AKU TAKKAN DEGIL LAGI 2.0

Bab 13

Aku menoleh. Seorang tua dengan janggut melepasi dada, wajah menyeringai seakan menahan sakit atau mungkin sedang tersengih, memandang tepat ke wajah aku. Baunya busuk betul. Berjalan senget cuba menghampiri aku. Tok Majid! Aku kenal sangat dengan wajah tu. Satu-satunya wajah yang takkan aku lupa seumur hidup aku.

“Ayahhhh!” aku panggil. Mujurlah suara aku boleh keluar masa tu. Kira berani juga aku ni.

“Wani, kenapa?” ayah aku panggil dari atas beranda rumah Tok Majid.

Aku menoleh kepada ayah sambil jari telunjuk aku tunjuk ke aras Tok Majid. “Tu….,” muncung mulut aku.

“Apa benda?” Ayah aku tanya lagi.

“Tok Majid,” sahutku.

“Mana?” ayah tanya lagi. Aku menoleh ke tempat Tok Majid berdiri tadi. Dia dah tiada di situ. Aku gosong mata beberapa kali. Memang dia tiada di situ.

“Sebab tu ayah kata jangan ikut. Kamu degil. Sekarang ni pergi balik,” kata ayah. Aku dengan menggeletar kaki, dengan kepala masih fikir mana dia Tok Majid tadi, terus berlari balik rumah. Aku yakin aku nampak Tok Majid, tapi siapa nak percaya.

Sampai kat rumah, mak aku dah membebel. “Kamu tu perempuan, cuba buat perangai perempuan sikit. Kami yang dah dewasa ni pun tak ingin nak jejak kaki kat rumah tu, tapi kamu sibuk nak mengikut diorang. Perempuan ni lemah tahu tak, orang yang lemah ni, jin syaitan senang nak kacau. Kamu ingat kamu kuat sangat? Tak jadi apa-apa, takpelah. Kalau jadi apa-apa yang tak baik, macammana? Nak salahkan siapa? Kamu juga yang salah. Dulu dah pernah rasa kan macammana bila berdepan dengan jin semua ni? Tak serik lagi?” mak aku pandang aku dengan muka merah. Marah betul tu.

“Kamu ni Wani, tadi kan ayah dah kata, jangan ikut. Maksu pun dah panggil balik kan? Kenapa kamu ni degil sangat Wani? Dah besar kan, dah tahu mana baik buruk. Ini bukan benda main-main. Ini semua jin, syaitan. Nak pulak hari dah nak senja. Cubalah sesekali dengar cakap orang sikit.” Maksu sambung membebel.

Aku terus masuk ke dalam rumah. Opah sedang duduk di kerusi. Aku duduk di tepi Opah dengan mulut yang muncung berdepa.

“Sorang marah dah la, ni semua nak marah.” Rungutku.

“Orang marah sebab orang sayang. Orang taknak jadi apa-apa yang tak elok kat kamu,” kata Opah. Aku terus diam.

“Itu kamu tunggu apa lagi kat situ? Pergilah mandi, dah nak maghrib ni. Nak harap kamu masakkan nasi untuk makan malam, memang tak la. Kamu tu anak dara, bukan anak teruna. Belajar-belajarlah buat kerja dapur sikit. Takdelah semua tunggu terhidang,” tak habis lagi mak membebel kat aku.

Aku pandang Opah. “Dah, pergi mandi,” kata Opah perlahan.

Aku mandi kat bilik air dalam rumah. Seram sejuk aku bila mengenangkan Tok Majid tegur aku tadi. Mungkin imaginasi aku kot.

Masa aku mandi, aku dengar bunyi ambulan lalu kat depan rumah Opah. Sebaik aku keluar dari bilik air, ayah dan Paksu pun dah balik.

“Dah selesai?” Maksu tanya.

“Masa kami masuk, jumpa Azman je. Tapi dalam keadaan yang agak teruk. Lemah macam dah lama tak makan. Meracau-racau entah apa butiran kata, kami tak faham. Itu yang kami panggil ambulan. Ambulan bawa ke hospital. Harap-harap dia sihat,” kata Paksu.

“Majid?” Opah bertanya dari arah depan. Paksu dan Maksu berpandangan sesama sendiri.

“Dah selesai dah mak. Tok Imam dah pagar rumah tu. Tok Imam cucuk buluh di bawah rumah, itu untuk rantai dia sampai bila-bila selagi takde orang cabut buluh tu,” kata Paksu.

“Kalau ada orang cabut?” aku pula tanya sambil lap rambut.

