BILA BULAN TERBELAH DUA

Bab 7

“Mia! Mia! Kau kat mana?” Huda dan Saiful memanggil Damia silih berganti. Tiada sahutan, hanya bunyi deruan air sungai yang mengalir.

“Ke mana jugak la si Damia ni. Dah pesan tadi jangan pergi jauh. Degil betul budak bandar ni,” Rungut Huda.

“Dia tak perasan dah pergi jauh la tu. Takpe, kita cari lagi. Tak jauh mana kot dia pergi,” Saiful memujuk sambil mengikuti langkah Huda. Dia pun rasa tak sedap hati nak berpecah dengan Huda walaupun tadi Huda dah suruh dia pergi cari Damia di tempat lain.

“Saiful! Huda! Korang kat mana?” kedengaran sayup-sayup suara Damia dibawa angin. Huda pandang Saiful.

“Kau dengar suara Mia panggil kita?” Huda tanya.

“Aku macam ada dengar tapi kadang-kadang angin bawa bunyi. Kita pun dalam otak ada Mia je. Bunyi apapun kita akan ingat dia.” Sahut Saiful. Huda diam.

“Saiful! Huda!” sekali lagi kedengaran suara Damia. Tapi kali ni lebih hampir.

“Saiful, aku rasa macam aku dengar suara Damia. Rasa dekat je. Tapi tak nampak dia pun. Takkan angin kot,” kata Huda. Hatinya kuat mengatakan itu suara Damia.

“Iye, aku pun dengar. Macam dekat je. Tapi takde orang pun kat sini,” sahut Saiful. Kali ni dia tak menolak apa yang didengar oleh Huda. Memang jelas suara Damia.

“Mia, kau kat mana?” Huda memanggil lagi

“Huda, aku kat sini. Tapi aku tak nampak kau.” Masih terdengar suara Damia. Huda dan Saiful memandang keliling. Tiada sesiapa. Hanya deruan air sungai.

“Mia?” Huda panggil sekali lagi. Dan kali ni suara Damia dah hilang dibawa angin.

“Saiful, kau perasan tak? Takde orang langsung kat sini. Tadi masa kita datang, ramai orang kan?” Huda tanya Saiful.

“Mungkin diorang dah balik kot,” sahut Saiful turut sama memandang keliling.

Huda tak menjawab. Dia terus berpusing-pusing sambil memanggil nama Damia.

“Matahari dah turun ni. Rasanya waktu Asar dah masuk. Jom kita balik kat kawan-kawan kita. Nanti diorang risaukan kita pula.” Kata Saiful.

“Damia?” Huda bertanya.

“Entah-entah dia dah balik kat pondok tempat kita berkelah tadi,” sahut Saiful.

“Harap-harap macam tu la,” kata Huda sambil mengikut langkah Saiful kembali ke tempat kawan-kawan mereka berkumpul tadi.

“Saiful! Damia! Huda!” sayup-sayup terdengar nama mereka dipanggil.

“Ya! Kami kat sini. Korang kat mana? Tak nampak pun,” sahut Damia. Dia yakin itu suara kawan-kawannya yang sedang mencari mereka.

“Zahid! Azri! Kawan-kawan! Korang kat mana?” Huda melaung lagi. Tiada sahutan. Saiful dan Huda melajukan langkah menuju ke arah tempat perkelahan mereka tadi.

Lama mereka berjalan tapi tak sampai kat tempat mereka dan kawan-kawan berkumpul tadi.

“Lama dah kita berjalan ni Saiful. Rasanya tak jauh pun kita dari tempat berkelah kita tadi kan?” Huda bertanya. Saiful tak menjawab. Dia sendiri pun nampak keliru.

“Hari makin gelap ni Saiful. Aku dah cuak ni,” Huda berjalan rapat di belakang Saiful. Dia pandang jam tangan tapi jam tangannya masih menunjukkan pukul 3.15 petang.

“Jam aku mati la pula. Saiful, cuba tengok sekarang pukul berapa?” Huda bertanya. Saiful lalu melihat jam tangannya. Seketika kemudian dia mengetuk-ngetuk jam tangannya.

“Kenapa?” Huda tanya.

“Jam aku mati. Dah habis bateri kot,” sahut Saiful.

“Aik. Jam aku pun mati. Takkanlah sama kita habis bateri,” kata Huda.

“Entahlah. Bateri jam kita lahir tahun sama kot,” kata Saiful bersahaja tanpa memandang Huda.

“Aku cakap betul-betul ni. Aku takut ni Saiful. Hari dah mula gelap. Kita tak jumpa seorang manusia pun kat sini. Damia punya pasallah ni. Hish!” rungut Huda.

