AKU TAKKAN DEGIL LAGI 2.0

Bab 10

Aku bentangkan tikar mengkuang yang aku bawa dari rumah tadi. Lalu Opah dan aku duduk di atasnya. Opah buka surat Yassin yang dibawanya. Aku pun ikut sekali walaupun hati aku tak berapa sedap. Tapi aku cuba tenangkan hati.

“Yassiinn, Wal Qur Aa Nil Hakeem. Innakalaminal Mursolin, Alaa Sirotim Mustaqeem…,” Aku dan Opah mula membaca perlahan. Aku berhenti sekejap bila terdengar bunyi seseorang batuk di belakang aku. Aku menoleh, tiada sesiapa. Aku pandang Opah, Opah masih tekun membaca. Aku tunduk kembali dan sambung bacaan aku.

Baru dua baris aku baca, aku dengar lagi suara seseorang batuk di belakang aku. Aku pusingkan badan aku, tengok siapa. Masih macam tadi, tiada sesiapa di situ. Hanya kubur-kubur lama.

Aku pandang Opah, sama macam tadi, Opah masih tekun dengan bacaannya. Aku kerutkan dahi. Kalau sekali, aku mungkin salah dengar. Tapi dua kali. Takkan salah juga.

Aku bangun. Lalu duduk disebelah Opah. Masa ni Opah berhenti membaca dan pandang aku. “Kenapa?” Opah tanya aku. Aku hanya gelengkan kepala dan teruskan bacaan bersama Opah.

Baru dua baris aku baca, ada batu kecil dibaling di tepi aku. Aku pandang ke arah batu itu. Aku angkat kepala dan pandang keliling. Masih tiada sesiapa. Aku tunduk semula dan teruskan bacaan. Tak sempat habis satu baris pun, sekali lagi batu kecil dibaling ke tepi aku.

Masa ni aku hilang sabar. Rasa takut dah hilang, timbul rasa bengang. Aku bangun.

“Hoi! Siapa punya kerja? Kalau berani, keluar lah. Main baling-baling batu pulak. Kau ingat aku takut?” sekali aku kalau dah marah, memang macam tu. Ayat tak ingat dunia. Opah berhenti membaca, dia mendongak memandang aku yang sedang berdiri di tepinya sambil memerhati keliling.

“Kamu kenapa ni? Terjerit jerit kat kawasan perkuburan. Hormat sikit,” Opah tegur aku.

“Entah manusia mana nak kacau kita. Terbatuk-batuk, baling batu bagai. Dia ingat ini tempat nak ajak main ke pun,” kataku sambil duduk kembali di sisi Opah.

“Siapa yang nak mainkan kamu ni Wani?” Opah tanya aku perlahan.

“Opah tak dengar ke bunyi orang batuk tadi? Sebab tu Wani tukar tempat. Lepas tu dia main baling batu pulak. Opah tak sedar ke?” aku tanya Opah, masih dengan nada bengang, Cuma tak menjerit macam tadi.

“Takde pun Opah dengar bunyi orang batuk ke, orang baling batu ke. Perasaan kamu je kot,” kata Opah.

“Takdenya perasaan perasaan dah Opah. Memang betul ada yang nak kacau kita ni.” Sahutku lagi.

“Dah, dah. Kita kat kubur ni. Jom habiskan bacaan. Nanti siram tanah kubur Tok ni. Sekarang musim panas, nanti merekah tanah kubur ni. Mati pula pokok puding dan pandan yang ayah kamu tanam ni,” kata Opah lagi.

Aku diam. Terus buka semua mukasurat yang aku berhenti tadi. Dan sambung bacaan. Selang tiga mukasurat kot, ada seseorang meniup di tepi telinga aku. Aku pandang ke kiri aku. Tiada sesiapa.

Aku tunduk semula, dan teruskan bacaan. Sekali lagi telinga aku ditiup. Aku terus pusingkan kepala aku laju-laju untuk lihat siapa yang tiup aku. Betul-betul depan muka aku, ada Tok Majid. Mata kami bertentangan, dengan jarak yang terlalu dekat, hampir nak tercium.

Aku terus menjerit dan melompat, berlari keluar dari kawasan perkuburan. Entahlah kubur siapa yang aku dah pijak, dah langkah. Aku tak sedar dah semua tu. Aku berlari sampai keluar dari kawasan kubur sambil menjerit macam orang gila. Sampai kat bawah pokok besar di tepi pondok penjaga kubur, ayah aku pegang aku. Kalau tak, entah sampai mana aku berlari. Masa tu, kalau aku lumba lari pass button, mahu team aku dapat tempat pertama, dengan hanya aku yang berlari dari mula sampai hujung.

