BILA BULAN TERBELAH DUA

Bab 15

“Aku dapat hidu satu bau yang dah lama tak muncul di sini.” Raja Sagut bersuara perlahan tapi tegas. Dia yang berbadan ular dan berkepala manusia tanpa telinga memerhati semua makhluk di bawah jajahannya, kerajaan air. Semua yang berada di situ diam dan tundukkan kepala.

“Jangan sorok dari aku, aku dapat hidu lebih kuat dari kamu. Kalau aku tahu ada yang sorok bangsa manusia dari aku, dia takkan selamat walau ke pelosok mana dia pergi,” kata Raja Sagut lagi.

Tapi semua makhluk di hadapannya masih kaku menunduk. Tiada yang tahu pasal kewujudan bangsa manusia tapi mereka juga dapat menghidu bau yang sama.

“Aku dengar, ada bangsa manusia sesat di kerajaan hutan. Bukan seorang tapi tiga orang.” Kata Argus, pembantu kanan Raja Sagut, berdiri bagai seorang manusia tetapi tangannya seakan ketam.

“Bagaimana mereka lepas dari kerajaan aku? Bukankah untuk pergi ke kerajaan hutan, perlu melalui kerajaan air? Siapa jaga sempadan?” Raja Sagut bertanya lagi. Lebih tegas.

Di satu ceruk, Rimbun menggeletar kaki dan lututnya. “Rimbun! Ke sini kamu. Kamu penjaga sempadan kan? Macammana bangsa manusia tu boleh melepasi kerajaan air lalu terus sampai ke kerajaan hutan?” Argus menyeru nama Rimbun, si katak hijau.

Melompatlah si katak ke hadapan Raja Sagut. Lalu ditukarkan kembali menjadi bentuk manusia oleh Raja Sagut.

“Kenapa bangsa manusia boleh terlepas ke kerajaan hutan?” Raja Sagut bertanya.

“Saya tak pasti. Saya minta maaf. Saya terleka mengejar sang kupu-kupu hingga terlupa menutup kembali pintu sempadan. Sedang saya sendiri sesat ke sana tapi saya berjaya pulang,” kata Rimbun dengan suara menggigil.

“Kamu memang tak boleh diharap! Sudah aku katakan, jangan sesekali biarkan bangsa manusia lalu di kawasan kita. Aku benci bangsa manusia. Mereka ingat mereka lebih berkuasa, aku takkan lupa pembunuhan anak dan isteri aku oleh bangsa manusia. Aku dah bersumpah, takkan ada bangsa manusia yang boleh lepas dari kawasan aku. Tiga belas tahun dah berlalu, aku benci bau ini!” Jerit Raja Sagut sambil merenung tajam ke arah Rimbun. Ekor Raja Sagut melilit tubuh Rimbun yang kecil.

“Raja Sagut, kukira, jangan apa-apakan si Rimbun. Buat masa ini, dialah tali-tali terbaik kita. Kerana fizikalnya yang boleh berubah tatkala berada di kerajaan lain,” kata Argus.

Raja Sagut menarik semula ekornya yang membelit tubuh Rimbun. Dia kembali ke persadanya. Berlingkar di situ.

“Baik. Aku mahu kau cari dan bawa semua bangsa manusia tu, datang jumpa aku. Kalau kau gagal, jadilah kau santapanku wahai katak hijau. Kau jangan fikir kau boleh lari, kerana aku boleh nampak kau walau di mana dan kau merubah seperti apa sekalipun. Ingat, semua makhluk di dalam kerajaan air, dah ku sumpah untuk tunduk kepadaku.” Kata Raja Sagut.

“Baik. Akan ku cari mereka sampai dapat dan bawanya berjumpa denganmu,” kata Rimbun, masih menggigil kerana nasibnya belum cukup baik. Dia tahu dia tak boleh lari dari Raja Sagut.