“Dah jangan banyak tanya. Dah azan pun tu. Pergi solat. Nanti tolong hidangkan makan malam,” kata mak yang aku tak perasan dari tadi ada di meja makan.

Aku pun berjalan terus ke bilik aku dan tunaikan solat maghrib. Sebaik aku selesai solat, aku rasa macam ada yang tak kena. Tapi aku tak tahu apa tu. Rasa macam sedang diperhatikan. Aku pandang keliling, takde siapa pun kat dalam bilik tu. Cepat-cepat aku sangkut telekung dan sejadah, terus ke dapur. Tiada siapa kat dapur, Maksu dan mak mungkin tak selesai solat lagi. Ayah dan Paksu ke masjid kot. Opah mesti masih mengaji kat dalam bilik.

Aku cedokkan nasi dari dalam periuk ke dalam mangkuk lalu hidangkan di atas meja. Susun pinggan dan lauk pauk. Bancuhkan air sirap. Semua siap. Harap mak aku puas hati dengan kerja aku. Aku bukannya taknak buat kerja rumah tu semua, tapi dah ada orang lain kan? Kalau takde orang, tahu je aku buat. Tapi aku berani bisik dalam hati je la.

“Tok Majid dah takde la ni kan?” Maksu tanya masa kami malam malam. Opah tak makan nasi. Opah makan biskut lutut cicah dengan kopi panas. Memang jarang Opah makan nasi waktu malam. Opah kata takde selera makan nasi dah.

“In Shaa Allah, takde dah. Tok Imam dah paku dia di bumi,” sahut Paksu.

Aku ada banyak benda nak tanya tapi mak dah jegil mata kat aku sebagai isyarat suruh diam. Jadi aku pun tak jadi tanya. Memang tiada dah gangguan malam tu. Aku boleh tidur dengan lena. Dan aku pun cuba lupakan semua hal berkaitan Tok Majid.

Keesokan pagi, aku dengan mak dan ayah bergerak balik ke KL. Aku bawa kereta aku, dan mak naik kereta dengan ayah.

“Kalau ada apa-apa, beritahu cepat ye,” kata ayah pesan kat Maksu. Maksu anggukkan kepala.

Aku cium Opah beberapa kali. “Nanti Wani dah selesai hal hostel dan university, Wani balik jenguk Opah ye.” Kataku pada Opah.

“Ya, jaga diri baik-baik. Jaga solat sama macam jaga nyawa,” kata Opah. Memang tak pernah lupa ayat tu, tiap kali aku nak berpisah dengan Opah, pasti ayat tu yang keluar. Aku hanya anggukkan kepala.

Aku ikut belakang kereta ayah. Kami bergerak sekali.

Masa di atas lebuhraya, aku rasa macam ada sesuatu yang mengikut dalam kereta aku. Tapi aku tak tahu apa tu. Beberapa kali aku jenguk ke tempat duduk belakang, tiada sesiapa. Hanya beg kecil yang aku nak bawa ke hostel je. Hati aku memang rasa tak sedap. Rasa berdebar-debar. Sebenarnya sejak semalam lagi, tapi aku cuba untuk taknak fikirkan sangat. Tambahan pula semalam aku masih bersama ramai orang. Tapi sekarang aku seorang diri, jadi perasaan tu tak dapat dibendung lagi.

Aku ambil telefon aku. Pakai earphone. Aku call ayah. “Ya Wani?” mak yang jawab sebab ayah sedang drive.

“Wani ikut ayah dan mak balik rumah kita dulu la. Esok la Wani pergi hostel ambil barang dan selesaikan hal lain,” aku cakap kat mak aku. Sebab tadi aku cakap kat ayah, aku nak terus ke hostel. Cuma minta tolong ayah bawa balik beg baju aku je. Aku dah siap-siap ambil baju yang aku nak pakai je. Kat hostel pun masih ada banyak baju aku.

“Pulak. Kenapa tiba-tiba je ubah fikiran?” mak aku tanya.

“Wani rasa tak berapa sihat,” sahutku.

“Takpe ke? Nanti pihak hostel marah pula. Janji haritu tiga hari je. Kalau esok dah masuk hari keempat.” Kata mak.

“Takpe, Wani uruskan yang tu dengan pihak hostel.” Sahutku.

“Ikut suka kamu. Mak dan ayah ikut je. Tu boleh drive ke tak? Kalau tak boleh, tukar la dengan ma. Mak boleh bawa kereta kamu,” kata mak.

“Eh, boleh je drive. Bukannya tak sihat terus, mungkin penat je ni,” sahutku. Dan aku putuskan talian.

