BILA BULAN TERBELAH DUA

Bab 14

“Tiga hari?” Jamal mengulang ayat Pak Ibrahim dengan dahi yang berkedut.

“Ya, dah tiga hari. Semua bomba, polis, RELA dan orang kampung mencari kamu siang malam. Tempat perkelahan ni ditutup sejak kamu semua hilang.” Kata Pak Ibrahim menjelaskan.

“Tapi kami datang tempat perkelahan tu pagi tadi je. Tak sampai sehari pun lagi,” sahut Jali.

“Sebab kamu dah sesat di alam sana. Sehari di sini bersamaan tiga hari di sana,” kata Abang Manan pula.

“Adakah kawan-kawan kami pun sesat kat sana?” Zahid bertanya.

“Kami tak pasti. Tapi kesemua tiga belas orang, tak mendaftar keluar pada hari tu. Dan pada hari tu juga, kawasan ni ditutup awal oleh pengawal RELA sebab ada gangguan.” Kata Abang Manan lagi.

“Tapi sebelum kami tinggalkan tempat tu, beberapa orang kawan kami dah keluar dulu. Maksudnya mereka pun tak sempat keluar dari kawasan ni?” Jamal bertanya lagi.

“Begitulah nampaknya. Tapi kami tak pasti samada kesemuanya memang sesat kat alam sana atau ada yang memang sesat di hutan atau ada yang keluar tapi tak isi daftar keluar kat pondok pengawal,” kata Pakcik Harun, salah seorang pengawal RELA yang menjaga pondok pada hari kejadian.

“Kami jumpa nota ini, sebab tu kami yakin kamu masih berada di dalam kawasan ini. Sebab tu kami minta bantuan Pak Ibrahim dan Abang Manan untuk cari kamu.” Kata Pakcik Harun sambil menunjukkan satu nota tulisan tangan.

Zahid menyambutnya. Itu adalah nota yang dia tinggalkan di pondok nombor 81 buat kawan-kawannya yang masih belum pulang masa tu. Macammana nota tu boleh hanyut di air sedangkan dia dah tindih dengan batu? Pasti seseorang dah buang nota itu ke dalam sungai.

“Kita tak boleh menuduh, mungkin angin, atau binatang liar yang tolak batu tu. Lalu angin meniup kertas tu ke dalam air,” kata Pak Ibrahim, cuba bersangka baik, walaupun dia punya naluri mengatakan memang ada yang membuang nota itu dengan sengaja supaya anak-anak ini tidak dijumpai.

“Saya lupa nak cakap, pondok nombor 81 tu dah lama takde orang duduk di dalamnya. Kawasan tu betul-betul di kaki gunung. Banyak kes orang nampak makhluk hodoh di sana. Sebenarnya kami ada letak papan tanda, tapi tak tahu siapa yang campak papan tanda tu ke dalam hutan. Masa kami lalu di sini untuk cari kamu, papan tanda tu dah rosak dan tercampak ke dalam hutan sana,” kata Pakcik Harun lagi.

“Sebab tu dah cakap kan, jaga-jaga. Tempat ni keras,” tiba-tiba menyelit satu suara. Pak Deris, dia adalah pengawal yang bertugas bersama-sama Pakcik Harun pada hari kejadian. Cuma Pak Deris ni tak begitu ramah, wajahnya agak bengis sikit.

“Budak-budak, manalah diorang tahu nak cakap keras tak keras. Dah sekarang ni kita kena cari lagi sembilan orang tu.” kata Pakcik Harun.

“Sikit lagi masuk malam tiga belas mereka. Satu nyawa akan jadi korban. Harap-harap satu nyawa itu bukanlah salah seorang dari budak-budak ni,” kata Pak Deris lagi.

“In Shaa Allah, Allah jaga mereka. Kita cari sama-sama,” kata Pak Ibrahim yang diam sedari tadi.

“Sekarang pukul tiga pagi. Ini waktu puncak mereka keluar. Mereka kuat waktu begini. Sebaiknya kita berehat dulu. Esok sesudah subuh, kita cari. Moga dapat petunjuk,” kata Pak Ibrahim lagi.

“Kamu berempat, jom pakcik hantarkan ke dewan. Mak ayah kamu dan kawan-kawan kamu semua ada kat sana. Tak tentu tidur dan makan teringat kat anak-anak.” Kata Pakcik Harun.

“Kami nak bantu cari kawan-kawan kami pakcik. Kami datang sama-sama ke sini, biarlah kami balik pun sama-sama,” kata Zahid.

“Jumpa mak ayah kamu dulu. Minta izin dari mereka dulu. Nak cari kawan-kawan kamu ni, bukan macam cari orang hilang kat shoping mall. Nak cari kat alam lain. Yang entah kita dapat balik atau tak, takde siapa tahu,” kata Pak Deris.

“Iya, betul kata Pak Deris tu. Pergi jumpa mak ayah kamu dulu. Rehat dulu. Esok kita fikirkan macammana nak cari kawan kamu,” kata Abang Manan.

