BILA BULAN TERBELAH DUA

Bab 13

Damia tersedar bila badannya ditepuk kuat. Dia lalu bangun sambil menggosok-gosok matanya. Nenek tua tua berdiri di depan Damia. “Kenapa nenek?” Damia bertanya.

“Cepat! Cepat! Kamu keluar ikut pintu belakang. Kejora menunggu kamu di belakang. Naik ke atasnya. Dia akan bawa kamu pergi. Jangan bersuara, jangan berbunyi.” Kata nenek.

“Kenapa ni nenek? Saya nak ikut Kejora ke mana?” Damia tanya lagi.

“Auuuuuuuuuuuuuuuu!” Kuat bunyi lolongan anjing di belakang rumah.

“Jangan banyak tanya. Kamu dan nenek dalam bahaya. Ikut Kejora,” kata nenek sambil menarik tangan Damia kuat. Damia tersentak. Dia terus mengambil begnya dan mengikut nenek ke bahagian kiri rumahnya. Pintu kecil dibuka. Hari dah cerah, matahari dah naik satui perempat di ufuk timur. Anjing besar peliharaan nenek menunggu di sana.

“Kejora, kamu bawa dia ke kawasan terbuka berhampiran tempat Raja Cenderawasih. Dia saja yang dapat bantu anak ini keluar dari sini. Jangan sampai tertangkap dengan Raja Sagut. Kecoh di bumi bunian, ada bangsa manusia sesat di sini,” kata nenek.

Anjing besar bernama Kejora itu mengangguk seakan faham. Lalu Damia cuba memanjatnya. Semalam nampak macam separas pinggang. Tapi pagi ni, macam lagi tinggi. Sampai Damia terpaksa memanjat seperti memanjat kuda.

Sebaik Damia naik ke atasnya, Kejora terus berlari pergi dan terus menyelinap masuk ke dalam hutan. Hutan tu nampak jauh dari rumah nenek tapi cepat je sampai. Kejora seperti berlari di atas angin, laju.  Damia sempat menoleh ke arah rumah nenek tua tadi, kelihatan beberapa ekor serigala mengelilingi rumah nenek.

“Jangan menoleh. Di alam ini, kalau kamu dah melangkah ke depan, walau apa terjadi di belakang, jangan berpatah semula. Itu pantang larang.” Tiba-tiba Damia dengar suara. Dia menoleh keliling. Hanya hutan.

“Aku yang bercakap,” rupanya suara itu datang dari Kejora, anjing besar milik nenek.

“Kau boleh bercakap?” Damia bertanya.

“Kehadiran bangsa manusia mula disedari oleh kerajaan air. Raja Sagut mengamuk bila ada tali-tali dari kerajaan tanah maklumkan hal ini. Sesiapa yang melindungi bangsa manusia di sini, akan dipancung. Atau disumpah. Atau mungkin dibuang ke kerajaan gunung yang terkenal dengan rajanya yang kejam dan zalim.” Kata Kejora.

“Bukankah kamu dari kerajaan hutan? Dan Raja Sagut tu dari kerajaan air. Kenapa pula dia nak hukum rakyat yang bukan dari kerajaannya? Sepatutnya Raja kamu dari kerajaan hutan yang membela kamu,” kata Damia.

“Undang-undang di alam ini, kami tak boleh simpan bangsa manusia. Tak kira kerajaan mana-mana pun, tak boleh simpan bangsa manusia di sini. Jika terbukti ada yang menyimpan bangsa manusia di sini, hukuman berat akan dikenakan. Cuma Raja kerajaan hutan agak lembut tingkah dan budinya. Maka, jika ada bangsa manusia yang hadir, akan dikembalikan ke dunianya semula. Tapi jika perkara ini sampai ke pengetahuan kerajaan lain, raja kerajaan hutan sendiri tak boleh berbuat apa-apa,” kata Kejora.

“Kalau macam tu, kau kembalikan aku ke dunia aku sekarang,” kata Damia.

“Tak boleh keluar masuk macam tu je. Ada masanya, ada caranya. Laluan mana kamu masuk, laluan itulah kamu keluar. Ada 70 laluan untuk dunia kamu masuk ke dunia kami. Dan bukan semua waktu laluan itu terbuka. Ada paksi yang perlu diteliti untuk laluan ke dunia kamu dibuka.” Kata Kejora.

Damia diam. Dia tak tahu nak cakap apa. Macam dalam mimpi je rasanya.

“Kita berhenti di sini. Tunggu Raja Cenderawasih keluar dari sarangnya,” kata Kejora lalu menurunkan Damia di satu tanah lapang.

“Raja Cenderawasih tu siapa pula?” Damia bertanya.

“Dia raja kerajaan angin. Dia berlegar di udara. Penglihatannya paling luas berbanding kerajaan lain kerana dia berada di udara.” Kata Kejora.

“Dia baik?” Damia bertanya.

