AKU TAKKAN DEGIL LAGI 2.0

Bab 15 (AKHIR)

Keesokan paginya, aku bertolak ke hostel. Rosnita dah kemas barang-barang aku. Masa aku sampai kat hostel, Rosnita pun ada tunggu aku. Memang dia pesan kat aku supaya maklumkan dia kalau aku nak ambil barang kat hostel.

“Wani, siapa orang tua dalam kereta kau tu?” Rosnita tanya aku sebaik aku keluar dari kereta. Aku terus menoleh ke arah kereta aku. Tiada siapa di situ.

“Orang tua mana?” aku tanya balik.

“Tu, kat dalam kereta kau tu,” Rosnita tunjuk ke arah tempat duduk penumpang belakang.

“Mana ada siapa kat situ?” aku tanya lagi.

“Ya Allah Wani. Dia tengah tengok kita tu ha. Takkan kau tak nampak?” kata Rosnita lagi.

Dada aku berdebar dah. “Cuba kau ambil gambar dia,” aku suruh Rosnita ambil gambar. Rosnita pandang aku semacam dah.

“Kau tak nampak dia ke?” Rosnita tanya aku. Aku gelengkan kepala.

“Dah, jom kita jumpa Puan Halimah dulu. Dia pegang kunci bilik kita,” kata Rosnita masih memandang ke arah kereta aku. Aku pun ikut tertoleh kat kereta aku tapi aku masih tak nampak sesiapa.

Kami terus ke pejabat sekolah. Puan Halimah ada di tempatnya.

“Ha Wani, dah selesai urusan kat kampung?” Puan Halimah tanya sebaik sahaja menjawab salam yang aku beri.

“Dah Puan. Minta maaf sebab semalam tak dapat datang. Saya tak sihat,” kataku.

“Penat sangat kot,” kata Puan Halimah sambil mengambil satu kunci dari dalam laci mejanya.

“Siapa belakang kamu tu?” Puan Halimah tanya aku. Dan terus aku dan Rosnita toleh ke belakang. Aku tengok takde siapapun kat belakang aku.

“Inilah orang tua yang aku kata dok kat belakang kereta kau tu Wani. Puan nampak dia kan?” Rosnita tanya Puan Halimah.

“Kenapa pula tak nampak?” Puan Halimah menjawab sambil pandang kat belakang aku.

“Ros, kau ambil gambar dia. Aku nak tengok,” kataku kat Rosnita. Rosnita lalu mengambil telefonnya dan kami bergambar bersama. Selepas ambil gambar, Rosnita tunjuk kat aku. Ternyata tiada siapa di dalam gambar tu. Aku pandang Rosnita dan Puan Halimah. Mereka pun pelik tengok aku. Sesekali mereka pandang ke arah ‘orang tua’ yang aku tak nampak tu.

“Ros, kau angkat kamera kau sekali lagi. Jangan ambil gambar. Aku nak tengok dari dalam kamera je,” aku suruh Rosnita. Rosnita anggukkan kepala.

Dari dalam handphone sebelum Rosnita tekan butang snap gambar, kami sama-sama tengok ke dalam kamera handphone Rosnita. Dan memang aku nampak ‘orang tua’ tu. Itulah Tok Majid. Muka aku dah pucat.

“Ya Allah,” itu je ayat yang keluar dari mulut aku.

“Kau nampak orang yang sama dalam kereta aku?” aku tanya Rosnita.

“Iyelah. Tadi aku cakap kau tak percaya,” kata Rosnita.

“Tapi sekarang kau pun percaya cakap aku kan? Orang tua tu tak wujud dalam gambar yang kau dah ambil pun,” kataku.

“Sekejap, kenapa sebenarnya ni? Ada apa-apa masalah ke?” Puan Halimah yang dari tadi hanya memerhati kami, mencelah.

“Orang tua yang puan nampak tu, sebenarnya tak wujud.” Kataku. Rosnita dan Puan Halimah berpandangan sesama sendiri.