Semua yang berada di situ akur. Zahid, Jali, Zul dan Jamal dihantar ke dewan berdekatan. Ramai orang di situ termasuk bomba dan penyelamat. Mak dan ayah empat sekawan ni menangis meraung sebaik nampak anak mereka. Suasana sayu sekejap. Sujud syukur entah berapa kali.

Manakala bagi mak dan ayah lapan orang lagi, hanya mampu terus berdoa agar anak-anak mereka ditemui. Mak Huda tersandar di dinding, wajahnya sayu, tubuhnya lemah. Adik lelaki Huda asyik bertanya, mana kakak, mana kakak.

Yang tak kelihatan ialah keluarga Saiful. Nenek mahupun mak saudara tiada di situ. Samada mereka tak menyedari tentang kehilangan Saiful atau tiada yang mengambil berat.

“Zahid, aku kena ikut mak ayah aku balik. Diorang bising, tak bagi aku datang sini lagi. Sekarang juga ajak aku balik.” Kata Jamal.

“Sama la mak ayah aku. Taku tak boleh cakap apa dah,” kata Zul.

“Takpe, korang baliklah. In Shaa Allah, kawan-kawan kita selamat. Dari jauh pun korang masih boleh doakan mereka. Aku akan stay. Mak ayah aku izinkan.” Kata Zahid. Zahid ni memang diajar berdikari oleh mak ayahnya. Sebab kedua-dua mak ayahnya adalah polis. Dia memang diajar tegas dalam hidupnya.

“Aku pun ikut kau Zahid. Ayah aku izinkan, Cuma suruh aku lebih hati-hati,” kata Jali. Jali ni dah takde mak. Ayahnya seorang guru. Dia ada seorang abang dan seorang adik perempuan. Adik perempuan tinggal di asrama. Abangnya dah berkeluarga.

Zahid tepuk bahu Jali sambil tersenyum. “Esok kita cari kawan-kawan kita. Moga Allah pelihara mereka, dan kita semua,” kata Zahid.

Di luar dewan, kelihatan Pak Ibrahim dan Pak Deris sedang berbual. Zahid menghampiri mereka tapi belum sempat menyapa, Zahid nampak macam ada lagi seorang bersama mereka, seorang lelaki berjubah putih, yang tiada bersama mereka tadi.

Zahid merapati kumpulan itu dan memasang telinga.

“Dekat saya ada seorang. Tapi saya tak boleh bawa dia keluar sebab masa dan laluan untuknya keluar belum terbuka. Saya bimbang, dia masuk ke laluan lain. Saya kena cari laluan dia masuk dulu,” kata lelaki berjubah putih tu.

“Takpe, kami faham. Sekurang-kurangnya kami dah tahu, seorang dah selamat bersama Tuan Sheikh,” sahut Pak Deris.

“Yang lain tak pasti, tapi kalau Tuan Haji dah kata masih ada lain yang belum ditemui, saya minta pembantu saya carikan. Saya risau kalau ada yang masuk alam bawah. Sebab dua hari lagi upacara korban akan diadakan. Upacara kali ni dengar ceritanya, masa yang tepat untuk kuatkan ilmu mereka. Dengar cerita, kalau dapat korbankan satu mangsa suci pada kiraan tiga dikala bulan berada di paksi timur, rajanya akan menjadi kebal dari kematian.” Kata lelaki berjubah putih yang mereka panggil Tuan Sheikh tu.

“Astaghfirullahal azim. Bila bersekongkol dengan Ifrit, begitulah jadinya. Tak sedar diri pun dicipta oleh Allah, lagi nak lawan kuasa Allah,” kata Pak Ibrahim.

“Kalau betul macam tu, nampaknya aku kena jumpa ‘kawan lama’ la,” kata Pak Deris sambil menghirup kopi panas. Pak Ibrahim dan Tuan Sheikh diam. Zahid tak jadi pergi ke meja perbincangan itu. Dia kembali ke tempatnya tadi, dan baring di tepi Jali yang dah terlena lama. Zahid pejamkan mata, cuba rehatkan minda. Esok dia perlu banyak tenaga. Tiga hari tenaganya hilang entah ke mana.

****************************

“Hei Manusia, bangun!” Ahmad tersentak bila terasa badannya disepak kasar. Dia buka mata, masih gelap.

“Aku di mana? Aku tak nampak apa-apa,” kata Ahmad perlahan, dia makin lesu.

“Simpuh! Bawa dia ke tempat korban. Persiapkan dia. Tiga belas kayu meranti, tiga belas besi keluli, tiga belas kain perca mayat, tiga belas abu mayat dan malam ini malam tiga belas dengan satu korban suci. Malam ini, kala bulan berputar di paksi ketiga, Depang bakal hidup selamanya. Dia bakal menjadi raja di sekelian alam bunian. Dan aku, bakal jadi pemerintah kerajaan gunung. Jaga korban ini baik-baik. Jika dia hilang, kau akan jadi gantinya,” kata satu suara kasar dan garau.

