BILA BULAN TERBELAH DUA

Bab 6

Azri menghidupkan enjin motorsikalnya dan terus menunggangnya untuk pergi ke pondok RELA. Dia perlu sampai ke sana segera. Kawan-kawannya hilang. Dia dah mula rasa bimbang. Masa ni dia teringatkan pesanan maknya.

“Ri, kamu jangan masuk ke dalam sangat. Orang kata kat kaki gunung tu ada yang menghuni. Ramai orang sesat kat sana.” Pesan maknya sebelum dia bergerak pagi tadi.

“Takde apalah mak. Ada je orang pergi sana. Lagipun kami ramai, takut nanti mengganggu orang lain yang berkelah kat sana. Kawan-kawan Ri harapkan Ri untuk cari tempat sesuai. Sebab ada di antara mereka yang tak pernah sampai tempat ni,” sahut Azri sambil memakai kasut sukannya.

“Jaga diri baik-baik. Memanglah kamu dah biasa dengan tempat tu, tapi tetap bukan tempat kamu. Jangan balik lewat,” mak Azri terus berpesan sambil memerhati setiap gerak geri anak sulungnya.

Anak dah besar, nak tegur lebih-lebih nanti, jadi lain pula. Hanya doa yang dititipkan agar Allah menjaga anaknya walau di mana dan dalam keadaan apa sekalipun. Ibu mana yang tak sayang anak. Walau anak dah sebesar mana sekalipun, dah ada keluarga sendiri, dah boleh hidup sendiri, selagi hayat dikandung badan, dia tetapkan risaukan anak-anaknya. Itulah ibu.

Sekarang Azri bukan sahaja teringatkan kat maknya. Dia lebih risaukan kawan-kawannya. Sebab dia yang bertanggungjawab membawa mereka semua ke situ. Sebab kebanyakan kawan-kawannya adalah orang bandar, yang tak biasa masuk kampung. Kalau bercuti pun, kebanyakannya pergi melancong ke pantai atau tempat rekreasi yang dah diubahsuai. Yang bukan lagi dalam rupa bentuk alam semulajadi yang asal.

Sebab tu dia mengajak mereka datang ke sini. Tempat perkelahan ini masih dalam bentuk yang asal. Tiada yang mengubahnya. Hutan tropika, air terjun, kaki gunung, semuanya masih dalam keadaan asal.

Sebelum dia masuk ke dalam kawasan perkelahan tu pagi tadi, pakcik RELA tu dah pesan, jangan pergi jauh ke dalam. Tapi darah muda kan, mana nak dengar cakap orang. Dah jadi baru nak menyesal. Dah jatuh baru nak terngadah.

Tapi takde siapa sangka nak jadi macam ni. Azri mula memikirkan perkara tak elok. Kalaulah kawan-kawan dia tak dapat dijumpai, apa dia nak jawab dengan ibu ayah kawan-kawannya. Dengan maknya sendiri dah tentu dia kena marah teruk ni sebab maknya dah pesan awal-awal lagi supaya tak masuk ke dalam sangat. Sekarang bukan sahaja dia bawa kawan-kawannya masuk jauh ke dalam, tapi dah sampai ke kaki gunung, dah sampai penghujung kawasan perkelahan tu.

Hampir sepuluh minit menunggang motorsikal, Azri sampai ke pondok RELA. Ada tiga orang pengawal kat situ. Dua darinya dikenali oleh Azri sebab orang kampung tu juga. Pakcik Deris dan Pakcik Zamri. Seorang lagi berusia agak muda, mungkin ahli baru.

Azri memberhentikan motorsikalnya betul-betul di hadapan pondok RELA. Dia terkocoh-kocoh turun dari motorsikal dan berlari menghampiri Pakcik Deris dan Pakcik Zamri.

“Pakcik Deris, Pakcik Zamri, kawan saya hilang. Boleh tolong tak?” kata Azri dengan nada termengah-mengah.

Tiga pengawal di situ kelihatan tidak memberi reaksi kepada kehadiran Azri.

“Pakcik Deris, Pakcik Zamri. Kawan saya hilang,” Azri mengulangi ayatnya. Tapi keadaan masih sama. Seolah ketiga-tiga pengawal tu tak mendengar dan tak nampak dia.

Azri mencuit bahu Pakcik Deris. Pakcik Deris menoleh ke arahnya tapi seperti tercari-cari sesuatu.

“Pakcik Deris, tolong saya,” Azri bersuara lagi. Pakcik Deris kembali menoleh ke arah kawan-kawannya dan sambung berbual.

Masa ni Azri dah mula rasa cuak. Seolah mereka bertiga tak nampak dia. Azri menghampiri Pakcik Zamri, lalu mencuit bahunya. Sama seperti Pakcik Deris tadi, Pakcik Zamri menoleh ke arahnya dan seakan-akan mencari-cari siapa yang mencuit bahunya.

