NAK BALIK RAYA

Bab 2

Sesekali Abang Ricky menjenguk memandang ke arah Fatihah. Lepas aku jelaskan semua, Abang Ricky anggukkan kepala. Dia setuju untuk bantu Fatihah.

Aku ajak Fatihah naik kereta. Abang Ricky pandang kami. “Selamat Hari Raya Cikgu,” Abang Ricky angkat tangan kat aku masa aku dah bergerak meninggalkan sekolah.

Sampai kat rumah sewa aku, aku terus ajak Fatihah masuk. Dia macam takut-takut juga. Matanya melilau memandang keliling. Aku tak salahkan dia. Dia memang patut rasa was-was.

“Jangan takut. Akak nak bantu je,” kataku sambil buka pintu rumah dan ajak dia masuk. Perlahan-lahan dia masuk dalam rumah.

“Duduklah. Rehat. Tiha puasa ke?” aku tanya. Fatihah angguk kepala tapi matanya masih pandang keliling.

“Akak tinggal sorang ke?” Fatihah tanya aku.

“Ada lagi 3 orang kawan akak. Semua dah balik kampung. Akak je tinggal, esok baru nak balik sebab hari ni masih mengajar,” sahutku sambil buka tudung kepala.

“Nanti akak bagi baju salin ye. Boleh tukar baju tu,” kataku. Aku nampak saiz Fatihah lebih kurang saiz aku je. Bolehlah dia pinjam baju aku.

“Kak, minta maaf kalau Tiha susahkan akak.” Fatihah bersuara perlahan.

“Eh, takde apa susah la. Bukannya kena angkat berat. Kebetulan kan. Takdir Tuhan kita bertemu. Tak payah rasa bersalah sangat,” kataku masih memujuk Fatihah yang masih kelihatan tak selesa.

Aku masuk ke dalam bilik. Ambil baju tshirt dan skirt labuh. Aku ambil tuala. Aku keluar dan serahkan kepada Fatihah yang masih duduk di kerusi ruang tamu.

“Pergilah mandi. Kalau perlu, kita keluar ke mall sekejap. Kot nak beli barangan peribadi. Sementara kita nak balik Ipoh esok,” kataku. Iyelah, takkan pakaian dalaman pun aku nak bagi dia pinjam kan. Macam tak sesuai pula. Fatihah hanya anggukkan kepala dan bangun. Aku tunjukkan bilik air kat dapur. Bilik aku ada bilik air. Tapi takpelah, aku suruh dia guna bilik air kat dapur. Lagipun bukannya ada orang lain kat rumah tu.

Selepas mandi, Fatihah minta telekung, nak solat zohor. Aku pun bagi telekung baru kat dia. Lepas solat, aku baring sekejap. “Akak baring sekejap. Tiha pun baringlah, rehatkan diri. Nanti lepas asar kita keluar, beli barang apa-apa Tiha perlukan, dan boleh terus beli juadah berbuka,” kataku perlahan. Fatihah anggukkan kepala.

“Tapi nanti kalau mak abah sampai kat bus stop sekolah tu macammana?” Fatihah tanya aku. Dia masih menaruh harapan kepada mak dan abah dia.

“Takpe, kan akak dah beritahu kat guard sekolah tadi. Dia akan call akak kalau mak dan abah Tiha sampai. Jangan risau,” kataku. Fatihah diam. Dia duduk di sofa. Aku baring kat sofa panjang satu lagi. Juga di ruang tamu. Aku ni memang jenis pantang letak kepala, terus lena.

Aku sedar bila terdengar bunyi benda jatuh. Aku buka mata. Aku nampak Fatihah masih duduk di sofa, sama macam tadi sebelum aku terlelap. Aku tengok jam. Pukul 4 petang. Sejam kot aku terlelap. Dan sejam juga Fatihah duduk di sofa tu tak bergerak.

Aku duduk. “Tiha duduk sini dari tadi ke?” aku tanya. Fatihah angguk kepala.

“Tak tidur?” aku tanya. Fatihah gelengkan kepala.

“Tadi ada bunyi benda jatuh. Apa benda?” aku tanya. Fatihah gelengkan kepala.