Tak sempat Kejora menjawab, kedengaran bunyi burung yang amat kuat dan nyaring memenuhi segenap kawasan lapang tu, hinggakan Damia terpaksa menutup telinganya. Kawasan itu serta merta jadi redup. Damia mendongak. Kelihatan seekor burung yang sangat besar, lebih besar dari kapal terbang yang pernah dinaikinya, sedang mengembangkan sayapnya yang cantik berwarna-warni di udara.

“Wahai Tuanku Raja Cenderawasih. Nenek Bidara minta aku membawakan seorang bangsa manusia ini ke sini. Dia sesat di rumah Nenek Bidara semalam. Raja Sagut dah mula menghidu kehadiran bangsa manusia di alam kita. Jadi dia sedang cari siapa yang menyimpan bangsa manusia di sini,” kata Kejora sambil membengkokkan sedikit kaki depannya.

“Kamu yakin hanya seorang bangsa manusia yang sesat di sini? Mana tahu Raja Sagut memaksudkan bangsa manusia yang lain,” kata Raja Cenderawasih, seekor burung besar yang cantik.

“Nenek Bidara hanya menyimpan seorang saja. Tak tahu kalau ada yang lain,” kata Kejora, masih tunduk hormat. Damia hanya memerhati. Dia kehilangan kata-kata.

“Kamu seorang sahaja yang sesat di sini?” Raja Cenderawasih memandang ke arah Damia. Paruhnya hampir sampai di tanah.

“Ya, saya seorang saja,” kata Damia.

“Aku ada dengar kekecohan ini. Subuh tadi aku dah keluar. Aku dapat perkhabaran dari Raja Sirus bahawa ada dua orang bangsa manusia bersamanya,” kata Raja Cenderawasih.

“Aku tak tahu tentang itu. Aku cuma tahu seorang sahaja,” kata Kejora.

“Tapi memang saya bersama kawan-kawan lain sebelum saya sampai sini. Cuma yang sesat tu saya seorang,” Damia memberanikan diri bersuara.

“Kejora, bawa dia ke paya gambir. Dua orang lagi bangsa manusia aku simpan di sana. Aku masih menunggu pembantu aku memberitahu aku masa dan laluan yang boleh kita hantar mereka pulang. Aku kena pastikan mereka dihantar ke tempat dari mana mereka datang.” Kata Raja Cenderawasih.

“Baik,” kata Kejora lalu terus mengangkat semula kakinya dan memberi isyarat kepada Damia untuk naik ke atasnya semula.

“Nak pergi mana ni?” Damia bertanya.

“Jumpa kawan kau,” Kejora menjawab. Damia akur walaupun hatinya masih ragu-ragu, ‘kawan aku?’ desis hati kecilnya.

Kejora berlari pantas di atas angin. Damia terpaksa memeluk leher Kejora dengan kuat. Tak tahulah nak kena samak macammana ni. Dia pegang anjing!

Tak lama mereka bergerak, sampailah mereka di tempat yang dikatakan oleh Raja Cenderawasih. Cantik tempat tu. Pokok keladi besar hingga boleh jadi bumbung kawasan tu. Ada air yang mengalir perlahan. Damia cuba menyentuh air jernih tu, tapi dilarang oleh Kejora. “Jangan sentuh air tu. Ia adalah tali-tali paling bahaya kerana ia boleh bawa berita sejauh segenap alam,” kata Kejora.

“Damia?” Seseorang memanggil. Damia tersentak. Dia terus menoleh. Kelihatan dua orang bangsa manusia yang amat dikenalinya.

“Huda? Saiful? Betulkah kamu tu?” Damia bertanya. Huda berlari ke arah Damia, terus memeluk kawannya itu. Menangis.

“Macammana kamu sampai kat sini?” Damia bertanya.

“Kami cari kamu la, sampai sesat di sini,” kata Saiful.

“Kau tahu tak, kita berada di alam bunian?” Damia bertanya.

“Ya, kami tahu,” kata Huda.

“Macammana kita boleh sampai sini?” Damia bertanya lagi.

“Wallahu a’lam. Allah yang Maha Mengetahui,” kata Saiful.

“Kau tunggang anjing ni tadi?” Huda bertanya Damia.

“Iye. Macam lari atas angin. Dia baik. Nenek Bidara pun baik. Sanggup bagi aku tumpang rumah dia semalam. Kalau tak, tak tahulah ke mana aku sekarang ni,” kata Huda.

“Sama la, kami berjumpa dengan Pakcik Gambut dan Mak Sutra. Mereka pun baik sangat. Rezeki kita berjumpa dengan orang yang baik-baik. Harap-harap kita boleh balik ke dunia kita semula,” kata Huda.

“Ehem,” tiba-tiba terdengar suara orang batuk membuatkan tiga sekawan tu berhenti berbual.

Kelihatan seorang lelaki yang besar badannya, keluar dari salah satu batang keladi yang besar. Kelihatan Kejora berdiri dengan lutut kaki depannya dan tunduk ke arah lelaki tersebut. Semuanya nampak macam manusia Cuma dia kelihatan lebih besar berbanding manusia biasa. Wajahnya putih bersih, tapi telinganya panjang dan berwarna hijau.

“Kamu bertiga datang dari arah sungai, kawasan perkelahan tu kan?” lelaki itu menegur.

