BILA BULAN TERBELAH DUA

Bab 5

Ahmad terasa nak buang air kecil. Dia melangkah ke arah seberang sana sungai. “Kau nak ke mana Mat? Jangan pergi jauh.” Dia masih terdengar suara Azri berpesan. Tapi Ahmad terus berjalan. Dia sampai ke seberang sana sungai sementara kawan-kawannya yang lain sedang mandi di dalam air sungai dan ada yang sedang membakar ayam dan makan.

Ahmad berjalan masuk ke dalam hutan sedikit. Menanggalkan zip seluarnya dan melepaskan hajatnya di situ. Selepas melepaskan hajatnya, dia menutup semula zip seluarnya dan berpusing untuk kembali kepada kawan-kawannya. Sebaik dia berpusing, dia ternampak seekor katak yang agak besar saiznya di atas batu besar yang berada di situ. Bahagian bawah mulut katak itu bergerak-gerak seakan ada bola-bola berguling-guling di dalam.

“Besarnya kamu? Kamu makan apa?” kata Ahmad menegur katak tu. Katak itu masih memandangnya tanpa kelip. Masa ni Ahmad dah rasa lain macam. Rasanya mata katak berkelip. Tapi katak ni matanya tak berkelip, terus memandang ke arah Ahmad.

Ahmad melangkah ke laluan tepi katak besar itu untuk kembali kepada kawan-kawannya. Tapi katak tu melompat ke laluan Ahmad seakan menghalang Ahmad untuk berjalan.

“Eh kau ni katak. Pandai pula halang laluan aku. Tepilah sebelum aku lastik kau,” kata Ahmad memarahi katak tersebut sambil melangkah ke laluan lain pula. Tapi katak tersebut masih melompat ke arah laluannya. Ahmad mengambil batu kecil di situ dan membalingnya ke arah katak tersebut. Katak tersebut tak bergerak.

“Kau kejar apa Mat?”

“Ada katak besar weh kat sini. Besar sungguh saiznya. Dah macam besar landak. Tak pernah aku tengok katak sebesar ni,” kata Ahmad.

Zahid terus melangkah ke arah Ahmad yang masih terjenguk-jenguk ke arah semak samun di tepi rimbunan buluh.

“Mana?” Zahid tanya.

“Tu ha. Kau tak nampak ke pun?” kata Ahmad sambil menunjukkan ke satu arah.

“Mana ada apa kat situ? Batu la. Kau ni rabun ke?” kata Zahid sambil melangkah kembali ke arah sungai.

“Eh, tadi dia ada situ,” sahut Ahmad masih memanjangkan leher ke arah semak belukar yang dilihatnya ada katak besar tadi. Tapi ternyata betul apa yang Zahid cakap, hanya batu yang ada di situ. Ahmad menggaru-garu kepalanya yang tak gatal. Takkanlah aku salah tengok kot. Ahmad melangkah ke arah sungai.

Tapi di dalam kepalanya masih memikirkan tentang katak tadi. Katak tu seperti berinteraksi dengannya. Ahmad memusingkan badannya dan cuba mencari katak besar tadi. Tapi katak tu tiada di mana-mana. Ahmad gosok matanya. Dia yakin yang dilihatnya ialah katak besar, bukannya batu seperti yang Zahid tunjuk.

Ahmad berpusing kembali, nak masuk ke dalam air sungai. Tapi kali ni matanya menangkap sesuatu yang bergerak di rimbunan buluh di tebing sungai. Dia cuba memerhati ke arah objek yang bergerak tu.

“Weh Zahid, Jamal. Ada benda bergerak kat sini. Katak tadi kot,” kata Ahmad masih percaya dengan apa yang dia lihat tadi.

“Biar je la dia Mat. Kau sibuk sangat kat katak tu dah kenapa? Kita datang nak mandi, makan-makan. Bukannya nak buat eksperimen,” kata Zahid.

Ahmad tak puas hati. Dia melangkah ke arah perdu buluh tu lalu menyelak semak samun di situ. Dan ternyata ada seekor ular yang sedang berlingkar di situ.

“Eh, bukan katak la. Ada ular. Besar weh,” sahut Ahmad sambil matanya masih memandang ke arah pokok buluh tadi. Mendengarkan perkataan ular tu, Suria, Salma, Huda dan beberapa lagi rakan perempuan berlari naik ke atas tebing.

“Dah ular pulak. Cuba tengok elok-elok. Entah-entah buluh tu kau kata ular.” Kata Zahid.

“Ular bukan ke takut kat pokok buluh. Pakcik aku la cakap. Takkanlah ada ular pula kat rumpun buluh tu,” kata Jamal. Ahmad tak menyahut. Dia terus terjenguk-jenguk ke dalam perdu buluh tu.

