BILA BULAN TERBELAH DUA

Bab 12

“Tok Tok Tok,” cermin tingkap diketuk. Linda, Salma dan Sofea menjerit serentak. Tapi Suria masih tunduk. Mereka memandang ke arah cermin tingkap yang diketuk. Lelaki bongkok tadi sedang memandang mereka semua dari luar kereta.

“Weh, dia yang lambai kereta tahan kita tadi kan?” kata Salma.

“Tok Tok Tok,” lelaki tadi ketuk cermin tingkap lagi.

“Weh, macammana ni? Nak buka ke? Linda, kau cuba la start kereta kau balik. Mana tahu dah boleh. Ya Allah, aku dah menggigil tahap apa dah ni.” Kata Salma.

“Aku dah try, memang tak boleh. Semua lampu menyala dah ni. Sampai lampu air, lampu bateri, lampu minyak, semua menyala.” Kata Linda.

“Tok Tok Tok,” ketukan di cermin kini beralih ke cermin tingkap sebelah kanan pula. Sekali lagi mereka menjerit. Betul-betul kat tepi Suria yang masih diam dan tunduk sejak tadi. Takut sangat kot.

“Suria, kau dah kenapa? Tunduk dari tadi, tak bersuara. Kalau kau takut, kami semua pun takut. Tapi janganlah ikut perasaan sangat. Lelaki tu kat tepi kau je tu,” kata Sofea terasa bengang dengan sikap Suria.

Suria angkat kepala, matanya putih dengan mata hitamnya kecil seperti setitik nila sahaja. “Ya Allah, kau dah kenapa Suria?” Salma menjerit.

Suria ketawa tiba-tiba, mengilai bagai Pontianak. Suria pegang leher Sofea yang duduk di sebelahnya. Sofea tiada pilihan, dia terus buka pintu kereta.

Lelaki bongkok yang mengetuk kereta mereka tadi berdiri tenang di situ. Sofea hilang kawalan, terus berlari dan jatuh di sungai. Salma dan Linda ikut keluar dari kereta dan terus mendapatkan Sofea.

“Pegang kawan kamu. Jangan terlepas. kalau terlepas, susah nak cari,” kata lelaki bongkok tadi.

Linda dan Salma terus pegang Sofea yang masih menjerit. “Sofea, istighfar. Dah, kami ada dengan kamu. Berhenti menjerit, nanti semangat kau hilang.” Kata Linda. Sofea berhenti menjerit dan terus menangis teresak-esak. Tiga sekawan tu basah lencun di dalam air sungai yang sejuk.

Dari situ mereka lihat, Suria keluar dari kereta. Dia melompat naik ke atas bumbung kereta Linda. Mendepa tangannya ke kiri dan kanan. Lalu mengilai kuat. Suasana hening.

Lelaki bongkok tadi seakan membaca sesuatu ke arah tangannya yang digenggam. Lalu seperti membaling sesuatu ke arah Suria. Mereka nampak dengan jelas, seperti ada satu bayangan putih keluar dari arah kepala Suria lalu terbang dan hilang di kegelapan malam. Suria jatuh terduduk tapi masih di atas bumbung kereta.

“Mari sini, turunkan kawan kamu,” kata lelaki bongkok tadi sambil melambai tiga sekawan yang masih berendam di dalam sungai.

Linda bangun, diikuti Sofea dan Salma. Masing-masing dah tawakkal je. Tak tahu siapa lelaki bongkok tu tapi mereka tiada pilihan lain. Tiada orang lain yang boleh bercakap dalam bahasa yang mereka faham selain daripada lelaki bongkok itu.

Mereka lalu menurunkan tubuh Suria dari atas bumbung kereta. Tubuh Suria disandarkan pada sepokok pokok di situ. Lelaki bongkok tadi turun ke sungai dan mengambil sedikit air menggunakan tangannya. Tak tumpah pulak tu. Dia seakan membacakan sesuatu kepada air di dalam genggamannya lalu merenjiskan ke wajah Suria.

Dan tak semena-mena, Suria buka mata lalu terbatuk-batuk, seperti orang baru dapat bernafas. Dia memandang ketiga-tiga kawannya.