Aku ajak Rosnita dan Puan Halimah keluar dari bilik tu. “Dia masih ikut kita ke?” aku tanya Rosnita. Rosnita menoleh dan seakan mencari-cari. Begitu juga Puan Halimah.

“Dia dah takde,” kata Rosnita. Aku tarik nafas panjang.

“Siapa tu? Hantu?” Puan Halimah tanya aku.

“Saya pun tak tahulah apa sebenarnya yang terjadi. Tapi cukuplah saya cakap, orang tua tu ialah lelaki tua di kampung saya yang dah meninggal dunia dua belas tahun yang lepas.” Kataku perlahan. Dan sekali lagi Puan Halimah dan Rosnita berpandangan sesama sendiri dengan mulut terlopong.

“Macammana dia ada di sini?” Rosnita tanya.

“Aku tak tahu. Sekarang ni, aku nak ambil barang aku dan aku nak balik cepat.” Kataku sambil melangkah ke tangga untuk naik ke bilik aku. Rosnita ikut aku tapi mukanya dah cuak, asyik memandang keliling. Puan Halimah yang sepatutnya tak perlu ikut kami, sekarang dia pun ikut kami.

Sebaik sampai di tingkat tiga, blok bilik aku, kami terus buka kunci bilik. Barang aku dah disimpan dalam beg. Aku masuk ke dalam bilik dan meninjau ke dalam almari seluruh rumah untuk pastikan tiada barang tertinggal.

Masa ni la, tiba-tiba kami dengar bunyi suara perempuan menjerit. Mula-mula seorang, lepas tu macam makin bertambah dan bertambah. Hingga akhirnya riuh seluruh university dengan bunyi jeritan. Aku, Rosnita dan Puan Halimah menjenguk ke luar bilik. Jenguk ke ruang bawah hostel melalui balkoni blok bilik aku. Ramai pelajar yang menjerit-jerit di situ. Mujurlah tak semua pelajar berada di hostel. Sebab sekarang cuti semester. Tinggal beberapa pelajar yang masih belum habis kertas peperiksaan, ada juga yang sedang repeat paper. Lebih kurang 20 orang.

“Ni dah kenapa semua macam kena histeria ni?” Puan Halimah cakap.

“Saya rasa mungkin ada kena mengena dengan orang tua yang Puan dan Ros nampak tadi. Saya kena panggil ayah saya ke sini,” kataku perlahan. Lalu menggapai beg aku. Aku ambil handphone dan call ayah.

“Ayah, datang sekolah Wani cepat. Tok Majid ikut Wani sampai sini. Sekaran 20 pelajar macam kena histeria. Universiti tengah tak ramai staf ni. Ustaz semua takde. Mereka cuti.” Kataku melalui corong telefon.

“Tok Majid ikut kamu?” ayah tanya lagi.

“Ayah jangan tanya dulu. Ayah datang sini. Kami semua dah kelam kabut ni,” kataku tergesa-gesa. Puan Halimah pun kelihatan sedang menghubungi seseorang. Rosnita pulak dah pucat, kaku berdiri di balkoni sambil pandang ke ruang bawah.

“Ros, kau jangan tengok kalau takut. Nanti kau terjangkit,” kataku menepuk bahu Rosnita. Tapi Rosnita tak bergerak, dia masih pandang ke bawah. Aku tarik bahunya supaya dia mengadap aku. Aku risau kalau dia terus mengadap pelajar-pelajar yang sedang menjerit di ruang bawah, tak mustahil dia pun terjangkit sama.

Rosnita masih tak bersuara. Aku pegang tangannya, sejuk. “Ros, mengucap Ros. Istighfar. Jangan ikut perasaan takut. Kau kena kuat,” kataku memujuk. Tapi Rosnita masih macam tu. Mata hitamnya makin hilang ke atas. Aku tepuk belakang kepalanya beberapa kali. Aku baca Al Fatihah dan tiup ke dahinya. Aku cuba apa yang aku boleh, tapi Rosnita masih macam tu.

