AKU TAKKAN DEGIL LAGI 2.0

Bab 14

Lepas Asar, kakak aku minta diri untuk balik ke rumahnya. Danish pun asyik menangis je. Kakak aku kata Danish bukan bayi yang kuat menangis, tak tahulah kenapa dia asyik menangis kuat kat rumah mak aku ni. Mak aku kata mungkin sebab dia tak biasa di rumah tu. Memang ada bayi kecil yang akan menangis untuk memberi isyarat dia tak selesa di sesuatu tempat.

Aku pelik juga. Apa pula tak biasa dengan rumah mak aku ni. Kan masa dia lahir dulu dia kat rumah mak aku? Mak aku yang jaga kakak aku dan Danish. Lepas tiga minggu baru kakak aku balik ke rumahnya sendiri.

Aku tolong mak aku bungkuskan makanan untuk kakak aku bawa balik. Mak kan, kalau anak nak balik, macam-macam dia bekalkan. Bubur gandum, goreng pisang, puding buah. Entah bila mak aku buat pun aku tak tahu. Mungkin masa aku tidur tadi agaknya.

“Mak, siapa kat luar rumah tu mak? Dari tadi dia berdiri kat tepi pagar, asyik pandang ke rumah ni je,” kata kakak aku yang muncul dari ruang tamu.

“Siapa? Lelaki ke perempuan? Orang tua ke muda?” Mak aku tanya.

“Lelaki tua. Tapi mukanya pelik. Mungkin dah tua sangat kot. Tapi elok pula berdiri kat situ. Lama dah,” kata kakak aku.

“Entah, nanti mak tengok. Dia ada lagi ke kat sana?” mak aku tanya. Ayah dan abang ipar aku duduk di ruang tamu.

“Ada lagi kat situ,” kata kakak aku. Mak aku berjalan ke depan rumah dan menjenguk ke luar.

“Takde siapa pun, Wawa,” mak aku menjerit dari depan.

“Siapa?” ayah tanya mak.

“Entah, si Wawa kata ada lelaki tua berdiri kat depan rumah ni dari tadi.” Kata mak aku sambil lehernya panjang melihat keliling mencari orang yang kakak aku maksudkan.

“Mana ada siapa. Dia nampak bila?” kata ayah aku.

“Entahlah dia.” Kata mak aku sambil kembali ke dapur.

“Takde siapa pun kat luar tu,” kata mak.

“Dia dah pergi la kot,” kata kakak aku.

Lepas kakak dan abang ipar aku meninggalkan kawasan rumah, hari dah hampir maghrib. Ayah ke masjid yang tak jauh dari rumah aku. Ayah jalan kaki je, selang empat rumah dari rumah aku.

Mak masuk ke dalam biliknya dan aku masuk bilik aku. Masa aku solat, aku dengar bunyi barang-barang aku digeledah. Tapi sebab aku sedang solat kan, aku teruskan juga walaupun tak khusyu dah. Berdebar juga hati aku. Sebab bunyi tu memang macam ada orang kat belakang aku.

Sebaik bagi salam, aku terus menoleh. Tiada siapa. Tapi barang aku berselerak di atas lantai. Berkerut dahi aku. Aku pandang keliling, tiada siapa.

“Mak?” aku panggil. Tiada sahutan. Mak tak dengar kot.

Aku bangun, baru nak buka pintu, aku dengar bunyi seseorang sedang berjalan di luar. Dia berjalan sambil menyeret kaki. Aku nampak bayang-bayang orang di sebalik cermin tingkap. Berderau darah aku bila orang tu seakan berhenti di tengah-tengah tingkap dan menghadap aku. Tapi sebab cermin tu bercorak dan tak jelas, jadi aku tak nampak rupanya. Cuma aku nampak tubuh seseorang sedang menghadap aku di cermin tingkap tu.

Aku toleh semula ke pintu. Belum sempat aku pulas tombol pintu, ada seseorang dah pulas tombol pintu dari luar. Dup dap dup dap jantung aku. Aku toleh kat tingkap, orang tu masih berdiri di situ.

Pintu bilik terbuka. Mak aku terjengul kat muka pintu, masih dengan telekung. Aku usap dada, terkejut weh.

“Wani, ada orang kat dapur tu,” kata mak. Muka mak memang nampak cuak.

