BILA BULAN TERBELAH DUA

Bab 3

“Apa benda tu weh?” Jali bertanya sebaik Zahid dan Ahmad tiba di pondok.

“Tak tahulah. Lain macam je rupanya. Kita kena tinggalkan tempat ni.” Sahut Zahid.

Mereka berpaling semula ke arah ular besar berkepala dua tadi. Ular tu dah tiada di sana. Mereka menarik nafas panjang. Ada sedikit kelegaan di hati mereka.

“Damia dah jumpa ke?” Azri pula bertanya sambil mengemas semua barangan mereka.

“Huda dan Saiful pergi cari dia,” sahut Salma.

Masing-masing muka dah cuak. Hilang terus kegembiraan mereka masa datang awal tadi.

“Sebab tu aku cakap, jangan usik apa-apa kalau berada kat kawasan macam ni. Ada penunggu dia,” kata Zul.

“Takde apalah. Aku selalu mandi kat sungai ni dengan keluarga aku. Takde pula jadi apa-apa. In Shaa Allah. Takde apa. Kita tunggu Saiful, Huda dan Damia. Lepas tu kita gerak balik,” kata Azri.

Jam hampir sampai ke pukul 3. “Mana diorang ni weh? Dah petang ni. Zohor pun belum lagi kita ni,” kata Jali.

“Sekejap aku cuba cari line,” kata Azri sambil mengangkat telefonnya ke kiri dan ke kanan untuk mencari signal telefon.

Sedang semua menanti dengan perasaan serba tak kena, tiba-tiba Ahmad bangun dan berlari ke sebelah sana sungai. Semua yang berada di situ terkejut, tak sempat nak pegang dia.

“Zahid, Jali, pergi tangkap Ahmad tu. Jangan bagi dia lepas ke sebelah sana,” Jamal menjerit sambil dia pun sama turun ke sungai.

Zahid dan Jali berlari mengejar Ahmad tapi sebaik mereka tiba dia sebelah sana sungai, Ahmad dah hilang dari pandangan.

“Eh, mana dia?” kata Jali. Zahid memandang keliling sambil angkat bahu.

“Rasanya tak jauh sangat kita dengan dia tadi. Macammana boleh hilang? Sekelip mata je ni,” kata Jamal.

“Cuba cari sekitar sini. Ada tu. Ahmad! Mat!” Zahid terus memanggil nama kawannya. Hatinya mula berdebar-debar semula. Sesekali dia memandang ke arah rumpun buluh di mana tempat ular berkepala dua tadi berada. Mujurlah tiada apa-apa di sana.

“Zahid, Jali, kau tengok papan tanda ni,” Jamal memanggil kawannya lalu mengangkat satu papan tanda yang kelihatan kotor sebab tenggelam sedikit ke dalam tanah.

“AMARAN! JANGAN MANDI DI KAWASAN INI. JANGAN MELEPASI TEBING SUNGAI INI. SEMUA RISIKO ADALAH DI ATAS TANGGUNGJAWAB SENDIRI”

“Tadi tak nampak pun papan tanda ni?” Jali bersuara.

“Ri!” Jamal memanggil Azri yang berada di sebelah sana sungai. Kelihatan Azri masih tercari-cari signal telefonnya. Azri menoleh sebaik sahaja terdengar namanya dipanggil.

Muka Azri lain macam bila membaca papan tanda yang diangkat oleh Jamal.

“Mat mana?” Azri jerit dari sebelah sana.

Zahid, Jali dan Jamal memusing-musingkan tangan mereka sebagai isyarat tak jumpa Ahmad.

“Zul, kau cuba telefon Saiful, atau Damia, atau Huda. Mana diorang ni?” kata Azri sambil turun ke sungai dan meredah air sungai terus ke sebelah sana.

“Mana korang jumpa papan tanda ni?” Azri bertanya.

“Dekat sini la. Macam dah jatuh dan dipijak orang. Dah tenggelam sikit. Mungkin orang-orang yang pernah datang sini, terbalikkan papan tanda ni kot. Sebab tu kita tak nampak,” kata Jamal.

“Kau kan selalu datang sini dengan keluarga kau, tak pernah nampak ke papan tanda tu?” Zahid bertanya.

“Selalu tu aku tak sampai sini. Ini dah kawasan paling hujung. Memang jarang orang datang sini,” kata Azri.

“Patutlah dari mula-mula kita sampai tadi, aku tak nampak seorang manusia lain pun selain dari kita je.” Kata Jamal.

