NAK BALIK RAYA

Bab 5 (AKHIR)

Aku duduk di pintu. Aku tolak almari kecil aku kat pintu. Aku taknak Fatihah masuk ke bilik aku lagi. Dan aku tekad, walau apapun bunyi kat luar tu nanti, aku takkan buka pintu bilik ni. Aku takkan keluar. Aku tahan mata aku, aku takkan tidur. Ada dua jam lagi azan subuh akan berkumandang. Aku akan mandi dan solat. Lepas tu aku nak telefon Hana, nak janji dengan dia ambil biskut raya. Lalu terus aku nak pecut balik kampung. Aku taknak peduli kat Fatihah dah. Aku tekad.

Tapi tak sampai sepuluh minit, aku terlena di atas lantai di depan pintu bilik sambil pegang almari yang aku sendal kat pintu. Mungkin sebab aku mengantuk sangat. Aku tersedar bila terdengar bunyi orang ketuk pintu dan panggil aku dari luar bilik. Aku duduk sambil gosok mata.

“Kak,” aku dengar suara Fatihah panggil aku dari luar bilik.

Aku tengok jam dinding, dah pukul 6  pagi. Dah masuk subuh pun.

“Kak,” aku dengar lagi suara Fatihah. Tapi masa ni aku tak rasa takut sangat. Mungkin sebab dah subuh. Aku bangun, cuba tolak almari ke tepi. Berat la pula almari tu. Semalam aku tolak rasa ringan je. Jenuh juga aku tolak, bergerak sikit je. Dapat buka pintu sikit. Aku jenguk keluar. Fatihah berdiri di luar pintu, dah tukar baju kurung, macam dah siap mandi.

“Kenapa ni kak?” Fatihah tanya aku bila tengok aku jenguk muka je.

“Takde apa. Fatihah siap la, sekejap lagi kita gerak,” kataku macam dah lupa dengan kejadian semalam.

“Akak tak sahur ke?” Fatihah tanya aku.

Dan masa ni aku terbeliak mata. Ya Allah, iyelah, aku tak sedar langsung. Konon taknak tidur semalam.

“Akak tak sedar la Tiha,” kataku.

“Tiha ketuk pintu bilik akak banyak kali tadi. Tapi akak tak sedar. Tiha cuba buka, tapi pintu bilik akak berkunci,” kata Tiha.

“Haah, akak terkunci semalam. Tak perasan. Tiha bangun sahur ke?” aku berdalih, sambil-sambil cuba mengingat apa yang terjadi semalam.

“Tiha bangun minum air dan makan kurma sebiji,” kata Fatihah.

Tiba-tiba aku rasa bersalah pula. Sebab terlalu ikut perasaan takut. Padahal ok je Fatihah tu. Aku sendiri yang takut diri sendiri sebenarnya.

“Kenapa akak macam tersangkut je kat pintu ni?” Fatihah tanya aku. Memanglah aku tersangkut, dah muat kepala je aku keluar dari celah pintu yang terbuka. Selainnya dah tersekat dengan almari yang aku tak larat nak tolak.

“Takde apalah. Tiha siap ye. Akak nak mandi dan solat. Lepas tu kita gerak jumpa kawan akak, ambil biskut dan kita boleh balik raya,” kataku.

“Akak nak Tiha tolong tolak almari tu ke?” Fatihah tanya aku. Dan masa ni aku rasa cuak. Mana dia tahu ada almari menyendal kat belakang pintu?

Aku tak menyahut. Tapi aku masuk semula ke dalam bilik. Fatihah masuk melalui celah pintu yang terbuka. Iyelah, badan dia kecil je. Lalu dia menolak almari tersebut ke tempat asal. Memang almari tu tak berat, sebab tu aku boleh tolak sendiri semalam. Cuma pagi ni aku macam tak berapa betul sikit. Mungkin sebab tak lena semalam, atau tak cukup rehat.

Lepas tolak almari aku, Fatihah keluar dari bilik. “Cepat kak, kita nak balik kampung raya ni,” kata Fatihah dengan riang. Tenang sikit rasa hati aku melihat keadaan dia macam tu. Tak macam tengah malam semalam, buat aku kecut perut.

