NAK BALIK RAYA

Bab 1

Aku Suri, mengajar kat sebuah sekolah rendah kat Kuala Lumpur. Aku menyewa kat rumah bujang yang tak jauh dari sekolah tempat aku mengajar. Kawan-kawan serumah sewa dengan aku ada tiga orang. Tapi mereka semua dah balik kampung minggu lepas. Aku yang last balik sebab aku tak dapat cuti. Maklumlah, cikgu kan. Bukannya senang nak dapat cuti.

Maria dan Natasya kerja kat makmal kilang. Zirah kerja offshore, memang dah balik sebelum puasa lagi sebab kebetulan dia dapat tak duduk kat tengah laut bulan puasa kali ni. Dia tu kalau kena kerja, tiga empat bulan dok kat tengah laut. Tapi bila dapat cuti, sekurang-kurangnya sebulan dua dah tentu.

Jadi, tinggal aku je yang belum balik.

Kebetulan haritu hari Jumaat, hari last aku mengajar. Minggu depan dah cuti. Aku kemas meja aku, terus ke tempat parking kereta dan aku meluncur keluar dari halaman sekolah. Hati tu tak tahu nak cakap la. Esok aku nak balik kampung beraya. Semua persiapan aku dah beli. Untuk mak, untuk abah, untuk adik-adik aku yang empat orang tu. Bunga api, biskut raya, sarung kusyen baru pun aku dah beli. Excited sungguh. Memang tiap kali raya aku macam ni.

Bukan mak atau abah aku tak cukup duit nak belanja raya. Cukup je. Maklumlah, mak dan abah aku buka kedai makan kat kampung tu. Alhamdulillah, dulu ada empat meja je. Sekarang dah ada 15 meja dah kat kedai makan mak abah aku. Rumah pun dulu kecil je. Kami lima beradik kena kongsi bili. Termasuk aku, kami ada 3 perempuan dan 2 lelaki. Bilik ada 3, maka yang perempuan berkongsi 1 bilik, yang lelaki 1 bilik dan 1 bilik lagi untuk mak abah aku.

Tapi Alhamdulillah, sekarang masing-masing dah ada bilik sendiri. Siap ada bilik stor lagi. Semua tu rezeki.

Kadang mak abah aku tak bagi aku beli itu ini untuk diorang. Mak aku selalu suruh aku simpan duit. Suruh aku beli keperluan aku. Suruh aku tukar kereta la bagai. Memang aku ada simpan duit aku sendiri. Tapi bila kita dapat membeli sesuatu untuk ahli keluarga kita, ada satu kepuasan yang tak boleh nak cakap. Seronoknya tu macam dapat beli rumah cash tau. Bahgia je rasanya. Kebetulan pula aku je anak yang dah bekerja.

Adik bawah aku, Lokman berusia 21 tahun, masih menuntut di IPTA. Yang nombor 3, Azira, berusia 18 tahun, baru nak masuk matriks. Yang nombor 4, Hakim berusia 15 tahun, tingkatan 3 dan yang bongsu, Amira, berusia 13 tahun, belajar di asrama penuh tingkatan 1.

Tapi bukan itu yang aku nak ceritakan kat sini. Kisah ni mengenai seorang kawan baru yang aku jumpa di depan sekolah masa hari Jumaat tu. Pagi masa aku nak masuk sekolah, aku nampak seorang perempuan dalam usia awal 19 kot, duduk di bus stop depan sekolah. Macam menunggu seseorang. Aku sampai sekolah pukul 7 pagi. Dia dah ada kat situ, sendirian. Bus stop kat situ sebenarnya memang hanya untuk bas sekolah je, dan untuk ibubapa turunkan murid je. Bas biasa tak lalu kat situ. Jadi, aku assume dia sedang tunggu seseorang.

Masalahnya, masa aku nak balik pukul 2.30 petang, aku nampak perempuan tu masih ada kat bus stop tu. Sebaik aku keluar dari pagar sekolah dengan kereta Proton Saga aku tu, aku nampak dia sedang berdiri duduk di lantai bus stop depan sekolah. Mukanya sedih sangat, bengkak macam baru lepas menangis.