“Suria, kau ok?” Salma bertanya.

“Aku tak boleh bernafas, rasa macam ada orang himpit aku. Kerongkong aku rasa tersekat,” kata Suria.

“Takpe, sekarang dah ok kan?” Linda bertanya.

“OK sikit. Cuma dada aku masih sakit. Apa dah jadi?” Suria bertanya.

“Benda tadi ikut kamu semua sejak kamu langgar sesuatu tadi.” tiba-tiba lelaki bongkok tadi bersuara. Masing-masing berpaling memandang ke arahnya.

“Pakcik ni siapa?” Sofea bertanya. Tadi dia rasa ragu-ragu pada lelaki bongkok tu, tapi sekarang dia rasa lelaki itulah yang membantu mereka.

“Pakcik penghuni sini.” Jawab lelaki bongkok tu.

“Maksud pakcik, pakcik tinggal kat kawasan perkelahan ni ke?” Linda bertanya.

“Haah, ini kawasan pakcik. Nama pakcik, Sulaiman. Pakcik baru balik dari masjid tadi, tiba-tiba nampak beberapa budak nakal sedang ganggu kamu semua. Itu yang pakcik tahan, suruh kamu berhenti, tapi kamu jalan terus. Nasib baik pakcik boleh lari atas angin, bolehlah pakcik kejar kereta kamu,” kata Pakcik Sulaiman sambil senyum.

“Pakcik boleh lari atas angin?” Sofea bertanya.

“Hahaha, takdelah. Pakcik bergurau. Kenapa kamu semua masih di sini? Setahu pakcik, tempat ni ditutup sebelum maghrib waktu kamu kan? Sekarang dah isya’ waktu kami dah,” kata Pakcik Sulaiman.

“Waktu kami dengan waktu pakcik tak sama ke?” Linda bertanya.

“Tak sama. Kamu sekarang di alam bunian. Pakcik penjaga kerajaan tanah.” Sahut Pakcik Sulaiman bersahaja. Sedangkan empat sekawan dah terbeliakkan biji mata.

“Alam bunian? Pakcik bergurau kan?” Salma bertanya.

“Apa pula nak bergurau waktu macam ni. Rasanya orang dari dunia kamu takkan cari kamu waktu macam ni. Jom singgah rumah pakcik dulu. Nanti pakcik cuba cari orang di dunia kamu. Pakcik kenal ramai orang di dunia kamu.” Kata Pakcik Sulaiman.

“Macammana ni?” Sofea bertanya.

“Ikut je la, bukan ada pilihan pun. Kita tunggu sini, entah makhluk apa pula yang muncul nanti,” kata Linda.

“Tak bolehkah kalau pakcik hantar kami balik ke dunia kami sekarang ni?” kata Salma.

“Tak boleh. Waktu ni lalu di ke dunia kamu di tutup. Bukan setiap masa terbuka. Lagi satu, kena tahu kamu masuk ikut laluan mana. Tapi dari cara makhluk yang ganggu kamu, kamu hanya di atas darat, bermakna tak melalui kerajaan air, udara, gunung atau hutan. Jadi, agak mudah untuk kamu balik semula.” Kata Pakcik Sulaiman.

“Apa dia cakap tu?” Linda berbisik.

“Aku pun tak tahu dah. Kita ikut je la.” Kata Sofea. Semua akur. Masing-masing mengikut langkah Pakcik Sulaiman yang berjalan terjengket-jengket seperti kakinya pendek sebelah. Tiada siapa berani bersuara, bergerak di bawah cahaya bulan yang samar-samar.

Sampai di sebuah rumah kecil, sama je macam rumah kampung biasa cuma hanya bertemankan pelita minyak tanah. Pakcik Sulaiman memberi salam dan salam dijawab oleh seorang wanita seusia Pakcik Sulaiman. “Ini isteri pakcik, Makcik Teratai. Wahai habibati, anak-anak ini sesat. Puak Si Munggah dan Si Bunjut sudah galak mengganggu mereka. Kalau dibiarkan, nanti gila anak-anak ini. Marah pula Imam Solehin di dunia sebelah. Dulu anak kita anak kita sesat di dunianya, dia hantar balik. Kali ini, anak-anak dia pula sesat di sini, kita balaslah jasanya.” Kata  Pakcik Sulaiman kepada Makcik Teratai.

