BILA BULAN TERBELAH DUA

Bab 2

“Sorry sorry. Ada hal sikit tadi. Lama dah ke korang sampai?” Saiful menyahut sambil menyorong basikal mengikut langkah Linda. Huda dan Damia pun mengikut dari belakang, masing-masing dah kepenatan.

“Kami dah start bakar ikan dan ayam dah. Kalau tunggu korang, entahlah pukul berapa baru boleh makan.” Sahut Linda.

Tak jauh je dari tempat Linda berjumpa dengan tiga sekawan tadi, ada sekumpulan anak muda sedang membakar ikan dan ayam yang dibawa dari rumah. Sekumpulan lagi sedang bergembira mandi di bawah air terjun. Banyak batu besar di situ. Di sebelah sana sungai, ada pokok-pokok buluh yang cantik. Itu baru betul bagaikan aur dengan tebing. Tanpa aur, siapalah tebing. Tanpa tebing, aur tak wujud. Indah sungguh ciptaan Tuhan.

“Mia, mai mandi. Air sejuk oooo. Menggigil,” Suria memanggil dari dalam sungai. Damia dan Huda menoleh serentak. Manakala Saiful terus ke tempat rakan-rakannya membakar ayam.

Damia dan Huda meletakkan beg galas mereka di pondok tepi sungai. Lalu menyentengkan kaki seluar dan masuk ke dalam air sungai. Sejuk betul. Macam air dalam peti sejuk. Serius. Huda tarik balik kakinya dan menggigil.

“Sejuklah weh. Macammana kau berendam kat situ?” kata Huda.

“Mula-mula memanglah sejuk. Sebab badan kau masih panas. Kamu masuk dalam air ni perlahan-lahan, nanti badan kau dah serap suhu air ni, barulah kau rasa ok,” kata Salma menyokong Suria.

Huda pandang Damia yang masih berdiri di atas batu besar. Mengambil gambar di merata-rata.

“Mia, jom la turun. Dah dah la tu ambil gambar,” kata Huda memanggil.

“Kau mandilah dulu. Cantik betul tempat ni. Dengan bunyi burung dan haiwan hutan,” kata Damia tak pedulikan ajakan Huda. Huda tak menunggu lagi, dia terus masuk ke dalam air sungai dan perlahan-lahan menuju ke arah Suria dan Salma. Betullah, dah lama dalam air, tak rasa sesejuk masa mula-mula tadi.

“Weh korang. Ni ada nasi lemak mak aku bekalkan. Dia suruh makan tau. Jangan bagi aku bawa balik. Nanti bising mak aku,” terdengar suara Jali memanggil dari pondok.

“Letak je situ. Diorang naik dari sungai tu nanti konfem lapar. Tengoklah.” Sahut Azri yang sedang membakar ayam.

Sedang anak-anak muda itu leka dengan urusan masing-masing, kelihatan Ahmad seperti sedang mengejar sesuatu di sebalik pohon buluh.

“Kau kejar apa Mat?” Zahid bertanya dari dalam air sungai.

“Ada katak besar weh kat sini. Besar sungguh saiznya. Dah macam besar landak. Tak pernah aku tengok katak sebesar ni,” kata Ahmad.

Zahid terus melangkah ke arah Ahmad yang masih terjenguk-jenguk ke arah semak samu di tepi rimbunan buluh.

“Mana?” Zahid tanya.

“Tu ha. Kau tak nampak ke pun?” kata Ahmad sambil menunjukkan ke satu arah.

“Mana ada apa kat situ? Batu la. Kau ni rabun ke?” kata Zahid sambil melangkah kembali ke arah sungai.

“Eh, tadi dia ada situ,” sahut Ahmad masih memanjangkan leher ke arah semak belukar yang dilihatnya ada katak besar tadi. Tapi ternyata betul apa yang Zahid cakap, hanya batu yang ada di situ. Ahmad menggaru-garu kepalanya yang tak gatal. Takkanlah aku salah tengok kot. Ahmad melangkah ke arah sungai.

Dan kali ni matanya memandang ke arah perdu buluh di tebing sungai. “Weh Zahid, Jamal. Ada benda bergerak kat sini. Katak tadi kot,” kata Ahmad masih percaya dengan apa yang dia lihat tadi.

“Biar je la dia Mat. Kau sibuk sangat kat katak tu dah kenapa? Kita datang nak mandi, makan-makan. Bukannya nak buat eksperimen,” kata Zahid.

“Eh, bukan katak la. Ada ular. Besar weh,” sahut Ahmad sambil matanya masih memandang ke arah pokok buluh tadi.

