AKU TAKKAN DEGIL LAGI 2.0

Bab 11

Tak lama kemudian kedengaran bunyi enjin kereta memasuki perkarangan laman rumah Opah. Itu kereta Tok Imam Razali. Sebaik mematikan enjin kereta, Tok Imam Razali keluar dari kereta dan bukakan pintu kereta bahagian belakang. Opah keluar dari bahagian penumpang. Kami semua kat situ terkejut tengok Opah keluar dari kereta Tok Imam.

“Dah kenapa korang tinggalkan mak korang berjalan kaki balik dari kubur?” Tok Imam Razali tanya.

Paksu dan ayah berpandangan sesama sendiri. “Tadi bukan mak naik dengan kita ke?” Paksu tanya ayah. Ayah angkat bahu. Masing-masing dah pening, dah keliru.

“Imam jumpa mak kat mana?” ayah tanya.

“Kat depan nun,” jawab Tok Imam Razali.

“Mak, tadi bukan ke mak naik dengan kami?” Paksu tanya Opah.

“Bila masa mak naik dengan kamu? Lepas Zul jawab telefon, kamu berdua sembang, lepas tu terus tinggalkan mak kat kubur ayah. Mak ingat kamu nak ambil barang ke apa, tapi terus pergi tinggal mak. Jenuh mak panggil,” kata Opah. Wajahnya ada riak keletihan. Aku pegang tangan Opah, ajak duduk di pangkin.

“Kenapa korang semua duduk kat luar ni? Kenapa tak masuk rumah? Dah siap masak?” Opah tanya. Semua yang berada di situ berpandangan sesama sendiri. Tak tahu macammana nak terangkan kat Opah.

“Ada orang lain kat dalam rumah tu mak. Habis pecah pinggan mak kat dapur tu,” kata Maksu.

“Ha? Siapa masuk rumah kita? Perompak ke? Panggillah polis,” kata Opah, wajah Opah terkejut. Ayah jeling Maksu. Maksu tunduk macam dah buat silap bila terkejutkan Opah macam tu.

“Tak tahulah siapa Opah. Kejap lagi tahulah. Nanti Tok Imam tolong tengokkan,” sahutku konon nak betulkan keadaan.

“Apa pula suruh Tok Imam, panggil polis,” kata Opah terus berdiri dari pangkin.

“Mak, mak tunggu sini. Nanti kami uruskan. Mak tunggu je sini. Jangan risau. Mak dah jalan jauh tadi kan, mak rehat dulu,” kata ayah pujuk Opah.

Mak aku bangun, pegang bahu Opah. Suruh Opah duduk semula. Ayah dan Paksu mengikut Tok Imam ke bahagian bawah rumah. Dari jauh, aku nampak macam Tok Imam Razali menjolok bulu kecil yang dibawanya dari bawah rumah. Dari celahan lantai papan tu, memang ada ruang sikit. Aku nampak Tok Imam Razali menjolok beberapa kali. Dan tak semena-mena kami dengar bunyi satu suara garau mengaum kuat. Suaranya seakan bergema, kuat betul.

Opah turun dari pangkin. Opah nak melangkah ke arah bawah rumah tapi Maksu tahan. “Mak tunggu dengan kami ye,” kata Maksu.

“Tadi tu bunyi dia la kan?” Opah tanya.

“Dia tu siapa mak?” Maksu tanya Opah balik.

“Yang korang kata penyamun tu la kan?” Opah tanya lagi.

“Hmmmm….. Saya pun tak tahu la mak,” sahut Maksu.

“Aku dah kata, dia takkan pegang janjinya. Orang kalau dah tahu kelebihan benda tu, takkan orang nak buang suka-suka. Orang mesti simpan. Benda tu boleh jaga harta, boleh tolong balas dendam, boleh tolong cari duit, boleh tolong apa je, nak dapat pangkat dunia pun boleh. Selagi tuan dia jaga dia, berdamping dengan dia. Aku dah cakap dah, takdenya dia nak hapuskan benda alah tu,” bebel Opah sambil mundar mandir di tepi pangkin.

Opah aku ni, kadang-kadang aku tak tahu dia makan apa. Sihat semacam, cergas semacam. Aku yang muda jauh dari dia ni, berlari kat kubur tadi, rasa macam minta nyawa penatnya. Opah aku dah la berjalan kaki dari kubur, sampai rumah masih kuat eneginya. Kalah aku. Berpuluh tahun aku muda dari dia kot.