Selesai aku mandi dan solat, aku masukkan beg dan semua barangan ke dalam kereta. Fatihah duduk berayun di buaian besi depan rumah kami. Dia asyik senyum je. Seronok sangat kot nak balik kampung.

Kami bergerak ketika jam menunjukkan pukul 7 pagi. Aku jumpa Hana di pasar tempat Hana bantu suaminya meniaga ayam setiap pagi.

“Maaf la semalam tak dapat bagi kau biskut ni. Sebab kita dah janji hari ni kan.” Kata Hana.

“Takpe. Sebab ada hal lain. Tu yang aku tanya. Kot la aku boleh balik kampung semalam,” sahutku.

“Hal apa? Kau kan masih mengajar semalam?” Hana tanya.

“Aku ada bawa seorang budak ni. Dia nak tumpang aku balik,” kataku.

“Budak mana pulak?” Hana tanya.

“Tu,” aku muncungkan mulut aku ke arah Fatihah yang berada di dalam kereta.

Hana pandang ke dalam kereta.

“Siapa?” Hana tanya.

“Panjang ceritanya. Nantilah aku ceritakan kat kau. In Shaa Allah lepas raya aku jumpa kau ye. Aku nak cepat ni,” kataku sambil bersalaman dengan Hana.

“Hati-hati bawa kereta. Kirim salam kat mak abah kau,” kata Hana.

“In Shaa Allah,” sahutku dan terus masuk ke dalam kereta lalu memandu pergi. Aku nampak Hana masih memandang ke arah kereta aku hingga aku tinggalkannya jauh. Wajahnya agak risau. Mungkin sebab dia tahu aku nak memandu jauh. Dia memang selalu risaukan aku. Mungkin sebab dia lebih tua dari aku, dan dia dah jadi seorang ibu, maka naluri ibu tu ada bersamanya.

Perjalanan kami tenang. Tak banyak kereta di lebuhraya. Mungkin sebab ramai yang dah balik kampung. Esok dah nak raya kot. Hari ni mesti mak aku sibuk masak lemang ketupat rendang bagai. Seronoknya. Sampai aku terlupa Fatihah ada bersama aku. Dia pun diam je, tak banyak sembang. Lebih banyak lihat keluar tingkap.

“Tiha ok?” aku tanya. Fatihah hanya anggukkan kepala.

“Jangan risau ok. Sekejap lagi Tiha akan jumpa keluarga Tiha. Esok kita raya,” kataku memujuk. Dan Fatihah tetap diam.

Ketika melalui satu kawasan berhutan tebal dan agak bercerun sedikit, kereta aku buat hal. Dah la kiri kanan hutan tebal. Kereta tak banyak. Tersengguk-sengguk kereta aku. Bateri kereta kejap menyala kejap padam padahal dua hari lepas aku dah hantar servis dah kereta ni.

“Alamak, dah kenapa pula kereta ni?” rungutku. Enjin kereta mati. Aku cuba hidupkan berkali-kali. Tapi tak boleh. Aduh, tak pernah lagi la kereta ni buat hal kat tengah hutan macam ni. Aku tekan hazel light. Lalu keluar dari kereta. Aku buka bonet belakang, gantung tanda awas di belakang kereta. Aku buka pula bonet depan. Macam la pandai nak tengok.

Aku masuk ke dalam kereta, ambil telefon. “Kenapa kak?” Fatihah tanya.

“Entahlah, nanti akak telefon kawan akak,” kataku. Aku call Azman, pomen yang selalu servis kereta aku. Katanya dia dah balik Pahang. Tapi dia yakin sangat kereta aku ok. Dia kata dia cuba call kawan dia yang lain kot boleh datang.

“Akak try call PLUS la, diorang boleh tolong kot,” tiba-tiba Fatihah bersuara kat tepi aku. Terkejut aku, tadi dia ada kat dalam kereta. Bila masa pulak dia keluar berdiri kat tepi aku ni? Dan ya tak ya juga. Kenapa aku tak cuba call PLUS? Dah tentu diorang ada pasukan yang boleh bantu aku.