“Kenapa kamu ni Wani?” Ayah aku bersuara agak kuat bila aku masih meronta walaupun ayah dah pegang aku.

Aku berhenti menjerit. Mak dan Paksu yang berdiri di belakang ayah, pandang aku dengan wajah penuh tanda tanya. Aku pandang mula ayah, “Kenapa ni?” ayah tanya aku. Aku tak jawab tapi aku peluk ayah kuat-kuat. Tak sedar aku menangis.

“Ni kenapa ni? Elok-elok kan tadi keluar dengan Opah? Kenapa tinggal Opah sendirian kat kubur Tok tu?” ayah aku tanya lagi sambil usap kepala aku yang masih tersedu-sedu dalam dakapannya.

“Wani nampak Tok Majid.” Kataku perlahan, tapi jelas.

“Nampak kat mana?” ayah aku tanya lagi. Aku tak menoleh, tapi aku hanya tunjukkan ke arah kubur.

“Perasaan kamu je kot. Sebab kejadian semalam,” kata ayah lagi. Aku diam. Tak tahu nak kata apa. Nak salah mereka tak percaya pun tak boleh, sebab mereka tak nampak dan tak alami apa yang aku alami.

“Dah, pergi balik. Awak pun pergilah balik dengan Wani. Biar abang dan Rashid je ziarah kubur dan teman mak. Nanti abang bawa mak balik,” ayah aku cakap kat mak aku. Mak aku akur. Dia minta kunci kereta aku, lalu terus bawa aku balik ke rumah Opah.

“Kamu sebenarnya rindu kat Tok kot ni,” kata mak masa dalam perjalanan balik. Rumah Opah dengan kawasan perkuburan tu taklah jauh sangat. Masa aku kecil tu, aku kayuh basikal je.

“Mak, kalau Wani rindukan Tok, kenapa jelmaan Tok Majid yang Wani nampak? Kenapa tak nampak jelmaan Tok?” sahutku.

“Kamu nampak dia buat apa?” Mak aku tanya.

“Mula-mula dengar suara lelaki batuk. Lepas tu dia baling batu. Lepas tu dia tiup telinga Wani. Masa tu la Wani bertembung muka dengan dia.” Kataku perlahan, masih dengan sendu yang tak reda. Tangan dan badan aku masih menggigil.

Mak pegang tangan aku dengan tangan kirinya. Tangan kanan masih memegang stereng kereta.

“Istighfar. Cuba bawa bertenang. Ilusi kamu je kot,” kata mak aku masih nak memujuk.

“Mak, Wani yakin semua ni ada kena mengena dengan belaan Tok Majid tu,” kataku.

“Kan semalam anak dia dah bawa pergi semua tu. Anak dia dah janji dengan nyawanya, akan buang semua belaan tu,” kata Mak.

“Mak, kalau dia betul nak buang, kenapa dia korek balik benda tu dari belakang rumah? Kan dia boleh biar je terus benda tu tanam kat sana. Bukannya kacau orang pun,” kataku agak keras sikit. Geram dah rasanya bila semua orang tak percaya apa yang aku cakap. Takkan takde seorang pun mengalami apa yang aku alami.

“Kan semalam Imam Razali dah terangkan semua, kenapa dia korek semula benda tu. Dia nak lepaskan kunci ayahnya. Dia nak ayahnya pergi ke alam yang sepatutnya dengan tenang. Dia marah sebab Tok kamu rantai ayah dia. Dia marah sebab ada orang fitnah Tok kamu buka aib ayah dia kat orang kampung. Kamu kan ada bersama diorang semua masa tu? Kalau mak dan maksu tak tahu tu mungkinlah sebab kami kat rumah Mak Yam. Kamu kan dengar semua tu?” mak aku bersuara lembut.

“Wani tahu semua tu. Tapi Wani yakin bahawa Tok Majid masih ada di sini,” kataku lagi.

“Takpelah, nanti kita jumpa Imam Razali, cuba tanya dia. Mungkin dia boleh bagi penawar untuk kamu rasa lega sikit,” kata mak.

“Mak, Wani tak gila la mak. Nak minta penawar bagai. Percayalah, semua ni ada kena mengena dengan Tok Majid. Percayalah mak.” Kataku merayu minta sedikit kepercayaan dari mak.

