BILA BULAN TERBELAH DUA

Bab 9

“Berhenti! Berhenti! Tengok kat depan tu,” Jali menjerit dan serta merta Zahid dan Jamal membrek motorsikal mereka. Masing-masing memandang ke hadapan. Ada seekor ular berwarna hitam da nada garisan kuning di kiri kanan badannya. Ular itu menjalar merintangi jalan.

“Mak aku kata, kalau nampak ular melintas kat depan kita masa dalam perjalanan, sebaiknya kita jangan teruskan perjalanan. Tambahan pula ular tu berwarna hitam. Itu petanda tak elok. Bermakna ada perkara buruk di hadapan,” kata Zul kepada rakan-rakanya.

“Merepeklah kau ni Zul. Kalau kita tak teruskan perjalanan, kita nak tidur kat sini ke?” Jamal yang menunggang motorsikal yang dibonceng oleh Zul di belakangnya, bersuara.

“Lagipun, sini memang kawasan hutan. Memang tempat dia. Kalau atas jalan raya biasa tu, mungkinlah boleh pakai petua mak kau tu Zul.” Kata Jali pula.

“Spesis ular ni tak bahaya. Mungkin dia tumpang lalu je,” kata Jamal.

“Tunggu dia lalu. Lepas tu kita jalan terus,” kata Zahid yang membawa Jali di belakangnya. Empat sekawan itu menunggu ular hitam itu melintas. Lama ular hitam tu di atas jalan. Macam tak bergerak.

“Ular tu dah mati kot. Macam tak bergerak je,” kata Zul.

“Sekejap aku pergi tengok,” sahut Jali sambil turun dari motorsikal Zahid. Dia lalu mengambil sebatang kayu di tepi sungai lalu menghampiri ular tersebut.

“Hati-hati Jali,” kata Zahid.

Jali menguis badan ular tu. Dan sepantas kilat, ular tu melingkari kayu yang sedang dipegang Jali membuatkan Jali terkejut lalu melepaskan kayu tersebut. Dia berundur ke belakang sikit.

“Takde apa. Ular macam ni, dia takkan ganggu kita. Kau angkat kayu tu dan letakkan ke tepi.” Kata Zahid. Jali akur. Tapi ular hitam itu bertindak agresif. Dia mengangakan mulutnya ke arah Jali yang cuba mengambil kayu tersebut. Jali berundur tiga tapak.

“Jarang ular spesis ni melawan. Nak kata dia rasa tergugat, kita tak kacau dia lagi,” kata Zahid.

“Ular tu kelipkan mata. Bukan ular ni, benda lain,” kata Zul.

Jamal turun dari motorsikalnya lalu mengambil satu lagi kayu yang lebih besar dan panjang lalu menguis kayu yang sedang dibelit oleh ular hitam tadi. Tercampak kayu tersebut di tepi jalan.

“Dah, jom kita pergi,” kata Jamal kembali ke motorsikalnya.

“Kenapa kau tolak macam tu?” Zul bertanya.

“Habis tu, kau nak tolak? Makin tunggu makin kau merepek. Ular tu tak berkedip mata pun kau perhati sangat. Dah la hari dah makin gelap. Kita masih kat sini nak tunggu ular tu lalu? Nak tunggu sampai pukul berapa? Dah nak maghrib ni,” kata Jamal seakan hilang sabar. Zahid dan Jali hanya memandang.

Mereka lalu meneruskan perjalanan menuju ke pondok pengawal. Tak jauh pun mereka bergerak, hujan tiba-tiba turun dengan lebat sedangkan tadi takde angin takde petanda nak hujan pun.

“Jalan terus, jangan berhenti,” kata Zahid. Jamal akur. Mereka teruskan perjalanan. Hujan tu macam sekali lalu je. Atau hujan tu turun di satu tempat tu je. Tempat lain tak hujan pun.

“Shhhhhhhhh…,” tiba-tiba mereka mendengar bunyi berdesir yang kuat. Zahid memperlahankan motorsikalnya. Begitu juga Jamal. Zul dah menggeletar, dia dah mula rasakan ada sesuatu yang tak kena dengan tempat tu. Sebab dari tadi dia rasa macam mereka berada di tempat yang sama, mereka tak bergerak pun. Tapi dia taknak suarakan, nanti kawan-kawannya menuduh dia berfikiran yang bukan-bukan.

“Bunyi apa tu?” Jali menegur.

“Macam bunyi ular. Tapi kuat sangat ni. Ular besar kot,” kata Zahid.

Mereka berempat memandang keliling. “Tu!” Jamal menjerit. Masing-masing memandang ke arah yang ditunjukkan oleh Jamal.

Kelihatan seekor ular besar, badannya sahaja sama tinggi dengan tayar motorsikal Zahid dan Jamal. Ia berlingkar di atas dalam hutan tepi jalan. Ular itu menjalar perlahan keluar dari hutan dan menyusur di atas jalan, menghalang perjalanan empat sekawan tu.