Aku bangun dan terus memandang keliling. Aku berjalan ke dapur. Tak nampak pun apa-apa barangan rumah yang terbalik. Tapi bunyi benda jatuh tu agak kuat, macam terhempas pun ada.

“Takpelah, sekejap lagi masuk waktu asar. Lepas solat kita keluar ye,” kataku kepada Fatihah. Dia hanya anggukkan kepala. Tapi wajahnya masih nampak kerisauan. Aku masuk bilik. Kemaskan beg dan barangan untuk dibawa balik ke kampung esok.

“Kreeekkkkk,” tiba-tiba pintu bilik aku ditolak dari luar. Terkejut la sikit. Sebab cara tolak tu agak menyeramkan. Aku toleh ke pintu bilik. Fatihah berdiri di tepi pintu sambil pandang aku. Kali ni matanya tak melilau macam tadi.

“Kenapa Tiha?” aku tanya Fatihah sambil meneruskan mengemas beg aku.

“Kak, boleh tak kalau dia balik kampung hari ni jugak?” Fatihah tanya aku. Aku berhenti lipat kain. Aku toleh ke arah Fatihah.

“Kenapa?” aku tanya.

“Tiha takut,” Fatihah jawab.

“Takut apa?” aku tanya.

“Tiha tak kenal akak. Akak pun tak kenal Tiha. Tiha takut mak abah Tiha cari Tiha. Tiha takut Tiha tak dapat balik raya,” kata Fatihah dengan muka agak sedih.

“Tak salah untuk Tiha rasa takut tu. In Shaa Allah semua akan ok. Akak kena ambil barang pagi esok dari kawan akak sebelum balik kampung. Sebab tu akak kena balik esok juga. Dah janji dengan kawan akak. Kalau tak, memang akak pun nak balik awal.” Kataku menjelaskan.

Tiha anggukkan kepala. Lalu meninggalkan bilik aku. Aku diam. Kesian juga kat dia. Dia takut kot sebab tak kenal aku. Tapi aku dah janji dengan Hana untuk jumpa dia pagi esok. Aku ada order beberapa biskut raya dari dia untuk dibawa balik ke kampung.

Aku teruskan mengemas kain baju aku. Seketika kemudian aku dengar bunyi azan menunjukkan dah masuk waktu Asar. Aku bangun dan jenguk keluar dari bilik. Aku nampak Fatihah sedang berbaring di sofa.

“Tiha?” aku panggil. Tiada sahutan.

Aku pandang dia, dah tertidur rupanya. Mukanya agak pucat. Mungkin dia banyak fikir. Kesiannya aku tengok dia. Aku ambil telefon, aku call Hana.

“Hana, kalau aku nak ambil biskut tu petang ni, boleh ke?” aku tanya sebaik Hana jawab panggilan aku.

“Biskut kau memang dah siap. Tapi sebab dah janji pagi esok kan, aku hari ni kat luar daerah,” kata Hana.

“Ooo… Takpelah. Aku tanya je.” Sahutku. Memang Hana dah beritahu aku bahawa hari ni dia ke kampung suaminya. Sebab tu kami janji nak jumpa esok pagi je. Lagipun aku memang nak rehat kat rumah lepas habis mengajar hari ni. Esok baru aku memandu balik kampung.

Aku biarkan dulu Fatihah lena di sofa. Aku terus mandi dan solat Asar. Lepas dah bersiap, aku keluar tapi Fatihah dah takde kat sofa.

“Tiha?” aku panggil dan pandang keliling. Tak nampak dia. Aku buka pintu rumah, nampak Tiha sedang berdiri di pintu pagar memandang ke luar.

“Tiha? Kenapa ni?” aku tanya. Fatihah menoleh ke arah aku. Wajahnya sedih betul.

“Kenapa ni?” aku tanya.

“Mana mak abah Tiha? Adik Tiha?” dia tanya. Dan aku pun kerutkan dahi. Iyelah, kat mana mereka.

Aku ambil telefon lalu call Abang Ricky.

“Takde siapa datang pun selepas cikgu balik tadi,” kata Abang Ricky di talian.

“Tiha, In Shaa Allah takde apa. Esok kita balik kampung Tiha ye,” kataku. Aku pun tak tahu macammana nak tolong dia. Dah semua nombor telefon saudara mara pun dia tak ingat. Nak report polis, aku pun tak tahu nak tulis ada dalam aduan tu, lagipun Fatihah sendiri yang taknak buat report polis.