“Ayah dah balik kot,” aku jawab.

“Mak dah call ayah, ayah kata dia masih kat masjid,” kata mak aku.

“Tu,” aku tunjuk kat mak susuk tubuh yang berdiri di luar tingkap cermin aku.

“Siapa tu?” mak aku tanya, matanya terbeliak.

“Entah,” sahutku.

Mak aku pegang tangan aku, aku tahu mak aku takut. Tangannya sejuk dan menggeletar.

“Mak dah panggil ayah balik kan?” aku tanya. Mak anggukkan kepala. Takpe mak, kita duduk kat sini sampai ayah balik,” kataku.

“Ni kenapa barang kamu bersepah ni?” Mak aku tanya bila tengok barang aku berselerak di atas lantai. Aku pun dah lupa pasal tu.

“Wani cari barang tadi,” sahutku berdalih, taknak mak aku lebih takut.

“Prangggg!” kami dengar bunyi mangkuk kaca pecah di dapur. Aku bangun. Mak aku tahan. “Biar je, sekejap lagi ayah balik,” kata mak aku. Aku bangun juga, jenguk melalui pintu bilik yang aku buka sedikit. Tak sempat tengok apa-apa, aku jenguk dari dalam bilik, ada satu mata sedang intai aku dari luar bilik.

“Pom!” Aku hempas pintu pintu akibat terkejut.

“Kenapa Wani? Kamu nampak apa?” Mak aku tanya.

“Ada orang sedang mengintai kita kat luar bilik ni,” aku cakap kat mak dengan nada menggeletar. Terkejutnya la aku. Rasa nak gugur jantung.

“Apa benda pula yang kacau kita ni? Selama ni elok je. Takkan tinggal tiga hari dah ada yang menumpang?” Mak aku bercakap sendirian.

“Assalamualaikum,” Tak lama lepas tu aku dengar suara ayah bagi salam. Aku dan mak berpandangan sesama sendiri. Aku pandang ke arah tingkap, susuk tubuh tu masih di situ, menghadap kami. Takkan ayah tak nampak sebab tingkap bilik aku selari dengan pintu masuk rumah.

“Assalamualaikum. Wani, buka pintu ni,” aku dengar ayah panggil lagi. Aku takut nak buka pintu bilik. Entah siapa yang sedang mengintai. Aku takut nak menyahut ayah, takut yang kat tingkap cermin tu dengar suara aku.

“Tok tok tok,” ayah ketuk tingkap bilik aku. Aku dan mak tak berani menjawab. Entah betul atau tak.

Telefon aku berdering. Melompat kami berdua akibat terkejut. Dah la ringing tone aku mengejut je “Look at you, now you look at me.  Look at you, now you look at me. How you like that!”

Now who look at who? Mak aku tepuk belakang kepala aku. “Tukar la ringing tone elok sikit.” Katanya.

Aku angkat telefon. “Ayah ke tu?” aku tanya.

“Iyelah, ayah ni. Bukak pintu cepat,” kata ayah.

Perlahan-perlahan aku buka pintu bilik. Menjenguk ke luar. Panjang tengkuk aku memerhati keliling. Kot ada orang lain dalam rumah tu. Aku melangkah keluar bilik,, mak aku berpaut kat tangan aku. Aku dan mak jalan berpelukan terus ke pintu. Aku buka pintu. Ayah menjenguk dari luar.

“Dah kenapa kamu berdua ni? Kenapa lambat buka pintu. Salam pun tak menyahut,” kata ayah.

“Tadi kenapa awak telefon tanya saya di mana?” ayah aku tanya lagi kat mak aku bila kami berdua tak menyahut.

“Macam ada orang lain dalam rumah ni,” kata mak.

“Siapa?” ayah aku tanya.

“Tak tahu, kalau tahu takdelah kami takut,” aku jawab. Ayah pandang aku.

“Kat mana orangnya?” ayah tanya sambil matanya melilau memerhati keliling.

“Kat dapur,” sahut mak.

Ayah berjalan ke dapur.

“Astaghfirullahal aziim. Ni kenapa berselerak ni?” ayah aku membebel.

