BILA BULAN TERBELAH DUA

Bab 1

“Tak sampai lagi kawan kamu tu Huda?” Huda tersentak dari lamunannya.

“Belum lagi mak,” sahut Huda.

“Janji pukul berapa?” Mak Huda tanya lagi.

“Pukul 9,” sahut Huda lagi.

“Ni dah 9.30 dah ni,” bebel mak Huda lagi. Huda diam. Panjang tengkuknya memerhati ke hujung laman rumahnya, mencari-cari bayang tubuh dua orang kawannya, Saiful dan Damia.

“Mana diorang ni. Kata nak mula gerak pukul 9. Sikit lagi matahari dah tinggi. Panas la,” rungut Huda lagi sambil tengok jam ditangannya.

“Bekal makan semua dah bawa?” mak Huda tanya lagi.

“Dah mak,” sahut Huda. Maknya dah pesan tentang makan tu empat kali, tapi kawannya belum juga sampai. Sikit lagi, mahu si Huda tu buka bekal makanannya dan makan kat situ.

“Eh, kakak tak pergi lagi? Haziq nak ikut boleh?” tiba-tiba adik Huda yang Darjah 5 tu muncul. Haziq rapat dengan Huda. Dia adik bongsu. Memang dari semalam dia merengek nak ikut Huda tapi Huda tak bagi. Sebab dia nak pergi ikut geng berkelah dengan kawan-kawan lepasan matrikulasi.

Mereka merancang nak berkelah sebelum masing-masing masuk universiti dan lepas tu dah tentu masing-masing dah ada kehidupan sendiri dah. Bekerja, berkahwin, berkeluarga. Sebab tu mereka merancang pergi berkelah di satu kawasan perkelahan yang agak terkenal di situ. Tak jauh sangat dari rumah Huda. Sebab tu Saiful dan Damia berjanji jumpa kat rumah Huda. Sementara sepuluh orang lagi kawan mereka yang lain akan menunggu di kawasan perkelahan tu terus.

Saiful anak tunggal dan yatim piatu. Mak dan ayahnya meninggal dunia dalam kemalangan masa dia masih di sekolah menengah. Sejak itu, dia tinggal bersama neneknya. Mujurlah mak dan bapa saudara Saiful merupakan insan-insan yang bertanggungjawab. Segala keperluan Saiful ditanggung oleh mak dan bapa saudara sebelah ayahnya.

Nenek Saiful taknak tinggalkan rumah pusaka yang mereka duduki sekarang. Dia tetap nak tinggal kat rumah tu. Rumah tu ok je sebenarnya. Cuma anak-anaknya risau dia tinggal sendirian. Tambahan usia dah makin meningkat. Memanglah Saiful tinggal bersama neneknya tapi Saiful bersekolah asrama. Masa di kolej matrikulasi pun Saiful di asrama. Maka makciknya la yang selalu temankan neneknya. Kebetulan rumah makcik Saiful berdekatan. Jika Saiful balik ke rumah neneknya, makcik Saiful balik ke rumah mereka.

Nenek Saiful dah tua, dah 90 tahun tapi masih kuat bertenaga. Tiada sebarang penyakit. Masih mampu redah semak belukar semata-mata nak cari pucuk paku. Padahal boleh je beli pucuk paku kat pasar pagi. Bukannya mahal, seikat RM1.00 untuk makan berdua dengan Saiful, memang boleh masak dua kali.

Tapi neneknya memang suka meredah semak samun kutip sayur dan ulam-ulam. Nenek Saiful pun rajin bercucuk tanam. Macam-macam pokok ditanam kat belakang rumah. Maklumlah, laman rumah orang dulu-dulu, memang luas. Dari sebesar pokok durian, sampailah sekecil pokok serai, sebut je nak pokok apa, In Shaa Allah ada.

Mak Huda dan nenek Saiful pun saling mengenali. Cuma keluarga Damia agak jauh, mereka tinggal di bandar. Mak ayah Damia, dua-dua arkitek. Ada syarikat kontraktor sendiri. Duit jangan cakaplah, tak pernah susut. Damia tak pernah kedekut dengan Huda dan Saiful sebab kedua-dua insan itulah kawan baiknya di kala susah dan senang. Kebetulan Huda dan Saiful bukanlah dari keluarga senang sangat. Jadi, kalau pasal duit, memang Damia la tempat mereka bergantung. Kadang tu bukan mereka mengharap duit Damia tapi Damia tu dah macam tahu kalau dua kawannya tu ada masalah kewangan. Mereka kenal sejak sekolah rendah lagi, memang dah saling mengenali. Bak kata orang tua-tua, sekilas ikan, dah tahu jantan betina.