Azri makin yakin, mereka tak nampak dia. Azri menghampiri seorang lagi pengawal yang lebih muda di situ. Dia meniup ke telinganya. Pengawal tu seperti terkejut dan terus bangun lalu memandang ke arahnya, tapi sama seperti reaksi Pakcik Deris dan Pakcik Zamri tadi, dia pun tak nampa Azri. Ah sudah! Apa dah jadi ni?

“Kenapa Meor?” Pakcik Zamri tanya pengawal yang muda tadi. Meor rupanya nama dia. Memang ada tulis kat baju kemeja dia tapi Azri tak perasan, panik kan. Tengok pada rupa, usianya dalam lingkungan lewat 20-an atau awal 30-an.

“Macam ada orang tiup telinga saya,” sahut pengawal bernama Meor tu.

“Tadi aku pun ada rasa macam ada orang cuit bahu aku,” sahut Pakcik Deris.

“Eh, kau pun ada rasa? Aku pun ada rasa orang cuit bahu aku. Tapi ingatkan perasaan aku je,” kata Pakcik Zamri.

“Pakcik Deris, Pakcik Zamri, Abang Meor, ni saya. Azri ni. Saya kat sini,” Azri menjerit di tepi mereka bertiga yang masih nampak tercari-cari.

“Kau ada dengar macam orang panggil nama kita tak?” Pakcik Deris bertanya rakannya.

“Macam ada. Tapi takde siapa pun kat sini,” sahut Pakcik Zamri.

“Jam pukul berapa dah?” Pakcik Deris tanya Meor. Meor tengok jam.

“Dekat pukul 5 dah. Asar pun masuk dah ni,” sahut Meor sambil menggosok lengannya dan memandang keliling. Mukanya nampak cuak.

“Kita solat Asar dulu. Lepas tu Meor boleh masuk dalam dan umum mereka kosongkan tempat ni. Kita tutup awal la,” kata Pakcik Deris. Meor hanya anggukkan kepala tanda menurut perintah.

Azri hilang akal. Dia tak tahu apa dah jadi. Kenapa mereka tak nampak dia. Azri menarik satu kerusi kosong yang berada di pondok tu. Ketiga-tiga pengawal tu menoleh serentak ke arah kerusi yang ditarik oleh Azri.

“Siapa tarik kerusi tu?” Pakcik Zamri tanya. Dua rakannya geleng kepala. Muka masing-masing cuak.

“Perasaan kita je kot. Jom kita solat,” kata Pakcik Zamri.

Azri tolak botol air minuman yang berada di atas meja di situ. Tolak sampai jatuh. Sekali lagi ketiga-tiga pengawal di situ memandang serentak.

“Angin kot,” sahut Pakcik Deris.

Azri membuka dan menutup daun pintu pondok pengawal berulang kali. Pakcik Deris, Pakcik Zamri dan Meor berhenti melangkah dan memandang ke arah pintu.

“Macam bukan kebetulan ni. Macam ada benda lain ni,” kata Pakcik Deris.

“Astaghfirullahal ‘azim. Apa benda pula ni? Lama dah tak jadi macam ni.” Kata Pakcik Deris.

“Apa maksud abang dah lama tak jadi macam ni? Dulu memang ada kejadian macam ni ke?” Meor bertanya dengan wajah panik.

“Takde apalah. Kisah lama. Dah, jom kita solat asar dulu. Biarkan ‘dia’. Buat tak tahu je. Memang ‘dia’ nak melengahkan kita,” kata Pakcik Deris lagi.

Azri terkedu. Memang betul tiga orang pengawal tu tak nampak dia. Kenapa boleh jadi macam tu? Pakcik Deris, Pakcik Zamri dan Meor Jemaah Asar. Azri taknak ganggu. Dia capai motorsikalnya dan menunggang masuk semula ke dalam kawasan perkelahan, cuba mencari-cari orang lain di situ untuk meminta bantuan.

Sama keadaannya seperti Pakcik Deris, Pakcik Zamri dan Meor tadi. Mereka semua di situ tak nampak dia! Azri dah mula rasa nak menangis. Kecut perut dia.

“Abang, jom baliklah. Lain macam dah tempat ni. Tikar bergerak sendiri. Bekas makanan kita terbuka dan tertutup sendiri. Seram la,” seorang wanita bersuara kepada suaminya setelah Azri menggerakkan peralatannya.

“Kak, tolong saya kak. Kawan saya hilang.” Azri cuba bersuara tapi tiada yang mendengar. Azri tarik tangan seorang lelaki di situ. Lelaki tu hanya memandang kosong ke arahnya dan buat muka cuak.