Lebih kurang 10 minit lepas aku call PLUS, sebuah kereta peronda PLUS menghampiri kami.

“Kenapa ni cik?” salah seorang dari mereka bertanya sebaik sahaja keluar dari kereta peronda.

“Tak tahulah. Baru je servis hari tu. Semua ok dah rasanya. Ni tiba-tiba enjin tersengguk-sengguk terus mati,” kataku.

“Saya tengok enjin sekejap,” kata pegawai peronda tu lagi. Aku angguk kepala je. Sambil tu menyebok nak tengok juga apa dia buat kat enjin kereta aku tu walaupun aku tak tahu apa-apa pasal enjin kereta.

“Pengepit bateri tercabut ni,” kata seorang lagi pegawai yang datang bersama kereta peronda tadi.

“Pengepit bateri?” Aku terus jenguk ke arah pengepit bateri. Iyelah, pengepit bateri tu memang tercabut dari bateri. Tapi kalau setakat pengepit bateri, tadi memang aku dah tengok. Elok je. Memang la aku tak tahu pasal enjin kereta, tapi kalau setakat pengepit bateri tu, aku pun tahu.

“Tadi tak tercabut cik. Saya dah tengok,” kataku tak percaya hanya sebab itu.

“Takpe, pergi cuba hidupkan enjin semula,” kata pegawai peronda tu lagi.

Tanpa berlengah, aku terus masuk ke dalam kereta dan cuba hidupkan enjin kereta. Sekali cubaan sahaja enjin kereta aku hidup. Smooth je, langsung takde masalah. Berkerut dahi aku.

“Ha, dah ok kan? Pengepit tu je. Takde masalah lain,” kata pegawai peronda tadi.

“Terima kasih encik. Minta maaf sebab dah susahkan encik,” kataku lagi.

“Takpe, hal kecil je. Cuma lain kali, kena tahu perkara basic macam ni. Penting.” Kata pegawai tu lagi. Aku nak kata apa? Memang aku yakin aku dah tengok bahagian pengepit bateri tu. Takpelah, kita mengalah tak bererti kita kalah.

“Jom Tiha, kita balik,” kataku sambil memandang keliling. Fatihah tiada di sekitar situ.

“Tiha?” aku panggil. Dua pegawai peronda tadi pandang aku.

“Cik cari siapa?” salah seorang tanya.

“Tadi ada kawan saya dengan saya sekali. Sekarang dia takde. Aduh. Ke mana pula dia pergi?” aku mula panik.

“Tapi dari tadi kami tengok cik seorang je,” kata pegawai peronda tadi.

“Tak encik, dia ada dengan saya. Tolong encik. Tolong saya cari dia,” kataku merayu. Rasa nak menangis dah.

“Ok ok. Cik sabar. Kami cuba tengok-tengokkan kat hutan sebelah ni. Dalam usia berapa? Dia pakai baju apa?” pegawai tadi tanya.

“19 tahun. Dia pakai baju kurung warna kuning dan tudung warna biru. Tolong cik, tolong cari dia,” rayuku. Air mata aku memang dah menitik dah. Dada aku mula sesak dah. Aku fokus sangat kat kereta tadi, sampai tak ingatkan Fatihah. Ke mana dia pergi?

Kedua-dua pegawai peronda tadi melangkah masuk ke kawasan hutan yang bercerun di sebelah kiri lebuhraya. Salah seorang darinya menghubungi pejabat melaporkan kehilangan orang. Aku dah menggeletar, sedih dan terkilan. Amat mengharap agar Fatihah muncul kat depan mata aku sekarang ni.

“Tiha? Tiha kat mana? Jom kita balik raya,” aku panggil sambil menjenguk ke dalam hutan sebelah. Melilau mata aku mencarinya. Tapi tak nampak sesiapa.

“Kak,” tiba-tiba Fatihah berdiri kat tepi aku. Dia datang dari mana pun aku tak perasan.

