NAK BALIK RAYA

Bab 4

Aku terus masuk ke bilik. Tapi mata aku tak boleh nak lena. Aku masih berfikir tentang Fatihah. Siapa dia tu? Kenapa aku rasa dia lain macam. Meremang bulu roma aku. Hantu ke dia tu? Pijak kaca tak berdarah. Tapi kalau hantu, macammana dia solat? Lagipun, sekarang bulan puasa, mana ada hantu.

“Kring Kring!” Melompat aku bila telefon aku berdering. Dah la telefon tu aku letak betul kat atas meja tepi katil aku. Aku pula duduk di atas katil tu dan bersandar kat meja. Memang melompat la jawabnya. Aku ambil telefon. Nama Zirah di skrin telefon.

Aku terus tengok jam dinding. Walaupun kat telefon tu sendiri ada jam. Pukul 3 pagi. Dah kenapa Zirah call aku masa macam ni?

Aku jawab panggilan tu. “Suri, apahal kau call aku waktu macam ni? Kau ok ke?” Terus aku dengar suara Zirah di talian sedangkan aku yang sepatutnya tanya dia.

“Eh eh, kau yang call aku, tapi kau tanya aku pulak?” aku jawab.

“Kau yang call aku. Tiga missed call kot. Aku ni bukannya boleh orang call jauh malam ni. Pulak tu call banyak kali. Mulalah aku tak boleh tidur,” kata Zirah.

“Mana ada aku call kau?” aku jawab.

“Ya Allah Suri, kau tengok telefon kau. Kau tengok ada tak kau call aku?” Zirah tanya aku lagi.

Aku tengok telefon aku di bahagian ‘recent call’. Betullah, aku ada call Zirah tiga kali. Berkerut dahi.

“Hah, kau diam apasal? Ada tak kau call aku?” Zirah bersuara di talian sedangkan aku masih berkerut dahi memikirkan hal call tu.

“Aku tertekan kot,” sahutku, jawapan yang biasa bila kita tak sedar kita dah call orang lain.

“Waktu lain boleh la kau kata tertekan ke, terdail ke. Ni pukul 2-3 pagi kot nak tertekan mende? Kau tak tidur ke pun?” kata Zirah lagi.

“Aku tidur. Sebab tu aku pelik, bila masa aku call kau? Mungkin aku gerak-gerak tu, tertekan nombor kau kot. Entahlah,” sahutku, Walaupun aku sedar, telefon aku kat atas meja, jauh juga dari katil aku. Mustahil aku ‘tertekan’ nombor Zirah.

“Ni aku call kau, berdering sekali je kau dah angkat. Kau tak tidur ke?” Zirah tanya aku lagi.

“Zirah, aku nak cakap dengan kau sikit ni. Ada hal sikit kat rumah ni. Tapi aku tak tahu macammana nak cakap kat kau. Rasa macam tak syok,” kataku.

“Apa? Cakaplah. Aku memang ada rasa sesuatu yang tak kena ni,” kata Zirah.

“Petang tadi, masa aku nak balik sekolah. Aku jumpa seorang gadis remaja kat bus stop depan sekolah. Dia tunggu mak abah dia datang ambil. Tapi mak abah dia tak datang, dari pagi sampailah masa aku balik tu,” kataku memulakan cerita.

“Jap jap…. Kau jangan kata kau bawa budak tu balik ke rumah kita,” kata Zirah.

“Itulah yang aku nak cakap. Aku bawa dia balik. Kesian dia. Dah la mak abah dia tak nampak batang hidung. Beg dia pula kena curi. Dia memang sehelai sepinggang,” kataku perlahan.

“Tak kisahlah apa cerita dia. Yang penting sekarang, budak tu kat mana? Kau dah hantar ke balai ke?” Zirah tanya seakan tak sabar.

“Hmmm…. Dia masih ada kat rumah ni, dengan aku. Dia tidur kat ruang tamu,” kataku perlahan. Dan aku dengar Zirah menarik nafas panjang dan melepaskan satu keluhan berat.

“Kau ni Suri. Dulu kan dah kena sekali. Habis semua barang rumah kita hilang kena curi. Masa tu takpelah lagi, ada orang lain kat rumah tu dengan kau. Tapi sekarang kau seorang diri kot. Kau masih berani nak bawa orang asing ke rumah kita? Kau ni memang tak serik la Suri,” kata Zirah, menahan marah.

“Aku minta maaf. Aku memang kesian kat dia. Dia tak nampak macam orang jahat pun,” kataku lagi.

