BILA BULAN TERBELAH DUA

Bab 11

“Kamu berdua masuk ke sini ikut mana?” Lelaki botak tadi bertanya.

“Ikut pintu pakcik,” sahut Saiful. Huda pandang Saiful.

“Kami tadi kat kawasan perkelahan tu. Kami cari kawan kami. Tapi tak jumpa dia. Lepas tu nakpatah balik pun tak jumpa kawan kami yang lain. Pusing banyak kali tapi tak jumpa sesiapa. Sampai malam ni, rumah pakcik je yang kami jumpa,” kata Huda.

“Pakcik faham, kamu sesat. Tapi pakcik nak tahu kamu masuk ke sini ikut jalan mana satu,” kata lelaki botak tadi.

“Jalan macammana tu pakcik? Kami tak faham soalan pakcik,” kata Huda.

“Nak masuk sini ada banyak pintu. Bukan suka-suka bangsa sana nak masuk sini.” Kata lelaki botak tu lagi.

“Bangsa?” Huda bertanya lagi. Masa ni nalurinya mengenai sempadan alam tadi dah makin jelas. Dia pandang Saiful, tiada sebarang reaksi.

“Macam ni, lelaki ini Pakcik Gambut, suami makcik. Panggil makcik, Mak Sutra. Kamu sekarang berada di alam bunian. Kamu bangsa manusia kan? Kamu dari alam satu lagi.” wanita yang bertudung kain batik tadi berkata.

Masa ni barulah nampak reaksi Saiful membeliakkan matanya. Dan dia memerhati keliling. Sedangkan Huda memang dah syak sejak mula mereka sampai tadi bila melihat bulan tak mengikut mereka. Di situ, dia dah faham, mereka bukan lagi di alam mereka. Cuma dia tak pasti, mereka berada di alam mana. Dan bila dia melihat ada lagi satu bulan, bermakna mereka berada di satu alam yang ada makhluk Allah yang lain hidup di dalamnya, sama seperti manusia biasa.

“Kami minta maaf sebab kami mengganggu tempat pakcik dan makcik. Kami takde niat jahat. Kami cuma sesat,” kata Huda cuba menuturkan kata-kata tenang, walaupun hatinya dah berdebar kencang. Tambahan melihat keadaan Saiful yang menggelabah macam tu. Itulah orang kata, kadang yang nampak tenang tu, hatinya gundah. Tapi yang nampak kalut tu, hatinya lebih tenang.

“Sebab tu kami nak tahu, kamu masuk ikut laluan mana,” kata Mak Sutra.

“Kami ikut sana,” kata Huda sambil menunjukkan arah mereka datang.

“Sungai?” Mak Sutra tanya lagi. Huda anggukkan kepala. Mak Sutra dan Pakcik Gambut berpandangan sesama sendiri dengan raut wajah yang kelihatan serba salah.

“Maknanya kamu ikut laluan air. Selalunya orang yang lalu kerajaan air, takkan boleh lepas. Mustahil takde yang nampak kamu.” Kata Mak Sutra.

“Sekarang kami bukan di kerajaan air ke?” Huda tanya lagi. Dia seakan cepat mengerti. Mungkin kerana terlalu banyak yang dibacanya.

“Sekarang kamu di kerajaan hutan. Tak ramai terlepas ke sini sebab perlu lalu kerajaan air. Pemerintah kerajaan air memusuhi bangsa manusia kerana pencerobohan. Jadi jika ada bangsa manusia yang sesat ke dalam kerajaan air, pasti dibunuh dan jasadnya diberi makan kepada burung besar berwarna putih yang menjadi tali-tali mereka,” kata Mak Sutra.

“Tali-tali? Maksud Mak Sutra, mata-mata? Penyiasat?” Huda tanya. Mak Sutra dan Pakcik Gambut berpandangan lagi. Mungkin tak faham apa yang Huda cakap.

“Takpe, kamu berdua berehat saja di rumah ini dulu mala mini. Esok akan ku maklumkan kepada penghulu tentang mereka. Mungkin mereka boleh bantu hantar kamu berdua pulang semula ke dunia kamu,” kata Pakcik Gambut yang diam dari tadi.

“Kami amat berterima kasih di atas kesudian Pakcik dan Mak Sutra menerima kami sebagai tetamu. Kami minta maaf kerana dah menyusahkan,” kata Huda sambil mencuit bahu Saiful untuk memberi hormat kepada Pakcik Gambut dan Mak Sutra.

“Kamu berdua mesti lapar kan? Di atas kayu buluh tu ada beberapa jenis buah-buahan. Makanlah.” Kata Pakcik Gambut.

“Terima kasih Pakcik. Err… Mak Sutra, saya nak tumpang bilik air,” kata Huda meminta izin.

“Boleh, mari Mak Sutra tunjukkan. Tapi kami Cuma ada perigi. Dengar cerita, di dunia kamu, sudah ada air yang keluar sendiri, tak perlu lagi ditarik dari dalam tanah,” kata Mak Sutra. Huda hanya mampu senyum.