“Macammana boleh sesat? Ini mesti kerja Si Munggah ni. Dia yang selalu usik manusia kat situ,” kata Makcik Teratai.

“Siapa lagi. Memang dia la. Dipusingnya gelombang sempadan di ufuk timur, sesat sudah anak-anak ini. Tadi ramai, sudah tak tahu mana pergi yang lain,” kata Pakcik Sulaiman.

“Ooo. Ada yang lain?” Makcik Teratai memandang empat sekawan tu.

“Kami semua tiga belas orang. Tak tahu samada mereka selamat atau jadi macam kami,” kata Linda.

“Ramainya,” kata Makcik Teratai.

“Dah, bawa mereka berehat. Esok akan kucuba cari bakinya. Harap-harap tak masuk penjara kerajaan air atau gunung. Selain dari tu, In Shaa Allah, senang cari,” kata Pakcik Sulaiman.

Makcik Teratai tidak bertanya lagi. “Melur, Melati, mari sini. Ada teman hari ini. Bawa mereka bersihkan diri, solat, makan dan tumpang tidur. Kesian mereka,” kata Makcik Teratai. Seketika kemudian, muncul dua orang gadis, manis, cantik, lembut. Empat sekawan memandang tanpa berkelip mata. Mereka tak pernah nampak gadis secantik itu di dunia mereka.

“Mari, kami tunjukkan arah,” kata salah seorang dari mereka sambil menarik tangan Linda yang kebetulan berada di tepi.

Ya Allah, lembutnya tangan. Kalau tisu tu lembut, kulit mereka lebih lembut. Macam sutera. Sejuk je. Putih mulus. Linda mengikut. Begitu juga Salma, Sofea dan Suria. Jika perempuan sendiri terpegun dengan kecantikan dua anak gadis Pakcik Sulaiman, macammanalah jika para lelaki yang melihatnya.

**********************************

“Pakcik, tunduk!” Zahid menjerit ke arah beberapa orang yang menegur mereka di atas darat. Dan tanpa bertanya, seorang lelaki lain yang bersama dengan kumpulan lelaki-lelaki di situ, memberi isyarat supaya semua yang berada di situ tunduk.

Manusia berbadan kala jengking tadi melibas satu dari tangannya yang paling besar ke arah kumpulan manusia yang baru datang. Mujur mereka sempat tunduk selepas mendengar jeritan Zahid.

“Makhluk apa?” terdengar suara lelaki dalam kumpulan itu menjerit seakan bertanya.

“Kala jengking dan ular besar,” Zahid menyahut. Empat sekawan masih di dalam air di bawah cahaya bulan.

“Allahu Akbar. Jin paling jahat dan bahaya. Kamu semua kekal di sana. Jangan lari dari cahaya bulan tu. Pastikan cahayanya tembus di dalam air,” kata lelaki tadi lagi.

“A’uuzubillaah himinassyaitonirrojim. Bismillahirrohmaanirrhim. Aku berlindung kepada Allah dari godaan syaitan yang direjam. Allahu Laa Ilaaha Illaahu Wal Haiyyul Qoiyum. Laa Ta’ khuzuhu sinatun wala naum,” suratul Kursi dibaca hingga habis.

Manusia berbadan kala jengking tadi menjerit marah. Ular besar tadi berdesir kuat dengan lidah dijelirkan panjang.

“Pergilah, sebelum kamu dibakar,” suara lelaki tadi seakan memberi amaran.

“Mereka ganggu kawasan aku. Mereka perlu tebus kesedihan anak-anak buah aku. Bukan aku yang ganggu mereka, tapi mereka yang ganggu aku. Telah diberikan perjanjian dengan bangsa manusia terdahulu, kami bagi kawasan kami, jangan lepasi sempadan kami,” kata manusia di kala jengking.

“Bumi ini milik Allah, siapa kamu untuk kata mana kawasan kamu mana kawasan kami. Perjanjian kamu adalah dengan bangsa kami yang terdahulu, bukan bangsa kami yang kini. Simpan perjanjian kamu untuk di baca di depan Allah di mahsyar nanti.” Kata lelaki tadi seakan melawan.

