AKU TAKKAN DEGIL LAGI 2.0

Bab 9

Selepas Tok Imam Razali pergi, tiada lagi ganggua. Ayah panggil mak dan Maksu balik ke rumah kami semula. Mak Yam dan Pak Teh pun tak tidur lagi sebab katanya ada macam-macam bunyi kat belakang rumah. Nak dijenguk tak berani. Jadi, tunggu je la.

Semua orang masuk bilik masing-masing. Aku bentang toto di sebelah katil Opah di dapur. Aku baring kat sana. Opah pun diam je, tak cakap apa-apa.

“Opah dah tidur?” aku tanya perlahan.

“Belum,” sahut Opah.

“Wani pun tak ngantuk,” sahutku perlahan. Bukannya aku tak ngantuk tapi mata aku tak boleh nak lelap. Macam terpandang-pandang benda-benda pelik yang aku nampak tadi. Aku pun tak tahu macammana aku boleh tenang tengok benda tu semua. Walhal aku tahu benda tu semua bukan dari alam aku. Mungkin sebab aku ni keras hati kot, degil kata Tok.

Aku teringat kat Tok. Kalau ada Tok sekarang ni, mesti Tok tahu apa nak buat. Tok ketuk dinding je, semua anjing pun diam. Aku ingat lagi satu masa dulu, orang kampung kata ada pocong tunggu kat tepi titi, kat simpang nak menghala ke sungai hujung kampung. Tok pergi je sana, Tok jerkah pocong tu macam jerkah budak kecil suruh pergi mandi je. Lepas tu Tok patahkan salah satu anak buluh kat situ, Tok cacakkan buluh tu kat tempat pocong tu berdiri. Menjerit kot pocong tu. Lepas tu hilang di awangan.

Aku takde la masa tu. Tapi Sidin anak Pak Saad bagitahu aku. Dia ada kat situ masa tu. Sebab tengah masih gitar dengan empat lagi kawannya. Last-last kena kacau dengan pocong. Tok aku siap ceramahkan diorang. Yang Sidin kata dia tak boleh lupa apa Tok cakap, dan sebab kata-kata Tok tu jugalah, dia dan kawan-kawannya dah tak melepak jauh-jauh malam macam tu. Aku tanya Tok kata apa. Dia kata orang dengan pocong pun dah sama level, siang hilang, malam baru nak keluar bermain. Sentap la tu, Tok aku samakan diorang dengan pocong. Pocong tu hantu kot.

“Opah tak yakin dengan Azman tu.” kata Opah tiba-tiba.

“Kenapa Opah?” aku tanya.

“Dia pernah serang Tok kamu. Dia kata Tok kamu sebarkan aib ayahnya kat seluruh kampung. Katanya Tok kamu yang aniaya ayah dia. Ayah dia tak bela pun semua tu, tapi Tok kamu yang letak benda tu kat rumahnya sampai ayahnya tak boleh hidup senang.” Kata Opah lagi.

“Kenapa dia tuduh Tok pulak? Bukan ke Tok yang tolong buang benda tu dari rumah diorang dulu? Kalau tak, sampai sekarang kot hantu Tok Majid tu berkeliaran kat dalam kampung ni,” sahutku.

“Itu kata kita. Tapi kata dia tak sama. Entah siapa yang dah apikan dia, sampai dia sanggup cakap macam tu kat Tok kamu. Opah takkan lupa,” kata Opah.

“Tok tak balas ke?” aku tanya.

“Tok taknak balas. Sebab Tok rasa ada seseorang yang dah buat dia jadi macam tu,” kata Opah.

“Tapi bukan ke lepas dia jual rumah tu, dia dah terus pindah KL. Diorang semua adik beradik dah tak tinggal kat kampung ni lagi kan?” aku tanya.

“Tu lah yang tak tahu, siapa yang hubungi diorang, bagitahu kata Tok kamu dah sebarkan cerita ayah dia kat satu kampung. Tu yang dia balik serang Tok kamu,” kata Opah.

“Adik-adik dia yang lain macammmana?” aku tanya lagi.

“Adik-adik dia tak balik dah sejak rumah tu dijual,” kata Opah.

“Siapa yang korek barang yang Tok tanam kat belakang rumah tu?” aku tanya.