Tiga belas tahun yang lalu, dia menjaga sempadan bersama satu lagi kawannya, Citah, si lintah besar. Begini juga kejadiannya, dia terleka lalu ada bangsa manusia masuk ke kerajaan hutan melalui kerajaan air. Disebabkan hal itu, Citah dibakar hidup-hidup sebelum jasadnya yang masih menggeletek dipotong halus-halus lalu dijadikan santapan si Raja Sagut. Rimbun takut kejadian itu berulang lagi. Kekejaman dan kezaliman Raja Sagut memang diketahui oleh seluruh alam bunian. Hanya pemerintah kerajaan gunung yang sudi berkawan dengan kerajaan air. Kerana kejahatan dan kekejaman mereka sama seiring.

Rimbun ada kuasa yang tiada pada makhluk lain, iaitu boleh merubah rupa menjadi bentuk yang diingini mengikut keadaan sekitarnya. Sebab itulah nyawanya masih panjang. Dia pernah cuba lari ke kerajaan hutan yang lebih tenang, tapi Raja Sagut mengenali baunya, walau dia merubah menjadi seekor kucing sekalipun, itulah kelebihan Raja Sagut. Apa saja yang tak dapat dilihat dari mata kasar, dia pasti akan dapat mengecam.

*****************************************

“Aku dah pusing keliling, dan aku dah dapat berita dari kerajaan manusia sendiri. Kesemua mereka ada tiga belas orang. Empat dah berjaya dibawa balik kerana mereka masih berlegar di sempadan alam. Tiga sesat di kerajaan hutan bersama kita. Empat lagi berada di kerajaan tanah. Satu bersama Tok Putih dan satu lagi aku tak dapat kesan, tapi aku yakin dia bersama kerajaan gunung. Yang paling aku takut, malam esok adalah malam korban di kerajaan gunung. Aku bimbang ada seorang lagi bangsa manusia yang bersama mereka akan dijadikan korban.” Kata Raja Wasih kepada Pakcik Sirus sambil dicuri dengar oleh Huda, Saiful dan Damia.

“Tak boleh cari yang seorang tu?” Pakcik Sirus bertanya.

“Pembantu aku masih mencari. Kalau jumpa sekalipun, aku tak tahu macammana nak bawa dia keluar dari sana,” kata Raja Wasih.

“Kita perlu keluarkan dia sebelum mantera ifrit dibaca oleh Depang. Kalau tak, bukan seorang saja korbannya, seluruh alam bunian akan dikuasainya,” kata Pakcik Sirus. Raja Wasih menganggukkan kepala membuatkan cahaya warna warni dari bulu pelepahnya menyinari kawasan itu. Cantik betul burung besar itu.

“Macammana dengan laluan dan masa untuk kita hantar anak-anak bangsa manusia ni balik ke tempat mereka?” Pakcik Sirus bertanya lagi.

“Masanya adalah tujuh saat dari waktu mantera ifrit sepatutnya dibaca oleh Raja Depang. Bermakna, kalau kita dapat selamatkan seorang lagi anak bangsa manusia yang dibawah jajahannya itu, kita boleh terus hantar mereka balik ke tempat mereka. Kalau lambat sesaat sekalipun, laluan akan dibuka lagi dua minggu. Rasanya anak-anak bangsa manusia ini tak  boleh bertahan di alam kita,” kata Raja Wasih lagi.

“Dari kerajaan manusia sendiri, apa beritanya?” Pakcik Sirus bertanya. Wajahnya serius sekali.

“Mereka dah mula bertindak. Dan sebenarnya, merekalah yang mencederakan Raja Kala dan Selar di daratan, bahkan membakar beberapa masyarakat kerajaan tanah, demi untuk menyelamatkan empat orang yang berada di sempadan alam tu. Sebab tu Raja Kala mengamuk, lalu diadukan kepada Raja Sagut di kerajaan air. Kalau tak pasal Raja Kala mengadu, Raja Sagut pun tak tahu. Sekarang, Raja Sagut pun mengamuk, macammana bangsa manusia boleh melalui kawasannya hingga sampai ke kerajaan hutan tanpa pengetahuannya.” Kata Raja Wasih tenang.