Mendengarkan perkataan ular tu, Suria, Salma, Huda dan beberapa lagi rakan perempuan berlari naik ke atas tebing.

“Dah ular pulak. Cuba tengok elok-elok. Entah-entah buluh tu kau kata ular.” Kata Zahid.

“Ular bukan ke takut kat pokok buluh. Pakcik aku la cakap. Takkanlah ada ular pula kat rumpun buluh tu,” kata Jamal. Ahmad tak menyahut. Dia terus terjenguk-jenguk ke dalam perdu buluh tu.

“Betul ular ke?” Danish yang baru turun ke dalam air pula bertanya. Tertarik pulak hatinya bila mendengar Ahmad berjumpa dengan macam-macam binatang besar tu. Dia melangkah menghampiri Ahmad.

“Betul ada ular. Nampak macam dua ekor,” sahut Ahmad.

“Ooo…. Ular tengah mengawan kot,” sahut Zahid sambil disambut ketawa beberapa kawan yang lain.

“Tapi aku nampak ekor ada 1 je,” kata Ahmad yang begitu fokus kat ular di celah pokok buluh tu.

“Tok aku cakap, kalau nampak ular kat kawasan hutan, jangan kacau. Takut itu bukan ular, tapi jelmaan jin,” sampuk Zul pula.

“Hish kau ni Zul. Khurafat je semua tu. Nanti kau nampak ular nak patuk kaki kau, kau biar je la dia patuk kaki kau. Sebab ular tu jelmaan jin. Hello, kita dah kat zaman millennium. Ular is ular, boleh memudaratkan. Islam pun kata, benda yang memudaratkan patut dihapuskan,” kata Jali yang juga berada di dalam air bersama kawan-kawan yang lain.

“Dah dah la tu. Meh kita makan. In Shaa Allah, ular tu tak kacau kita. Dia memang tinggal kat situ. Jangan kacau dia. In Shaa Allah. Ini tempat dia. Kita yang datang tumpang.” Azri memanggil kawannya.

Zahid, Ahmad, Jali, Zul dan Jamal naik ke tebing sungai. Mereka berkumpul di pondok. Suria dan Sofea dan menghidang makanan. Membuka bekalan yang dibawa oleh semua rakannya lalu menyusunnya di atas pangkin tepi pondok.

Sedang mereka makan sambil berborak-borak dan ketawa, tiba-tiba muncul seekor monyet kecil menarik bekas makanan mereka. Jamal membaling selipar entah siapa ke arah anak monyet tersebut. Tepat kena kat kepala. Menjerit anak monyet tadi kesakitan lalu terus melepaskan bekalan makanan yang dicuri dari tangannya.

“Kau ni Jamal. Bagi le sikit kat monyet tu. Janganlah main baling je. Dia pun tahu sakit,” kata Sofea.

“Kau berani nak bagi dia makanan? Silap-silap nanti tangan kau yang dia tarik. Itu monyet la. Bukan faham bahasa.” Sahut Jamal sambil mengambil semula selipar yang dibalingnya tadi bersama dengan bekal makanan yang anak monyet tadi tinggalkan.

Lalu mereka duduk kembali menjamu selera. Jam menunjukkan pukul 1 tengahari. Beberapa orang sahabat di situ telah kembali masuk ke dalam air sungai. Membawa makanan lalu duduk di atas batu besar. Nikmatnya tak terkira. Makan dengan perut yang lapar, sejuk dan dikelilingi oleh pemandangan alam yang amat indah, tanpa cacat cela.

“Eh, Damia mana?” Huda bertanya. Dia baru sedar Damia tiada bersama mereka. Masing-masing memusingkan kepala mencari sosok tubuh Damia.

“Dia pergi jalan-jalan ambil gambar la tu,” sahut Linda.

“Haah, dia kan tak pernah lekang dengan kamera. Gambar daun kering pun dia nak ambil,” sahut Zahid.

“Itulah seni namanya. Dia kan ambil course grafik dan penggambaran macam tu. Dah dia minat. Gambar longkang yang penuh lumut hijau yang dia ambil kat belakang rumah mak aku pun boleh menang tempat ketiga anugerah peringkat negeri. Kau hado?” sahut Huda mempertahankan sahabat baiknya.

“Weh Ahmad. Itu ke ular yang kau nampak tadi? Masih kat situ la,” tiba-tiba Zul berteriak dari atas batu besar dalam sungai. Ahmad dan rakan lainnya masing-masing mengangkat kepala memandang ke arah yang disebut oleh Zul tadi.

Ahmad berdiri. “Haah. Dia masih kat situ.” Sahut Ahmad.