Beberapa kumpulan orang yang berkelah di situ dah mula mengemaskan barangan mereka sambil memandang keliling. Mereka semua dah panik bilamana terasa seperti ada orang lain bersama mereka di situ. Azri cuba menahan beberapa orang, tapi mereka semua tak nampak dia.

Kawasan perkelahan hampir kosong. Seketika kemudian Azri nampak Meor menunnggang motorsikal sambil membawa pembesar suara.

“Sila kosongkan kawasan perkelahan selewat-lewatnya pukul 6 petang. Kawasan ini akan ditutup awal untuk keselamatan. Sila daftar keluar semua nama di pondok pengawal,” Meor melaungkan pengumuman menggunakan alat pembesar suara yang dibawanya.

Azri makin panik. Kawasan perkelahan hampir dikosongkan. Azri menunggang motorsikal kembali ke tempat kawan-kawannya. Sampai kat tempat tu, tiada siapa di sana.

“Zahid! Jali! Zul! Weh, korang semua kat mana?” Azri memanggil kuat. Tiada sahutan. Hanya bunyi unggas hutan bersorak-sorakan.

“Zahid!” Azri melaung lagi. Tiada sahutan.

“Ya Allah, mana pergi diorang ni semua. Tadi dah pesan suruh tunggu kat sini,” rungut Azri. Dia memandang jam tangannya. Jarumnya berhenti, jarum jamnya berhenti pada pukul 3.15 tadi. Dia pun tak perasan.

“Arghhhhhh!” Azri menjerit. Dia duduk mencangkung di atas tanah dan menunduk hingga dahinya bertemu lututnya.

“Assalamualaikum,” ada satu suara memberi salam. Azri angkat muka dan pandang seorang lelaki tua yang berdiri di hadapannya.

“Waalaikumussalam.” Sahut Azri perlahan, sambil memandang lelaki tua tu dari atas ke bawah, dari bawah ke atas. Lelaki tua tu memakai jubah putih, berserban, janggut panjang hingga ke dada, memakai capal kayu. Usianya dalam lingkungan lewat 70-an.

“Buat apa kat sini?” lelaki tua tu bertanya.

“Tok nampak saya?” Azri bertanya. Wajahnya kembali bersemangat walaupun hatinya masih ragu-ragu. Macammana ada seorang yang berpakaian dan berperwatakan sedemikian rupa, berada di situ.

“Nampak. Apa pulak tak nampak?” lelaki tu menjawab sambil tersenyum.

“Semua orang kat sini tak nampak saya. Saya nak minta tolong, semua pun macam tak nampak saya,” sahut Azri.

“Kamu kenapa masih di sini? Semua orang dah balik,” kata lelaki tua itu lagi.

“Tok pengawal kat sini ke?” Azri bertanya. Lelaki tua tu angguk kepala.

“Tolong saya Tok. Kawan-kawan saya hilang,” kata Azri. Muka lelaki tua itu berubah sedikit.

“Berapa orang?” Lelaki tu bertanya.

“Kami semua 13 orang. Sekarang tinggal saya seorang,” sahut Azri.

“Mereka dah balik kot,” kata lelaki tua tu lagi. Azri terdiam. Berkerut dahinya. Tadi dia tak terfikir langsung kawan-kawannya balik dulu tak tunggu dia.

Azri memandang keliling. Dia nampak tiga buah basikal milik Saiful, Huda dan Damia dan sebiji motorsikal milik Ahmad.

“Tak tok, mereka belum balik. Tu masih ada motor dan basikal mereka.” Sahut Azri. Dia yakin kawan-kawannya takkan tinggalkan dia macam tu je. Sekurang-kurangnya mesti ada nota atau pesanan.

“Kamu kata 13 orang. Takkan semua naik motor dan basikal tu je,” kata lelaki tua tu lagi.

“Ada yang naik kereta juga.” Sahut Azri.

“Mana tahu yang lain tumpang kereta kawan kamu.” Kata lelaki tua tu lagi.

“Tak tok. Tak. Saya tahu diorang takkan tinggalkan saya. Diorang hilang seorang demi seorang. Siapa pun yang terkeluar dari kumpulan kami, dia mesti tak balik semula,” kata Azri.

“Termasuk kamu?” lelaki tua tu bertanya lagi.

Dan masa ni Azri seperti baru sedar. Ya, adakah mereka juga tak nampak aku macam orang lain tadi. Sebab tu mereka tak tunggu aku. Mereka ingat aku pun hilang. Bermakna Ahmad, Damia, Saiful, Huda, pun mengalami perkara yang sama?

– Bersambung –

One thought on “BILA BULAN TERBELAH DUA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s