“Mak percaya apa yang Wani cakap tu. Cuma mak pun harap Wani cuba tenangkan diri. Cuba fikir elok-elok, kenapa Wani je yang nampak? Kenapa orang lain tak nampak?” Mak aku tanya. Dan aku diam.

Sesampainya di rumah Opah, aku nampak Maksu sedang berdiri di tangga pintu depan rumah sambil mendongak ke atas rumah. Wajah Maksu agak pucat masa tu. Mak berhentikan kereta di laman. Aku dan mak keluar dari kereta.

“Kak!” Maksu menggamit mak aku untuk menghampirinya. Mak dan aku berlari anak, mendapatkan Maksu.

“Kenapa ni?” Mak tanya Maksu.

“Ada orang kat dalam rumah. Dia punggah semua barang. Periuk kuali pinggan semua bertabur. Yang mana kaca, semua pecah. Kat lantai penuh kaca,” kata Maksu.

“Siapa? Perompak?” Mak aku tanya.

“Tak, saya tak nampak sesiapa. Tapi macam seseorang sedang mengamuk.” Kata Maksu.

Mak dan aku pasang telinga. Memang kedengaran bunyi kuali dan kaca bertaburan di dapur. Manakala kat ruang tamu kedengaran bunyi kerusi rotan dan perabot lain seakan ditarik ke sana sini.

“Ya Allah, apa benda tu?” mak aku berbisik perlahan. Aku melangkah perlahan ke arah dapur. Cuma jenguk kat tingkap yang terbuka. Sebab dapur rumah Opah tak tinggi macam ruang tamu. Dapur kat atas tanah je.

Meremang bulu roma aku bila lihat Tok Majid berdiri memandang aku kat tingkap tu. Matanya seakan nak tersembul keluar.

“Aghhh!” aku menjerit. Mak aku berlari kepada aku.

“Kamu ni berani ke degil mak tak tahu lah. Tunggu saja kat sana boleh tak? Mak dah call ayah aku, kejap lagi dia sampai. Jangan jalan sana sini. Entah perompak ke apa ke kat dalam rumah tu, kita tak tahu,” kata mak.

“Mak, bukan perompak. Itu kerja Tok Majid,” kataku perlahan.

“Kamu ni tak habis-habis Tok Majid Tok Majid. Berhenti sebut nama dia sekejap boleh tak?” marah mak aku.  Aku terus diam.

Mak tarik aku terus ke pangkin di bawah pokok rambutan di laman rumah Opah. Kami duduk menunggu di situ. Tak lama kemudian ayah dan Paksu muncul.

“Orang tu masih kat dalam rumah ke?” ayah tanya Maksu dengan wajah risau.

“Tak pasti. Sebab kami tak nampak orangnya. Kami Cuma dengar bunyi dan nampak barang bertaburan,” kata Maksu.

Ayah dan Paksu melangkah ke arah rumah. Paksu pijak anak tangga. Ayah terus melangkah ke dapur melalui ruang bawah rumah. Paksu sampai ke beranda rumah dan tolak daun pintu. Ayah pula menjenguk melalui pintu dapur.

“Astaghfirullahal ‘Aziim,” aku dengar kedua-dua mereka beristighfar. Paksu cepat-cepat menuruni tangga dari beranda rumah Opah, ayah pun sama melangkah cepat dari arah dapur. Mereka bertemu di laman dan bercakap sesuatu dengan nada yang agak perlahan dan wajah yang agak kerisauan.

“Ada orang ke bang?” Maksu tanya Paksu. Paksu angkat tangan bagi isyarat tunggu.

Seketika kemudian, aku nampak ayah menelefon seseorang. Bercakap seketika dan letakkan telefon. Matahari makin meninggi.

Waktu ni baru aku perasan, Opah takde. Tadi bukan ke sepatutnya Opah balik bersama dengan ayah dan Paksu?

“Ayah, Opah mana?” aku tanya.

Macam baru teringat, ayah dan Paksu berlari ke kereta menjenguk ke dalam kereta.

“Tadi mak ikut kita balik kan?” ayah tanya Paksu.

“Haah, dia duduk kat belakang,” sahut Paksu.

“Habis tu mana mak?” ayah tanya Paksu.

“Ke mak dah keluar kereta, dah pergi ke mana-mana pulak? Atau mak dah masuk rumah?” Paksu meneka.

Ayah dan Paksu berlari semula ke pintu rumah Opah. “Mak, Ooo Mak. Mak kat dalam rumah ke?” ayah panggil Opah.

Maksu dan mak dah mula tak senang duduk. Ahh sudah! Mana pula Opah ni pergi?

– Bersambung –

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s