“Tiha ke mana? Risau dah akak. Kenapa merayau-rayau tak cakap kat akak? Janganlah merayau kat tempat macam ni. Akak sendiri pun cuak bila kereta rosak. Hish. Tengok, dah susahkan pegawai tu pula,” bebelku. Bukan nak marah Fatihah tapi aku rasa satu kelegaan bila nampak dia. Cuma aku melepaskan rasa risau aku bila dia hilang. Fatihah diam bila aku marah dia.

“Akak bukan nak marah Tiha. Tapi Tiha tahu kan, kita kat tempat macam ni. Kenalah hati-hati. Jangan merayau suka hati. Nanti kalau sesat ke apa ke dalam hutan tu, macammana?” aku tanya Fatihah semula.

“Tiha minta maaf kak.” Kata Fatihah sambil tundukkan kepala, muka penuh rasa bersalah.

“Dah dah. Sekarang ni akak kena panggil pegawai tu. Diorang masuk dalam hutan tu cari Tiha.” Kataku sambil memerhati ke dalam hutan, tadi cari Fatihah, sekarang cari pegawai peronda pula. Adoi, dugaan betullah aku nak balik raya tahun  ni.

“Tiha tunggu kat sini. Jangan pergi mana-mana tau,” aku pesan kat Fatihah. Fatihah hanya anggukkan kepala.

Aku melangkah penghadang besi kat tepi jalan, lalu masuk ke dalam hutan yang penuh kelapa sawit. Takdelah semak sangat tapi gerun juga la. Takkan aku nak tinggalkan je pegawai tu.

“Encik, encik!” aku panggil pegawai tadi.

“Sini! Sini!” aku dengar suara salah seorang pegawai tadi. Aku melangkah laju sikit menuju ke arah suaranya. Ketika sampai, aku lihat kedua-dua pegawai tu sedang meneliti sebuah kereta yang dah terbakar hangus. Berderau darah aku.

“Kenapa ni encik?” aku tanya spontan.

“Kereta ni terbabas kot, terus terbakar. Nampak macam mangsa masih kat sini. Entah berapa lama dah ni,” kata pegawai tu. Aku tutup mulut, rasa nak pitam. Aku nampak macam susuk tubuh manusia tapi dah terbakar hangus.

“Kawan kamu tadi dah ada?” pegawai tu tanya aku. Manakala seorang lagi sedang menelefon.

“Dah, dia dah ada,” sahutku.

“Kalau macam tu, cik boleh pergi. Hati-hati memandu. Semoga selamat sampai ke destinasi. Selamat hari raya,” kata pegawai tu lagi.

“Terima kasih encik. Minta maaf sekali lagi kerana menyusahkan,” kataku sambil berpaling untuk kembali ke kereta aku.

“Plat Perak AGK 1805. Jenis Toyota Rush. Setakat ni yang kami nampak ada 4 mangsa,” tiba-tiba aku terdengar seorang lagi pegawai yang sedang menelefon tu menyebut nombor tu. Aku macam pernah dengar nombor tu. Sangat jelas.

“Encik, tadi encik sebut nombor plat tu, kereta siapa?” aku tanya.

Pegawai tu tunjukkan ke arah kereta yang terbakar. Tapi masih nampak nombor plat kereta. AGK 1805.

Mata aku terbeliak. Toyota Rush, AGK 1805, 4 orang di dalamnya. Fatihah! Mak, abah dan 2 orang adiknya! Astaghfirullaha’ azim. Aku mengusap muka aku. Berpinar-pinar kepala aku. Aku terduduk.

“Cik, kenapa ni? Yusof, kau bawa cik ni keluar dari sini. Dia tak kuat nak tengok semua ni,” kata pegawai tadi kepada kawannya yang seorang lagi.

Aku melangkah keluar dari hutan tu. Kembali ke kereta aku. Fatihah masih berdiri di tempat aku tinggalkannya tadi. Aku terus menangis bila nampak Fatihah. Aku peluk Fatihah.

“Kenapa kak?” Dia tanya aku.