Aku dan mak menjenguk ke dapur. Periuk nasi mak dah terbalik di lantai. Habis nasi tumpah. Pinggan yang mak susun kat atas meja dan pecah berselerakan di lantai. Bau busuk di merata-rata, macam bau bangkai. Kami bertiga tutup hidung.

“Saya rasa ada benda menumpang kot masa kita takde kat rumah tiga hari ni,” kata mak. Ayah aku diam.

“Benda menumpang masa kita tiada di rumah atau ada benda ikut balik dari kampung?” ayah bersuara sendirian. Dan masa ni aku teringat semuanya. Kaca bertaburan, jalan seret kaki, barangan bersepah, seperti ada yang memerhati. Semua macam saling berkaitan.

“Benda apa?” mak aku tanya.

“Tapi kan Tok Imam dah kunci dia?” kataku perlahan. Ayah diam. Entahlah kenapa aku dapat rasakan macam ada sesuatu yang ayah sorok dari kami. Tentang Tok Majid. Betul ke Tok Imam dah kunci dia?

“Dah, biar saya kemas semua ni. Awak dan Wani pergi ke depan. Nanti kita beli je makanan malam ni,” kata ayah.

Aku ajak mak teman aku kat bilik. Aku nak susun barang aku yang bersepah. Kami tak berbual. Mak duduk diam kat atas katil aku. Muka mak nampak cuak.

“Rileks la mak. Takde apa,” kataku memujuk walau hati aku pun gundah gulana. Mak aku tak jawab.

Lepas kemas bilik, aku ajak mak duduk kat ruang tamu sementara tunggu ayah. Aku pasang televisyen, cuba buat macam takde apa yang jadi. Mak masih diam dengan muka kejungnya. Sian mak.

Seketika kemudian, ayah muncul dari dapur. Berpeluh-peluh sebab mencuci dapur yang berselerak tadi. “Saya keluar kejap belikan makanan ye,” kata ayah.

“Nak ikuttttt,” aku dan mak bersuara serentak. Takkan la kami nak tinggal berdua lagi kat rumah tu kan.

“Takkan nak tinggal rumah macam ni?” ayah tanya.

“Masak mee segera je la,” kataku.

“Hmm… Bolehlah. Kamu pergi masak.” Kata ayah.

“Mak taknak makan,” mak aku menyahut.

“Makanlah sikit. Jom kita ke dapur semua,” kata ayah sambil pegang tangan mak. Lepas tu ayah tarik tangan mak ke dapur. Mak ikut. Aku pun sekali. Mak dan ayah duduk kat meja makan. Sambil tu aku masak mee segera kari, letak telur dan cili api. Perut tengah berkeroncong, rasa takut tu letak tepi sekejap. Kami makan mee segera panas malam tu.

Masa tidur, aku dengan tak malunya minta nak tidur kat bilik mak aku. Mujurlah ayah aku izinkan. Ayah aku tidur kat sofa bed di dalam bilik tidur diorang tu. Aku tidur dengan mak kat atas katil. Mak memang tak banyak cakap. Nampak sangat mak susah hati.

Mujurlah tiada apa yang terjadi malam tu. Aku tidur elok je nyenyak. Tapi aku bermimpi.

Aku jumpa Tok. Tok nampak muda dan bercahaya. Tok pakai jubah putih, dengan kopiah putih. Uban dikepala Tok nampak bercahaya. Tok bagi aku satu barang, nampaknya macam sebilah keris dengan ulu kayu berukir tulisan jawi. Aku pun tak dapat baca tulisan tu, sebab tak begitu jelas. Tak lama mimpi tu, macam sekali lalu je. Tiada sebarang perbualan. Tok bagi kat aku keris tu dan terus pergi. Aku terjaga sambil panggil Tok.

Mak aku pun bangun sekali, ayah aku sekali. Mungkin kuat kot aku jerit dalam tidur.

“Kamu mengigau? Tak basuh kaki tadi?” ayah tanya aku.

“Wani mimpikan Tok. Tok bagi Wani keris,” aku bercerita.

“Dah, mimpi je tu, takde apa. Tidurlah. Esok awal pagi kamu dah nak ke hostel.” Kata ayah. Aku pun baring semula dan senang je aku terlena semula. Mungkin sebab terlalu penat.

-Bersambung-

3 thoughts on “AKU TAKKAN DEGIL LAGI 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s