“Sabar Opah,” aku pujuk. Opah melangkah ke rumah Tok Majid yang bersebelahan dengan rumah kami. Maksu cuba tahan, tapi Opah jalan terus.

“Wani, pergi panggil ayah kamu cepat,” Maksu suruh aku panggil ayah. Maksu pula terus ikut Opah ke rumah Tok Majid.

“Ayah, Paksu, cepat! Opah dah pergi rumah Tok Majid,” aku panggil ayah dan Paksu.

“Ya Allah, dah kenapa dia ke sana? Kan ayah dah cakap tadi, jaga Opah. Jangan bagi Opah ke mana-mana,” ayah marah aku.

“Manalah Wani nak tahan dia ayah. Dah dia marah-marah, terus jalan macam tu. Maksu pun tak boleh tahan dia,” kataku tarik muka bila ayah marah aku macam tu.  Macam la aku suka-suka je biarkan Opah.

“Kenapa?” Tok Imam Razali menjenguk dari belakang dinding dapur.

“Mak dah pergi rumah Tok Majid,” kata ayah. Tok Imam Razali gelengkan kepala.

“Perangai sama je laki bini,” kata Tok Imam Razali, aku rasa dia sedang cakap pasal Opah dan Tok aku.

“Nak biarkan ke?” Pak Su tanya.

“Jomlah, kita ikut dia,” kata Tok Imam Razali.

“Jumpa apa-apa tak kat dalam rumah ni?” ayah aku tanya.

“Dia ada datang tadi, memang nak buat kacau. Tapi sekarang dah takde. Rasanya dah balik. Elok sangatlah mak korang pergi sana. Memang dah balik ke rumahnya,” kata Tok Imam.

“Siang-siang buta macam ni pun dia boleh kacau ke Tok Imam?” aku gatal mulut bertanya. Ayah jeling aku sebab menyampuk orang tua bercakap. Memang dia pantang, tapi aku nak tahu.

“Kalau tuannya suruh siang, sianglah dia pergi. Cuma pandangannya terhad. Dunia jin ni terbalik, bila kita siang, dia malam. Sekarang kita siang, dia malam. Selalunya malam memang dia tak bergerak la. Tapi macam manusia juga, kadang-kadang malam la baru ada masa nak buat kerja, kan?” kata Tok Imam.

Aku hanya anggukkan kepala walaupun sebenarnya aku tak faham. Tok Imam sedang jelaskan sesuatu atau sedang buat lawak atau sedang perli aku? Aku kan suka lepak dengan kawan-kawan aku waktu malam. Iyelah, dah siang aku sibuk.

Aku ikut Tok Imam Razali, ayah dan Paksu ke rumah Tok Majid. Mak yang dari tadi termangu-mangu melihat suasana di rumah Opah tu, pun ikut sekali. Dah macam rombongan pulak kami semua ke rumah Tok Majid.

“Azman! Azman! Keluar kau. Aku dah sabar lama. Pak Hassan kamu pun sabar lama jugak. Pak Hassan kamu kata bagi kamu peluang, tapi kamu tak berubah. Taknak bertaubat. Tak takut balasan Allah ke? Kamu tahu tak apa hukum mensyirikkan Allah ni? Kau tahu tak? Tak keluar dari api neraka kau besok!” Opah melepaskan marahnya. Walau Opah jerit, tapi suara Opah tak sekuat mana.

Ayah dan Paksu berlari ke rumah Tok Majid, mendapatkan Opah. Aku berjalan di belakang Tok Imam Razali. Tenang je Tok Imam tu.

“Esah, sabar Esah. Dia memang nak kau marah. Bila kau macam ni, dia menang,” kata Tok Imam Razali.

“Dah terang-terang kan semua ni kerja dia? Tak habis-habis lagi dendamnya. Suami aku tu dah meninggal dunia dah. Dia dah meninggal, suami aku dah meninggal. Apa lagi nak? Kenapa masih ada dendam?” Suara Opah menggeletar menahan marah.

“Mak, jangan macam ni mak. Mak kena kawal diri. Sabar. Mak tu bukannya sihat sangat,” Maksu pujuk. Opah diam.

“Bawa mak kamu balik,” kata Tok Imam Razali.

Maksu dan mak memegang bahu Opah. Opah akur. Tak melawan macam tadi. Tapi wajah Opah muram. Opah sedih sangat. Aku rasa, masa kebumikan arwah Tok pun muka Opah tak sesedih ini.

Sampai kat rumah, kami kemaskan rumah. Banyak barangan rosak. Ayah suruh Opah masuk bilik, suruh Opah berehat. Aku temankan Opah kat dalam bilik.