“Tiha, akak rasa, akak dah jumpa keluarga Tiha,” aku cakap kat Tiha.

“Kat mana kak?” Fatihah bertanya. Aku tunjukkan ke arah dalam hutan. Fatihah berlari ke dalam hutan. Aku pun ikut berlari bersamanya. Fatihah jerit mak abah kuat-kuat. Fitri, Faiz. Empat nama tu keluar dari mulutnya tak henti-henti. Pegawai yang mengikut aku keluar tadi pun cuak tengok aku berlari semula ke dalam hutan.

“Cik, cik tak boleh masuk sini. Cik tunggu kat luar je.” Katanya.

“Rasanya kereta yang terbakar kat dalam tu, adalah keluarga kawan saya ni,” kataku sambil masih berlari.

“Keluarga kawan cik?” pegawai tu tanya. Aku dah sesak nafas berlari, mana sempat nak bercerita.

Sampai di tempat kejadian, aku nampak Fatihah menangis di tepi salah satu mangsa yang terbakar. Fatihah bergerak ke bahagian belakang kereta, dia ambil sesuatu dari dalam kereta.

“Kak, tolong call nombor ni. Ini nombor mak saudara Tiha. Minta mereka datang sini,” dengan suara yang masih bersisa, Fatihah menghulurkan kat aku satu buku kecil yang dah terbakar ada secebis mukasurat masih nampak tulisannnya.

Dengan tangan yang terketar-ketar dan suara yang dah serak, aku dail nombor yang tertera.

“Assalamualaikum puan. Saya kawan Fatihah. Kami jumpa kereta abahnya terbakar di dalam hutan di lebuhraya PLUS kilometer 348. Kalau boleh, puan datanglah ke sini. Pihak PLUS yang jumpa kereta ni,” kataku menahan sebak. Dan aku dengar bunyi jeritan di talian. Istighfar bergema. Aku tak tahan nak menangis. Sungguh aku tak kuat dengan keadaan tu.

“Cik kenal dengan mangsa?” pegawai tu tanya.

“Keluarga kawan saya. Dia tunggu keluarganya ambil dia dari semalam. Tapi tak datang. Sebab tu dia tumpang saya nak balik raya. Tak sangka jumpa kat sini, dan dalam keadaan ni,” kataku terus menangis. Aku tengok Fatihah yang masih duduk di bahagian belakang kereta, sendirian menangis. Aku peluk Fatihah, Fatihah sambut pelukan aku.

“Sabar Tiha. Semua ujian ni sebab Allah sayang. Akak pun tak tahu nak cakap apa dah sekarang ni,” kataku sambil peluk Fatihah yang masih menangis sampai tak mampu bersuara.

Beberapa kereta polis dan ambulan tiba di tempat kejadian. Semua mangsa di bawa naik ke dalam ambulan. Pihak polis mengambil beberapa keping gambar. Aku masih peluk Tiha. Tiha kelihatan amat lesu. Dia dah penat menangis. Matanya bengkak.

Lebih kurang 20 minit kot, muncul seorang wanita dalam usia 50-an dan suaminya yang mengaku dia adalah kakak kepada mangsa. Katanya saya ada call dia.

“Kak, Tiha rasa cukup sampai sini saja. Akak pulanglah kepada keluarga akak. Mak saudara Tiha pun dah ada kat sini. Tiha akan bersama mereka. Tiha taknak mereka tahu bahawa semalaman Tiha bersama orang yang Tiha tak kenal. Tiha dah selamat sekarang. Tiha dah lega. Tiha dah jumpa keluarga Tiha walaupun dalam keadaan macam ni. Terima kasih banyak-banyak sebab akak dah bantu Tiha dan keluarga Tiha. Tiha takkan lupakan jasa akak dari dunia hingga akhirat. Tiha doakan akak dirahmati Allah selama akak hidup di dunia ini. Terima kasih kak.” Kata Fatihah.