“Doa banyak-banyak. Sekejap lagi sampailah kot tempat kawan-kawan kita,” Saiful memujuk. Huda diam, dia terus mengikut langkah Saiful.

Setelah hampir setengah jam mereka berjalan, Saiful berhenti melangkah. Huda pun ikut duduk. Masing-masing dah tercungap-cungap sebab dah berjalan jauh. Hari dah gelap. Unggas hutan terus berbunyi makin kuat seperti ada majlis keramaian di tempat mereka. Deruan air sungai pun makin jelas kedengaran. Angin malam membawa pelbagai bunyi-bunyian.

Hilang dah rasa malu Huda. Dia pegang lengan baju Saiful.

“Serius aku takut ni Saiful. Kau jangan tinggal aku.” Kata Huda dalam nada gigil seperti nak menangis. Saiful tak menyahut.

“Saiful, kau dengar tak?” Huda menarik lengan baju Saiful.

“Iya, aku dengar. Kau ingat aku tak risau?” sahut Saiful.

“Kita kat mana sebenarnya ni?” Huda bertanya.

“Aku pun tak tahu. Aku ni solat Asar pun tak buat tadi. Mana tahu sedar-sedar dah gelap. Maghrib pun dah masuk ni. Ya Allah, rasa berdosanya aku,” kata Saiful. Mujurlah dia sempat solat zohor sendirian tadi sebelum Ahmad hilang dari kumpulan mereka.

“Kau solatlah. Aku tunggu sini,” kata Huda. Kebetulan dia sedang uzur.

Saiful buka telefonnya. Ada sedikit cahaya walaupun takde line. Dia turun ke air sungai. Mengambil wudhu dan solat di tepi tebing. Huda duduk di belakang Saiful memandang keliling.

Setiap kali Saiful mengangkat takbir, terdengar banyak suara lain dibelakangnya yang turut mengangkat takbir. Huda dengar dengan jelas tentang itu. Sepertinya ada yang menjadi makmum di belakang Saiful. Tapi bila dia menoleh, tiada sesiapa. Atau mungkin dia yang tak nampak sebab keadaan memang gelap. Hanya bertemankan cahaya bulan yang sikit-sikit masuk melalui daun-daun pokok besar di udara.

Huda berpeluk tubuh, menggosok-gosok lengannya. Dia kesejukan dengan angin malam di dalam kawasan perkelahan tu. Lebih menyejukkan dengan keadaan yang agak menyeramkan. Tak nampak orang, tak nampak sesiapa, tapi ada bunyi suara orang mengangkat takbir, mengaminkan Al-Fatihah.

Sebaik selesai memberi salam terakhir, Saiful terus menoleh ke belakangnya. “Ada orang lain solat kat belakang aku ke tadi?” Saiful bertanya Huda.

“Mana ada. Kita berdua je kat sini. Tapi memang aku pun dengar orang aminkan Fatihah kau. Dan bunyi orang ramai-ramai angkat takbir. Macam jadi makmum kau pulak,” kata Huda sambil memandang keliling. Dia kembali memegang lengan baju Saiful. Dan Saiful membiarkan.

“Saiful, aku nak ke tandas. Lama dah aku tahan ni,” dah hilang malu Huda. Dia tiada pilihan. Hanya Saiful yang boleh diharapkan sekarang.

“Tandas kat mana pun aku tak tahu,” kata Saiful sambil menyuluh keliling menggunakan telefonnya yang tinggal saki baki bateri tu.

“Macammana kita ni? Takkan nak tunggu sini sampai pagi?” Huda bertanya.

“Aku pun tak tahu. Buntu kepala aku ni. Kau ada cadangan ke?” Saiful bertanya.

“Jom kita patah balik. Jalan ke muara. Kot boleh jumpa jalan keluar dari tempat ni. Aku rasa kat pondok pengawal tu mesti ada orang.” Kata Huda.

“Ok jom,” sahut Saiful. Bukannya ada pilihan lain. Sekarang ni hanya tinggal untuk usaha dan tawakkal je.

Mereka berjalan perlahan-lahan, dengan samar-samar cahaya bulan dan bunyi salakan anjing yang seperti berada di tepi sahaja. Tapi mereka terus berjalan.

Sampai di satu tempat, mereka nampak satu cahaya lampu. “Saiful, kau nampak tu macam cahaya lampu kan? Rumah orang kot. Jom kita ke sana,” kata Huda.

Saiful tak menyahut tapi dia terus melangkah menuju ke arah cahaya lampu tu. Cahaya itu makin hampir. Dan mereka makin bersemangat sebab yakin itu adalah rumah orang kampung di situ.

Sampai kat cahaya tu, mereka nampak sebuah rumah papan berbumbungkan rumbia. Diluar rumah ada satu pelita minyak tanah diletakkan di atas pangkin.