Dan sekarang aku terfikir, macammana kalau Fatihah tu sendiri yang tipu aku? Dan jantung aku tiba-tiba berdetup detap. Aku fikir Fatihah takut kat aku. Tapi kenapa aku tak terfikir bahawa aku yang sepatutnya takut kat dia. Siapa dia sebenarnya?

Aku terus masuk ke bilik air, nak mandi dan solat. Masa aku mandi, aku dengar pintu bilik aku diketuk berkali-kali. Aku tutup air, kot la aku salah dengar. Bila aku tutup air, takde pula bunyi orang ketuk pintu. Aku pasang balik air, berkali-kali pula pintu bilik air aku diketuk.

“Tiha ke tu?” aku panggil dari luar. Tiada sahutan.

Cepat-cepat aku selesaikan hal aku kat dalam bilik air, ambil wudhu dan terus keluar dari bilik air. Aku jenguk keluar, tiada sesiapa. Aku pandang keliling, tiada apa-apa. Aku melangkah ke pintu bilik, jenguk keluar cari Fatihah. Dia tiada di sofa tadi. Aku pandang keliling ruang tamu, Fatihah tiada di mana-mana.

“Tiha?” aku panggil.

Aku berpusing masuk semula ke dalam bilik. Lebih baik aku pakai baju elok-elok dulu, solat dan lepas tu baru cari dia. Tapi sebaik aku berpaling, muka aku nyaris nak bertemu dengan muka Fatihah yang sedang berdiri di belakang aku. Melompat aku terkejut masa tu. Mujur ikat kain kuat sikit. Kalau tak, entahlah.

“Tiha dari mana? Dari tadi Tiha duduk kat bilik akak ni ke? Tiha ke yang ketuk pintu bilik ni tadi?” aku tanya setelah jantung aku kembali berdegup normal.

“Kak, Tiha nak balik kampung hari ni juga, boleh tak?” Fatihah tanya aku.

“Akak memang tak boleh Tiha. Akak minta maaf sangat. Kalau Tiha nak balik hari ni juga, akak cuba carikan tiket bas atau keretapi, itupun kalau ada lagi. Maklumlah cuti raya, orang dah beli tiket sebelum puasa dulu lagi.” Kataku.

Fatihah diam. Dia melangkah keluar dari bilik dengan wajah muram. “Tiha dah solat Asar? Jom kita keluar kejap. Kita pergi jumpa Abang Ricky. Lepas tu kita cari barang Tiha. Dan juadah buka puasa. Tiha sabar ye, esok kita balik kampung,” aku masih cuba memujuk. Tiha diam. Tapi aku nampak dia ambil tuala dan terus ke dapur.

Lebih kurang pukul 5.15 kami sampai kat pondok guard. Abang Ricky ada di dalam pondoknya.

“Cikgu, takde siapa datang sini lepas cikgu balik.” Abang Ricky masih berkata begitu. Aku pandang ke arah Fatihah yang duduk di dalam kereta. Fatihah pandang aku dengan wajah penuh harapan. Susahnya hati aku nak jelaskan kat dia.

Aku kembali masuk ke dalam kereta. Fatihah pandang aku sambil senyum, mohon untuk dengar berita gembira. Aku pula yang serba salah.

“Ada tak mak abah datang?” Fatihah tanya aku. Aku geleng kepala. Fatihah terus pandang keluar. Riak wajahnya terus berubah muram.

“Mereka ada hal kot. Kita tak tahu.” Kataku.

“Atau mereka memang dah tak sayang Tiha. Mereka nak buang Tiha,” kata Fatihah.

“Astaghfirullah, jangan cakap macam tu. Tak baik,” tegurku.

“Mana ada orang lupa nak ambil anak,” kata Fatihah perlahan. Aku diam.

“Takpelah, jom kita ke pasaraya. Tiha beli apa yang perlu sementara kita nak balik esok. In Sha Allah, lepas Subuh, kita gerak ye,” kataku lagi.

Fatihah tak cakap banyak. Dia hanya anggukkan kepala.

– Bersambung –

3 thoughts on “NAK BALIK RAYA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s