AKU TAKKAN DEGIL LAGI 2.0

Bab 12

“Macammana nak dia pergi terus, tak balik sini dah?” aku tanya.

“Kunci mati. Sebab dia memang dah tak diterima bumi. Roh orang yang syirik berkeliaran sampai hari kiamat. Dia takkan tenang. Sebab tiada tempat untuknya di mana-mana selain dari neraka.” Kata Opah.

“Siapa yang boleh kunci mati dia tu Opah?” aku tanya lagi.

“Imam Razali pun boleh. Sebab dia dah tahu asal keturunan. Syarat nak bunuh jin ni, kita perlu tahu asal keturunannya. Sebab tu orang tahu, Pontianak tu asal dari mana. Toyol tu asal dari mana. Pocong semua tu, kena tahu dulu asalnya dari mana, baru boleh hantar balik.” Kata Opah.

“Habis tu, suruh la Tok Imam kunci mati Tok Majid tu,” sahutku.

“Kena pulihkan Azman dulu. Yang nak dibuang ialah roh Tok Majid, yang nak diselamatkan ialah Azman. Jadi kena buat betul-betul. Tak boleh main buang macam tu je,” kata Opah. Aku diam.

“Mak, jom makan. Masak yang ringkas je tengahari ni,” Maksu tiba-tiba menjenguk dari pintu bilik Opah. Opah tak cakap apa-apa, terus bangun dan melangkah ke dapur. Aku tengok jam, dah pukul 1 rupanya, patutlah aku pun rasa perut aku berkeroncong.

“Wani bila balik hostel?” Paksu tanya masa kami sedang makan tengahari.

“Sepatutnya esok. Wani janji dengan warden asrama tiga hari je,” sahutku sambil menyedok pucuk ubi masak lemak dari dalam bekas tambah. Sedapnya makan dengan ikan masin sepat yang digoreng rangup. Memang ringkas betul masakan Maksu dan mak aku hari ni. Dua jenis tu je, tapi aku makan bertambah-tambah.

“Barang kamu bersepah tak?” Mak aku tanya.

“Tadi tengok takdelah bersepah sangat. Dah kemas dah balik,” sahutku.

“Esok pagi kita gerak la balik KL,” sahut ayah.

“Hal kat sini selesai dah ke?” Mak tanya lagi. Semua terdiam. Dan teruskan makan. Memang tiada jawapan.

Lepas asar, Tok Imam Razali datang ke rumah Opah. Dia ikut ayah balik dari masjid.

“Malam ni malam ketiga dia lepas. Kena buat sesuatu sebelum dia kacau orang kampung. Atau sebelum dia berpindah ke orang lain atau barang lain yang susah kita nak kesan. Masuk maghrib nanti dia dah masuk zon selamat. Kalau nak buat apa-apa, jom buat sekarang,” kata Tok Imam Razali kat Opah yang sedang duduk di beranda.

“Kalau ikut aku, dari malam pertama aku dah hantar dia balik ke tempat dia dah,” kata Opah.

“Aku dah pagar rumah Majid tu, supaya dia tak boleh keluar sampai maghrib nanti. Aku nak ke sana sekejap dengan anak menantu lelaki kau. Kau jangan pula ke sana, tunggu je kat sini,” kata Tok Imam Razali. Opah tak menjawab.

Ayah dan Paksu ikut Tok Imam Razali ke rumah Tok Majid. Aku ni memang degil, sebab hari siang lagi kan, apa nak takut? Lagipun aku memang teringin sangat nak tahu apa yang jadi. Aku ikut belakang Paksu. Rasanya diorang tak perasan aku ikut belakang diorang.

Sampai kat rumah Tok Majid, Tok Imam Razali bagi salam. Tiada sahutan.

“Azman, Ooo Azman. Kamu ada kat dalam?” Tok Imam Razali memanggil. Masih tiada sahutan.

“Majid?” Tok Imam Razali panggil nama tu pulak.

Pintu rumah Tok Majid terbuka perlahan. Tapi tiada sesiapa yang keluar atau menunjukkan muka.

“Azman?” Tok Imam Razali panggil. Tiada sahutan.

“Azman, kalau kamu kat dalam, keluarlah. Kita bincang. Ada beberapa perkara yang kamu tak sedar ni. Jangan degil, kelak padah diri,” kata Tok Imam Razali.

Pintu rumah dibuka luas. Seorang lelaki keluar dan memandang kami semua. “Cari siapa ye?” lelaki tu bertanya.