“Memang saja la aku ambil port ni. Takut nanti kita bising ganggu orang lain. Pakcik Rela kat depan tu pun takde kata tak boleh lepak sini,” kata Azri.

“Ni macammana ni? Ahmad mana? Nak cari dia ke atau nak minta bantuan?” Jali bertanya, dah makin tak sedap hati.

“Kita tunggu kat sebelah sana, mana tahu kot Mat muncul nanti. Aku pergi ke pondok RELA sekejap, minta bantuan pakcik kat situ,” kata Azri.

“Ok ok. Kau cepat tau. Ni dah dekat pukul 4 dah ni,” kata Jali sambil meredah air sungai bersama dua lagi kawannya.

“Mana Mat?” Sofea bertanya.

“Macam ni la. Korang tadi datang naik satu kereta kan?” Zahid bertanya.

“Haah. Aku dengan Salma dan Sofea tumpang kereta Linda.” Sahut Suria.

“Korang berempat baliklah dulu. Aku, Jamal, Zul, Jali dan Azri akan tunggu Mat, Saiful, Damia dan Huda kat sini.” Kata Zahid memberi arahan.

“Takpe ke kami balik dulu?” Salma bertanya. Rasa serba salah pula meninggalkan kawan mereka yang tak tahu berada di mana tu.

“Korang balik dulu, itu sebaiknya. Kita kurangkan orang. Sekurang-kurangnya, kami tahu kamu berempat dah selamat balik. Jadi kami hanya perlu fokus kat kawan kita yang empat orang tu je. Lagipun Azri dah pergi minta bantuan dari pakcik RELA. In Shaa Allah, semua akan ok. Kita doa sama-sama. Korang berempat balik dulu. Kami solat zohor di sini saja.” Kata Zahid.

Zahid adalah ketua pelajar semasa di sekolah asrama penuhnya dulu. Sebab tu dia dah dididik untuk menjaga kawan-kawan dalam kumpulannya. Dia juga ahli pengakap yang dah biasa keluar masuk hutan bersama pihak sekolah untuk projek-projek naik pangkat dalam pengakap itu sendiri. Senang kata, dia bijak sebagai seorang ketua dan pakar dalam strategi berkumpulan berbanding rakan lain yang ada di situ.

“Betul kata Zahid tu. Korang berempat eloklah balik dulu. Apa-apa nanti kita roger kemudian. Sekurang-kurangnya korang dah keluar dan tahu kami berada di sini. Apa-apa nanti, korang boleh bagi info kat orang luar,” kata Jamal setuju dengan cadangan Zahid.

“Kalau macam tu, kami pergi dulu. Korang update nanti tau. Aku risau sangat ni. Damia hilang. Saiful dan Huda yang pergi cari Damia pun hilang. Sekarang dah Ahmad pula,” kata Suria dengan wajah agak kerisauan.

“Dah, korang balik. Apa-apa nanti kami roger,” kata Jali.

Linda, Suria, Sofea dan Salma masuk ke dalam kereta dan bergerak meninggalkan kawasan itu. Sementara Zahid, Jali, Zul, dan Jamal mengambil wudhu dan solat berjemaah di atas tikar di tengah kawasan lapang di tepi pondok dengan Zahid menjadi imam.

Sebaik bagi salam, Zahid terus menoleh ke belakang. Bukan Zahid sahaja, bahkan tiga lagi kawannya yang menjadi makmum pun ikut berpusing memandang ke arah belakang. Muka masing-masing cuak.

“Korang dengar ke apa yang aku dengar?” Zahid bertanya.

“Kau dengar apa?” Jali bertanya, nak kepastian samada mereka mendengar bunyi yang sama sepanjang solat.

“Ada bunyi desir ular. Macam banyak sangat,” kata Zahid.

“Banyak dan dekat sangat. Macam tunggu masa nak patuk kita. Kan?” Sahut Zul pula.

“Takde apalah kot. Perasaan kita je ni. Sebab kita masing-masing dah tak sedap hati,” kata Zahid sambil bangun dari tikar dan cuba berlagak tenang.

“Kalau perasaan kita je, kenapa semua berperasaan sama? Kenapa semua pun dengar bunyi desir ular?” Jamal pula bertanya sambil sama-sama bangun dan melipat tikar. Tiada yang menyahut.

“Dah, jom kita cari Mat.” Kata Zahid cuba mengubah perbualan tiga lagi orang kawannya. Jali, Jamal dan Zul berpandangan sesama sendiri.

