BILA BULAN TERBELAH DUA

Bab 4

Damia terus mengikut kupu-kupu besar berwarna biru dan putih bersih tu. Dia cuba nak ambil gambar secara dekat. Tak pernah lagi dia berjumpa dengan kupu-kupu bersaiz macam tu. Sama besar dengan stereng kereta Honda dia kot. Cantik pula tu. Bahagian bergaris di kepaknya seakan berwarna keemasan.

Sampai kat satu kawasan, kupu-kupu itu hinggap di atas kayu reput di tepi sungai. Perlahan-lahan Damia tunduk dan cuba fokuskan kameranya kepada kupu-kupu tersebut. Menukar mode kepada warna terang. Cantik. Memang amat cantik.

“Kamu buat apa ni?” Damia tersentak bila ada suara garau menegurnya. Damia mengangkat kepala. Kupu-kupu tadi dah terbang. Mungkin dia pun terkejut. Tapi mujurlah Damia sempat ambil beberapa keping gambar tadi.

“Eh, nenek. Saya ambil gambar. Minta maaf kalau saya ganggu nenek,” kata Damia kepada seorang wanita tua dalam usia lewat 70an kot. Wanita tua itu memakai baju kurung kedah dengan kain batik sambil memegang tongkat bersamanya. Kepalanya hanya disarung dengan selendang putih. Wajahnya tak jelas sebab ditutup dengan seledang kepalanya. Tapi jelas kulitnya dah berkedut seribu menandakan usianya yang dah tua.

“Macammana kamu boleh sampai sini?” Nenek tu bertanya lagi.

“Saya dengan kawan-kawan saya berkelah kat sungai hujung sana. Betul-betul kat kaki gunung. Semua kawan saya ada kat sana. Saya memang suka ambil gambar. Kebetulan kupu-kupu tadi lalu. Saya tak pernah tengok kupu-kupu secantik itu.” Jawab Damia.

“Benda yang cantik pasti ada tuannya. Jangan ikut suka nak ambil gambar. Minta izin dulu dari tuannya,” kata nenek tu lagi. Damia kerutkan dahi.

“Kupu-kupu pun ada tuan? Setahu saya kupu-kupu dan rama-rama hidup bebas. Jarang ada tuan. Melainkan dalam sangkar,” sahut Damia. Biasalah, orang bandar yang berfikiran terbuka. Jika ada perkara yang dia rasa tak betul atau diluar pengetahuannya, pasti dibahaskan. Tak kiralah siapa yang perlu ditentang.

“Itu kat tempat kamu. Sekarang kamu bukan kat tempat kamu. Kamu kat tempat orang lain. Sebaiknya kamu pergi dari sini. Ajak kawan-kawan kamu pergi dari sini. Atau jangan mandi di sini. Turun ke muara  sikit,” kata nenek tu lagi sambil berpusing dan melangkah perlahan untuk pergi.

“Nenek ni siapa? Nenek tinggal kat sini ke?” Damia bertanya. Dia macam baru tersedar dia berada di seberang sungai. Untuk ke seberang sungai tu, dia perlu meredah sungai. Tapi pelik, bajunya atau kasutnya tak basah langsung. Damia angkat muka, dia memandang keliling. Cantik! Macam sebuah taman yang penuh dengan pohon besar dan bunga-bungaan yang berwarna warni.

“Wah! Macam dalam drama dongeng. Saya tak tahu pula kat sini ada pemandangan cantik macam ni. Sebab tengok dari sebelah sana, macam hutan belukar je. Macam seram pun ada. Tapi kawan saya kata seronok berkelah di sini,” kata Damia sambil mengambil beberapa keping gambar keindahan di situ.

“Aku kata, pergi dari sini. Jangan ambil gambar lagi. Pergi!” kata nenek tua tadi sambil melangkah perlahan meninggalkan Damia yang tersentak bila ditengking oleh nenek tua.

“Mia! Mia! Kau kat mana?” terngiang-ngiang suara Saiful dan Huda memanggil namanya.

“Weh korang. Aku kat sini. Cantik kat sini. Mari la,” kata Damia walaupun dia tak nampak dua orang kawannya. Dia hanya menyahut.

“Jangan bawa kawan kamu ke sini. Kamu keluar dari sini,” kata nenek tua tadi. Damia terkejut. Tadi nampak macam nenek tua tu dah berjalan jauh meninggalkan dia. Tapi kenapa tiba-tiba nenek tua tu ada kat tepi dia lagi. Bila masa pula dia datang kat tepi Damia.

“Ini tempat nenek ke?” Damia tanya. Wajah nenek tua tadi menjadi bengis. Matanya merah. Dia menghentakkan tongkatnya ke tanah. Seakan sedang menahan marah.