“Kamu Daud kan? Penyewa rumah ni,” Tok Imam Razali tanya.

“Ya, saya Daud,” sahut lelaki tu.

“Siapa lagi yang ada di dalam rumah ni?” Tok Imam Razali tanya.

“Saya seorang je,” kata Daud.

“Sungguh?” Tok Imam Razali tanya.

“Imam nak apa datang sini?” Daud tanya lagi.

“Kami cari Azman,” Paksu menjawab.

“Azman kan dah pindah ke bandar. Rumah ni setahu saya, dia dah jual kepada tuan rumah ni sekarang. Jadi, Azman dah takde kena mengena dengan rumah ni. Saya cuma sewa je,” kata Daud.

Tok Imam dan Paksu berpandangan sesama sendiri. Dan aku pun rasa betul apa yang Daud tu cakap. Sebab Opah sendiri beritahu aku, rumah Tok Majid tu, anak-anak dia dah jualkan kat orang luar yang tak tahu pasal rumah tu. Sebab tu aku pelik bila Tok Imam panggil Azman kat rumah tu.

“Kamu ni anak Leman hujung kampung tu kan?” Paksu tanya.

“Haah, saya baru je sewa rumah ni. Sebab dapat kerja kat kawasan ni,” kata Daud.

“Kenapa tak tinggal je kat rumah ayah kamu? Kenapa nak sewa rumah lain?” Paksu tanya lagi.

“Eh, ikut suka saya la bang, duit saya. Saya tak minta duit ayah saya pun untuk sewa rumah ni,” kata Daud. Macam tak berapa suka bila ditanya banyak begitu.

“Kamu ada berhubung dengan Azman lagi tak?” Tok Imam tanya.

“Saya nak berhubung dengan dia untuk apa?” Daud tanya balik. Jelas dia tak selesa dengan pertanyaan demi pertanyaan dari Tok Imam Razali dan Paksu.

“Praaanggggg!” tiba-tiba kami dengar bunyi benda pecah di bahagian dapur rumah tu. Kami semua memandang ke arah dapur.

“Kamu tinggal dengan siapa?” Tok Imam Razali tanya.

“Saya tinggal seorang,” sahut Daud tapi nampak dia asyik menoleh ke belakangnya.

“Tu bunyi kaca berderai tu, pergilah tengok,” kata Paksu.

“Takpe, itu kucing hitam saya kot,” kata Daud.

“Kami balik dulu la. Kami ingat Azman ada di sini. Sebab semalam dia datang ke rumah kami minta barang dia,” kata Tok Imam Razali.

“Bila?” Daud tanya.

“Tengah malam semalam.” Sahut Tok Imam Razali.

“Dia takde di sini. Semalam saya bercakap dengan dia di telefon, masa tu dia di Sabah ada kerja,” kata Daud seperti panik.

“Kami call dia?” Ayah tiba-tiba tanya. Daud diam, muka macam panik.

“Tadi kamu kata kamu dah tak berhubung dengan dia?” ayah tanya lagi.

“OK la ye, saya ada kerja sikit ni. Kalau takde apa-apa, saya masuk dulu,” kata Daud terus masuk ke dalam rumah dan menutup pintu. Kami kat halaman rumah, masih memandang ke arah pintu yang dah ditutup rapat. Kehadiran kami tak dialu-alukan.

“Macam ada yang tak kena je,” aku bersuara.

Tok Imam Razali, ayah dan Paksu menoleh memandang aku. Mereka terkejut tengok aku. Aku pun macam ‘whattt?’

“Sejak bila kamu ada kat sini?” ayah tanya.

“Dari tadi. Wani memang ikut dari rumah Opah tadi lagi,” sahutku.

“Kamu memang degil kan?” kata ayah.

“Dah, jom balik.” Kata Paksu.

Masa kami nak melangkah meninggalkan rumah Tok Majid, tiba-tiba terdengar bunyi seakan ada orang bergaduh di bahagian dapur. Dan kedengaran suara garau seakan sedang dalam keadaan penat dan marah.

Aku melangkah nak mengintai, tapi belum sempat aku merapati tingkap dapur, seekor kucing hitam melompat keluar membuatkan tingkap dapur terbuka sikit.

“Wani, kamu jangan ke sana. Pergi balik rumah,” kata Paksu. Aku mengundur beberapa langkah sampailah aku berdiri di bawah pokok besar sebelah rumah Tok Majid. Tok Imam merapati tingkap yang terbuka.

