NAK BALIK RAYA

Bab 3

Kami tiba di rumah pada jam 7 malam. Bacaan Quran pun dah berkumandang di surau berdekatan. Cepat-cepat aku ajak Fatihah masuk ke dalam rumah, bawa semua barang yang kami dah beli. Termasuk juadah untuk buka puasa.

Fatihah pun nampak ok sikit lepas aku belikan dia beberapa pakaian. Aku pun ada belikan sedikit biskut raya untuk dia bawa balik ke kampung esok. Nampak berseri sikitlah muka dia. Tambahan aku belikan biskut putu kacang. Katanya seluruh keluarga dia suka makan biskut tu. Selalu kalau mengadap, memang habis sebalang sekali makan je.

“Tapi kan, akak belikan biskut ni, siapa nak makan?” Dia tanya aku bila aku belikan empat bekas untuknya.

“Tiha la, nanti makan dengan keluarga,” kataku.

“Belum tentu Tiha dapat jumpa keluarga Tiha. Tengoklah sekarang ni, tak tahu pun mak dan abah kat mana,” Fatihah jawab.

“In Shaa Allah, mereka ok. Esok jumpa la,” kataku memujuk. Taknak dia terus sedih. Tapi aku rasa, kalau aku pun mesti aku rasa terkilan. Kat mana la mak dan abah dia. Takkanlah tak ingat nak ambil anak. Itu pun aku musykil sangat. Anak kot, bukan teddy bear. Kalau ada hal sekalipun, mintalah orang lain ambilkan.

Sebaik azan maghrib berkumandang, aku dan Fatihah terus buka puasa. Aku ingat malam ni aku akan buka puasa seorang diri, tak sangka pula berteman. Alhamdulillah. Tapi Fatihah makan sikit sangat. Dia makan sebiji kurma dan sebiji karipap. Lepas tu dia terus bangun. Aku pun taknak tanya lebih, sebab mungkin itu memang caranya. Lainlah dengan aku, selagi tak habis air kelapa lemon tu dengan nasi ayam hainan aku, memang aku tak bangun. Lepas tu masa nak solat, dah macam dugong aku rasa badan aku ni. Nak bangun dari sujud rasa macam ada batu besar hempap belakang beratnya alahai.

Fatihah tak banyak cakap lepas buka puasa. Dia solat maghrib, duduk di atas sejadah, lama dia duduk di sana. Aku perhatikan je. Aku taknak ganggu dia. Sampai azan isya berkumandang, dia terus solat isya’. Seusai solat, dia minta izin nak tidur. Katanya dia penat sangat.

Aku suruh dia tidur kat dalam bilik aku. Tapi dia taknak. Dia kata nak tidur kat ruang tamu je. Aku taknak paksa dia. Aku ambil toto dan dua biji bantal lalu bagi kat dia. Dia baring kat belakang sofa yang aku sedang duduk. Tak sampai seminit kot, aku tengok dia semula, dia dah tidur. Penat sangat kot.

Aku pandang Fatihah yang sedang tidur. Wajahnya nampak tenang tapi aku dapat rasakan macam ada sesuatu yang mengganggu fikirannya. Mungkin sebab mak dan abah dia kot. Tadi sempat la aku korek cerita keluarganya. Mak dan ayahnya orang kuat agama. Dua adiknya pun dihantar ke sekolah tahfiz. Dia pun dulu sekolah agama. Dan sekarang masih menuntut di IPTA ambil jurusan agama. In Shaa Allah kalau lulus cemerlang, dia akan sambung pengajian kat Mesir. Itu yang buatkan aku makin tenang bersamanya.

Aku kesian kat dia. Mesti pagi tadi dia happy sangat tunggu mak dan abah dia datang ambil dia bersama dua adiknya. Tapi sampai ke sudah tak nampak bayang mak abahnya.


Tengah aku mengelamun, aku dengar bunyi angin yang kuat dari luar tingkap yang terbuka. Memang aku suka buka tingkap malam-malam macam tu sebab angin masuk ke dalam rumah. Sejuk.

Aku bangun dan tutup tingkap. Sejuk lain macam malam ni. Bunyi deru angin pun agak menyeramkan. Macam suara orang meniup seruling pun ada. Suara mengilai pun ada. Mujurlah ada Fatihah teman aku malam tu.

Aku tutup tv dan terus melangkah masuk ke dalam bilik setelah menutup lampu di ruang tamu. Tadi aku dah sembur racun serangga, risau kena gigit nyamuk pula si Fatihah tu.