“Tidak! Perjanjian telah dibuat. Anak-anak bangsa manusia dah ganggu kami. Mereka akan terus berada bersama kami, untuk dijadikan korban malam tiga belas,” kata lelaki si kala jengking.

“Kamu mahukan korban, ambillah anak-anak bangsa kamu. Kenapa diganggu anak-anak bangsa kami? Adakah anak-anak bangsa kamu semuanya telah tercemar? Maka mencari anak-anak bangsa kami yang masih suci?” kata lelaki tadi.

“Bangsa kami tak ganggu bangsa kamu tapi bangsa kamu mengganggu bangsa kami. Siapa yang tercemar siapa yang suci sekarang?” manusia si kala jengking terus melawan.

“Yang tercemar bukan anak-anak bangsa kamu atau anak-anak bangsa kami, tapi seorang ketua yang mencemarkan hati mereka. Aku tak mahu bertelagah dengan bangsa yang angkuh seperti kamu adalah Tuhan. Kau pergilah ke dunia kamu. Anak-anak ini milik dunia aku,” kata lelaki tadi.

“Tidak, mereka milik aku,” manusia si kala jengking melawan.

“Baik, kalau itu yang kamu mahu. Aku terpaksa ambil anak-anak ini dengan menyakiti anak-anakmu,” kata lelaki tadi lagi. Dan masa ni kedengaran pelbagai bunyi-bunyian dari hutan. Bunyi jeritan unggas rimba, monyet, dan ular besar tadi pun kelihatan bergulung-gulung seperti sedang kesakitan.

“Hentikan! Aku lepaskan anak-anakmu untuk hari ini. Tapi tak bermakna aku takkan berdiam diri,” kata manusia si kala jengking.

“Selar, undur,” manusia si kala jengking bersuara mungkin kepada ular besar tadi sambil dia berundur. Seketika kemudian semua bunyi jeritan unggas berhenti dan ular besar serta manusia di kala jengking hilang dalam kegelapan malam.

“Kamu semua boleh keluar dari air. Yang lain boleh tegak,” kata lelaki tadi. Zahid, Jali, Zul dan Jamal melangkah keluar dari sungai.

“Mana yang lain?” salah seorang pengawal RELA yang masih memakai uniform bertanya.

“Kami tak tahu,” Zahid menyahut.

“Mereka dah berpecah. Ada yang terperangkap di alam bawah, dan ada yang bersama alam atas. Alam atas tak perlu dirisaukan, tapi alam bawah agak susah nak bawa mereka ni keluar.” Kata lelaki tadi. Baru mereka nampak siapa lelaki itu. Seorang lelaki berusia 40-an memakai jubah putih dan berkopiah.

Semua yang berada di situ diam.

“Kamu bijak. Macammana kamu tahu untuk tunduk dan masuk ke air mengikut cahaya bulan yang menembusi air?” Lelaki berjubah itu bertanya Zahid.

“Saya pernah membaca. Jin jenis ini tidak dapat melihat kita bila kita berada di bawah paras pinggang mereka. Dan untuk mengenali beza alam jin dan alam manusia adalah mengikut cahaya. Cahaya di alam kita akan menembusi permukaan air sedangkan alam jin cahayanya tak menembusi air,” kata Zahid.

“Sebab tu kamu suruh kami tunduk?” lelaki itu bertanya.

“Iya, sebab saya pasti pakcik dan kawan-kawan pakcik tak nampak makhluk tadi. Kami nampak sebab kami berada di sempadan garisan dua alam ini,” kata Zahid.

“Bagus anak muda. Tak semua orang tahu ilmu ini. Alhamdulillah. Semua ilmu Allah ada manfaatnya. Ia tak datang begitu saja,” kata lelaki itu sambil menepuk bahu Zahid.

“Kamu semua dah selamat balik ke dunia kamu. Kena cari jalan untuk bawa balik bakinya,” kata lelaki itu.

– Bersambung –

One thought on “BILA BULAN TERBELAH DUA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s