“Aku…… Aku takkan pergi. Ini tempat aku. Kamu semua pergi,” aku dengar suara. Tapi aku yakin itu bukan suara Daud, bukan juga suara Azman. Suara tu macam garau, suara seseorang yang dah tua sangat.

Tok Imam Razali mengintai di tingkap. Dan aku nampak Tok Imam Razali menggelengkan kepala.

“Astaghfirullahal aziim,” terdengar ucapan dari mulut Tok Imam Razali.

“Kenapa Tok Imam?” Paksu tanya.

“Majid ada kat dalam. Dengan Azman,” kata Tok Imam Razali.

“Daud?” Ayah tanya.

“Rasanya Daud tu cuma untuk mengaburi mata orang kampung je. Daud dan Azman kan berkawan baik,” sahut Paksu. Tok Imam Razali diam.

Tok Imam Razali mengundur beberapa langkah. Lalu dia tunduk dan mengambil segenggam tanah. Tanah itu digenggamnya kuat sambil mulutnya terkumat kamit membaca sesuatu dengan mata terpejam. Seketika kemudian, Tok Imam Razali membaling tanah dalam genggamannya ke dinding rumah Tok Majid.

Dan kedengaran satu ngauman kuat dari dalam rumah tu. Kuat sangat, sampai rasa berdengung telinga. Aku rasa satu kampung kot boleh dengar bunyi tu.

“Majid, lepaskan anak kamu. Dia dah terlalu taat dan setia pada kamu sampai dia menduakan Allah. Majid, kamu baliklah ke tempat kamu. Sini bukan tempat kamu lagi.” Kata Tok Imam.

Aku kerutkan dahi. Tok Majid bukan dah mati ke? Kenapa Tok Imam boleh bercakap lagi dengan dia?

“Pergi, pergi. Jangan kacau kami. Pergi!” aku dengar suara seperti suara Azman dari dalam rumah.

“Kami takkan kacau kamu kalau kamu tak datang kacau kami dulu,” kata Paksu.

“Azman, tinggalkan ayah kamu. Dia bukan ayah kamu lagi. Tak perlu kamu taat membuta tuli macam ni. Kamu tahu ayah kamu dah tiada. Selagi kami ikutkan kehendaknya jin tu, selagi itu kamu menyeksa ayah kamu,” kata Tok Imam Razali, penuh kelembutan.

“Pergilah, saya taknak keadaan makin teruk,” Azman bersuara dari dalam rumah.

“Azman, kami nak bantu kamu. Kamu dah terlalu sesat. Dan sekarang kamu gunakan Daud pula. Azman, syaitan sedang menghasut kamu di atas nama ayah kamu. Ayah kamu dah mati,” kata Tok Imam Razali masih memujuk.

“Tiada siapa dapat bantu aku walau Tuhan sekalipun,” kata Azman.

“Astaghfirullahal Aziim. Mengucap Azman. Segala yang terjadi adalah dengan izin Allah samada baik atau buruk. Sekarang kamu hanya perlu pilih kamu nak jadi baik atau buruk.” Kata Tok Imam lagi.

Dan bunyi ngauman tadi berbunyi lagi. Disertai bunyi barang dibaling di dalam rumah. Dan pintu depan terbuka lalu kelihatan Daud berlari keluar dari rumah dengan wajah ketakutan.

“Kita masuk ke dalam rumah,” kata Tok Imam. Ayah dan Paksu anggukkan kepala. Ayah pandang aku dan bagi isyarat jangan masuk sekali. Paksu bagi isyarat suruh aku balik. Aku tetap berdiri di situ, tengok jam, dah pukul 6.30 petang.

Tok Imam, ayah dan Paksu masuk ke dalam rumah melalui pintu depan yang dibuka oleh Daud sekejap tadi. Daud dah hilang entah ke mana.

Bunyi ngauman sekali lagi kedengaran. Sebab aku dah tinggal seorang kat luar rumah, jadi bunyi tu agak menyeramkan. Tambahan pula keadaan waktu tu dah menghampiri senja.

“Wani, balik!” aku dengar sayup sayup suara Maksu panggil aku. Tapi aku degil, nak tahu apa yang jadi kat dalam rumah tu. Keadaan hampir gelap. Tiada bunyi lain lagi dari rumah Tok Majid.

“Kamu buat apa di sini?” aku dengar satu suara menegur dari belakang aku. Suara yang biasa aku dengar dulu. Bulu roma aku dah meremang. Aku menoleh perlahan-lahan.

-Bersambung-

One thought on “AKU TAKKAN DEGIL LAGI 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s