“Pergi!” nenek tua tu menengking sekali dengan hentakan tongkat yang kuat, Damia dapat rasa sedikit gegaran dengan hentakan tu. Dan masa ni Damia terasa cuak sikit. Nenek tua tu agak menyeramkan.

Damia akur. Dia melangkah meninggalkan kawasan tu sambil diperhatikan oleh nenek tua tadi. Damia melangkah ke arah tempat kawan-kawannya berkumpul tadi. Lepas beberapa langkah, dia berpusing semua memandang ke arah kawasan cantik tadi. Nenek tua tadi masih berdiri di situ memandangnya. Tapi suasana di situ tak sama macam yang dilihatnya tadi. Hanya hutan belukar dan pandangan menyeramkan.

Damia tak tunggu lama. Dia terus berlari ke arah suara Saiful dan Huda yang memanggilnya tanpa henti.

“Saiful! Huda! Korang kat mana?” Damia memanggil. Dia dapat dengar dengan jelas suara Saiful dan Huda memanggil namanya tapi dia tak nampak mereka. Dan yang lebih membuatkan dia terasa cuak, dia tak jumpa seorang manusia pun di sepanjang tebing sungai tu. Dia dengar suara orang ketawa riang sedang berkelah tapi dia tak nampak sesiapa.

Dia cuba mengingat kawasan tempat kawan-kawannya berkumpul tadi. Tak jauh pun dia pergi. Dia masih boleh dengar suara kawan-kawannya ketika dia mula-mula berjumpa dengan kupu-kupu tadi. Lepas tu dia ikut kupu-kupu tu.

Damia berjalan terus ke kawasan kawan-kawannya. Dia sampai kat tempat tu. Tapi tiada siapa di situ. Dia panggil nama kawan-kawannya, tiada sahutan. Damia memandang keliling untuk pastikan dia berada di tempat yang betul. Ya, dia yakin dia berada di tempat yang betul sebab pondok tempat Azri bakar ayam tadi adalah bernombor 81 dan bumbungnya berwarna merah. Memang itulah tempatnya. Tapi kenapa tiada siapa di situ?

Damia tengok jam tangan. Jarum jamnya tak bergerak. Dia ketuk-ketuk jam tangannya, ternyata jamnya mati. “Baru lagi aku tukar bateri jam ni. Takkan dah habis. Orang kedai tu tipu aku la ni. Bagi bateri yang dah tinggal separuh,” rungutnya sambil mengeluarkan telefon dari beg galasnya.

Telefonnya tiada isyarat langsung. Kosong di skrin. Damia off telefon dan on semula. Tak boleh. “Aik, aku dah cas telefon ni pagi tadi sampai penuh. Selalunya boleh guna 2 hari. Takkanlah dah habis bateri?” rungutnya lagi.

Damia seluk beg galasnya lagi. Mengambil power bank lalu menyucuknya kepada telefonnya untuk mengecas.

“Mia, kau kat mana?” Damia terdengar lagi suara Huda memanggilnya. Damia mengangkat muka. Suara Huda betul-betul kat tepi dia je. Tapi kenapa dia tak nampak Huda?

“Huda, aku kat sini. Tapi aku tak nampak kau.” Damia bersuara.

“Mia?” Huda seakan mendengar suara Damia. Dia panggil sekali lagi.

“Ya Huda. Aku boleh dengar suara kau. Tapi aku tak nampak kau. Kau kat mana?” Damia bertanya sambil memandang keliling. Tiada sesiapa. Tiba-tiba je rasa tempat tu amat menyeramkan. Hari makin gelap. Damia dah mula kecut perut.

“Huda, aku kat tempat kita berkumpul tadi. Tapi takde siapa kat situ. Semua dah balik ke?” Damia tanya. Tiada sahutan. Tiada lagi kedengaran suara Huda dan Saiful.

“Huda? Saiful? Korang kat mana? Janganlah main-main macam ni. Aku takut ni,” kata Damia, suara nak mula menggigil.

Tiada lagi sahutan dari Huda dan Saiful. Damia melangkah dan duduk di pondok nombor 81. Dia pandang keliling. Basikal dia, Huda dan Saiful masih di situ. Motorsikal Ahmad pun masih ada di situ. Tapi kenapa takde siapa kat situ?

“Weh korang. Korang kat mana ni? Kenapa tinggal aku?” jerit Damia. Tiada sahutan. Hanya bunyi unggas di hutan bersahut-sahutan. Hari makin gelap. Damia membuka telefonnya semula. Cuba on sebab tadi dah cas dengan power bank. Masih tak boleh hidup. Skrin menyala tapi kosong, tiada apa-apa tulisan.

“Ah, lantaklah. Aku balik dulu la.” Akhirnya Damia buat keputusan untuk balik sendiri. Dia pun tak berani nak tunggu situ. Jika dia menunggu pun, dia tak tahu dia nak tunggu sampai bila.