Aku masuk bilik air, cuci muka dan gosok gigi. Masa aku nak baring, aku jenguk keluar bilik, nak tengok Fatihah. Tapi aku dengar bunyi air kat bilik air dapur. Aku jenguk keluar. Fatihah tiada di tempatnya. Aku melangkah ke dapur. Suasana gelap sebab lampu tak dipasang. Bunyi air makin kuat dari dalam bilik air. Macam ada seseorang sedang mandi.

Aku petik suis lampu. Lampu menyala tapi tak sempurna. Sekejap menyala sekejap padam. Macam berkelip-kelip. Tadi elok je.

“Tiha?” aku panggil.

Bunyi kocakan air di dalam bilik air berhenti.

“Tiha ke kat dalam tu?” aku tanya lagi. Tiada sahutan.

“Tiha ok?” aku tanya lagi.

Seketika kemudian, pintu bilik air terbuka sedikit. Aku tunggu dari luar je. Tapi hampir dua minit, Fatihah tak keluar dari bilik air tu.

“Tiha?” aku panggil lagi. Masih tiada sahutan. Tapi pintu bilik air tu seakan ditolak ke dalam dan keluar beberapa kali. Lampu bilik tak dipasang. Bilik air tu gelap.

“Tiha? Kenapa tak pasang lampu? Tiha mandi ke?” aku bertanya sambil menghampiri pintu bilik air. Aku tolak pintu bilik air perlahan-lahan sambil memetik suis lampu di tepi pintu. Aku jenguk ke dalam bilik air. Aku nampak Fatihah sedang duduk di satu sudut bilik air. Dia masih berpakaian lengkap tapi dah habis lenjun.

“Tiha, kenapa ni?” aku tanya. Terkejut bila aku nampak dia macam tu.

Aku ambil tuala. Lapkan rambutnya. Aku tarik dia keluar dari bilik air. Lalu dudukkan dia di kerusi makan.

“Kenapa ni Tiha?” aku tanya lagi.

“Tiha panas. Badan Tiha rasa terbakar,” katanya. Aku kerutkan dahi. Aku pula rasa malam ni la paling sejuk sepanjang bulan puasa tahun ni. Aku pegang dahinya, nak rasa kot dia demam. Takde panas pun badan dia, bahkan sejuk macam ais dah aku rasa. Mungkin sebab dia mandi tadi.

“Dah, dah. Cepat tukar baju. Nanti demam pulak. Esok nak balik kampung raya kan. Tak best la kalau demam,” kataku sambil menarik tangannya.

Setelah dia menukar baju, dia kembali baring di toto yang aku bagi tadi. Dia terus baring, tak cakap apa-apa pun. “Tiha ok ke?” aku tanya. “Tiha nak tidur. Tiha penat,” Fatihah menyahut perlahan.

“Takpe, tidurlah,” kataku sambil tengok jam. Pukul 1 pagi. Aku tutup suis lampu di ruang tamu dan masuk semula ke dalam bilik. Aku baring kat katil dan cuba untuk lelapkan mata. Dalam samar-samar, aku macam nampak seseorang berdiri di bawah kaki katil aku. Aku buka mata besar-besar dan tengok betul-betul, tiada sesiapa.

Hish, kenapa la malam ni lain macam je. Aku ambil selimut dan tutup seluruh badan. Tadi aku dah perlahankan kipas. Sebab aku memang rasa sejuk sampai ke tulang. Sebab tu aku pelik macammana Fatihah boleh kata dia panas.

Baru je rasanya aku terlena, aku dah terkejut semula. Aku dengar bunyi kaca pecah di dapur. Mula-mula aku termenung juga, rumah ni takde kucing. Macammana alatan kaca boleh jatuh. Aku terus bangun dan melangkah ke dapur.

Aku dengar bunyi macam ada seseorang di dapur. Tapi dapur gelap. Meremang juga bulu roma aku. Aku melangkah perlahan dalam samar-samar kegelapan. Jantung aku berdegup kencang. Dah la aku seorang diri. Aku taknak kacau Fatihah, biarlah dia tidur.

Sebaik masuk ke ruang dapur, aku meraba-raba suis lampu. “Tap!” aku petik suis sebaik bertemu.

Terbeliak biji mata aku. Aku nampak Fatihah sedang selongkar bakul sampah! Dapur berselerak dan beberapa biji pinggan dan cawan dah pecah. Kaca berselerakan di lantai.

Fatihah pandang aku. Dimulutnya masih ada sisa makanan. “Tiha, kenapa ni? Kenapa makan makanan dari bakul sampah?” aku tanya dengan dahi berkerut.

“Tiha lapar,” Fatihah menyahut. Dia kelihatan macam nak menangis. Aku diam. Memang dia tak makan banyak masa berbuka puasa tadi.