“Puan, tengok Ros ni,” aku panggil Puan Halimah yang baru saja putuskan talian telefon.

Rosnita pandang aku tak berkelip. Mata hitamnya dah hilang terus. Tinggal mata putih je. Aku pula dah meremang bulu roma bila dia masih pandang aku. Aku pula rasa nak menjerit dah ni.

“Jangan tengok dia Wani. Pandang ke lain, kalau tak nanti, kamu pun terjangkit sama,” kata Puan Halimah dari tepi tangga.

Aku terus tundukkan pandangan. Tapi Rosnita masih cuba nak bertentang mata dengan aku. Aku melangkah perlahan menghampiri Puan Halimah. Kaki aku berat sangat rasanya, macam ada batu beratus kilogram yang menindih. Tapi aku gagahkan juga untuk menuruni tangga.

Rosnita terus mengikut langkah aku dan Puan Halimah menuruni tangga. Dia merangkak mengikut langkah kami. Aku dan Puan Halimah berpegangan tangan, masing-masing dah macam nak nangis dah.

“Pergi! Pergi! Jangan kau ganggu anak Adam di sini. Pergi!” Ustaz Murad muncul di bahagian bawah tangga. Masa ni aku rasa kaki dah ringan sikit. Lalu dan dan Puan Halimah terus berlari menuruni tangga. Macam apa dah kami pecut terus ke belakang Ustaz Murad. Rosnita masih dalam keadaan merangkak, tapi berhenti di tempatnya ketika Ustaz Murad muncul tadi. Tapi matanya masih memandang ke arah aku. Aku tahu walau aku tak nampak mata hitamnya. Sesekali dia merengus dan cuba bergerak seakan nak melintasi Ustaz Murad dan nak mengejar aku.

“Dari mana datangnya kamu? Kami tak jemput, kenapa kamu muncul? Ini bukan tempat kamu. Pergi sebelum kami tahu asal keturunan kamu. Pergi sebelum semuanya hancur,” kata Ustaz Murad. Rosnita masih kaku di situ.

“Awak berdua pergi ke padang terbuka. Ustaz Lokman dan Prof Bakri ada di sana sedang mengawal pelajar-pelajar yang terkena rasukan. Jangan pandang mata mereka. Kuatkan hati, jangan lemah semangat. Ingat, kita ada Allah.” Kata Ustaz Murad tanpa pandang kami. Dia masih memandang ke arah Rosnita.

Aku dan Puan Halimah terus ke padang terbuka. Seram pun ada, sedih pun ada melihat pelajar-pelajar yang dah macam zombie, menjerit sampai hilang suara. Tapi kaki mereka seakan terpaku di lantai, tak boleh melangkah. Mereka hanya menjerit.


Di tepi padang, kelihatan Ustaz Lokman dan Prof Bakri sedang memasang pili bomba yang memang ada kat university tu. Memang untuk kegunaan bomba jika berlaku kebakaran. Aku dan Puan Halimah mendekati mereka.

“Ha, mari tolong pegang paip ni. Berat rupanya. Kita nak pasang air ni, dah halakan mereka semua. Kena rasukan ni. Tak tahu siapa mulakan. Siapa pula bawa benda asing ni masuk ke dalam university ni,” kata Prof Bakri. Aku dan Puan Halimah tolong pegang paip bomba sementara Prof Bakri cuba memulas paipnya. Ustaz Bakri berdiri di sebelah padang, mengunci tumit kaki kanannya ke tanah. Mungkin itulah yang mengunci pelajar-pelajar tu dari bergerak. Kalau mereka semua bergerak, lagi susah nanti nak cari. Takut mereka keluar kawasan sekolah dan melarat kat luar pula.

“Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!” Laung Ustaz Lokman sebaik sahaja air dari paip bomba kami halakan ke arah pelajar-pelajar kat situ. Hampir lima belas minit juga mereka dimandikan. Dan penat juga kami mengawal paip besar tu. Patutlah selalunya paip tu perlu dipegang oleh beberapa orang. Tekanan airnya buatkan kami beberapa kali hampir jatuh. Tapi disebabkan keadaan memaksa, kami kuatkan diri juga.

Lepas air paip dimatikan, kesemua 20 pelajar tadi bangun terpinga-pinga. Tak tahu kenapa mereka berada di sana dalam keadaan basah kuyup macam tu. Sedangkan ada di antara mereka sedang mengulangkaji pelajaran di bilik.

Puan Halimah membantu mereka kembali ke bilik setelah Ustaz Lokman memberi pengesahan bahawa mereka semua dah ok.

Aku nampak kereta ayah aku masuk ke dalam perkarangan bangunan hostel. Ada seorang lagi lelaki bersama ayah. Aku tak kenal.

Aku menghampiri ayah. “Kamu ok?” ayah tanya aku. Aku anggukkan kepala.

“Ini Amin, anak bongsu Tok Majid,” ayah perkenalkan lelaki yang dibawanya bersama tadi.

Oooo…. Amin anak Tok Majid. Barulah aku teringatkan cerita Tok. Inilah anak Tok Majid yang dulunya Tok Majid wariskan belaannya. Kalau tak silap aku, melalui cincin yang Tok Majid bagi kat dia. Tapi Tok dah tanam batunya sebab belaan tu tersimpan di dalam batu cincin tersebut. Setahu aku, Tok Majid paling sayang anak bongsunya ni.

“Betul ke kamu nampak jelmaan ayah saya tadi?” Amin tanya aku.

“Saya tak nampak. Tapi kawan saya dan warden hostel nampak.” Sahutku.

“Mereka kenal Tok Majid ke? Entah-entah mereka nampak benda lain,” kata Amin lagi.

“Tak, memang Tok Majid. Sebab saya cuba lihat dia melalui kaca kamera handphone. Memang nampak dia,” kataku.

“Kalau macam tu, kita dah tahulah ke mana dia pergi,” kata ayah.

“Siapa ayah?” aku tanya.

“Tok Majid,” sahut ayah.

“Tapi bukan ke ayah kata Tok Imam dah kunci dia kat dalam buluh?” aku tanya lagi. Masa ni ayah dan Amin berpandangan sesama sendiri.

“Sebenarnya, lepas kami masuk rumah Tok Majid, roh tu dah tinggalkan jasad Azman. Sebab tu Azman dalam keadaan teruk sampai kami terpaksa panggil ambulan. Tapi belaan tu dah takde. Dah pergi. Kami tahu tahu dia ke mana. Tapi Tok Imam Razali tawakkal, terus paku buluh ke tanah. Tok Imam kata, bila dipaku buluh ke tanah, pergerakan dia terhenti walau di mana dia berada. Jadi rasanya dia tak sempat pergi jauh. Masalahnya pula, kalau dia sempat berjumpa dan bertegur sapa dengan seseorang, dia akan ikut orang tu tanpa dikesan. Masa tu memang kami tak tahu dia dah jumpa siapa,” kata ayah panjang lebar.

Dan aku teringat, masa Tok Imam Razali, ayah dan Paksu masih kat dalam rumah Tok Majid, jelmaan tu ada tegur aku. “Ayah, kan Wani ada beritahu ayah bahawa Wani nampak Tok Majid masa tu. Dia tegur Wani tengah buat apa. Tapi ayah kata ayah tak nampak dia. Ayah tak percaya. Lepas tu Maksu panggil Wani balik, Wani pun balik je la,” kataku.

“Iya, masa tu ayah tak ingat. Dan ayah pun tak tahu. Ayah ingat bila Tok Imam dah pakukan buluh tu ke tanah, dah selesai. Rupanya dia ikut orang lain. Dan ayah pun tak sangka rupanya dia dah bertegur sapa dengan kamu. Sebab tu dia ikut kamu kot,” kata ayah. Aku diam.