Zul menggigil, dia pegang tangan Jamal. “Mal, serius aku menggigil. Ini bukan ular biasa,” kata Zul. Jamal diam.

Ular itu memandang ke arah mereka. Dah tak tahu dari mana munculnya, satu lagi kepala ular timbul sebelah kepalanya yang sedia ada. Dan ular itu kini berkepala dua.

“Allahu Akbar! Apa benda ni?” Zahid bersuara hampir menjerit.

“Wahai penunggu rimba. Kami tak ganggu kamu, jangan ganggu perjalanan kami. Kalau kami ada buat salah, kami minta maaf,” Jamal bersuara.

“Apa kau buat ni Mal?” Jali bertanya. Pelik bila Jamal menggelar ular itu sebagai penunggu rimba.

“Aku dapat rasa ada penunggu rimba yang terganggu dengan kehadiran kita. Mungkin kita ada ganggu kawasannya atau puaknya,” kata Jamal.

“Mal, kita kena minta dari Allah. Tiada sesuatu yang lebih berkuasa dari Allah. Jangan memohon dari yang lain selain dari Allah,” kata Zahid.

Jamal diam, dia terus bertentang mata dengan ular tersebut. “Shhhhhhhh!” desiran ular itu semakin kuat. Ia mengangkat kepalanya tinggi sehingga empat sekawan itu terpaksa mendongak. Matahari dah turun di ufuk barat, tinggal sisa-sisa cahaya oren yang menerangi kekaburan senja.

“Apa kita nak buat ni?” Zul bertanya. Masing-masing diam.

“Allahu Akbar Allahu Akbar! Allahu Akbar Allahu Akbar! Asyhadu An Laailaaha Illallah! Asyhadu An Laailaaha Illallah! Asyhadu Anna Muhammadarrasulullah! Asyhadu Anna Muhammadarrasulullah!” Zahid melaungkan azan. Ular besar itu menundukkan kepalanya tapi ia masih tak beredar dari situ.

“Kamu semua ni dari mana?” tiba-tiba terdengar suara seseorang menegur mereka dari arah belakang.

Empat sekawan tadi menoleh serentak. Dalam samar-samar kegelapan malam, mereka nampak seorang lelaki berjanggut putih, tapi kedudukannya agak tinggi. Mungkin dua kali ganda dari tinggi orang biasa.

Di hadapan ada ular besar, di belakang ada manusia tinggi yang tak nampak mana kakinya. Mereka kini hanya ada dua pilihan lain, lari ke arah hutan atau terjun ke dalam sungai.

“Kita jangan berpecah. Ingat, jangan panik, jangan ikut perasaan takut. Kita sedang berdepan dengan sesuatu yang bukan dari alam kita. Samada kita sesat ke alam mereka atau mereka dah sesat ke alam kita. Tapi pastikan kita tak berpecah. Ingat! Zul, Jali, Jamal! Dengar tak?” kata Zahid berbisik tapi dengan nada keras.

“Ok,” tiga lagi kawannya menyahut. “Mal, kau pegang Zul. Dia paling lemah antara kita,” kata Zahid. “Ok,” Jamal menyahut lalu memegang belakang baju Zul.

“Assalamualaikum Tok. Kami rasa kami tersesat. Jika Tok sudi, mohon tunjukkan jalan keluar kepada kami.” Kata Zahid.

“Kamu tahu masuk, tapi kamu tak tahu keluar?” orang tinggi tadi menyahut.

“Kami minta maaf kalau kami mengganggu Tok dan kawasan Tok. Di atas izin Allah juga yang membawa kami ke sini. Dan dengan izin Allah jua kami mohon kesudian Tok membawa kami keluar dari sini. Kita semua hamba,” kata Zahid memberanikan diri bertentang mata dengan orang tinggi itu walaupun dia sendiri terpaksa mendongak.

“Kamu usik anak buah aku. Takkan kamu nak pergi begitu sahaja,” kata orang tinggi itu lagi.

Entah macammana Jali memusingkan motor menyebabkan cahaya lampu motor tersebut menghala ke arah orang tinggi tadi. Kelihatan orang itu seakan berbadan besar, dan berkaki lapan panjang ke belakang, ia juga mempunyai ekor. Gayanya seperti kala jengking yang berkepala manusia.

“Allahu Akbar!” Jerit Jali dan Jamal. Zul memang dah tundukkan kepalanya dari tadi. Dia menangis ketakutan. Keluar akhirnya air mata jantannya.

“Orang kamu tak sopan, tak tahu hormat tuan rumah,” suara orang tadi bergema di seluruh kawasan perkelahan tu. Dan kedengaran beberapa unggas rimba seakan menjerit ketakutan dan berlarian menyelamatkan diri.

“Shhhhhhhhh” Ular besar di belakang mereka berdesir makin kuat, matanya merah, seakan marah. Lidahnya yang bercabang, dijelirkan hingga seakan-akan mahu menjilat tubuh empat sekawan di situ.