Damia anak bongsu dari tiga beradik je. Abang sulung Damia dah bekerja di Jerman. Kakak Damia masih belajar di Mesir ambil kursus perubatan. Jadi dia pun selalu kesunyian. Sebab tu dia selalu join geng anak-anak kampung ni ke sana sini.

“Huda! Jom,” Huda tersentak dari lamunan. Damia dan Saiful dah tercegat kat depan matanya, dia tak perasan.

“Korang ke mana? Janji pukul 9. Ni dah dekat pukul 10. Matahari pun dah naik. Tempat tu dah la berbukit. Jenuh mengayuh dalam panas,” Huda merungut.

“Maaflah. Aku tunggu makcik aku tadi. Dia lambat sampai. Katanya anak dia demam. Tak sampai hati aku nak tinggalkan nenek aku,” sahut Saiful. Huda tak menyahut, dia terus mengambil begnya dan menggapai basikalnya lalu bergerak bersama Saiful dan Damia.

“Mak, Saiful dan Damia dah sampai. Huda pergi dulu ye,” Huda melaung memanggil maknya yang sedang menyidai kain di dapur.

“Ha, iyelah. Hati-hati. Bawa basikal tu elok-elok. Jangan ingat nak seronok je. Nak masuk hutan tu. Jangan balik lewat sangat. Tu ingat batas-batas lelaki perempuan. Ingat kita orang islam,” pesan Mak Huda sambil memerhati anak gadisnya dan dua kawannya memulakan perjalanan.

“Baik makcik. Kami pergi dulu,” sahut Damia. Walaupun dia anak orang bandar yang kaya raya, dia tetap seorang yang lembah lembut dan sopan santun. Amat menghormati orang tua. Semua mak-mak kawan dia, dia sayang macam mak dia. Mungkin sebab mak dia sendiri jarang bersama dia.

Lalu tiga sekawan itu memulakan perjalanan dengan kalimah Bismillaahirrohmaanirrohim. Mereka mula mengayuh basikal di bawah matahari yang mula meninggi diri.

Lebih kurang 45 minit, Huda, Saiful dan Damia mula memasuki kawasan perkelahan tersebut. Di pintu masuk kawasan perkelahan tu, ada dua orang pegawai RELA yang menjaga. Perlu tulis nama, alamat dan nombor telefon di dalam buku pendaftaran. Sebab kawasan perkelahan tersebut adalah kawasan hutan dan gunung. Sebab tu airnya sejuk, airnya mengalir dari gunung. Kawasan tu menjadi kawasan larangan bermula jam 7 malam hingga 7 pagi. Tak dibenarkan untuk sesiapa bermalam. Sebab tu, nama perlu ditulis dan nanti bila nak keluar, kena tandatangan juga.

“Berkelah dengan kawan-kawan ke?” Salah seorang pakcik RELA tu menegur. Sebab dia terdengar Saiful menegur nama kawan-kawanya yang dah tertulis di dalam buku pendaftaran tersebut.

“Iye pakcik. Kami baru habis matrikulasi. Sekarang tunggu panggilan universiti,” sahut Damia yang memang terkenal dengan sifat ramahnya.

“Ooo… ok ok. Baik-baik ye. Semalam ada orang luka kaki sebab entah siapa tak bertanggungjawab dah buang botol kaca yang pecah ke dalam sungai. Terbelah kaki budak tu semalam. Elok-elok datang nak seronok, tak pasal-pasal balik dengan kaki berjahit,” kata pakcik RELA tu lagi.

“Ya Allah, iye ke pakcik. Teruk betul orang yang buang botol kaca tu ye,” kata Saiful.

“Tu la sebab kena hati-hati selalu. Lagipun ini kawasan hutan, kaki gunung pulak tu. Bukan semua perangai orang sama.” Kata pakcik RELA tu lagi.

“Tu nasib baik jumpa orang, kalau jumpa bukan orang macammana?” kata seorang lagi pakcik RELA sambil senyum mengusik.

“Bukan orang tu macammana pakcik?” Huda bertanya setelah diam sejak tadi.

“Biasalah, hutan kan. Ramai ada kat situ,” kata pakcik tadi lagi.

“Maksud pakcik?” Damia bertanya ingin tahu.

“Iyelah, tempat macam ni ‘keras’. Kita masuk tempat orang, kena la jaga adab. Takut ada yang marah,” kata pakcik tu lagi. Huda, Saiful dan Damia berpandangan sesama sendiri.

“Keras macammana tu pakcik? Sebab kat sini banyak batu ke?” Damia tanya lagi.

“Batu pun banyak, hantu pun banyak,” kata pakcik tu sambil ketawa sinis lalu menyedut rokok daunnya.

