BILA BULAN TERBELAH DUA

Bab 10

“Assalamualaikum. Nenek.” Damia memberi salam. Memandang keliling yang hanya bertemankan sebiji pelita minyak tanah. Tiada sahutan. Rumah kampung yang tak pernah dilihat oleh Damia. Dia memanglah orang bandar tapi dia pun pernah balik kampung nenek dia. Tapi rumah kampung yang dia pergi tak pernah seperti ini.

Rumah itu seakan rumah buatan berkurun dulu. Keadaan rumah tu yang dia pernah tengok ialah rumah orang-orang asli yang masih tinggal di pedalaman. Dengan atap rumbia, dinding masih ditutup dengan pelepah kelapa. Bertiangkan buluh. Tiada perkakasan seperti di rumahnya. Tiada meja makan, tiada katil. Berlantaikan tanah. Cuma ada pangkin yang dibuat dari buluh dan dilapik dengan sulaman daun kelapa sebagai tikar. Atau adakah itu tikar mengkuang.

“Tap tap tap,” Damia pasang telinga. Dia terdengar bunyi langkah kaki. Dia memandang ke arah satu sudut di mana bunyi tapak kaki itu kedengaran. Dan seketika kemudian, muncul seorang nenek tua dengan kepalanya disarung dengan kain batik lusuh.

“Nenek,” Damia menegur. Dia yakin itulah nenek yang dia jumpa siang tadi, dan nenek itulah juga yang memberi isyarat untuk dia sampai di situ.

Nenek tua itu duduk di pangkin buluh. Dia menurunkan sedikit kain batik penutup kepalanya. Lalu dia memandang ke arah Damia. Wajah yang penuh kedut seperti dah hidup beratus tahun. Rambutnya yang putih keseluruhan. Mata seakan nak tersembul keluar. Tapi telinganya agak panjang dan meruncing di bahagian hujung. Laksana telinga rusa.

“Kamu ni sebenarnya siapa, dari mana, nak ke mana?” Nenek tu bertanya Damia yang masih berdiri.

“Nenek, sebelum tu, saya minta izin nenek. Boleh saya minta sedikit minuman dan makanan? Saya betul-betul lapar dan dahaga. Dari pagi saya tak makan dan minum apa-apa lagi,” kata Damia. Dia memang dah pening dan rasa nak muntah sebab perut dah masuk angin mungkin.

“Tak semua makanan kami yang kamu boleh makan. Jamahlah pisang yang tergantung di sana,” kata nenek tu sambil menunjukkan ke arah bucu rumah itu. Damia memandang ke arah yang ditunjukkan. Memang ada setandan pisang masak digantung di situ. Tanpa berlengah, Damia mengambil sebiji pisang tersebut dan makan sambil diperhatikan oleh nenek.

“Nenek tinggal sendirian?” Damia bertanya.

“Bukan aku yang kau patut tanya, tapi kau yang patut aku tanya,” kata nenek tu seperti tak selesa bila Damia bertanya tentang dirinya.

“Saya dengan beberapa orang kawan saya, kami berkelah kat sungai tu. Saya berjalan-jalan ambil gambar. Lepas tu saya jumpa nenek kan tadi? Masa saya kejar kupu-kupu besar tu. Macam tu je la. Lepas tu saya nak patah balik ke tempat kawan saya, saya tak jumpa mereka. Tapi saya dengar suara mereka.” Kata Damia menceritakan semula detik dia sesat.

“Kreeekkkkkkk,” tiba-tiba pintu buluh ditolak dari luar. Seekor anjing besar masuk. Tinggi badan anjing tu saja separas dengan pinggang Damia kot. Anjing tu memandang Damia tanpa berkedip mata. Damia terkejut, dia terus bangun dan menjerit.

“Kejora, kamu tinggal di luar malam ni. Jaga luar, jangan bagi sesiapa datang sini,” Nenek tu seperti berbicara dengan anjing besar tu. Dan anjing itu seakan mengerti, kembali keluar dari rumah tersebut.