“Sama-sama Tiha. Semuanya atas izin dan takdir Allah. Betul Tiha taknak akak tunggu lagi?” aku tanya. Rasa serba salah pulak aku nak tinggalkan dia. Tapi bak kata Fatihah, mak saudaranya dah ada di situ. Mereka lebih layak untuk bersama Fatihah dalam keadaan tu.

“Betul kak. Akak pergilah. Keluarga akak menunggu. Tiha dah jumpa keluarga saya. Selamat hari raya kak. Maafkan andai ada salah Tiha selama Tiha bersama akak. Halalkan makan minum dan pakai Tiha sejak akak tumpangkan Tiha semalam,” kata Fatihah sambil melangkah ke arah mak saudaranya yang baru sampai dan meraung di situ.

Aku tak tahan melihat semua tu. Mulalah aku teringat kat keluarga aku. Aku terus kembali ke kereta aku. Aku masuk dalam kereta. Aku jerit kuat-kuat bagi melepaskan rasa di hati. Ya Allah, tak sangka aku akan berdepan dengan situasi ini pada sehari sebelum raya macam ni.

“Kringggg kringgg!” telefon aku berbunyi. Aku jawab telefon.

“Suri, kamu dah sampai mana?” aku dengar suara mak aku di talian. Makin sebak dada aku.

“Suri dalam perjalanan. Kejap lagi Suri sampai ye mak,” kataku cuba mengawal suara.

“Kamu menangis?” mak aku tanya. Mak kan? Jauh mana kau nak sorok?

“Taklah mak. Suri batuk dan selesema sikit,” dalihku.

“Bawa kereta elok-elok. Kalau penat, berhenti dulu. Mak tunggu Suri tau,” kata-kata mak aku yang buatkan aku makin cepat nak sampai kampung.

Sejam kemudian aku sampai ke kampung. Dah zohor pun masa tu. Zirah call aku, dia risaukan aku.

“Kau dah sampai kampung?” tanyanya sebaik aku masuk ke perkarangan rumah mak aku.

“Iya, aku dah sampai,” kataku.

“Fatihah?” Zirah tanya.

“Dia bukanlah seperti yang kita sangka. Dia memang budak baik. Tadi ada hal. Kami jumpa kereta keluarganya terbabas di dalam hutan tepi lebuhraya. Dah terbakar hangus. Mak abah dan dua adiknya pun terbakar.” Aku ceritakan sedikit pada Zirah.

“Ya Allah! Kesiannya dia,” kata Zirah.

“Mak saudara dia dah datang tadi. Aku pun terus balik. Aku tak boleh tengok lah suasana tu,” kataku.

“Takpelah. Nanti kau boleh call dia. Boleh jumpa dia,” kata Zirah. Dan masa ni baru aku teringat, aku takde nombor telefon Fatihah. Terus lupa nak ambil nombor telefon dia. Takpelah, nanti aku boleh call nombor mak saudara dia. Nasib baik aku call mak saudara dia dari telefon aku. Sekurang-kurangnya aku masih boleh kesan dia.

Malam tu, masa aku sedang tolong mak aku rebus ketupat, adik aku panggil aku. “Kak, ini ke yang akak cerita pasal kawan akak yang keluarganya kemalangan tu?” aku terus lari ke depan tv. Rupanya kisah keluarga Fatihah masuk berita. Tak berkelip mata aku tengok tv tu. Macam nak masuk tv kata ayah aku.

“Kereta jenis Toyota Rush dengan nombor plat AGK 1805 tersebut dijumpai oleh peronda PLUS yang melalui kawasan tersebut. Kemalangan dipercayai berlaku dua hari yang lepas namun tiada yang menemui kenderaan dan keluarga malang tersebut. Mangsa dikenali sebagai Mohd Idris bin Osman 50 tahun, Hashimah binti Zakaria 48 tahun, Ahmad Fitri bin Mohd Idris 13 tahun, Ahmad Faiz bin Mohd Idris 16 tahun dan Nurul Fatihah binti Mohd Idris 19 tahun. Semua jenazah mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedahsiasat.”