“Bagilah salam,” kata Huda sambil menarik lengan baju Saiful.

“Assalamualaikum,” Saiful memberi salam. Tiada sahutan.

“Assalamualaikum,” sekali lagi Saiful memberi salam.

“Kreeeeekkkkk,” pintu kayu rumah tersebut terbuka perlahan. Seseorang keluar dari dalam rumah tu. Seorang lelaki tua berkepala botak dengan mata yang besar terjojol keluar sedikit, berdiri di depan pintu rumah.

“Siapa kamu ni?” Dia bertanya.

“Kami sesat,” sahut Saiful. Huda berdiri di belakang Saiful.

“Sesat?” lelaki botak tu bertanya lagi.

Tiba-tiba seseorang muncul dari dalam rumah. Menutup kepala dan mukanya menggunakan kain batik. Macam perempuan dulu-dulu.

“Siapa bang?” Dia bertanya lelaki botak tu. Mungkin mereka adalah suami isteri.

“Entah. Dua orang budak ni katanya sesat,” sahut si lelaki botak tadi.

“Sesat? Ke sini? Ikut laluan mana?” Wanita sebaya lelaki botak tadi bertanya.

“Kami berkelah kat sini tadi dengan beberapa orang kawan kami. Tapi lepas tu kami cari kawan yang hilang dari kumpulan, mana tahu kami pun sesat tak jumpa jalan keluar. Sampailah sekarang ni. Kami tak jumpa sesiapa pun. Kami nampak cahaya dari rumah ni, sebab tu kami datang sini,” kata Saiful menerangkan.

Kedua-dua lelaki dan wanita tadi berpandangan sesama sendiri. Dan lepas tu memandang mereka semula.

“Saiful, aku rasa tak sedap hati la dengan diorang ni,” Huda berbisik.

“Kita takde pilihan. Doa je yang elok-elok,” balas Saiful juga berbisik.

“Saiful, kau perasan tak, kita macam terawang-awang. Cuba kau rasa dengan kaki kau. Takde rasa memijak tanah kan? Macam atas angin,” kata Huda. Saiful diam. Mungkin dia sedang merasakan apa yang Huda rasa.

“Cuba kau dongak ke langit. Sini takde pokok besar. Kau tengok bulan kat mana? Nun jauh kat belakang sana. Dari tempat kita datang. Secara logiknya, bukan sepatutnya bulan ikut kita ke?” kata Huda lagi. Dia memang seorang pengkaji astronomi. Banyak buku tentang angkasa lepas, lapisan bumi, lapisan ozon, awan gunung, semua tu dia minat untuk tahu. Cita-citanya nak jadi angkawasan.

“Aku tak tahu lah Huda. Aku tak boleh fikir dah sekarang.” Kata Saiful macam dah mengalah.

“Ok, kau tak payah fikir. Aku bagitahu kau, kita tak berada di tempat kita ni. Kita kat tempat lain ni.” Kata Huda masih memandang keliling.

“Habis tu kau nak kata kita sekarang kat Amerika ke?” Saiful bertanya.

“Bukan, kita bukan di bumi kita. Kita bukan di alam kita. Kita dah tinggalkan bulan tu, bermakna kita dah keluar dari garisan alam kita. Sebab tu bulan tak ikut kita. Bulan tu diluar garisan kawasan ni,” kata Huda lagi buatkan Saiful makin pening.

“Masuklah. Bermalam di sini dulu, Bahaya kat luar ni,” kata perempuan tadi buatkan Huda dan Saiful tersentak. Wanita dan lelaki tadi memandang keliling seperti risaukan sesuatu.

“Terima kasih pakcik, makcik.” Kata Saiful sambil melangkah nak masuk ke dalam rumah tu. Huda menarik lengan bajunya.

“Kau nak masuk ke? Aku rasa lain macam je ni,” kata Huda.

“Habis tu kau nak aku buat apa lagi? Tadi bukan kau ke yang nak ke tandas sangat?” Saiful bersuara dengan nada letih.

“Kau tengok kat atas kepala kau disebelah sana,” kata Huda. Saiful akur. Dia mendongak dan memandang ke arah bertentangan, iaitu di belakang rumah papan tu.

Ada satu lagi bulan! “Kau rasa bulan terbelah dua ke? Atau bulan ada dua? Ada fenomena macam ni ke?” Saiful berbisik ke telinga Huda. Huda diam.

“Masuk dulu. Takut ada yang nampak nanti, lagi susah,” kata wanita tadi lagi. Saiful dan Huda berpandangan sesama sendiri. Teragak-agak nak masuk ke tak. Tapi ada pilihan lain ke?

– Bersambung –

One thought on “BILA BULAN TERBELAH DUA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s