“Ok, sekarang budak tu ok tak kat rumah tu? Tak buat benda pelik-pelik. Takut dia buat benda yang membahayakan kau Suri. Aku sekarang ni risaukan kau, kau tahu tak? Kalaulah Pulau Pinang dengan Kuala Lumpur tu sebelah je, aku memang balik rumah dah sekarang ni. Kau ni Suri,” Zirah membebel di talian.

Memang dulu aku pernah bawa balik seorang wanita. Macam kes ni juga. Masa tu wanita tu dengan baby kecil. Katanya kena halau dengan suaminya. Keluar dari rumah sehelai sepinggang. Baby menangis, lapar susu. Aku ni cepat kesian, aku bawa balik rumah. Masa tu Zirah ada kat rumah. Dia pun terima kedatangan wanita tu.

Kami beri wanita tu makan. Belikan susu untuk bayinya. Dia guna telefon kami untuk call saudaranya. Petang nanti saudaranya datang.

Dan lepas saudaranya ambil wanita tersebut dari rumah kami, lepas sejam kot. Baru kami perasan banyak barangan berharga milik kami dah hilang. Jam tangan, duit, barang kemas. Semua hilang. Kecoh juga sekejap. Maria yang baru balik dari tempat kerja masa tu, terus call pakciknya yang kami panggil Pakcik Ali.

Masa Pakcik Ali datang, dia memerhati setiap ruang rumah kami. Entah apa dia cari kat rumah kami, tengok sana sini. Rumah kami tak selerak pun. Kemas macam selalu. Takde tanda kena geledah pun. Kami pun pelik, macammana barang kemas di dalam almari pun dia boleh ambil sedangkan dia tak masuk pun bilik kami.

Pakcik Ali ambil sesuatu di belakang rak tv. Satu bungkusan warna putih, tapi busuk sungguh baunya. Tapi sebelum Pakcik Ali ambil, takde pula bau busuk tu. Pakcik Ali bawa bungkusan tu keluar dan bakar.

Pakcik Ali cakap, kami semua dah kena pukau. Sebab tu kami berikan semua barangan kepada wanita tu. Kami terdiam. Nak kata apa lagi. Kami ingat di zaman moden ni, takde dah pukau mukau ni. Semua dah advance kot. Rupanya masih ada. Kami buat laporan polis, polis pun datang tapi kata polis, tak nampak macam ada kesan pencuri masuk. Memanglah takde, dah kami sendiri yang bagi dia masuk.

Sungguh-sungguh aku minta maaf kat kawan serumah aku. Sebabkan aku bawa wanita tu balik rumah kami, habis semua barangan berharga dan duit mereka turut hilang. Memang aku trauma dah masa tu.

Tapi entahlah, macammana aku boleh bawa balik pula si Fatihah ni. Mungkin sebab dia masih budak kot. Dah ceritanya agak meyakinkan aku.

“Suri! Kau hidup lagi ke?” aku terkejut dari lamunan bila terdengar suara Zirah kat talian.

“Aku ada lagi la.” Sahutku.

“Budak tu kat mana sekarang? Dia ada buat kacau tak?” Zirah tanya.

“Dia takde buat kacau tapi ada sesuatu yang pelik pasal dia,” sahutku. Tak tahu macammana nak cerita kat Zirah. Tapi aku perlu luahkan rasa tak senang hati aku ni.

“Pelik macammana?” Zirah tanya.

“Macam dia tu bukan macam kita. Dia …. Aku tak tahu nak cakap macammana. Contohnya. Tadi pukul 1 dia mandi dengan baju sekali kat bilik air belakang. Aku jumpa dia dah tersandar kat tepi dinding kesejukan. Lepas tu dia makan dari sisa dalam bakul sampah. Pinggan kaca kita semua pecah. Ni cerita pukul 3 pagi tau. Katanya lapar. Tapi aku pelik, kenapa dia makan dari tong sampah? Lepas tu, dia pijak kaca, kaki dia tak berdarah,” aku luahkan semua.

“Ya Allah, seram pula aku dengar cerita kau. Sekarang dia kat mana?” Zirah tanya aku.

“Kreeeekkkkkkk…..,” pintu bilik aku ditolak dari luar. Aku jenguk. Fatihah sedang berdiri di muka pintu dan pandang aku. Wajahnya pucat lesi.

“Kenapa Tiha? Tiha nak apa-apa ke?” aku tanya.

“Weh, kau cakap dengan siapa?” Zirah tanya aku di talian.

“Dengan Fatihah, budak perempuan yang aku bawa balik tu,” sahutku serba salah. Aku risau kalau Fatihah terdengar perbualan aku tadi.