Dari apa yang dia pernah baca tentang alam bunian, kehidupan di situ memang tiada kemodenan. Masih berada di takuk lama mungkin sama macam dunia manusia berpuluh dekad yang lepas. Mungkin mereka masih berada di zaman Tunku Abdul Rahman masih berusaha mendapatkan kemerdekaan untuk Tanah Melayu. Huda pernah membaca itu. Tapi memandangkan Huda sendiri lahir di zaman serba canggih, jadi dia tak tahu bagaimana kehidupan manusia pada dekad yang lepas. Membaca walau menghayati, takkan sama dengan melalui dan menghadapi.

“Eh takpe Mak Sutra, ditempat kami pun masih ada perigi.” Kata Huda merendah diri. Sedang dia sendiri tak pernah tengok perigi.

Huda mengikut Mak Sutra ke bahagian belakang rumah mereka, atau lebih dilihat sebagai pondok je sebenarnya. Tiada ruang tamu, tiada pemisah dapur dan bilik. Mak Sutra keluar dari pondok dan membawa Huda ke bawah satu pohon besar di belakang rumah dengan membawa pelita. Tiada angin. Suasana sunyi sesunyi-sunyinya.

“Inilah perigi. Kamu boleh bersihkan diri di sini,” kata Mak Sutra. Huda memandang ke arah perigi. Dia menjenguk ke dalam. Gelap tak nampak apa-apa. Dia cuak dah. Macammana nak ambil air ni, kalau dah airnya pun tak nampak? Lagi yang buatkan dia cuak, tiada dinding hanya perigi. Dan dikelilingi hutan belukar. Macammana nak mandi? Macammana nak buang air?

“Takde orang tengok ke nanti Mak Sutra?” Huda bertanya.

“Di sini, apabila bulan dah tiada di dalam perigi, bermakna semua orang dah tak keluar rumah. Jangan risau, tiada yang melihat,” kata Mak Sutra.

“Bulan dalam perigi?” Huda bertanya. Banyak lagi yang dia tak tahu rupanya.

“Iya. Bermakna bayangan bulan. Jika bayangannya masih ada di dalam perigi, bermakna malam masih tinggi, sebab tu bulan berada di tengah langit menyebabkan bayangannya boleh dilihat di dalam perigi. Tapi bila bulan dan turun sedikit, bermakna, malam dah menghampiri sepertiga. Tiada lagi yang berada di luar.” Terang Mak Sutra. Huda pegang dahinya. Dia taknak bertanya lagi sebab itu akan buat dia nak tahu.

“Boleh ke kamu ambil air dari perigi tu?” Mak Sutra tanya.

“Saya tak pandai.” Sahut Huda terus terang.

“Takpe, saya tahu,” tiba-tiba je Saiful muncul di belakang mereka.

“Hish kau ni. Terkejut kami tau,” kata Huda.

“Kau je terkejut. Mak Sutra tak pun. Dia cool je aku tengok,” kata Saiful.

“Kamu bersihkan diri dulu. Mak Sutra masuk ke dalam dulu. Jangan lama-lama dengan air. Sebab air itu ada tali-talinya,” kata Mak Sutra lalu meninggalkan mereka.

“Tali-tali tu apa?” Saiful bertanya Huda.

“Aku rasa spy la kot,” kata Huda. Saiful anggukkan kepala.

“Cepatlah ambilkan air perigi tu. Lepas tu kau pergi sana. Aku nak buang air,” kata Huda. Saiful akur, dia ambil tempurung kelapa yang diikat dengan tali, lalu mencampakkannya ke dalam perigi. Seketika kemudian dia menarik tali yang terikat dengan tempurung tadi, lalu naiklah tempurung yang dah berisi dengan air, lalu dituangnya ke dalam satu bekas besar  di situ seperti baldi. Tapi dalam samar-samar cahaya bulan, baldi itu kelihatan seperti barang pokok besar yang telah di buang bahagian dalamnya untuk menakung air.

Setelah penuh bekas air itu, Saiful memalingkan badannya ke arah lain supaya Huda boleh membersihkan dirinya di situ.

“Kau pergilah masuk dalam. Takkanlah aku nak mandi buang air kat sini masa kau ada. Seganlah aku,” kata Huda.

“Kau berani seorang diri dalam gelap, dalam hutan, dalam alam bunian,” kata Saiful.

“Tak,” sahut Huda.

“Habis tu?” Saiful tanya lagi. Tapi dia tak tunggu jawapan Huda. Dia terus memalingkan wajahnya ke lain. Huda tiada pilihan, dia segera menyelesaikan urusannya. Air di situ sejuk sangat sampai Huda hampir menjerit. Macam ais batu.

“Kau perlahan sikit boleh tak? Cepatlah,” kata Saiful. Huda tak menjawab.

Selesai Huda dengan urusannya, dia mengikut langkah Saiful kembali ke rumah Mak Sutra. Tapi belum sempat mereka membuka pintu belakang rumah Mak Sutra, kedengaran bunyi dari dalam belukar di tepi perigi. Bunyinya seakan langkah sesuatu yang berkaki empat.