“Betul ular ke?” Zul yang baru turun ke dalam air pula bertanya. Tertarik pulak hatinya bila mendengar Ahmad berjumpa dengan macam-macam binatang besar tu. Dia melangkah menghampiri Ahmad.

“Betul ada ular. Nampak macam dua ekor,” sahut Ahmad.

“Ooo…. Ular tengah mengawan kot,” sahut Zahid sambil disambut ketawa beberapa kawan yang lain.

“Tapi aku nampak ekor ada 1 je,” kata Ahmad yang begitu fokus kat ular di celah pokok buluh tu.

“Tok aku cakap, kalau nampak ular kat kawasan hutan, jangan kacau. Takut itu bukan ular, tapi jelmaan jin,” sampuk Zul pula.

“Hish kau ni Zul. Khurafat je semua tu. Nanti kau nampak ular nak patuk kaki kau, kau biar je la dia patuk kaki kau. Sebab ular tu jelmaan jin. Hello, kita dah kat zaman millennium. Ular is ular, boleh memudaratkan. Islam pun kata, benda yang memudaratkan patut dihapuskan,” kata Ikram yang juga berada di dalam air bersama kawan-kawan yang lain.

“Dah dah la tu. Meh kita makan. In Shaa Allah, ular tu tak kacau kita. Dia memang tinggal kat situ. Jangan kacau dia. In Shaa Allah. Ini tempat dia. Kita yang datang tumpang.” Azri memanggil kawannya.

Zahid, Ahmad, Jali, Zul dan Ikram naik ke tebing sungai. Mereka berkumpul di pondok. Azira dan Sofea dan menghidang makanan. Membuka bekalan yang dibawa oleh semua rakannya lalu menyusunnya di atas pangkin tepi pondok.

Sedang mereka makan sambil berborak-borak dan ketawa, tiba-tiba muncul seekor monyet kecil menarik bekas makanan mereka. Ikram membaling selipar entah siapa ke arah anak monyet tersebut. Tepat kena kat kepala. Menjerit anak monyet tadi kesakitan lalu terus melepaskan bekalan makanan yang dicuri dari tangannya.

“Kau ni Ikram. Bagi le sikit kat monyet tu. Janganlah main baling je. Dia pun tahu sakit,” kata Sofea.

“Kau berani nak bagi dia makanan? Silap-silap nanti tangan kau yang dia tarik. Itu monyet la. Bukan faham bahasa.” Sahut Ikram sambil mengambil semula selipar yang dibalingnya tadi bersama dengan bekal makanan yang anak monyet tadi tinggalkan.

Lalu mereka duduk kembali menjamu selera. Jam menunjukkan pukul 1 tengahari. Beberapa orang sahabat di situ telah kembali masuk ke dalam air sungai. Membawa makanan lalu duduk di atas batu besar. Nikmatnya tak terkira. Makan dengan perut yang lapar, sejuk dan dikelilingi oleh pemandangan alam yang amat indah, tanpa cacat cela.

“Eh, Damia mana?” Huda bertanya. Dia baru sedar Damia tiada bersama mereka. Masing-masing memusingkan kepala mencari sosok tubuh Damia.

“Dia pergi jalan-jalan ambil gambar la tu,” sahut Zarina.

“Haah, dia kan tak pernah lekang dengan kamera. Gambar daun kering pun dia nak ambil,” sahut Zahid.

“Itulah seni namanya. Dia kan ambil course grafik dan penggambaran macam tu. Dah dia minat. Gambar longkang yang penuh lumut hijau yang dia ambil kat belakang rumah mak aku pun boleh menang tempat ketiga anugerah peringkat negeri. Kau hado?” sahut Huda mempertahankan sahabat baiknya.

“Weh Ahmad. Itu ke ular yang kau nampak tadi? Masih kat situ la,” tiba-tiba Zul berteriak dari atas batu besar dalam sungai. Ahmad dan rakan lainnya masing-masing mengangkat kepala memandang ke arah yang disebut oleh Zul tadi.

Ahmad berdiri. “Haah. Dia masih kat situ.” Sahut Ahmad.

Zahid dan Ikram meredah air sungai dan terus pergi ke sebelah sana. Mereka mengepung ular tersebut.

“Iyalah Mat. Kepala nampak dua ekor tapi ekor nampak macam satu je,” sahut Zahid ketika mengepung ular tersebut yang  masih dalam perdu buluh.

“Biarkan dia. Dari tadi dia kat situ kan. Dia tak kacau kita, kita jangan kacau dia,” kata Jali.

Zahid dan Ikram masih memerhati ular tersebut. Saiful yang tadinya tenang duduk di pondok sambil makan ayam bakar, tiba-tiba bangun.

“Zahid, Ikram. Mari sini. Tinggalkan ular tu. Cepat,” kata Saiful.