“Suri, aku rasa lebih baik kau keluar dari rumah tu. Pergilah rumah Makcik Wan sebelah. Pukul 3 pagi kot, takkanlah seorang tetamu berani nak tolak pintu bilik tuan rumah. Aku risaukan kau ni,” kata Zirah di talian.

“Hish kau ni. Takkanlah aku nak ketuk pintu rumah orang pukul 3 pagi, Gila ke apa? Jangan risau, aku rasa semuanya ok,” kataku perlahan di talian. Taknak Fatihah dengar.

“Akak sembang dengan siapa tu? Mak saya ke?” Fatihah tanya aku. Dan kali ni bulu roma aku meremang. Menggeletar kaki aku weh.

“Suri, kau ok tak?” Zirah tanya aku.

“Zirah, nanti aku call kau balik.” Kataku lalu terus putuskan talian.

“Kenapa akak putuskan talian? Tiha nak cakap dengan mak Tiha. Tiha nak tanya, kenapa mak Tiha tak datang ambil Tiha,” kata Fatihah masih berdiri di tempatnya tadi. Aku dah mula panik. Aku tarik nafas dan hembus panjang. Aku cuba bertenang.

“Bukan mak Tiha tu. Itu kawan akak,” kataku perlahan sambil buat-buat tengok telefon. Entah kenapa hati aku tak senang nak bertentang mata dengan Fatihah.

“Kawan akak call akak waktu macam ni? Dia tak tidur ke?” Fatihah tanya aku sambil matanya melilau melihat-lihat keliling bilik aku sambil melangkah ke sana sini.

“Tadi akak tertekan nombor dia kot. Tu dia call balik. Kot la ada hal mustahak nak cari dia,” kataku lagi.

“Akak ada call dia ke?” Fatihah tanya aku. Masa ni aku angkat muka dan pandang dia. Dia sedang berdiri di satu sudut, melihat tepat ke arah aku. Dan masa ni aku macam teringat akan susuk tubuh yang aku nampak tadi sebelum aku tidur. Keadaannya sama, serius sama. Jantung aku berdegup laju.

“Akak ada tertekan kot. Entahlah, kadang tak perasan. Kenapa Tiha tak tidur lagi? Dah nak pagi ni. Esok kita nak jalan jauh,” aku cuba potong cerita tentang Zirah.

“Tiha teringat kat mak abah. Tiha rasa badan Tiha panas. Akak kenapa tak tidur lagi?” Fatihah tanya aku, dia masih berdiri kaku di tempat tadi. Dah la dia pakai baju pijama aku warna putih krim, rambutnya dibiarkan panjang terurai. Budaknya memang cantik, lembut je. Tapi dalam keadaan macam ni, alahai, tak tahu la nak cakap apa. Macam terjerat di rumah sendiri.

“Akak excited esok nak balik kampung. Tu yang kejap-kejap terjaga.” Sahutku sambil buat-buat tepuk bantal, nak bagi isyarat aku nak tidur. Lalu aku berbaring, nak tunjuk bahawa aku cool la kononnya. Fatihah hanya pandang aku, masih berdiri di sudut tadi.

“Tiha pergilah tidur. Atau Tiha nak apa-apa lagi?” aku tanya Fatihah. Masih tak berani pandang matanya.

“Akak memang biasa bawa orang luar masuk rumah ke?” bila Fatihah tanya aku macam tu, dada aku berdebar laju. Rasa susah nak bernafas. Kaki rasa berat. Aku pandang Fatihah, dia dah rapat dengan katil aku. Tak perasan pula aku bila masa dia berdiri kat tepi katil aku sambil membongkok memandang aku di atas katil.

“Hish Tiha ni. Terkejut akak,” kataku terus bangun dan duduk di katil.

“Akak takut kat Tiha ke?” Fatihah tanya aku. Dada aku makin sesak.

“Kenapa pula akak nak takut kat Tiha? Tiha bukannya hantu,” kataku perlahan.

“Kalau Tiha hantu, akak takut?” Fatihah main teka teki pula aih malam buta ni.

“Mana ada hantu bulan puasa ni. Semua hantu kena ikat dah,” kataku sambil tergelak kecil, cuba sedaya upaya menahan perasaan.

“Hantu memang tak wujud kak. Bukan bulan puasa je, bulan lain pun hantu memang tak wujud. Dan yang kena ikat tu ialah syaitan. Tapi ada satu lagi alam masih wujud walaupun bulan puasa,” kata Fatihah. Masa ni aku tak cakap apa dah. Aku hanya pandang Fatihah melangkah keluar dari bilik aku. Dia tutup pintu.


Dan aku lari macam kipas kudung ke arah pintu lalu mengunci pintu bilik.

– Bersambung –

One thought on “NAK BALIK RAYA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s