“Besarnya anjing tu? Nenek bela?” Damia tanya.

“Itulah kupu-kupu yang kamu kejar siang tadi. Dia yang bawa kamu kepada aku. Sebab kamu dah masuk garisan alam kami,” kata nenek tu lagi.

“Kupu-kupu? Macammana kupu-kupu yang cantik tadi boleh jadi anjing? Nenek bergurau?” kata Damia mengerutkan dahinya.

“Di alam kamu, kamu nampak ia cantik seperti kupu-kupu. Di alam kami, dia adalah penjaga setiap rumah di sini,” kata nenek tadi.

“Sekejap. Alam nenek? Alam saya? Saya tak faham,” Damia mula berteka teki. Dia mula panik kembali.

“Yang perlu takut sekarang ialah aku, bukan kau. Kalau Sagut tahu aku ada menyimpan bangsa manusia di rumah aku, aku pasti dipancung,” kata nenek tu lagi.

“Sagut tu siapa?” Damia tanya lagi.

“Dia pemerintah kerajaan air.” Sahut nenek tu.

“Pemerintah? Maksud nenek raja? Atau perdana menteri?” Damia bertanya lagi. Makin ditanya makin banyak persoalan di dalam kepalanya.

“Sagut tu pemerintah kerajaan air. Kamu sekarang berada di kawasan kami, kerajaan hutan. Kerajaan air takkan lepaskan bangsa manusia untuk masuk ke dalam kerajaan hutan. Aku tak tahu macammana kamu boleh melepasi kerajaan air hingga sampai kerajaan hutan di sini. Bangsa manusia adalah bangsa paling dibenci oleh kerajaan air.” Sahut nenek tu.

“Kerajaan air? Kerajaan hutan? Apa semua ni nenek?” Damia bertanya, sekarang dadanya berdebar-debar. Dia dapat rasakan nenek tu orang gila. Ah, sudah, mana dia nak lari ni. Kat luar tu ada anjing besar yang kononnya menjelma dari seekor kupu-kupu. Damia pusing-pusingkan kepalanya, ‘aku ke yang dah gila ni?’ desis hatinya.

“Kamu sekarang dah melepasi garisan sempadan alam kamu. Kamu dah masuk alam kami. Alam Bunian,”

“Alam bunian? Maksud nenek, saya sekarang di alam bunian? Nenek orang bunian?” Damia membeliakkan matanya. Ini kali kedua dia nyaris nak tercekik pisang yang dimakannya dari tadi tak habis-habis. Sebiji je pun, tapi makin dimakan, seperti makin menumbuh pula.

“Ya, kamu sekarang di alam bunian.” Sahut nenek tu. Dan Damia berhenti makan pisang. Dia duduk dan tak cakap apa-apa dah. Tak sangka sejenis alam yang tak pernah dia akui kewujudannya, kini dia sendiri berada di dalamnya. Dan ini menjelaskan kenapa rumah nenek tu seakan rumah orang dulu-dulu, yang masih hidup di hutan.

******************************************

“Ayah kat mana? Kenapa gelap sangat ni? Ayah!” Ahmad terus memanggil. Dia mula terasa takut bila terasa badannnya seperti terawang-awang. Dia tak memijak ke tanah dengan betul. Dunia gelap segelap-gelapnya.

“Jumpa kat mana?” Ahmad menangkap satu suara kasar, seperti suara komando.

“Kat pintu masuk. Dia buang air di batu tanda kerajaan. Pedan yang nampak lalu mengadu kepadaku. Dan kini aku bawakan dia kepadamu,” sahut satu suara lagi.

Ahamd terasa badannya seperti dilambung-lambung. Seakan ada belon-belon besar dibawahnya tapi belon-belon itu keras, bersisik dan berlendir.

“Dia sendirian?” sahut suara pertama tadi.

“Menurut Pedan, ada lagi beberapa orang. Tapi seperti ada yang telah masuk garisan sempadan kerajaan air dan kerajaan hutan. Aku tak pasti ke mana mereka tapi mereka juga telah melepasi garisan alam mereka,” kata suara kedua tadi.