Huda tarik lengan baju Saiful. Saiful berhenti dan memandang ke arah semak yang tinggi. “Kau dengar tak?” Huda bertanya. “Shhh,” Saiful bagi isyarat suruh diam.

“Kita jalan perlahan. Kita tak tahu apa benda tu,” kata Saiful berbisik. Huda anggukkan kepala.

Nak sampai ke pintu belakang rumah Mak Sutra tu sebenarnya nampak dekat je. Nampak macam tiga empat langkah. Tapi mereka dah jalan sepuluh langkah kot, tapi masih tak sampai. Tak tahulah alam diorang ni macammana.

Dan tak semena-mena, benda yang bergerak di dalam semak tadi, keluar dari belukar. Ianya seekor kuda tapi berkepala manusia. Huda menjerit. Kuda itu turut terkejut dan mengangkat kaki depannya. Masa ini Mak Sutra dan Pakcik Gambut keluar dari pintu belakang.

“Zirut, jangan Zirut. Ini tetamu kita. Kamu tenang,” kata Pakcik Gambut. Barulah kuda berkepala manusia tadi meletakkan kaki depannya semula ke tanah.

“Tetamu kamu bangsa manusia?” Kuda berkepala manusia yang mereka panggil Zirut tadi bercakap. Kuda boleh bercakap? Huda dah urut dada yang masih sakit akibat terkejut. Saiful masih ternganga melihat kuda berkepala manusia itu boleh bercakap.

“Mereka sesat. Jangan beritahu sesiapa,” kata Pakcik Gambut.

“Kamu tak takut kena pancung dengan Sagut ke?” Zirut bercakap lagi.

“Esok kita minta tolong dari penghulu. Minta bantuan Raja Sirus hantar mereka pulang ke dunia mereka,” kata Mak Sutra.

“Kau ingat semudah itu? Raja Sirus sendiri taknak berdepan dengan Sagut. Macammana pula dia nak lalu kerajaan Sagut untuk hantar mereka ni balik ke dunia mereka?” Zirut bertanya.

“Dah, kami masuk dulu. Kalau ada tali-tali yang nampak, lagi susah,” kata Mak Sutra lalu menarik tangan Huda masuk ke dalam rumah. Saiful pun mengikut sekali sebab Huda menarik tangan bajunya untuk ikut sekali. Tak ditarik nanti, sampai subuh esok Saiful masih mendongak melihat kuda berkepala manusia yang boleh bercakap tu.

“Apa benda tu Mak Sutra?” Huda bertanya.

“Itu Zirut, penjaga kerajaan hutan ni. Jangan takut, dia ok,” kata Mak Sutra.

“Kamu rehatlah di situ. Esok pula kita fikirkan bagaimana untuk hantar kamu pulang,” kata Mak Sutra sambil menunjukkan ke arah satu pangkin yang dibuat dari buluh dan dilapik dengan sulaman daun mengkuang kot.

“Takpelah Mak Sutra. Dah nak pagi kot ni.” Kata Huda.

“Dengar khabar, masa di dunia kamu lebih cepat berbanding kami. Jika kamu dah subuh, kami mungkin baru nak masuk senja. Jika di dunia kamu dah tiga jam, di dunia kami mungkin baru 3 minit atau 3 saat. Jadi, kita mungkin lambat lagi nak subuh. Tidurlah,” kata Pakcik Gambut lalu berbaring di atas tanah berlapikkan tikar sulaman daunan.

“Aku memang letih, memang mengantuk. Tapi aku tak berani nak tidur. Nanti entah-entah ke mana pula kita pergi.” Kata Huda berbisik kepada Saiful.

“Takpe, kau tidurlah. Allah jaga kita. Jangan risau. Mereka orang baik-baik.” Kata Saiful.

“Mana kau tahu?” kata Huda menduga.

“Aku pun tak tahu. Tapi kalau kita berburuk sangka dengan mereka sekalipun, kita ada  pilihan lain? Sebab tu dalam hidup, pergantungan kita hanya kepada Allah, sebab Dia nampak semuanya. Dia akan jaga kita. Tengok macam siang tadi, kita berjaga-jaga juga, sesat juga kita sampai sini. Damia hilang juga. Kau ingat aku tak susah hati mengingatkan nenek aku? Tapi aku tahu, Allah jaga dia.” Kata Saiful perlahan.

“Nenek kau mesti cari kau kan?” kata Huda.

“Allah jaga dia. Aku tahu,” kata Saiful.

Huda diam. Betullah kata Saiful. Kalau ikutkan dia lebih susah hati. Memanglah ibubapa Huda pun akan risaukan dirinya, tapi mengenangkan nenek Saiful lebih memerlukan Saiful, Huda cuba bertenang dan menerima kata-kata Saiful. Huda baring. Kononnya nak berehat je. Tapi tak sampai kiraan tiga, dia terlelap.

– Bersambung –

One thought on “BILA BULAN TERBELAH DUA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s