“Sekarang kat mana dia?” Amin tanya setelah diam lama mendengar cerita ayah.

“Tak tahu. Tapi rasanya kawan saya yang ikut sekali pun terkena,” kataku baru teringat kat Rosnita.

“Dia kat mana? Tak sekali dengan yang lain ke?” Amin tanya.

“Tak. Dia ikut saya ke bilik tadi. Dan last saya tinggal dia kat tangga dengan Ustaz Murad,” kataku sambil menunjukkan ke arah tangga.

Amin, ayah dan aku terus melangkah ke tangga.

Ketika kami sampai ke tangga tu, aku dengar bunyi tangisan Rosnita. Sedih sekali bunyinya. Aku berlari dan nampak Rosnita dalam keadaan meniarap dan kakinya bersilang ke belakang. Aku cari Ustaz Murad, tak nampak.

“Wani tolong aku Wani. Sakit,” kata Rosnita merayu sambil pandang aku. Dia seakan terkunci. Sedihnya aku tengok dia. Cepat-cepat aku berlari ke arahnya dan cuba bantu.

“Jangan bantu dia. Itu bukan kawan kamu. Itu syaitan,” kata Ustaz Murad dari tingkat atas.

“Tapi Ustaz, nampak macam dia dah sedar ni. Dia boleh kenal saya,” sahutku, betul-betul kesian melihat Rosnita dalam keadaan macam tu. Aku tiba-tiba rasa bersalah. Sebab aku, habis semua orang tanggung akibatnya.

“Itu tipu helahnya saja,” kata Amin lalu mengeluarkan sesuatu dari begnya. Sebilah keris berhulukan kayu yang diukir dengan tulisan jawi. Macam aku pernah nampak keris tu tapi aku tak ingat kat mana.

Ayah tarik aku ke tapi. Ustaz Murad berdiri di belakang Rosnita yang meraung kesakitan. Tadi memang suara dia yang menangis tapi suara meraung ni bukan suara dia. Seram sejuk aku dengar. Rasanya satu university boleh dengar kot.

“Itu senjata dia?” Ustaz Murad tanya, Amin anggukkan kepala. Aku hanya mampu memerhati.

Amin memegang kaki Rosnita. Masa ni raungannya makin kuat. Aku cuba nak tolong, tapi ayah pegang aku. Aku kata biar mereka selesaikan hal tu. Tok Majid perlu dibuang sementara kami tahu dia berada di mana. Nanti kalau dia terlepas lagi, susah nak cari.

Amin meletakkan keris tu di tapak kaki Rosnita. Aku pula yang menangis melihat Rosnita menjerit. “Ayah, nanti dia lukakan Ros,” kataku merayu ayah bantu Rosnita.

“Bawa dia keluar. Dia tak boleh tengok. Kalau tak, dia akan ganggu urusan kita,” kata Ustaz Murad. Ayah tarik tangan aku keluar dari bangunan.

Tak lama kemudian, aku dengar bunyi raungan bergema. Kuat sangat. Bunyinya macam rengusan lembu yang sedang disembelih. Tapi tiga empat kali ganda kuatnya. Meremang weh. Seberani aku, aku pun jadi takut.

“Dah. Mari sini papah kawan kamu keluar,” Ustaz Murad panggil aku. Aku terus berlari ke tangga. Rosnita duduk di tepi dinding pejamkan mata. Mula-mula aku was was juga nak menghampiri dia. Tapi Ustaz Murad dan Amin kata benda tu dah pergi. Takde dah di muka bumi ni. Dah dirantai sehingga kiamat.

“Ros, kau ok?” aku tanya perlahan. Ros buka mata, dia pandang aku.

“Aku pening. Rasa nak muntah,” kata Rosnita.