“Aku tak mahu bangsa manusia datang menuntut orangnya di sini. Lepaskan dia ke tempat asalnya. Aku sudah serik dicacatkan oleh bangsa manusia kerana menuntut hak kerajaan aku,” suara pertama tadi bersuara lagi.

“Tapi bukankah ini jalan untuk kau balas dendam. Tambahan dia dah mencemarkan kesucian batu tanda kerajaan kita,” kata suara kedua.

“Betul juga kata kau. Inilah masanya. Jika mereka mahukan semula roh bangsa mereka, mereka perlu penuhi tuntutan kerajaan gunung aku,” sahut suara pertama dan diikuti dengan gelak tawa beberapa suara lain yang tidak kedengaran dari tadi. Sepertinya ada ramai di situ. Cuma Ahmad tak nampak apa-apa, hanya kegelapan.

Ahmad terasa tangannya diangkat kasar. Rasanya nak patah sendi bahunya. “Tolong, tolong. Ayah!” Ahmad menjerit mohon bantuan tapi tak tahu kepada siapa. Dia tak nampak apa-apapun. Gelap semuanya. Dia cuma merasakan tangannya diangkat dan tubuhnya diseret di atas lapisan yang menggerutu.

Dan seketika kemudian, Ahmad terasa badannya dicampak ke suatu ruang kecil dan sempit. Kedengaran bunyi desiran ular yang banyak. Dan sesekali Ahamd terasa ada yang menjalar di kakinya. “Ya Allah Ya Tuhanku, kat mana aku ni? Segalanya gelap. Aku dah hilang arah. Berilah aku petunjuk Ya Allah. Sesungguhnya Kau yang Maha Pelindung dan Maha Mengetahui setiap sesuatu.” Bisik Ahmad perlahan dengan deraian air mata putus asa.

“Kamu dah masuk kerajaan gunung. Satu antara banyak-banyak kerajaan alam bunian,” ada satu suara berbisik perlahan. Ahmad membuka matanya dan kembali bersemangat bila ada yang menjawab soalannya.

“Siapa tu?” Ahmad bertanya di dalam gelap.

“Aku diarahkan menjaga tempat ini. Aku Simpuh. Kerajaan gunung dengan kerajaan hutan memang bermusuhan sejak berkurun lama dulu. Masa aku kecil, aku pernah berkawan dengan seseorang dari kerajaan hutan. Lalu ibu ayahku dibunuh oleh Depang dan aku disumpah untuk menjaga penjara ini seumur hidupku. Mereka membuang ingatan aku. Hingga ada seorang bangsa manusia yang entah macammana tersesat di sini, tetapi berjaya mengalahkan Depang dan mengembalikan ingatanku. Depang cacat angkara bangsa manusia tu. Sebab tu dia menyambung dendamnya dengan bangsa manusia hingga kini,” sahut suara itu lagi.

“Kamu Simpuh? Kerajaan gunung? Kerajaan hutan? Siapa Depang? Aku di mana ni?” Ahmad bertanya dan terus bertanya.

“Depang adalah pemerintah kerajaan gunung. Kau sekarang di alam kami, alam bunian, alam jin bawah tanah,” kata suara tadi.

Dan kali ni Ahmad tak mampu bercakap apa-apa. Dia pengsan.

*******************************************

“Hari dah nak maghrib. Jom ikut saya balik dulu. Bimbang dilihat dek yang tak sepatutnya nanti, kamu akan dapat susah,” kata lelaki tua berjubah itu kepada Azri.

“Tok ni siapa?” Azri bertanya masih ragu-ragu. Di kala semua orang tak nampak dia, macammana ada seorang lelaki yang nampak pelik, boleh nampak dia.

“Panggil saya Tok Putih. Jangan risau, tawakkal kepada Allah, In Shaa Allah, kita akan dipelihara,” kata Tok Putih sambil melangkah pergi.