“Bermakna, kita perlu lalui dua kerajaan yang memusuhi bangsa manusia? Kerajaan gunung dan kerajaan air?” Pakcik Sirus bertanya.

“Begitulah nampaknya. Tapi jika ada kerjasama dari kerajaan manusia sendiri, kerja kita lebih mudah kerana ada yang menarik dari sebelah sana,” kata Raja Wasih.

“Nampaknya, kita terpaksa sekali lagi minta bantuan dengan Tok Putih. Dia saja yang mampu bantu anak-anak ini sekarang. Kebetulan dia pun ada menyimpan salah seorang dari mereka yang sesat ni,” kata Pakcik Sirus lagi. Dan Raja Wasih diam.

Mereka berdua menoleh bila terdengar bunyi batuk Saiful di belakang mereka.

“Macammana pakcik? Bila kami boleh balik semula ke tempat kami?” Saiful bertanya.

“Pakcik???” Raja Wasih bertanya dengan mata yang melirik.

“Pakcik Sirus kan? Semalam dia yang perkenalkan diri sebagai Pakcik Sirus,” kata Saiful.

Pakcik Sirus meletakkan tangannya di salah satu sayap Raja Wasih sambil kenyitkan mata. “Kau sampaikan salam aku kepada Tok Putih. Katakan aku ingin bertemunya.” Raja Wasih seakan menganggukkan kepala, lalu mengembangkan sayapnya dan berciap menggemakan segenap kawasan di situ, lalu terbang meninggalkan mereka.

“Bangsa manusia dari kerajaan kamu akan mencari kamu dan bawa kamu semua balik. Jangan risau. Tak lama je lagi,” kata Pakcik Sirus kepada Saiful. Huda dan Damia berehat di bawah pohon keladi.

“Sebenarnya macammana kami boleh sesat ke sini? Adakah kami disumpah atau dimurkai?” Saiful bertanya.

“Setiap tiga belas tahun, paksi bulan dan sempadan di antara alammu dan alamku akan berselisih. Tapi tak lama, mungkin untuk tiga detik sahaja. Tapi keadaan kamu yang ramai ini boleh sesat, sepertinya ada yang memusingkan paksi tersebut. Yang itu kami tak pasti kerja siapa, tapi yang pasti itu adalah perbuatan makhluk dari alam kami, bukan dari alam kamu.” Kata Pakcik Sirus.

“Saya selalu membaca kisah-kisah bunian. Semuanya indah dan cantik laksana kayangan. Tapi dari apa yang saya dengar, ada juga makhluk bunian yang kejam dan zalim ye?” Saiful bertanya lagi.

“Kayangan, bunian, semuanya ciptaan Allah. Ia berada di alam jin. Jin ada dua, alam bawah dan alam atas. Alam bawah itu jin kafir, memang zalim. Alam atas itu jin islam, kami sama seperti kalian bangsa manusia. Kami solat, kami berpuasa, kami bermasyarakat seperti kamu manusia. Cuma alam kita berbeza. Kamu dicipta dengan kulit melapisi tubuh, tapi kami hanya roh. Sebab itu kami boleh menyerupai apa-apa sahaja.” Kata Pakcik Sirus menerangkan.

“Hantu tu apa pula?” Saiful bertanya membuatkan Pakcik Sirus ketawa kecil.