Lalu Damia melangkah ke basikalnya. Dia menggalas begnya dan mula mengayuh basikal. Dia berpusing ke arah dia datang bersama-sama Huda dan Saiful tadi. Damia kerutkan dahinya. Jalan semuanya kelihatan sama. Damia pusingkan kepala. Dia tak tahu jalan yang sepatutnya ikut mana. Sebab kedua-dua jalan nampak sama. Nak tengok kompas, handphone pun tak boleh on.

Damia tawakkal. Dia terus mengayuh ke arah yang dirasakannya betul mengikut kata hatinya. Dia mengayuh laju. Sambil memandang keliling. Tiada seorang manusia pun. Dia mengayuh dan terus mengayuh. Jantungnya mula berdegup laju. Dia mula merasa ada sesuatu yang tak kena bila makin dia mengayuh basikalnya, dia seakan berpusing di tempat yang sama.

Hari makin gelap. Damia terus mengayuh. Tenaganya makin kurang. Dia tak tahu ke mana dia nak pergi. Dia keseorang di kawasan perkelahan. Selepas pukul 7, kawasan ini akan ditutup. Tiada lampu, tiada kemudahan. Damia belum makan sejak dia sampai ke tempat itu tadi.

Damia berhenti mengayuh basikal. Dia duduk di tepi pokok besar. Menangis. Dia cuba menjerit minta bantuan tapi hanya disahut oleh monyet-monyet di hutan yang seakan mentertawakannya. Seperti menunggu hari gelap untuk mengganggunya.

“Ya Allah, tolong aku Ya Allah. Aku buntu,” berkali-kali Damia mengucapkannya. Seingatnya, tak pernah lagi dia berdoa sambil keluarkan air mata. Tak pernah lagi dia berdoa dengan harapan yang sangat tinggi agar doanya dikabulkan.

Matahari dah turun. Keadaan di situ makin gelap. Damia melangkah ke arah satu pondok di tepinya. Dia duduk di dalam pondok tersebut. Ditemani bunyi unggas malam dan deruan air sungai yang tak berhenti mengalir.

“Kenapa kamu masih di sini?” Damia tersentak bila ada satu suara yang pernah didengarnya, menegur.

Damia angkat kepala, memerhati keliling mencari arah bunyi tu.

“Kenapa kamu masih di sini?” sekali lagi suara tu kedengaran.

“Nenek?” Damia memanggil. Dia cam suara itu. Itulah suara nenek yang dia jumpa masa mengejar kupu-kupu tadi.

“Nenek, saya nak balik. Tapi saya tak jumpa jalan balik. Saya sesat kot. Kawan-kawan saya pun takde. Diorang dah balik kot. Saya takut sangat ni nenek. Boleh saya tumpang rumah nenek malam ni?” kata Damia tanpa nampak di mana nenek tu.

“Tempat ni bahaya. Ini bukan tempat kamu,” kata suara nenek itu lagi.

“Saya tahu nenek. Sekarang pun saya dah menyesal datang sini. Tapi saya tak tahu nak ke mana. Takde siapa yang saya jumpa selain nenek. Saya tumpang rumah nenek semalam ni boleh tak?” Damia terus merayu.

“Kamu jalan ke kanan tujuh langkah, ke arah depan tujuh langkah. Kamu akan bertemu dengan satu lorong. Masuk lorong itu. Ada sebuah rumah di sana. Kamu boleh singgah di sana baut sementara,” kata suara nenek tu lagi.

“Rumah siapa tu? Rumah nenek ke?” Damia bertanya. Dalam terdesak pun, dia masih ragu-ragu.

“Jangan banyak tanya. Kalau nak selamat, ikut je arah tu.” kata suara nenek tu lagi.

“Gelap,” sahut Damia. Memang tak nampak apa-apapun.

Tak semena-mena kawasan situ berangin. Dah la sejuk, berangin pula. Tapi disebabkan angin tu, pokok-pokok di situ bergerak-gerak membuatkan cahaya bulan melepasi ke tanah.

“Ikut cahaya bulan tu,” kata suara nenek tu lagi.

Damia tak berlengah. Dalam samar cahaya bulan yang sekejap ada sekejap tak, dia mengikut petunjuk yang diberi oleh suara nenek tadi. Ya benar, dia sampai di satu lorong kecil. Dia terus melangkah dan berjumpa dengan sebuah pondok kecil yang dibina menggunakan papan lusuh dan berbumbungkan rumbia. Tiada lampu, hanya sinaran pelita minyak tanah.

Damia memberi salam. Daun pintu terbuka. Damia takut-takut tapi dia tiada pilihan, lalu dia terus masuk. Sebaik masuk ke dalam pondok, Damia menoleh ke arah luar pondok. Dia nampak bulan ada dua! Dan pintu pondok tertutup dengan sendiri.

– Bersambung –

One thought on “BILA BULAN TERBELAH DUA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s