Entahlah kenapa terlintas di hati aku untuk ambil perhatian kepada perempuan tu. Lama kot dia kat situ. Takkan orang yang dia tunggu tu tak sampai lagi? Aku berhenti di tepi jalan tak jauh dari bus stop tu. Aku pandang keliling, kot-kot ada orang lain bersama perempuan tu. Tapi tiada. Jalan kosong. Keliling kosong.

Aku pelik, kenapa perempuan tu duduk di lantai? Kenapa dia tak duduk elok-elok kat atas kerusi yang disediakan di bus stop tu? Tiada beg bersamanya. Dia hanya sendirian. Duduk bersila di lantai bus stop. Sesekali aku tengok dia sapu air mata yang jatuh kat pipi. Dia pakai tudung, tapi tudungnya dah senget. Macam orang hilang semangat. Macam orang gila pun ada.

Lama dah aku mengajar kat sekolah ni. Lebih kurang lima tahun dah kot. Tapi tak pernah lagi aku nampak perempuan tu. Kenapa teruk sangat rupanya.

Aku keluar dari kereta. Buat-buat berjalan ke bus stop. Aku terus duduk kat kerusi bus stop. Perempuan tu tak pandang aku pun. Tapi dia ke tepi sikit bila nampak aku datang. Lama aku aku duduk kat situ pandang perempuan tu dari arah belakang. Perempuan tu masih macam tadi, duduk kat lantai sambil pandang keliling dan lap pipinya dengan hujung baju.

“Dik, adik tunggu orang ke?” aku beranikan diri bertanya. Perempuan tu tak jawab, dia tak toleh kat aku pun.

“Dik, adik orang sini ke? Akak tak pernah nampak pun,” aku tanya lagi. Dia masih tak menoleh.

Aku bangun dan melangkah ke arah perempuan tu. Aku pandang wajahnya. Lawa orangnya. Dia tunduk, cuba untuk tak bertemu pandangan dengan aku. Muka macam takut pun ada.

“Adik, jangan takut. Adik tunggu orang ke? Sebab setahu akak, jarang bas masuk sini. Sebab ini kawasan sekolah. Kalau nak tunggu bas, kena jalan keluar sikit. Kat sana ada banyak bas. Teksi dan grab pun ada. Adik nak ke mana? Boleh akak call grab kalau nak,” aku cuba beramah tamah dengannya. Entahlah, ada rasa kesian pulak kat dia.

Perempuan tu angkat muka perlahan-lahan pandang aku. Aku senyum kat dia. Dia balas senyuman aku tapi muka agak ketat. Mungkin masih was-was dan takut.

“Adik tunggu bas ke?” aku tanya. Dia geleng kepala.

“Adik buat apa kat sini? Akak nampak adik dari pagi tadi kat sini kan?” aku tanya lagi.

“Saya tunggu orang ambil saya. Dia janji nak ambil saya. Tapi sampai sekarang takde,” kata perempuan tu perlahan, sayu je suaranya.

“Siapa?” aku tanya.

“Mak, ayah dan dua adik saya. Mak janji, lepas ambil adik saya dari asrama, akan singgah sini ambil saya pulak,” kata perempuan tu tadi.

“Tak telefon mak ke?” aku tanya. Kesian pula.

“Dah try call mak, abah tapi tak jawab,” katanya lagi.

“Cuba call saudara mara lain. Kot ada yang tahu diorang kat mana,” kataku lagi.

“Takde,” dia sahut.

“Apa yang takde?” aku tanya. Dia geleng kepala. Aku pandang keliling dia.

“Mana beg adik?” aku tanya. Pelik juga takde apa bersama dia, walau beg tangan. Perempuan tu terus tekup mukanya dengan tangan dan menangis teresak-esak.

“Kenapa ni dik? Cuba cerita kat akak. Mana tahu akak boleh tolong,” kataku memujuk. Kesian dengar dia menangis tu.

“Beg saya kena curi. Semua sekali. Termasuk beg, duit dan telefon. Semua. Saya dah takde apa,” kata perempuan tu lagi.

“Ya Allah, bila kena curinya?” aku tanya balik. Dia tak jawab dah. Terus menangis.

“Apa nombor saudara mara? Akak tolong call kan,” kataku.