“Kami minta maaf. Kami insan biasa yang ada khilaf. Jika ada yang perlu kami perbetulkan, beritahulah kami. Kami akan cuba laksanakan,” kata Zahid.

“Kamu perlu jadi sebahagian kami. Dan kami akan jadi sebahagian kamu,” kata manusia berbadan kala jengking itu.

“Kami tak faham,” sahut Zahid.

“Berdampinglah dengan kami, kami akan berikan kelebihan kepada kamu. Bawalah sebahagian kami masuk ke alam kamu. Sebahagian kami akan bersatu dengan sebahagian kamu. Kita akan menjadi satu, di dunia kamu dan di dunia kami,” kata manusia berbadan kala jengking itu lagi.

“Astaghfirullahal ‘azim. Astaghfirullahal ‘azim. Astaghfirullahal ‘azim,” ucap Zahid beberapa kali sambil tundukkan wajahnya.

“Allah dah ciptakan kamu sebagai bangsa jin. Dan Allah juga yang ciptakan kami sebagai bangsa manusia. Kita tak boleh bersatu. Kamu jin, kami manusia. Itu hakikat,” kata Zahid.

“Tapi jika kita bekerjasama, jika kita bersatu, kau boleh menguasai dunia kami dan dunia kamu sekaligus. Tak semua bangsa manusia akan dapat peluang ini. Seperti yang kamu kata, kita sama-sama dicipta oleh Allah Yang Esa, jadi apa salah kita bergabung? Kamu dan kawan kamu selamat. Ini kawasan aku, kamu takkan boleh keluar tanpa izin aku. Ikutlah perintahku,” kata manusia berbadan kala jengking tadi.

“Yang mencipta alammu dan alamku adalah Tuhan yang sama, Allah azzawajalla. Maka hanya Dia yang mampu mengizinkan segala kejadian.” Kata Zahid.

“Zahid, apa ni?” Jali berbisik dari belakang.

“Kita berdepan dengan jin.” Jamal menyahut bagi pihak Zahid yang masih cuba mengawal keadaan.

“Ya Allah!” Zul bersuara lemah. Perkara yang amat dia takuti sejak bertembung dengan ular di dalam semak siang tadi, kini jadi nyata. Yang mereka nampak bukanlah haiwan biasa, tapi jin penunggu kawasan tu. Dia selalu dengar kisah begitu tapi dia tak pernah tengok dengan mata kepalanya sendiri.

“Jadi sekarang bagaimana? Mahukah kau bergabung denganku? Dan aku lepaskan kau dan kawan-kawan kau balik ke duniamu dengan selamat.” Kata manusia berbadan kala jengking itu lagi.

“Aku takkan menduakan Allah. Segala nikmat hidup, kelebihan dan kelemahan adalah kurniaan Allah. Bukan kau atau bangsa kau,” kata Zahid agak keras.

“Ini bermakna kau tak setuju?” manusia berbadan kala jengking tadi bersuara sambil ketawa.

“Tidak selagi permintaanmu menduakan Allah yang Satu,” kata Zahid.

“Baiklah, pergilah balik,” kata lelaki berbadan manusia tadi. Zahid masih tidak berganjak dari tempatnya. Tidak menoleh atau bergerak. Jali dan Jamal menoleh ke arah ular besar berkepala dua tadi. Haiwan itu dah tiada lagi di situ.

“Jangan bergerak kawan-kawan. Itu muslihat. Bangsa jin yang dilaknat ini, takkan lepaskan kita begitu sahaja tanpa dia mendapat habuannya. Jangan terpedaya,” kata Zahid kepada kawan-kawannya.

“Kamu bangsa manusia yang sombong!” manusia berbadan kala jengking tadi menjerit melepaskan kemarahannya apabila dia tahu Zahid dapat membaca niat perbuatannya.

“Nak buat apa ni?” Jamal bertanya.

“Baca Al-Fatihah tujuh kali. Jangan berhenti. Berjalan itik, terus turun ke sungai, berendam dalam air sungai. Cuba cari kawasan yang ada cahaya bulan menembusi air.” Kata Zahid masih mengadap manusia berbadan kala jengking tadi.

Mereka tiada pilihan, Jali, Jamal dan Zul bertindak seperti apa yang Zahid suruh. Manusia berbadan kala jengking tadi tertawa kuat.

“Ini kawasan aku. Ini kawasan aku. Kamu takkan terlepas,” katanya sambil ketawa.

“Tidak. Kamu mungkin terlupa. Walau kita berlain bangsa, tapi kita menginap di bumi yang sama. Bumi yang dicipta oleh Allah azzawajalla,” kata Zahid sambil dia turut sama turun ke air setelah kawan-kawanya yang lain berada di dalam air.

“Woi! Korang buat apa kat situ? Kenapa tak balik lagi?” tiba-tiba terdengar suara seorang lelaki. Keempat-empat mereka menoleh ke arah suara itu.

“Alhamdulillah, mereka nampak kita,” kata Zahid.

– Bersambung –

One thought on “BILA BULAN TERBELAH DUA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s