Manan kot.

“Nah, ikat kain kuning ni di kepala kamu. Jangan tanggal walau apapun jadi. Sebab itulah tanda yang kami dapat mengenali kamu sekiranya kita terpisah. Dan pegang lagi dua ni di dalam poket kamu. Jika kamu nampak kawan kamu, siapapun tak kisahnya, terus ikat kepala mereka dengan kain kuning ni. In Shaa Allah, kita boleh jejak mereka,” kata Abang Manan sambil memberikan tiga helai setiap seorang kain kuning kepada Zahid dan Jali.

Zahid dan Jali anggukkan kepala dan melakukan apa yang disuruh.

Lima lelaki itu berjalan ke tengah hutan. Hari siang tapi gelap di dalam hutan, mungkin kerana cahaya matahari ditutup oleh pohon-pohon besar.

Sampai di satu kawasan yang agak lapang, tapi terdapat dua busut di kiri dan kanan, manakala di tiga penjuru kawasan itu terdapat perdu pokok buluh yang rimbun. Kelihatan Pak Deris membuka satu bungkusan kain kuning yang diselitkan dikain pelekat yang dijadikan sampin dipinggangnya. Pak Deris memakai baju melayu hitam dengan sampan kain pelekat dan bertanjak kuning. Dah macam pahlawan silat gayanya.

Pak Deris membuka bungkusan tersebut dan mengeluarkan satu keris. Keris itu dicium tiga kali, lalu diletakkan di tapak tangannya. Dia pejamkan mata. Pak Ibrahim dan Abang Manan memerhati keliling.

“Sini tempatnya. Boleh panggil dah,” kata Pak Deris tiba-tiba.

Abang Manan terus membuka bungkusan yang dibawanya. Satu bekas tembaga dan beberapa keping arang. Arang itu dibakar dan kemudian kemenyan ditaburkan di atas arang yang terbakar di dalam bekas tembaga. Semerbak bau kemenyan di dalam hutan tu. Abang Manan bertakafur di depan bekas tembaga tersebut.

“Assalamualaikum sahabat lama,” tiba-tiba terdengar suara orang memberi salam.

“Waalaikumussalam,” Semua yang berada di situ menyahut.

“Tuan Sheikh, bertemu lagi kita dengan izin Allah,” kata Pak Ibrahim sambil memandang seorang lelaki berjubah putih yang muncul dari salah satu perdu buluh tadi.

“Zahid! Jali!” Azri yang mengikut Tok Putih menjerit bila ternampak Zahid dan Jali bersama Pak Ibrahim dan yang lainnya.

Zahid dan Jali memandang keliling, seakan mencari sesuatu. Azri memeluk Zahid. Tapi mengerutkan dahi dan kelihatan seperti bergerak ke belakang sedikit. Dia kelihatan panik. Seketika kemudian, Azri memeluk Jali, dan tindakan yang sama, Jali menolak Azri.

“Azri, sini nak,” Tok Putih memanggil Azri.

“Tok Putih, ini kawan-kawan saya yang bersama dengan saya ketika kami berkelah. Kenapa mereka menolak saya?” kata Azri.

“Mereka tak menolak kamu, tapi mereka tak nampak kamu.” Kata Tok Putih.

“Kenapa? Tapi saya nampak mereka,” kata Azri.

“Sebab kamu berada di alam ini dan mereka sekarang masih di alam sana. Kita terpisah di antara dua alam,” kata Tok Putih.

“Tapi kenapa Tok Putih boleh nampak mereka ni?” kata Azri. Tok Putih ketawa perlahan. “Sabarlah, nanti kamu akan faham. Terlalu banyak yang perlu dijelaskan. Tapi kita kesuntukan masa, kita nak pergi selamatkan seorang lagi kawan kamu yang sesat di kerajaan gunung.” Kata Tok Putih lembut. Azri terdiam.

“Dia ada bersama Tuan Sheikh ke?” Pak Ibrahim bertanya.

“Iya, ada sini. Penuh kekeliruan,” kata Tok Putih.

“Zahid, kau ada dengar suara Azri tak? Aku macam terdengar suara dia la. Dekat sangat rasanya,” kata Jali sambi memandang keliling.