“Kau ni Deris. Tak payahlah takutkan budak-budak ni. Dah, usah layan pakcik Deris ni. Dia memang suka menyakat. Dalam hutan tu, ada monyet dan binatang. Biasalah hutan. Sebab tu kawasan ni tak dibenarkan bermalam. Risau diganggu haiwan dari hutan. Pergilah. Hati-hati,” kata pakcik RELA yang mula-mula tadi sambil menulis sesuatu di dalam buku pendaftaran tadi.

Huda, Saiful dan Damia memandang ke arah pakcik Deris tu tadi. Pakcik tu tak pandang mereka pun, dia hanya tersenyum dan pandang ke lain. Ada parut melintang di dahi pakcik Deris tu. Macam bekas dari luka besar tu, tapi tak dijahit.

Lalu Huda, Saiful dan Damia mengayuh semua basikal mereka dan masuk ke dalam kawasan perkelahan. Hutan tebal di sebelah kiri dan sungai di sebelah kanan. Sebelah sana sungai, hutan tebal lagi. Air sungai jernih, sampai nampak pasir-pasir di bawahnya. Masuk je ke dalam kawasan tu, automatic rasa sejuk mencengkam. Mana taknya, air sungai mengalir dari kaki gunung. Dengan hutan yang menutup kiri kanan dan udara juga. Cuma ada sikit-sikit cahaya matahari yang masuk ke dalam kawasan tu.

“Cuak pula aku dengar Pakcik Deris tu cakap macam tu. Dia pun pandang orang lain macam je,” kata Huda menyuarakan perasaannya.

“Kan? Aku pun rasa macam tu. Nak menyakat pun, tak payahlah cakap sampai macam tu,” kata Damia pula.

“”Hish korang ni. Benda kecil je pun. Pakcik tu boring la tu. Kau bayangkan dia duduk kat situ start jam 9 pagi sampai 6 petang, pandang hutan je. Jadi nak hilangkan boring tu, dia saja je ngusik orang-orang yang lalu lalang. Takde apa la. Nenek aku pesan, masuk dalam hutan macam ni, jaga je mulut tu. Jangan cakap benda bukan-bukan. Jangan buat perkara tak elok. Selebihnya tawakkal kat Allah,” kata Saiful. Dia memang selalu ceramahkan kami. Sebab tu kadang kami panggil dia ustaz Saiful. Kawan-kawan lelaki selalu panggil dia Sheikh Saiful. Saiful jarang marah. Bila dia nampak macam bad mood, kawan-kawan akan kata dia ‘naik sheikh’. Saja ngusik.

Selepas hampir 5 minit mengayuh, mereka dah mula tercari-cari kawan mereka. “Diorang ada bagitahu ke diorang tunggu kat mana?” Huda tanya Saiful. Saiful tak jawab tapi dia berhentikan kayuhan basiklanya dan terus buka telefonnya.

“Kau nak call diorang ke? Ada line ke kat sini?” Damia tanya Saiful. Saiful masih tak jawab, dia buka telefon bimbitnya.

“Azri kata lepas jumpa pondok kuning, kita akan jumpa kawasan tempat orang meniaga dan tandas awam. Kita naik ke atas lagi. Dah hampir hujung dah. Situ pun betul-betul kat kaki gunung. Kat situ kat ada air terjun dan kawasan tu lapang sikit. Matahari pun tak dihalang dek pokok,” kata Saiful.

“Ooo… dia dah cakap semalam?” Huda tanya.

“Haah, semalam aku tanya dia. Dia cakap macam tu la. Dia kan dah biasa dengan tempat ni. Kita ikut je la,” kata Saiful. Lalu Huda dan Damia pun menurut.

Setelah 10 minit mengayuh, mereka jumpa pondok kuning dan kawasan orang meniaga seperti yang diberitahu oleh Azri. Sungguhpun sejuk, peluh tetap mengalir di dahi tiga sekawan tu. Mereka terus mengayuh di jalan yang semakin tinggi itu.

“Weh, mana diorang ni? Lama dah kita mengayuh ni. Rasanya dah jauh ke dalam kita ni. Dah makin kurang orang ni. Cuak pula aku. Cuba call Azri dulu,” kata Huda.

Tiga sekawan tu berhenti mengayuh. Saiful tengok telefonnya. “Takde line. Sini memang susah.” Katanya. Huda dan Damia pun masing-masing buka telefon. Pun takde line. Damia turun dari basikalnya. Mengangkat telefonnya di udara sambil bergerak ke kiri dan ke kanan mencari isyarat.

“Huda, Saiful, Damia! Sini la,” tengah mereka tercari-cari isyarat, terdengar suara seseorang memanggil nama mereka. Lalu ketiga-tiganya memandang ke arah suara itu.

“Sinilah. Lama dah kitorang tunggu. Apasal lambat?” kelihatan Linda melangkah ke arah mereka.

– Bersambung –

One thought on “BILA BULAN TERBELAH DUA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s