Masa ni mata aku terbeliak. Nurul Fatihah? Tiha? Dia? Jenazah? Dia mati? Tadi masa aku tinggalkan, dia masih hidup? Berita ni salah ke? Tangan aku menggeletar dah.

Aku ambil telefon aku. Aku call nombor mak saudara Fatihah.

“Assalamualaikum makcik. Saya Suri yang call makcik tentang kemalangan keluarga Fatihah siang tadi,” kataku perlahan.

“Waalaikumussalam. Makcik cari kamu tadi. Tapi kata pegawai tu, kamu dah balik,” kata mak saudara Fatihah.

“Maaf sebab saya tak boleh tunggu. Saya cuma nak pastikan Fatihah dah jumpa keluarga dia je,” kataku.

“Fatihah?” mak saudara Fatihah tanya aku balik.

“Maaf saya mengganggu. Semua urusan dah selesai ke makcik?” aku tanya.

“Malam ni juga semua jenazah akan dikebumikan di dalam satu liang lahat. In Shaa Allah. Rezeki mereka dapat bersama hingga ke liang lahat, di malam raya, malam jumaat,” kata mak saudara Fatihah.

“Fatihah ok ke makcik? Dia ada di sana? Boleh saya cakap dengan dia sekejap?” aku tanya.

“Fatihah?” mak saudara Fatihah masih macam pelik bila aku minta nak cakap dengan Fatihah.

“Ya makcik. Boleh saya cakap dengan dia? Sekejap je,” kataku lagi.

“Suri, Fatihah pun turut meninggal dunia bersama-sama keluarganya. Mereka semua berada dalam satu kereta ketika kejadian. Semua meninggal. Tiada yang selamat,” kata mak saudara Fatihah. Dan macam ada kilat memanah jantung aku masa tu.

“Tapi kan ada 4 jenazah je kat dalam kereta tu?” aku tanya tak puas hati.

“Ya, mula-mula ada empat mangsa. Lepas tu mereka jumpa jenazah Fatihah di tempat duduk belakang, dia tersepit,” kata mak saudara Fatihah.

Fatihah dah meninggal? Siapa yang bersama aku sejak semalam?

Tidak! Aku tak percaya. Aku call Hana. “Hana, kau nampak tak budak perempuan yang aku bawa dalam kereta aku masa aku ambil biskut dari kau pagi tadi?” Dan Hana jawab, “Aku tak nampak sesiapapun dalam kereta kau tadi. Sebab tu aku pelik bila kau kata ada budak perempuan dalam kereta kau,” Aku letak telefon. Aku call seorang lagi saksi aku, Abang Ricky. “Saya tak nampak sesiapa pun dengan cikgu semalam. Sebab tu saya pelik, cikgu memang nampak lain semalam,” kata Abang Ricky. Dan aku terus letak telefon.

Baru aku perasan, Fatihah kata dia panas sedangkan aku sejuk. Rupanya dia dah terbakar. Fatihah kata dia lapar, rupanya mereka dah berada di sana dua hari tapi tiada yang menjumpai. Fatihah genggam dan pijak kaca tak berdarah, rupanya darahnya telah berhenti mengalir dari tubuhnya. Fatihah ajak aku balik kampung semalam juga, rupanya dia nak percepatkan aku menjumpai dirinya. Fatihah ambil buku telefon kecil dari bahagian belakang kereta yang terbakar, rupanya dia ambil dari begnya dan tubuhnya berada di sana. Fatihah kata ada alam lain masih bebas di bulan puasa, rupanya Fatihah bukan di alam yang sama dengan aku.

Aku tersandar di dinding. Mak aku panggil nama aku berkali-kali. Mata aku memandang kosong ke siling rumah. Aku tak tahu nak menangis atau nak takut. Fatihah cari aku untuk cari dirinya.

Fatihah, aku takkan melupakan nama ni.

Yang pasti, selepas ini, aku takkan balik kampung seorang diri lagi. Aku takkan tinggal di rumah sendirian lagi. Aku serik. Trauma aku, untuk seumur hidup. Aku bermalam dengan Sang Roh!

– T A M A T –

One thought on “NAK BALIK RAYA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s