“Baik,” sahut satu suara kecil yang dipanggil Simpuh.

“Jom, ikut aku,” Ahmad terasa tangannya dipegang oleh sesuatu yang bersisik.

“Nak ke mana? Dia cakap pasal korban. Akukah korban itu?” Ahmad bertanya sambil meraba-raba. Sesekali terasa tangannya dibelit sesuatu yang berlendir.

“Aku tak tahu. Aku cuma hamba di sini,” kata Simpuh.

“Aku nak balik. Tolonglah hantar aku balik,” kata Ahmad, suara menggigil. Lapar, letih, takut, sedih, semua bercampur baur.

“Aku pun tiada kuasa. Aku sendiri disumpah. Aku tak berdaya bantu kau.” Kata Simpuh. Ahmad cuba nak lari, tapi tak mampu. Dia asyik terjatuh kerana kakinya berjalan di atas sesuatu yang licin dan permukaanya seakan belon yang bergelombang.

“Tak bolehkah sekurang-kurangnya bagi aku nampak keliling aku?” kata Ahmad.

“Kalau aku jadi kau, aku pilih untuk tak nampak. Itu lebih baik,” kata Simpuh.

“Teruk sangatkah keadaan di sini?” Ahmad bertanya.

“Keadaan yang kau sendiri tak dapat bayangkan. Dan jika kau bayangkan sekalipun, bayangan kau takkan sampai kepada keadaan yang sebenar di sini,” kata Simpuh. Ahmad terdiam. Air matanya mula menitis.

Sampai di satu tempat, Ahmad didudukkan di atas satu bongkah keras yang besar. Dia didudukkan bersila. Dan tak semena-mena, pandangan Ahmad menjadi cerah. Dia nampak kelilingnya. Dia seakan sedang duduk di singgahsana seorang raja. Kelilingnya hiasan indah dan cantik. Bau-bauan yang wangi menusuk ke hidungnya. Langsung tak sama seperti apa yang dia rasakan ketika matanya tak dapat melihat.

Kelihatan seorang gadis cantik, mata yang bulat, pipi yang mulus, bibir yang merah merkah bak delima, sedang menghidangkan makanan di depannya. “Silakan makan, kamu tentu lapar dan dahaga,” kata gadis cantik itu. Suaranya amat dikenali oleh Ahmad.

“Simpuh?” Ahmad bertanya. Dan gadis cantik itu tunduk malu sambil tersenyum.

“Kamukah yang bersama aku di penjara gelap tadi?” Ahmad bertanya. Dan gadis cantik itu anggukkan kepala.

“Kau kata tempat ini teruk hingga tak dapat dibayangkan. Tapi aku lihat ianya amat cantik dan indah. Begitu juga kamu,” kata Ahmad. Gadis cantik itu tak menyahut, hanya tunduk malu. Tapi ada gerak gelisah di matanya.

“Marilah makan bersama aku,” kata Ahmad ketika hidangan dibawa ke depannya.

“Hidangan ini hanya untuk kamu yang istimewa. Di sini, hanya yang istimewa boleh menikmati hidangan sebegini. Sekali untuk tempoh tiga belas tahun,” tiba-tiba muncul seorang lelaki tampan dengan tubuh yang sasa, seakan pahlawan dari zaman dulukala.

“Siapa kamu?” Ahmad bertanya.

“Akulah panglima di sini. Aku menjaga keamanan kerajaan ini. Tiada yang mampu melawan aku. Kau tak perlu bimbang apa-apa kala bersamaku. Tiada senjata yang mampu menembusi tubuhnya selagi aku pelindungmu,” kata lelaki itu lagi.

“Wah! Begitu hebatnya kamu,” kata Ahmad.

“Makanlah. Hidangan ini untuk kamu sebagai tanda minta maaf di atas layanan buruk dayang dan pengawal di sini ketika kamu sampai di sini,” kata lelaki itu lagi. Ahmad hanya tersenyum melihat semua makan di depannya. Dia terlupa seketika dia berada di mana.

“Selepas makan, Simpuh akan membawa kamu berehat di kamar diraja. Kamu boleh berehat di sana. Tidur tanpa gangguan, dihembus angin dari tujuh udara. Kamu akan rasa dah berada di syurga,” kata lelaki itu lagi sambil memandang Simpuh sambil tersenyum. Simpuh hanya tunduk tak berkata apa.

Ahmad tak bertangguh lagi, dia kelaparan dan dahaga seperti dah seminggu tak jamah apa-apa. Makan dah didepan mata. Ayam panggang, buah-buahan segar dan manis, kuih muih yang tak pernah dilihatnya tetapi amat sedap dijamah. Minuman dari perahan buah-buahan yang manis dan menyegarkan.

– Bersambung –

One thought on “BILA BULAN TERBELAH DUA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s