“Mana ada hantu. Yang ada cuma jin, syaitan dan iblis. Jin alam bawah kalau dah bergabung dengan syaitan, memang mereka jadi hantu. Macam yang saya katakan tadi, jin tiada lapisan kulit fizikal seperti manusia. Maka jika mereka mahu dilihat oleh manusia, mereka perlu masuk ke dalam satu jasad. Atau terlihat seperti sesuatu. Maka muncullah hantu yang ditakuti manusia. Bangsa manusia sendiri yang memberi nama hantu itu sendiri sedangkan jin tak pernah menamakan mereka sebagai hantu. Ada jin yang nakal, sukat menyakat. Bangsa manusia pula jenis yang lemah, mudah diperdaya. Jin ni ada satu kelebihan yang manusia tiada, iaitu, jin boleh lihat manusia tapi manusia tak boleh lihat jin,” kata Pakcik Sirus menerangkan dengan panjang lebar.

“Pakcik ni siapa sebenarnya? Pakcik seperti tahu banyak tentang manusia. Seperti Pakcik pernah hidup bersama manusia,” Saiful bertanya lagi. Pakcik Sirus tak menjawab tapi dia terus bangun dan meninggalkan Saiful yang masih menunggu jawapan.

*****************************************

Selesai solat hajat, mereka menyambung dengan solat subuh jemaah. Lima belas Jemaah yang masih tinggal di situ termasuk Zahid, Jali, Pakcik Ibrahim dan beberapa orang kampung. Abang Manan meminta semua ahli keluarga yang masih berada di situ untuk balik ke rumah masing-masing. Ada juga para bapa yang nak mengikut mereka mencari anak-anak mereka di alam satu lagi, tapi tak digalakkan oleh Pakcik Ibrahim dan Abang Manan kerana jika terlalu ramai yang pergi, dibimbangi mereka seperti datang menyerang. Bimbang kejadian jadi makin buruk.

Maka, akurlah para-para bapa untuk sabar menunggu kepulangan anak masing-masing, walau di hati meronta ingin melihat anak di depan mata.

Selepas solat subuh, dengan sedikit bekalan makanan, berserta doa pendinding diri moga dijauhi dari bala bencan walau dimana berada, lima orang lelaki mula masuk ke dalam kawasan perkelahan tersebut, mencari laluan ke arah alam satu lagi. Pakcik Ibrahim, Pak Deris, Abang Manan, Zahid dan Jali.

“Kamu berdua jangan berlagak pandai. Kami bawa kamu sebab kamu mengenali kawan kamu. Dan kamu pernah masuk ke laluan tu. Bukan untuk kamu memandai-mandai di sana nanti. Tempat kita nak pergi ni, bukan tempat biasa-biasa. Salah langkah, kamu tak boleh balik ke rumah kamu semula. Faham?” Kata Pak Deris memandang tepat ke wajah Zahid dan Jali. Mereka hanya mengangguk. Pakcik Ibrahim dan Abang Manan pun diam, tak berkata apa-apa.

Pak Deris seorang yang agak bengis dan garang sejak mula Zahid dan Jali bertemu dengannya di pondok pengawal Rela sebelum masuk ke dalam kawasan perkelahan tu. Dia tak begitu mesra membuatkan Zahid dan Jali tak begitu selesa untuk berbual dengannya. Pakcik Ibrahim dan Abang Manan ok. Mereka lembut dan boleh dibawa berbincang.

“Bengis betul Pak Deris tu. Kau perasan tak, sejak kita balik semalam, dia macam menyalahkan kita pula dengan apa yang jadi. Macam kita minta pula nak jadi macam ni. Dia macam anggap kita menyusahkan. Kalau taknak bantu, cakaplah. Tak payah nak marah-marah kita,” rungut Jali.

“Shhh…. Biar je dia. Kita kan ada Pakcik Ibrahim dan Abang Manan. Jangan cakap macam tu lagi, nanti dia dengar, dia marah lagi. Sekarang, kita nak cari kawan-kawan kita. Mesti ada sebab Pak Deris tu diperlukan untuk ikut sekali. Aku rasa, dia bukan calang-calang orang, bukan sekadar pengawal Rela. Dia lebih dari tu.” kata Zahid memujuk Jali. Dia pun agak terkilan dengan cara Pak Deris memandang mereka.

– Bersambung –

One thought on “BILA BULAN TERBELAH DUA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s