“Haah, aku pun dengar. Dan rasa macam seseorang peluk aku,” kata Zahid.

“Sama la. Hantu ke?” kata Jali.

“Dah, kan dah pesan tadi, dalam hutan, mulut tu jaga. Jangan ditegur apa-apapun sebab kita tak tahu kita akan menyakiti hati sesiapa,” kata Pak Deris tanpa memandang Zahid dan Jali yang sedang berbisik sesama sendiri. Zahid dan Jali diam.

“Ikut arah mana?” Pak Ibrahim bertanya kepada Tok Putih.

“Arah barat. Kalau ikut masa di sini, lagi 30 minit, upacara memanggil ifrit akan bermula. Dan 15 minit lepas tu, upacara korban akan dilakukan. Kita perlukan kuda untuk sampai sana,” kata Tok Putih.

“Kami dah masuk ke alam Tuan Sheikh, maka Tuan Sheikh lah pemimpin kami di sini. Kami menurut, In Shaa Allah,” kata Pak Ibrahim.

“Baiklah.” Tok Putih menepuk tangan kanannya di tanah. Dan seketika kemudian, muncul tujuh ekor kuda dari arah hutan tebal. Cantik kudanya. Bulunya putih bersih dan memiliki satu tanduk di atas kepalanya.

“Tunggangilah kenderaan kami dengan cermat. Ia akan membawa kita ke sana, kerajaan gunung. Kita akan berjumpa Depang, kawan lama Deris. Dengar khabar, dia pun rindukan kamu,” kata Tok Putih sambil tersenyum memandang ke arah Pak Deris yang masih dengan wajah seriusnya.

Masing-masing menaiki kuda putih. Zahid dan Jali pun terkial-kial nak panjat kuda yang tak punya tali untuk dipegang. Namun kuda-kuda itu seakan mengerti. Direndahkan kaki depan untuk mudah anak-anak ini naik ke atasnya.

Zahid dan Jali memandang kepada seekor kuda yang tiada penunggang. Manakala Azri yang menunggang kuda tersebut, hanya mampu memandang sahabatnya yang dua orang tu. Entah bila mereka boleh saling nampak sesama sendiri. Sakit rupanya bila kita wujud, tapi dipalau dek kawan-kawan.

Kuda-kuda tersebut membawa mereka bertujuh masuk ke dalam hutan. Baru melangkah tiga tapak, muncul sayap di kiri kanan kuda tersebut dan membawa mereka terbang di atas angin. Zahid dan Jali memeluk leher kuda dan pejamkan mata, sungguh laju kuda itu terbang. Sedar-sedar, mereka dah sampai ke satu kawasan pergunungan. Cuaca gelap. Seperti perjalanan mereka menaiki kuda putih terbang tadi, telah menukarkan siang menjadi malam.

Semua tujuh lelaki tadi turun dari kuda putih. Sebaik turun, kuda putih terus lenyap begitu sahaja, seakan ditiup angin.

“Saya akan masuk ikut pintu utama, dan kalian masuklah ikut pintu belakang. Sebaik masuk, kalian akan berjumpa dengan puluhan ribu ular berbisa. Melangkahlah di atas ular yang berwarna keemasan, kerana itulah tangga mereka. Jangan terpisah antara satu sama lain, kerana sebaik terpisah, kalian takkan dapat melihat sesama sendiri lagi. Dan masa itu, ketakutan akan menjadi satu kelemahan,” kata Tok Putih.

“In Shaa Allah.” Sahut Pak Ibrahim.

“Deris lebih arif rasanya, sebab dia pernah masuk ke sini dulu,” kata Tok Putih.

“Alhamdulillah, kami membawa orang yang tepat,” kata Pak Ibrahim lagi.

Lalu Tok Putih dan Azri masuk melalui satu lubang di kaki gunung manakala Pak Ibrahim, Pak Deris. Abang Manan, Zahid dan Jali melangkah ke arah timur kaki gunung dan menemui satu lubang kecil di situ.

– Bersambung –

One thought on “BILA BULAN TERBELAH DUA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s