“Sekejap. Aku nak tengok mana ekor yang lagi satu. Dah tahu ekor dan kepala, senang kita nak bunuh,” kata Zahid.

“Janganlah bunuh dia. Ini tempat dia. Jangan ganggu ekosistem hutan ni,” sahut Salma yang masih duduk di pondok bersama rakan perempuan yang lain.

“Mari sini cepat,” Saiful masih memanggil dua sahabatnya. Sedang dua sahabatnya masih tekun melihat ular tersebut.

Saiful melangkah masuk ke dalam air. Tapi belum sempat dia sampai ke tempat Zahid dan Ikram, kedua-dua sahabat tersebut berlari masuk ke dalam air macam tak cukup tanah nak lari.

Tercungap-cungap mereka ketika sampai ke pondok. “Kenapa?” Azri bertanya.

“Ular tu ada seekor je tapi kepalanya ada dua,” kata Ikram dengan suara terketar-ketar.

“Sebab tu aku cakap, jangan usik. Inikan tempat dia. Ular tu mungkin jelmaan jin yang tinggal di dalam hutan ni,” kata Zul.

Ahmad memberanikan diri memandang ke arah ular tu sekali lagi. Dan masa ni dia tak nampak ular. Dia nampak susuk tubuh seperti ayahnya berpakaian tentera. Ahmad merupakan seorang anak tunggal. Dia tinggal bersama ibunya. Ayahnya seorang tentera, memang jarang balik ke rumah. Lima enam bulan barulah ayahnya balik. Sebab itu bila ternampak ayahnya, Ahmad teruja habis.

Ahmad menggosok-gosok matanya. Dia pandang berkali-kali ke arah susuk tubuh tu. Betul. Dia yakin itu ayahnya. Ayah Ahmad tersenyum ke arahnya dan menggamit tangan seakan memanggil Ahmad untuk datang kepadanya. Ahmad yakin itu ayahnya sebab ayahnya pernah cakap bahawa tugas ayahnya ialah di dalam hutan di seluruh Malaysia. Mungkin itu ayahnya.

Ahmad nak pastikan itu ayahnya. Tambahan pula ular tadi dah takde. Mungkin ayahnya dah bunuh ular tu tadi. Ahmad bangun perlahan-lahan dan turun ke dalam air. Di masa kawan-kawannya tak menyedari perbuatannya, Ahmad meredah air sungai dan berlari ke tebing sebelah sana.

 “Ahmad! Kau buat apa tu? Kau nak ke mana? Balik sini!” tiba-tiba terdengar suara Jali memanggil Ahmad. Semua mata memandang ke arah yang sedang dipandang oleh Jali. Ahmad sedang meredah air sungai dan menuju ke arah ular berkepala dua tadi!

Entah dari mana kekuatan yang Ahmad perolehi, dia terasa seperti dia berlari di atas air. Dia tak merasakan kesukaran meredah air sungai. Dia berlari di atas air, laju bagaikan angin. Dan sedar-sedar dia dah berada di depan susuk tubuh ayahnya.

“Ayah. Apa ayah buat kat sini?” Ahmad bertanya. Ayah Ahmad memegang bahu Ahmad dan membawa Ahmad mengikutnya masuk ke dalam hutan. Ahmad sempat menoleh, dia nampak Zahid, Jali dan Jamal sedang berlari meredah air sungai ke arahnya. Dia cuba berpatah balik ke arah kawannya untuk memberitahu tentang ayahnya, tapi cengkaman tangan ayahnya di bahunya lebih kuat membuatkan dia terpaksa terus mengikut langkah ayahnya dan tak mampu bersuara atau berbuat apa-apa.

Ayah Ahmad terus membawa Ahmad masuk ke dalam hutan. Ahmad bagai terpukau, hanya menurut.

“Kita nak ke mana ni ayah? Ayah sedang bekerja ke? Di mana pasukan ayah?” Ahmad bertanya sambil sesekali memandang ke arah ayahnya. Tapi ayahnya tak menjawab.

Makin jauh berjalan, keadaan makin gelap. Ahmad dah mula rasa tak sedap hati. Dia menoleh ke belakangnya. Dan masa ni dia nampak belakangnya hanya ada kegelapan, tiada hutan, sungai mahupun kawan-kawannya. Hanya gelap. Ahmad memandang ke hadapan semula. Juga gelap. Ahmad cuba meraba memegang ayahnya yang tadi berada di samping. Tiada susuk tubuh manusia yang dapat dipegangnya. Hanya sesuatu yang besar, bersisik dan berlendir. Sesekali terdengar bunyi berdesir, tak jauh dari telinganya.

– Bersambung –

One thought on “BILA BULAN TERBELAH DUA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s