“Bawa dia ke bilik air. Biar dia muntah. Itu reflex kepada badan dia. Muntah tu elok, biar keluar semua yang tak elok untuk badan dia,” kata Ustaz Murad. Aku papah Rosnita ke bilik air dekat kafe. Dia muntah di sana. Terjelepuk dia keletihan.

“Bagi dia air manis. Biar dia rehat sekejap. In Shaa Allah, dia ok,” kata Ustaz Murad lagi. Aku akur, belikan air manis di mesin minuman. Aku bagi Rosnita minum. Dan nampak wajahnya makin kemerahan, tak pucat macam tadi dah.

“Betul dah selesai?” ayah aku tanya Amin.

“Ya, Alhamdulillah, dah selesai.” Jawab Amin.

Amin memberikan keris putih tadi kepada aku. Aku tak berani nak terima.

“Ambillah, ini pemberian Tok kamu dulu. Lepas dia tahu ada orang dah korek semula benda yang Tok kamu suruh kami tanam, dia panggil saya balik kampung. Dia seperti tahu siapa yang korek benda tu. Walaupun saya tanya, dia taknak beritahu. Rupanya abang saya sendiri. Dia taknak saya bergaduh dengan abang saya sendiri. Dia bagi saya keris ni. Katanya, keris ni dengan izin Allah dapat kunci benda tu hingga akhirat. Tapi saya perlu cari dia. Tok Hassan kunci dia hingga Tok Hassan meninggal dunia baru dia lepas bebas. Masa Tok Hasan meninggal dunia, saya berada di Thailand. Saya mengajar sekolah pondok dan tahfiz di sana. Semalam baru berita sampai kat saya. Itupun sebab seorang lagi abang saya, Shukri maklumkan bahawa Abang Azman masuk hospital. Dan masa kat hospital, Abang Azman suruh saya cari kamu. Sebab tu saya cuba hubungi ayah kamu. Dah Alhamdulillah, hari ini kita dapat bertemu dan selesaikan semuanya,” kata Amin bercerita panjang lebar.

“Azman macammana?” ayah aku tanya.

“Nampak makin ok. Alhamdulillah,” sahut Amin.

“Ambillah keris ni.” Amin hulurkan kembali keris tadi kepada aku. Aku takut nak terima.

“Pak Hassan ada beritahu, keris ni hanya boleh digunakan untuk hapuskan Tok Majid. Jangan guna ke arah lain. Dan dia pesan, selepas Tok Majid dihapuskan, bagi keris ni kat kamu. Sebab kamu banyak mewarisi keberaniannya. Dia nak kamu simpan baik-baik, sebagai tanda kenangan antara kamu dan Pak Hassan,” kata Amin.

Aku pandang ayah. “Ambillah. Simpan elok-elok,” kata ayah. Dan aku terus ambil keris tu. Bila keris tu dah berada di dalam tangan aku, baru aku teringatkan mimpi aku semalam. Tok bagi aku keris ni la. Dah aku tengok hulu keris yang terukir dengan tulisan jawi. Aku baca. “ALLAH MAHA PELINDUNG”

Amin minta diri untuk balik. Ayah minta maaf kepada Ustaz Murad dan pihak universiti di atas kekacauan yang terjadi. Tapi bagi Ustaz Murad dan pihak university, tiada siapa nak perkara macam tu berlaku. Semuanya diluar kuasa manusia. Dan semuanya juga dengan izin Allah.

Ayah ajak aku balik. Aku minta izin ayah untuk hantar Rosnita balik ke rumahnya atas alasan Rosnita masih lemah. “Boleh, tapi jangan melencong dah. Lepas hantar balik terus ke rumah,” kata ayah.

Aku dan Rosnita, bagai tiada apa yang terjadi, seperti yang dijanjikan, kami pergi jalan-jalan dan minum kopi kegemaran kami. Kami takkan degil lagi lepas ni.

– TAMAT –

2 thoughts on “AKU TAKKAN DEGIL LAGI 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s