“Tiha minta maaf kak. Tiha dah rosakkan barangan rumah akak,” katanya perlahan. Aku nampak air matanya menitis perlahan.

“Akak tak marah Tiha. Kalau Tiha lapar, kenapa tak makan elok-elok. Kan kat atas meja tu ada makan yang masih elok. Kenapa makan sisa sampah kat dalam bakul sampah? Kenapa tak pasang lampu?” aku tanya.

Fatihah tak menjawab. Dia bangun, pasang paip air dan cuci tangannya. Lepas tu dia tunduk nak kutip kaca yang pecah.

“Takpe Tiha, nanti akak kemaskan. Tiha masih nak makan ke?” aku tanya.

“Taknak dah. Tiha dah kenyang,” sahutnya sambil masih mengutip serpihan kaca yang berselerakan di lantai. Aku pandang jemari Fatihah, aku nampak serpihan kaca tu menghiris jarinya tapi jarinya tak berdarah.

Dia genggam serpihan kaca tu dan masukkan ke dalam bakul sampah. “Tiha, biarkan dulu. Nanti luka pula,” kataku risau juga. Tapi ternyata jari Fatihah tak berdarah langsung.

Aku ambil penyapu dan penyodok sampah. Aku suruh Fatihah bangun. Dia akur. Dia melangkah ke ruang tamu. Aku nampak dia berjalan di atas kaca-kaca tu, dia pijak kaca tu tapi kakinya tak berdarah. Aku yakin dia pijak kaca tu sebab aku dengar bunyi kaca-kaca tu berderap-derap dipijak. Dada aku berombak kencang. Tak pernah lagi aku nampak orang pijak kaca tak berdarah.

Fatihah terus berlalu ke ruang tamu meninggalkan aku di dapur sendirian, masing termenung memikirkan tentang Fatihah. Kenapa aku rasa dia dah macam orang tak betul? Aku dah terjerat dengan orang gila ke pun? Tapi aku tak rasa Fatihah gila. Dia sembang semua ok je. Boleh ingat nama mak dan abah, ingat plat kereta, ingat kampung dia. Takkan gila kot. Lagipun aku tengok dia solat. Dia berpuasa. Takkan gila.

Kalau iya pun dia gila, takkan tangan dia tak berdarah bila terhiris kaca. Takkan kaki dia tak berdarah bila berjalan dia atas serpihan kaca yang tajam. Gila dan darah takde kena mengena kot.

“Kak?” aku terkejut dari mengelamun. Aku pandang ke arah Fatihah yang sedang memandang aku dari pintu yang memisahkan antara dapur dan ruang tamu.

“Ya, Tiha. Tiha nak apa-apa ke?” aku tanya sambil menyapu serpihan kaca yang berselerakan di lantai.

“Tiha menyusahkan akak ke?” Fatihah tanya aku.

“Taklah. Cuma akak pelik, kenapa Tiha makan dari bakul sampah?” sahutku. Entahlah kenapa aku rasa tak selesa bila bertentang mata dengan Fatihah.

“Masa kat hostel university, Tiha selalu je kutip makanan dari bakul sampah. Sebab selalu orang buang walaupun makanan tu elok lagi. Tiha dah terbiasa,” kata Fatihah.

“Tak elok macam tu. Makanan tu dah kotor sebab dah masuk bakul sampah. Takut nanti keracunan. Kan ada makanan yang masih esok kat meja,” kataku perlahan sambil menuangkan serpihan kaca dari penyodok ke dalam bakul sampah. Masa ni tangan aku pedih, sebab ada jari yang terluka akibat terkena serpihan kaca. Menitik darah aku.

Fatihah melangkah laju ke arah aku dan pegang tangan aku yang berdarah. Dia pandang jari aku yang berdarah dan mukanya pucat lesi seperti ketakutan. “Kenapa Tiha? Tiha takut tengok darah ye?” aku tanya.

Fatihah tak menyahut. Dia pandang aku dan jari aku yang berdarah, silih berganti. Kemudian setitis air mata jatuh ke pipinya. Aku pegang bahunya. Tapi dia terus berlari ke ruang tamu.

Aku basuh tangan aku yang berdarah. Dan terus melangkah ke ruang tamu. Fatihah baring di toto.

“Tiha ok?” aku tanya. Fatihah tak menyahut. Aku pandang dia, nampak seperti dia tidur lena. Berkerut juga dahi aku. Takkan la sepantas kilat dia boleh lena macam tu. Takkan dia berlakon dengan aku.

– Bersambung –

One thought on “NAK BALIK RAYA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s