Mereka memanggil nama Ahmad, Saiful, Damia dan Huda. Tapi hanya suara mereka bergema kembali. Tiada bunyi lain selain bunyi haiwan hutan seperti sedang bergembira sahut menyahut di antara satu sama lain.

“Weh Jali, kau ada rasa tak macam apa yang aku rasa?” Zul bersuara perlahan seakan berbisik kepada Jali.

“Kau rasa apa?” Jali bertanya sambil kerutkan dahi.

“Rasa macam sedang diperhatikan. Rasa macam ada sesuatu je. Entahlah, rasa lain macam,” kata Zul.

“Takde apalah. Doa je yang elok-elok.” Sahut Jali cuba menenangkan Zul dan dalam masa yang sama cuba menenangkan hatinya juga.

“Mana Azri ni? Rasanya bukannya jauh sangat pondok RELA tu. Dah setengah jam kot dia pergi. Naik motor. Takkan tak sampai lagi,” kata Jamal.

“Kan? Aku pun rasa dah lama dia pergi. Kita dah nak masuk Asar ni. Pukul 7 kita kena kosongkan tempat ni,” kata Zul pula sambil tengok jam tangan.

“Takde nampak tanda pun di mana empat lagi kawan kita tu. Macammana ni Zahid?” Jali tanya Zahid yang masih tercari-cari isyarat telefon.

“Biar aku pergi ke pondok RELA tu. Kot Azri ada kat sana. Mungkin pakcik RELA tu sedang cari bantuan,” kata Jamal.

“Jangan nanti kau pula hilang,” kata Zahid.

“Kenapa pula kau cakap macam tu?” Jamal bertanya.

“Korang perasan tak, siapa pun yang keluar dari kumpulan kita ni, mesti tak balik semula,” kata Zahid. Jali, Jamal dan Zul berpandangan sesama sendiri.

“Haah kan? Kenapa ye?” Jali bertanya.

“Aku tak pasti. Tapi kumpulan kita makin kecil. Dan hari makin gelap. Kita tak boleh berpecah dah,” kata Zahid.

“Jadi, apa rancangan kau sekarang?” Zul bertanya.

“Kita bergerak sama-sama. Kita keluar dari kawasan ni. Gerak ke bawah sikit. Mungkin boleh jumpa dengan orang lain yang berkelah kat sini juga. Tak kira siapa yang kita jumpa, kita minta bantuan mereka,” kata Zahid.

“Ok juga idea kau tu,” kata Jali.

“Tapi nanti kalau Mat datang sini? Atau Saiful dengan Damia dan Huda, diorang mesti datang sini semula sebab diorang tahu kita berada di sini,” kata Zul masih memikirkan tentang empat lagi kawan mereka yang tak dapat dikesan tu.

“Kan? Nanti diorang kata kita tinggalkan diorang pula. Sedangkan tadi dah janji kita tunggu kat sini. Nak bagi mesej pun, signal takde langsung ni,” kata Jamal.

“Ok, kita tulis kat kertas, letak kat atas pondok ni. Kalau siapa-siapa pun yang balik ke sini, harap diorang baca nota kita,” kata Jali. Yang lain anggukkan kepala tanda setuju dengan cadangan Jali.

Lalu sekeping nota diletakkan di atas lantai pondok. “Ahmad, Saiful, Huda & Damia. Kalau kamu semua kembali ke pondok ini, sila tinggalkan tempat ini segera. Kami tunggu di pondok RELA. Kita jumpa di sana.” Jali meletakkan seketul batu di atas nota tersebut supaya nota tersebut tak diterbangkan angin.

Empat sekawan itu pun segera meninggalkan tempat itu dengan menaiki dua biji motorsikal. Tinggallah motor Ahmad dan tiga biji basikal milik Saiful, Damia dan Huda di situ.

Sebaik empat sekawan itu meninggalkan tempat itu, kelihatan dua makhluk seakan gorilla dengan bulu yang lebat, muncul dari dalam hutan. Salah satu darinya menarik nota yang ditinggalkan lalu menghanyutkan ke dalam air sungai.

“Mereka dah masuk kawasan kita. Mereka takkan boleh keluar. Kita ada permainan yang baru,” satu makhluk tersebut bersuara sambil satu lagi makhluk bersamanya melompat sambil menganggukkan kepala, betul-betul macam monyet nampak pisang.

– Bersambung –

One thought on “BILA BULAN TERBELAH DUA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s