“Iya tuan,” sahut Saiful.

“Panggil aku Pakcik Sirus je,” Kata lelaki itu lagi. Damia macam pernah dengar nama tu. Tapi dia tak ingat dengar di mana.

Pakcik Sirus mengetuk tanah dengan kaki kirinya, lalu Kejora bangun dari melutut.

“Kamu boleh balik. Dengar cerita rumah Nenek Bidara dah dihancurkan kerana nak cari bangsa manusia ni.” Kata lelaki itu kepada Kejora. Kejora anggukkan kepala dan terus berlari meninggalkan kawasan itu.

“Terima kasih Kejora. Sampaikan terima kasih ku kepada Nenek Bidara,” Jerit Damia.

“Kejora tu seorang pembantu kanan terbaik di kerajaan hutan. Dulu fizikalnya sama sepertiku. Tapi disumpah oleh Raja Sagut kerana tak mahu bekerja dengannya, lalu menjadi anjing. Setelah menjadi anjing pun, dia masih setia dengan kerajaan hutan.”

“Kesiannya,” kata Damia perlahan.

“Begini, dah kecoh di dunia kami, beberapa bangsa manusia sesat di tempat kami. Rasanya bukan kamu sahaja, tapi ada beberapa orang lagi. Itupun kerana Raja Kala mengamuk di kerajaan tanah, katanya ada bangsa manusia menceroboh dunianya. Dan ada bangsa manusia lain yang dah cederakan dirinya serta pembantu rapatnya si Selar dan kawasannya telah dibakar dek bangsa manusia tu.” kata Pakcik Sirus.

“Adakah kita semua pun sesat kat sini?” Huda bertanya kepada Damia dan Saiful.

“Maksud kamu, ada kawan lain lagi?” Pakcik Sirus bertanya.

“Kami ni pada awalnya seramai tiga belas orang pakcik. Tapi kami tak tahulah kalau bangsa manusia yang pakcik dengar tu adalah kawan-kawan kami semua.” Kata Saiful.

“Mungkin juga. Sebab kejadian ni terlalu baru. Kami semua pun terkejut. Jadi kami tak dapat berita lagi, macammana bangsa manusia boleh sesat di alam kami dan Raja Kala bergaduh dengan bangsa manusia yang mana. Kamu bertiga berehat di sini dulu hingga laluan ke tempat kamu dibuka dan masanya sesuai untuk kamu kembali ke alam kamu. Lebih mudah jika ada bangsa manusia di alam kamu yang memanggil kamu, maka lebih senang untuk kami tahu, laluan mana yang patut kamu ikut,” kata Pakcik Sirus.

Saiful, Huda dan Damia diam.

“Kamu makanlah apa saja buah-buahan di sini. Cuma jangan sentuh air yang mengalir di sungai kecil itu. Nampaknya jernih tapi bisanya tiada penawar,” kata Pakcik Sirus lalu melangkah hilang di sebalik batang keladi yang besar.

“Weh, macam mimpi betul. Kita kat alam bunian? Macammana boleh sampai sini?” Damia bertanya dengan penuh keterujaan.

“Entahlah, kami cari kau. Dengar suara kau tapi tak nampak kau,” kata Huda.

“Sama la. Aku ambil gambar kupu-kupu. Cantik. Tapi jumpa nenek tu. Nenek tu marah aku, suruh aku balik ke tempat aku. Masa aku balik, aku dengar suara korang tapi aku tak nampak korang,” kata Damia.

“Maknanya kita berada di tempat sama tapi kita dihalang oleh satu dimensi yang kita tak tahu apa tu,” kata Huda dengan teori sainsnya.

“Dan pertama kali dalam hidup aku, aku nampak bulan ada dua,” kata Damia.

“Ya betul. Kat sini bulan ada dua,” sahut Saiful.

“Bukan bulan ada dua la. Bulan tu tetap satu. Cumanya, kita berada di lain dimensi. Faham tak? Bulan yang tak ikut kita tu ialah bulan dari tempat kita. Bulan yang kita nampak di sini, adalah bulan di alam ini. Satu je bulan. Cuma dimensi tak sama,” kata Huda.

“Apa-apalah. Tapi aku nampak bulan tu dua,” sahut Damia. Huda diam.

“Pakcik tadi tu siapa ye? Boleh ke kita percaya dia?” Huda bertanya setelah keadaan sunyi seketika.

“Kan? Tapi namanya macam aku ada dengar. Cuma aku tak ingat siapa dia.” Kata Damia.

“Kau baca dari buku cerita kot,” kata Huda.

“Nama Sirus ni bukannya ada dalam masyarakat kita. Nama ni special sangat, macam baru je aku dengar,” kata Damia.

“Tak kisahlah siapa dia. Sekarang ni, kita nak tunggu ke macammana?” Saiful pula bertanya.

“Habis tu, kau tahu nak ke mana ke?” Damia bertanya.

“Aku pun tak tahu,” sahut Saiful.

– Bersambung –

One thought on “BILA BULAN TERBELAH DUA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s