Azri tiada pilihan selain dari mengikut Tok Putih. Tak jauh dari tempat Azri berjumpa Tok Putih tadi, mereka sampai di suatu pondok kecil tapi cantik. Seakan rumah-rumah kayu di resort peranginan.

“Ini masjid kami. Jom bersihkan diri. Kita solat Jemaah,” kata Tok Putih. Azri menoleh ke belakang, dia rasa macam baru melangkah tiga atau empat langkah je kot. Tapi bila dia menoleh, di belakangnya ada sebuah taman cantik yang penuh dengan bunga-bungaan. Mana pergi kawasan perkelahan tadi?

“Tok Putih, motor saya mana?” Azri bertanya.

“Biarkan harta dunia tu dulu. Kita dulukan panggilan Allah ya nak. Kita buat urusan Allah, Allah akan bantu semua urusan kita. Dia yang cipta kita, kita hamba Dia. Dahulukan dia, Tanpa-Nya, kita tak bernilai walau secebis daging.” kata Tok Putih sambil senyum. Tersentak Azri dengan kata-kata Tok Putih.

Dia bangun dan mencari kolah untuk mengambil wudhu. “Ambil saja dari kolam sana,” kata Tok Putih sambil menunjukkan satu kolam yang cantik, airnya jernih dan ditepiannya penuh dengan bunga-bungaan berwarna warni.

“Cepat, jangan terpedaya dengan keindahan dunia,” kata Tok Putih, lembut sangat suaranya.

Azri membersihkan ala kadar dirinya. Lalu terus mengambil wudhu. Wangi sungguh kawasan tu.

Selesai ambil wudhu, Azri kembali ke pondok kayu di mana Tok Putih masih berdiri di sana menunggunya dengan senyuman. Sebaik Azri masuk ke dalam masjid kayu itu, kelihatan lebih ramai orang yang menyerupai Tok Putih di dalamnya. Semuanya sama, rupa, pakaian, senyuman. Semuanya memandang ke arah Azri dengan senyuman.

Walaupun keadaan itu amat tenang, tapi hati Azri cuak bila melihat persamaan kesemua manusia di depannya. Ada berpuluh Tok Putih di situ.

“Kamu boleh iqamat?” Tok Putih tanya. “Boleh,” Azri menjawab. “Alhamdulillah. Jom kita mulakan,” kata Tok Putih lalu terus pergi ke tempat imam. Azri diberi ruang di belakang imam. Lalu dia melaungkan iqamat. Tenang setenangnya solat Jemaah di situ. Dengan bauan wangi, suara mengaminkan fatihah dan takbir seakan-akan berada di syurga sedangkan Azri tak pernah melihat syurga lagi.

“Siapa tu Tuan Sheikh? Jumpa di mana?” seorang lelaki di situ menegur Tok Putih. Azri mengenali Tok Putih hanya melalui sejadahnya. Selain dari sejadahnya, semua lelaki di situ sama.

“Kat sempadan. Nampak macam dia dah masuk kawasan kita. Saya bawa sini dulu. Takut yang belah sana jumpa nanti, hilang terus anak ni,” kata Tok Putih.

“Iyelah, nasib baik Tuan Sheikh jumpa dulu,” kata lelaki itu lagi lalu meminta izin untuk beredar.

“Tok Putih, saya di mana ni?” Azri bertanya sambil memerhatikan orang-orang lain duduk membaca Al-Quran di bahagian tepi masjid kayu tu. Dari luar nampak macam kecil je masjid kayu tu, tapi kat dalam boleh muat berpuluh Jemaah.

“Kamu dah melepasi garisan sempadan alam kamu dengan alam kami. Nanti kita cari jalan balik. Untuk pengetahuan kamu, sekarang kamu berada di alam bunian,” terang Tok Putih dengan tenang kepada Azri.

Dan Azri mengangakan mulutnya, membeliakkan matanya.

– Bersambung –

One thought on “BILA BULAN TERBELAH DUA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s