“Saya ingat nombor mak dan abah je. Itupun tadi minta duit kat orang yang lalu lalang. Nombor orang lain saya tak hafal.” Katanya lagi.

“Apa nombornya? Akak tolong call,” kataku.

“012-4972133 mak,” sahutnya. Aku dail nombor tu. Masuk peti suara.

“Nombor abah?” aku tanya lagi.

“012-4972144,” sahutnya. Juga masuk peti suara.

“Kalau macam tu, jom kita pergi report kat balai polis,” ajakku. Dia gelengkan kepala.

“Saya nak balik rumah mak abah je. Saya taknak pergi mana-mana. Saya nak balik,” katanya dengan esakan makin kuat.

“Ok ok. Jangan nangis. Beritahu akak, rumah mak abah kat mana?” aku pujuk lagi.

“Kat Perak.” Sahutnya perlahan.

“Perak kat mana?” aku tanya lagi.

“Ipoh,” sahutnya perlahan.

“Haaa…. Rezeki adik la ni. Akak pun nak balik Perak, tapi esok pagi. Kalau adik nak, boleh tumpang akak. Akak hantarkan. Kebetulan akak pun nak balik Ipoh. Kira sekampung la kita ni,” kataku perlahan.

Perempuan tadi berhenti menangis. Dia angkat wajahnya dan pandang aku dengan wajah bersinar. “Betul ke kak?” dia tanya aku.

“Ya, betul.” Sahutku juga tersenyum memandangnya.

“Saya tak susahkan akak ke?” Dia tanya lagi.

“Tak. Kebetulan akak pun nak balik sana. Kereta pun kosong, akak sorang je,” kataku perlahan.

“Terima kasih kak. Saya hargai sangat. Memang saya betul-betul buntu dari pagi tadi tunggu mak abah tak sampai-sampai. Saya pun risau. Tak tahu nak buat apa. Beg pulak kena curi. Malang betul,” katanya dengan nada turun naik.

“Ada hikmah di sebalik setiap ujian. Tambahan bulan Ramadhan ni.” Kataku.

“Ya kak. Terima kasih. Saya Cuma risaukan mak abah dan adik-adik saya. Tak tahu diorang kat mana,” kata perempuan tu lagi.

“Takpe, jom ikut akak balik dulu.” Kataku perlahan.

“Kalau nanti mak abah saya datang, tapi saya takde kat sini, macammana pulak?” perempuan tu bertanya.

“Ya juga kan. Janji pukul berapa diorang ambil kat sini?” aku tanya.

“Pukul 10 pagi,” sahutnya. Aku teringat pagi tadi pukul 7 dia dah ada kat situ. Awalnya dia dah tunggu mak abah dia.

“Macam ni la. Tinggalkan nombor plat kereta mak abah tu kat guard sekolah ni. Nanti akak tinggalkan pesan kat dia, kalau ada kereta dengan plat nombor tu, suruh dia call akak. Boleh macam tu?” aku tanya.

“Boleh kak,” kata perempuan tu dengan wajah makin bersinar. Mungkin dia rasa dah dapat harapan baru kot.

“Apa nombor plat kereta? Kereta apa? Warna?” aku tanya. Aku ambil sehelai kertas dan pen.

“Toyota Rush, warna putih. Plat AGK 1805,” kata perempuan itu lagi.

“Siapa nama adik ni?” aku tanya.

“Fatihah,” sahutnya perlahan.

“Nama mak & abah?” aku tanya lagi sambil menulis.

“Mak Hashimah, abah Idris,” sahutnya lagi.

“Ok, akak panggil Tiha la ye?” aku tanya lagi.

“Haah, memang mak abah panggil saya Tiha,” sahutnya lagi.

Aku bangun dan terus ke pondok guard. Aku serahkan kertas maklumat tu dan tinggalkan pesanan kat guard situ yang kami panggil Abang Ricky. Dia berbangsa India. Sekolah tu ada dua guard. Seorang lagi Pakcik Zubir. Sempena nak raya ni, Abang Ricky ambil alih tugas mengawal sekolah. Nanti bila raya Deepavali, Pakcik Zubir pula ambil alih tugas mengawal sekolah. Haaa, macam tu.

– Bersambung –

One thought on “NAK BALIK RAYA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s