“Opah, Wani nak tanya sikit boleh?” Aku mulakan bicara bila Opah diam je dari tadi, termenung memandang ke luar rumah, memandang ke arah rumah Tok Majid sebab kebetulan tingkap bilik rumah Opah betul-betul bertentangan dengan rumah Tok Majid. Aku pun jenguk sama, aku nampak seseorang berdiri di tepi tingkat rumah Tok Majid yang terbuka. Dan aku rasa orang itu pun sedang memandang Opah.

“Siapa tu Opah?” aku bertanya.

“Tok Majid,” Opah jawab.

“Tok Majid? Bukan dia dah mati ke?” aku tanya.

“Memang dia dah mati. Tapi jasadnya tak diterima bumi. Dia keluar hidup di dunia yang juga dah taknak terima dia.” Kata Opah.

“Maksud Opah, dia dah jadi hantu?” aku tanya, memang tak faham.

“Rohnya berkeliaran, mungkin sampai kiamat,” kata Opah.

“Takde cara ke untuk dia balik ke alamnya?” aku tanya lagi.

“Dia kena pergi. Masalahnya dia pun taknak pergi. Dia hasut anaknya untuk jaga dia. Anaknya tu sebenarnya bukan nak ambil sangat belaan ayahnya tapi atas dasar kasih kat ayahnya, dia ambil juga. Dia korek benda yang dia sendiri tanam. Dia sendiri hidupkan kembali belaan tu atas perintah ayahnya.” Kata Opah buatkan aku berfikir panjang.

Macammana orang yang dah mati boleh bagi arahan kat orang yang masih hidup? Dah mati, mati la.

“Bila kita berdamping dengan syaitan, tiada yang mustahil. Yang menyebarkan fitnah dalam kampung ni adalah Tok Majid. Kamu mungkin nampak Opah tapi sebenarnya yang kamu tengok itu adalah dia. Macam tadi, ayah kamu kata Opah dah masuk kereta, tapi sebenarnya yang berada dengan ayah kamu tu bukan Opah tapi dia.” Kata Opah.

“Kenapa Opah marah sangat kat Tok Majid?” aku tanya.

“Dia pernah menyerupai Tok kamu. Masuk ke rumah ni. Makan minum dengan Opah. Mujurlah Tok kamu balik cepat malam tu. Opah pun pelik, selalunya malam Jumaat, Tok kamu akan tunggu sampai Isya’ sebab ada kuliah. Tapi malam tu dia balik selepas maghrib. Bersembang dengan Opah, makan minum. Memang macam Tok kamu. Sampai Opah pun keliru. Bila Tok kamu balik, baru tahu jelmaan Tok Majid yang mengganggu. Roh yang tak tenang. Lepas tu la Tok kamu kunci dia, rantaikan dia. Dia hidup tapi dia tak boleh buat apa-apa selagi Tok kamu hidup. Sebab tu dia hanya bebas lepas Tok kamu meninggal dunia,” kata Opah. Aku terdiam. Banyak cerita yang aku tertinggal sejak aku ikut keluarga aku balik bandar.

“Dia memang berdendam dengan Tok kamu. Dia nak keluarga Tok kamu kucar kacir. Dia takkan tenang. Kamu tengok Maksu kamu sampai sekarang tak mengandung. Maksu kamu pernah mengandung dan keguguran entah berapa kali. Masuk je kandungannya tiga bulan, turun darah tak berhenti. Dan janin tu mati dalam perut. Air ketuban kering macam disedut. Doktor pun tak tahu kenapa jadi macam tu. Tapi Opah ada tanya kat perubatan islam, mereka kata memang ada yang mengganggu. Ada yang yang sangat marah dan berdendam. Mereka tak cakap siapa, tapi Opah tahu sangat siapa,” kata Opah lagi.

Patutlah Opah marah sangat dengan Tok Majid.

“Sekarang macammana? Pakcik Azman yang jaga benda tu ke?” aku tanya.

“Dia terpaksa jaga. Bukannya dia nak. Tapi Tok Majid dah rasuk dia. Iyelah, dia nak hidup di dunia ni, tapi macammana nak hidup kalau dia sebenarnya dah mati. Maka, gunakan tubuh orang yang masih hidup. Walaupun orang itu adalah anaknya sendiri,” kata Opah. Mulut aku terlopong. Selalu dalam filem je ada cerita macam ni. Rupanya kat alam nyata pun ada ye.

– Bersambung –

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s