“Tak tahulah. Tapi yang pasti sekarang benda tu ada dengan Azman. Tapi Opah yakin, ada orang lain disebaliknya,” kata Opah.

“Tapi kenapa selama hari ni benda tu tak muncul? Lepas Tok meninggal dunia baru dia muncul semula?” aku tanya.

“Itulah perjanjiannya. Tok kamu dah tahu benda tu dah dikorek oleh seseorang. Sebab Tok kamu jumpa jelmaan arwah. Sebelum orang lain jumpa, Tok kamu dah buat sesuatu. Tok kamu dah rantai dia. Cuma Tok kamu tak boleh buat sepenuhnya sebab tak tahu siapa yang ambil alih. Rantai kunci tu itulah dia yang kamu tengok tadi, ukiran kayu tu. Tok kamu simpan. Tok kamu kata selagi dia hidup, selagi tu dia tak boleh lepaskan rantai tu. Di situlah silapnya. Sebab Tok kamu kata selagi dia hidup. Jadi, sekarang dia dah meninggal dunia, pemiliknya datang tuntut. Ini semua janji,” kata Opah panjang lebar.

Oooooo….. aku makin dapat gambaran kisahnya.

“Tapi macammana Tok Imam tahu semua ni?” aku masih bertanya.

“Tok Imam yang bantu Tok kamu rantai benda tu dulu,” kata Opah.

Oooooo……. Aku diam. Rupanya banyak cerita yang Opah dan Tok tak ceritakan kat aku. Mungkin sebab lepas aku ikut mak ayah aku balik ke bandar, aku dah jarang balik kampung. Dan kalau balik pun, tak lama.

Dalam gelap tu, aku rasa ada orang pegang tangan aku. Aku pegang semula, sejuk je tangan tu. Kulit tua yang berkedut seribu.

“Kenapa Opah? Opah sejuk ke?” aku tanya.

“Haaaaaaaaaaaaa……..” aku dengar bunyi helaan nafas yang panjang. Tiba-tiba rasa meremang bulu roma. Aku terus selimutkan badan aku, dari kepala sampai kaki, lepas tu tutup telinga aku dengan bantal. Aku pejam kuat, tak celik dah. Dan aku terlena dalam kepanasan di bawah selimut yang tebal.

“Tang! Tang!” aku sedar bila dengar bunyi kuali diketuk. Dan dengar bunyi air paip. Aku buka mata, dah cerah. Aku duduk. Maksu dan mak tengah masak. Aku pandang ke arah katil Opah, Opah dah tiada di situ.

“Bangun solat subuh. Dah pukul berapa ni? Orang dah ketung ketang buat kerja, punyalah bising kat sini, dia boleh tak sedar,” kata mak aku sambil toskan bihun yang dah direndam.

Aku gosok mata. “Yang kau tidur kat situ kenapa? Kenapa tak masuk bilik? Berani pulak tidur kat situ sorang-sorang?” Maksu aku pulak membebel.

“Wani tidur dengan Opah la,” sahutku.

“Ngigau ke apa? Opah tidur kat bilik dia semalam.” Kata Maksu sambil mengacau bihun goreng dalam kuali besar.

“Taklah, Opah kan tidur kat katil ni semalam?” aku nak menang juga. Terang-terang aku tidur dengan Opah kat situ semalam. Kami sembang panjang.

“Ikut suka kamu la Wani. Kamu kan suka ikut kepala sendiri. Mana nak dengar cakap orang. Pergi tanya Opah kalau tak percaya,” kata mak.

Aku diam. Dan terus teringatkan suara helaan nafas semalam. Seram pulak rasanya walaupun dah cerah. Aku terus bangun, kemaskan bantal dan selimut aku, masuk bilik air dan ambil wudhu. Selesai solat, aku terus ke bilik Opah. Opah sedang mengaji. Aku menghampiri Opah. Aku duduk tepi Opah. Opah berhenti mengaji dan pandang aku perlahan.

“Lepas sarapan nanti, ikut Opah ke kubur Tok ye,” kata Opah. Aku anggukkan kepala.

“Semalam Opah tidur kat mana?” aku tanya.

“Kat sini la, kat mana lagi,” sahut Opah. Dan masa ni aku rasa lemah longlai seluruh sendi aku.