Zahid dan Jamal meredah air sungai dah terus pergi ke sebelah sana. Mereka mengepung ular tersebut.

“Iyalah Mat. Kepala nampak dua ekor tapi ekor nampak macam satu je,” sahut Zahid ketika mengepung ular tersebut yang  masih dalam perdu buluh.

“Biarkan dia. Dari tadi dia kat situ kan. Dia tak kacau kita, kita jangan kacau dia,” kata Jali.

Zahid dan Jamal masih memerhati ular tersebut. Saiful yang tadinya tenang duduk di pondok sambil makan ayam bakar, tiba-tiba bangun.

“Zahid, Jamal. Mari sini. Tinggalkan ular tu. Cepat,” kata Saiful.

“Sekejap. Aku nak tengok mana ekor yang lagi satu. Dah tahu ekor dan kepala, senang kita nak bunuh,” kata Zahid.

“Janganlah bunuh dia. Ini tempat dia. Jangan ganggu ekosistem hutan ni,” sahut Salma yang masih duduk di pondok bersama rakan perempuan yang lain.

“Mari sini cepat,” Saiful masih memanggil dua sahabatnya. Sedang dua sahabatnya masih tekun melihat ular tersebut.

Saiful melangkah masuk ke dalam air. Tapi belum sempat dia sampai ke tempat Zahid dan Jamal, kedua-dua sahabat tersebut berlari masuk ke dalam air macam tak cukup tanah nak lari.

Tercungap-cungap mereka ketika sampai ke pondok. “Kenapa?” Azri bertanya.

“Ular tu ada seekor je tapi kepalanya ada dua,” kata Jamal dengan suara terketar-ketar.

“Sebab tu aku cakap, jangan usik. Inikan tempat dia. Ular tu mungkin jelmaan jin yang tinggal di dalam hutan ni,” kata Zul.

Semua mata memandang ke arah perdu buluh tu. Tiada siapa lagi yang berada di dalam sungai. Dan jelas kelihatan ular tersebut mengangkat tinggi kepalanya. Betul seperti apa yang Jamal cakap. Ular tu berkepala dua! Dan sedang memandang tepat ke arah kumpulan sahabat-sahabat di sebelah sini.

Suria dan Sofea dah menjerit ketakutan. Yang lain hanya memandang tanpa suara.

“Dah, aku nak balik. Lain macam ular tu tenung kita. Aku dah rasa lain macam ni,” sahut Linda yang amat terkenal dengan sifat beraninya semasa di kolej. Tapi kali ni dia pula yang nampak lebih takut.

“Eh, tunggulah. Damia entah kat mana ni,” kata Huda. Dan sekali lagi masing-masing memandang keliling.

“Saiful, jom cari Damia kejap. Aku pun rasa nak balik ni. Seram sejuk pulak rasanya. Macam sedang diperhatikan,” kata Huda. Saiful menurut. Dia melangkah ke arah jalan dan memanggil nama Damia. Sementara kawan yang lain mengemas barangan mereka.

“Korang tunggu tau. Jangan balik dulu. Tunggu sampai jumpa Damia,” pesan Huda.

“Ahmad! Kau buat apa tu? Kau nak ke mana? Balik sini!” tiba-tiba terdengar suara Jali memanggil Ahmad. Semua mata memandang ke arah yang sedang dipandang oleh Jali. Ahmad sedang meredah air sungai dan menuju ke arah ular berkepala dua tadi!

“Ahmad! Balik sini. Kau jangan cari pasal,” Azri pula memanggil. Ahmad berjalan terus.

Masing-masing dah buat muka cuak. Ahmad semakin menghampiri tempat ular berkepala dua yang sedang mengangkat kepalanya dan memandang ke arah mereka. Ahmad seakan terpukau.

Cepat-cepat Zahid melompat masuk ke dalam air dan berlari ke arah Ahmad. Mujurlah sempat dia menarik tangan Ahmad sebelum rakannya itu memijak tanah di tebing sebelah sana. Dah hampir sangat nak sampai ke perdu buluh.

Ahmad seperti baru bangun dari tidur bila tangannya ditarik kasar oleh Zahid.

“Kau nak ke mana?” Zahid tanya. Ahmad tak menjawab. Wajahnya jelas ketakutan bila Zahid tunjukkan ular berkepala dua yang sedang memandang mereka sambil menjelirkan lidahnya yang panjang. Lidahnya bukan bercabang dua seperti ular lain. Tapi seakan-akan lipan besar.

“Cepat, jom balik,” Zahid menarik tangan Ahmad. Ahmad menurut.

– Bersambung –

One thought on “BILA BULAN TERBELAH DUA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s