Aku terus memandu kereta aku mengikut belakang kereta ayah, terus sampai ke rumah kami. Aku terus masuk ke rumah dan bawa semua barang aku. Aku baring kat atas katil. Aku rasa badan aku panas, betullah kot aku nak demam ni.

“Kamu ok tak ni? Nak pergi klinik?” Mak aku tanya cari pintu bilik.

“Wani makan panadol dulu mak. Lepas tu Wani nak rehat kejap. Harap-harap tak melarat la,” kataku. Mak bawa panadol dan segelas air kat aku. Aku pun dah tiga bulan tak balik rumah ni.

Lepas makan ubat, aku terlelap. Aku sedar bila terdengar suara bayi kecil menangis. Aku terus bangun dan gosok mata. Badan aku masih rasa lemah tapi aku kuatkan diri untuk bangun, nak tengok siapa yang datang rumah mak aku.

Kat ruang tamu, kakak aku dan suami dia serta anak kecil mereka yang baru berusia 2 bulan ada kat ruang tamu. Ini kali pertama aku tengok anak kakak aku. Sebab masa dia lahir, aku kat university. Aku tak balik dah tiga bulan.

Mak aku kata, dia nak ikut mak aku balik kampung masa Tok meninggal dunia, tapi mak tak benarkan sebab ada anak kecil. Lagipun kakak aku baru habis pantang. Sebab tu kakak aku tak balik masa Tok aku meninggal tiga hari lepas.

Abang aku sekarang kat London. Dia dah jadi doktor kat sana. Rezeki mak dan ayah aku, dapat menantu orang London. Aku pun baru sekali je tengok kakak ipar aku tu. Lawa.

“Ha, tengok tu Ucu. Danish belum pernah jumpa Ucu kan?” Kakak aku angkat bayi kecilnya dan tunjuk kat aku. Comel anak sedara aku yang ni. Putih melepak macam mak dia. Ayah dia pula hensem, maka sempurnalah.

“Inilah Danish ye. Mai kat Ucu mai,” kataku perlahan sambil hulurkan tangan. Dan tiba-tiba Danish menangis kuat sangat, sambil menggeliatkan badannya. Berpusing-pusing mata hitamnya. Kakak aku dah panik. Mak aku angkat Danish, tepuk-tepuk belakangnya. Tapi Danish masih menangis sambil meregangkan badannya dan matanya terbeliak pandang ke atas.

“Kenapa ni mak? Tiba-tiba je. Tadi tak macam ni pun,” kata kakak aku, susah hati.

“Entah. Nak kata kembung, tak pun ni. Elok je. Anak kamu pernah kena sawan ke?” mak aku tanya.

“Tak pernah pula. Semua elok sihat je,” sahut kakak aku.

Mak aku budak baju Danish dengan pampers sekali mak aku buka, habis bogel. “Kenapa buka baju dia mak?” kakak aku tanya.

“Kot ada benda gigit dia. Atau kulit dia tersepit ke. Bayi bukannya tahu nak cakap. Kita la yang kena check sendiri,” kata mak aku. Iyelah, mak aku kan jururawat. Kakak aku diam. Dia pun tak berapa pandai lagi, maklumlah anak pertama.

“Wani, kamu pergi ambil kotak ubat mak tu. Nanti mak sapu krim, kot ada binatang gigit,” kata mak.

Aku pun bangun dan terus ke ruang dapur. Kotak kecemasan mak memang kat dapur. Masa aku ke dapur, aku dengar suara Danish dah perlahan sikit. Aku ambil kotak ubat mak aku dan kembali ke ruang tamu lalu serahkan kotak tu kat mak aku. Masa ni Danish dan terlena.

“Elok pula dia tidur?” tegurku.

“Entah. Iyelah kot ada serangga gigit ke, atau tersepit kat mana-mana tu. Sebab tu lepas mak bukak baju dia ok,” kata kakak aku. Aku pun diam.

“Pergi baringkan dia kat dalam bilik mak. Kat luar ni nanti bising dengan bunyi motor semua. Jom kita tengok apa ada kat peti sejuk. Masak ringkas je.” Kata mak aku. Kakak aku ambil Danish dari mak. Aku bangun dengan mak.

“Kamu ok dah ke? Rasa demam lagi?” mak tanya aku.

“Rasa macam dah ok sikit,”sahutku.

“Kalau tak lalu, pergilah baring. Mak masak dengan kakak kamu je,” kata mak.

“Ok dah ni mak. Boleh je tolong siang-siang sayur.” Sahutku.

-Bersambung-

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s