“Kamu tidur mana? Selalunya tidur dengan Opah. Tapi semalam kamu takde. Maksu kamu temankan Opah,” kata Opah. Aku diam. Habis tu, semalam aku tidur dengan siapa? Tangan sejuk siapa yang pegang tangan aku? Siapa hembus angin kat telinga aku?

“Dah, jom ke dapur. Tengok dah siap ke sarapan kita,” kata Opah sambil menanggalkan telekungnya.

Aku pun ikut Opah sekali ke dapur. Mak sedang cedokkan bihun ke dalam mangkuk. Maksu sedang tuang air kopi ke dalam cawan.

“Mak, mari makan,” Maksu panggil Opah.

“Zul dengan Rashid belum balik dari masjid?” Opah tanya. Zul tu ayah aku, Rashid tu Paksu aku.

“Belum lagi mak. Sekejap lagi sampailah tu,” sahut Maksu. Dan betullah, tak lama lepas Maksu cakap, dengar suara ayah memberi salam dari luar pintu dapur. Memang keluarga kami lebih suka masuk melalui dapur sebab dapur di bawah. Kalau masuk melalui ruang tamu, kena panjat tangga batu.

“Zul, Rashid, mari makan sekali. Lepas sarapan ni, mak nak pergi kubur ayah kamu dengan Wani,” kata Opah.

Kami duduk bersama di meja makan dan menikmati bihun goreng Maksu. Maksu memang pandai masak. Maksu mewarisi kepandaian Opah memasak. Masaklah apapun, janji masakan kampung, memang makan tak cukup sepinggan.

“Hai Wani, diam je kamu. Selalu mulut tak henti? Takkan masih terkejut dengan hal semalam?” Paksu tegur aku. Aku diam juga.

“Semalam dia tidur dengan siapa entah kat tepi katil bawah tangga tu,” kata Maksu.

Semua mata pandang aku. Aku pun tak tahu nak cakap apa. Aku taknak Opah tahu semalam aku tidur dengan ‘opah’. Nanti Opah susah hati lagi.

“Takdelah, Wani mimpi je kot,” sahutku. Dan semua diam. Walaupun dalam hati aku, aku yakin aku tak mimpi. Aku tidur dengan siapa semalam?

Lepas sarapan, aku tolong basuh pinggan. Lepas tu aku bawa Opah ke kubur, nanti kereta comel aku tu. Sampai kat kubur, aku nampak ada seseorang sedang duduk di tepi kubur Tok.

“Opah, siapa tu?” aku tanya Opah sambil menunjukkan ke arah lelaki yang sedang duduk di tepi kubur Tok. Susuk tubuh tu macam aku pernah nampak walaupun dia membelakangkan kami.

“Siapa? Mana?” Opah tanya aku. Aku tunjuk ke arah kubur Tok. Dan Opah pun tengok sambil kerutkan dahi.

“Mana ada sesiapa?” Opah cakap kat aku sambil melangkah masuk ke dalam kawasan perkuburan. Aku pula yang  rasa pelik, kenapa Opah tak nampak lelaki tu?

Aku ikut langkah Opah. Tiba-tiba aku rasa macam ada seseorang mencuit bahu aku dari belakang. Aku menoleh tapi tiada sesiapa, hanya keheningan pagi di kawasan perkuburan. Sekali kaki aku terlanggar batu kat tepi kubur lain. Terjatuh la sikit. Tapi tak teruk. “Jalan elok-elok. Tanah merah memang macam ni,” kata Opah. Aku pandang semula ke arah kubur Tok, lelaki tu dah takde.

“Eh, mana lelaki tadi?” aku tanya.

“Kamu ni dari tadi ada orang la, lelaki la. Kamu nampak siapa ni? Mana ada orang kat sini, kita berdua je dari tadi,” kata Opah dan terus menghampiri kubur Tok. Aku dah mula rasa tak sedap hati. Siapa cuit bahu aku tadi? Siapa yang duduk kat tepi kubur Tok tadi? Kenapa aku je nampak? Kenapa Opah tak nampak? Aku atau Opah yang ada masalah sekarang ni?”

– Bersambung –

One thought on “AKU TAKKAN DEGIL LAGI 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s